Memaparkan catatan dengan label nona. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nona. Papar semua catatan

Sabtu, 27 Jun 2015

Keunikan Buah Nona (Annona Squamosa)

Keratan buah Annona squamosa. Photo by: Muhammad Mahdi Karim

Pernahkah anda merasa buah ini? Buah nona atau juga dipanggil sugar-apple boleh tumbuh dengan mudah di merata kawasan, manakala rasa buahnya juga manis dan mudah dimakan. Kebiasaannya ia akan tumbuh di pinggir halaman tanpa memerlukan penjagaan yang rapi. Pokok nona boleh tumbuh dengan baik dan menghasilkan buah yang banyak.

Buah nona ‘sugar-apple’ (Annona squamosa) merupakan pokok yang lebih mudah tumbuh di kawasan tanah rendah berbanding dua lagi saudara terdekatnya iaitu ‘Annona reticulata’ dan ‘Annona cherimola’ yang kedua-duanya juga dikenali sebagai ‘custard-apples’. Berbeza dengan sugar-apples, custard-apples mempunyai kulit yang lebih licin dan buah yang lebih besar. Dari segi rasa buahnya pula, secara peribadi saya lebih menyukai sugar-apples yang lebih manis.

Pokok nona boleh tumbuh dengan mudah daripada bijinya di pinggir-pinggir halaman. Sekiranya pokok ini dijaga dengan baik, tentulah ianya lebih subur. Mempunyai banyak dahan, pokoknya boleh mencapai ketinggian antara 3 meter (9.8 ft) hingga 8 meter (26 ft) yang mempunyai dahan yang banyak namun agak lembut sama juga dengan family tumbuhan ini yang lain antaranya durian belanda atau soursop (Annona muricata).


Pokok annona tidak terlalu tinggi dan berdaun sederhana lebat. Photo by: wikimedia

Oleh kerana pokok ini tidak terlalu besar, ia juga tidak mempunyai daun yang terlalu lebat. Daun-daunnya ini bersaiz sederhana dan lebih nipis berbanding jenis-jenis annona yang lain. Jadi pokok nona tidak akan menyebabkan daun gugur yang banyak. Manakala apabila tiba musim buahnya, ia akan berbuah agak lebat. Bagi mengelakkan serangan serangga anda bolehlah membalut buah ini seperti mana yang dilakukan kepada buah jambu batu sekiranya perlu.

Annona squamosa merupakan tumbuhan asal bahagian tropika di Benua Amerika dan juga West Indies (kawasan sekitar Caribbean dan juga Atlantik Utara) namun tempat asal tumbuhan ini tidak dapat dikesan dengan pasti. Ia mula diperkenalkan ke bahagian Selatan Asia pada tahun 1590 dan didapati sesuai hidup di kebanyakan kawasan sehingga ke utara seperti Florida di United States, manakala ke selatan pula sehingga ke Bahia di Brazil. Di sesetengah kawasan pula annona dikatakan spesies menular (invasive).

Bunga pokok annona. Photo by: karibik-news.com

Di India, teknik pemeraman buah-buah yang tua adalah dengan menyimpan buah dengan 50-60 g carbide untuk membolehkan ianya cepat ranum, berbanding pemeraman biasa yang boleh mengambil masa 5-6 hari (namun buah tahan lebih lama).

Manakala di Malaysia pula teknik untuk melambatkan proses buah ini menjadi ranum adalah dengan menyimpan buah pada suhu yang rendah 59° hingga 68°F (15°-20°C) dengan kelembapan 85-90% dan kandungan O2 dan C2 H2 yang rendah. Manakala untuk mempercepatkan proses ranum pula adalah dengan memastikan kadar O2 dan C2 yang tinggi.

Biji buah ini sebenarnya beracun. Kulit pokok, daun dan bijinya mengandungi alkaloid, anonaine. Serbuk biji dan buah kering yang ditumbuk dijadikan penuba ikan atau racun serangga di India. Malah ‘paste’ daripada bijinya juga digunakan ke atas kepala untuk membunuh kutu – bahagian mata perlu dielakkan kerana ia boleh mencederakan mata dan mengakibatkan buta. Minyak yang diekstrak daripada biji annona ini dikatakan dapat digunakan sebagai racun serangga. Begitu juga di Mexico daunnya disapukan pada lantai reban ayam untuk mengelakkan kutu.

Walaupun begitu ia juga masih digunakan untuk merawat beberapa masalah antaranya;

Di India, daun yang diramas digunakan untuk merawat hysteria dan kerasukan yang juga digunakan ke atas ulcer dan luka. Manakala air rebusan daun pula digunakan untuk merawat dysentery.

Di kawasan Tropik Amerika pula air rebusan daunnya (atau dicampur dengan tumbuhan lain) digunakan untuk tujuan yang meluas sebagai tonik, merawat selsema, penghadaman atau menjernihkan air kencing. Air rebusan ini juga dicampurkan ke dalam mandian untuk merawat kesakitan rheumatic.

Di El Salvador buahnya yang masih hijau digunakan untuk merawat diarrhea.

Di India juga buahnya yang telah masak akan dicampur dengan garam dan disapukan kepada tumor.
Manaka kulit dan akar pokok ini bersifat astringent (memberhentikan pendarahan). Rebusan kulit pokok digunakan untuk menghentikan diarrhea, manakala akarnya yang lebih kuat merupakan rawatan drastik untuk dysentery.

*anda tidak digalakkan mencuba teknik perubatan ini

Anak pokok annona yang masih kecil. - photo by: Etsystudio.com

Begitulah serba sedikit keunikan buah nona atau sugar-apples, yang selama ini mungkin tidak kita ketahui. Ia dijadikan mudah tumbuh di mana-mana kerana mempunyai khasiat yang baik (seperti juga durian belanda), namun kita hanya menyedarinya apabila pokok tersebut tiada lagi di persekitaran rumah kita. Bagi yang masih mempunyai pokok ini pastikan anda memberikannya penjagaan terbaik.


Rujukan:


Free Download



Arkib Blog