Memaparkan catatan dengan label otak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label otak. Papar semua catatan

Selasa, 16 September 2014

Tidur Yang Cukup Menjamin Kesihatan Yang Baik


Healthy Sleep
Tidur yang cukup penting untuk memastikan tahap perkembangan yang baik.

Tidur merupakan antara perkara yang menjadi kegemaran sesetengah orang dan ada juga yang mengelakkan tidur bagi meningkatkan lagi waktu yang lebih produktif. Bagi mereka yang menahan daripada tidur hanya semata-mata untuk berjaga dan meluangkan masa tanpa tujuan, fikirkanlah tentang beberapa perkara penting mengenai tidur kerana ia jauh lebih membawa kebaikan daripada meluangkan masa tanpa tujuan.

Tidur Untuk Kerehatan Badan


Anda mungkin mampu menahan diri daripada mengantuk, namun mengantuk adalah satu daripada cara bagaimana badan memberitahu anda yang ia memerlukan rehat. Rehat bagi badan bermaksud, waktu untuk membaik pulih sistem badan supaya dapat berfungsi dengan baik dan membantu anda untuk kekal sihat. Semasa anda tidur sistem badan tetap aktif untuk membaik pulih sel-sel yang telah mati, membina sel-sel baru, mengimbangi tahap hormon dalam badan, menguatkan sistem pertahanan badan (imunisasi), mengatur memori (daya ingatan) dan macam-macam lagi.

Mungkin anda boleh meningkatkan masa bekerja dengan mengelakkan tidur. Namun dengan tidur yang cukup serta cara kerja yang lebih efektif anda tetap mampu menghasilkan kerja yang sama sekiranya tidak lebih baik. Ramai di antara kita yang terperangkap di dalam situasi kuantiti dari kualiti dan dalam sesetengah perkara kita mungkin tidak dapat menghasilkan kerja yang diharapkan. Ini kerana bagi memastikan hasil mutu kerja yang baik, badan perlu berada dalam keadaan yang bersedia untuk memberikan fungsinya pada tahap tertinggi.

Semasa kita tidur badan giat melakukan proses-proses berkaitan membaiki sistem badan. Ia adalah masa di mana sel-sel otot yang rosak akan diperbaiki atau digantikan dengan yang baru. Sebab itulah para atlet perlu mendapat tidur yang cukup kerana selain daripada proses latihan, proses re-generasi badan inilah yang akan memberikan hasil daripada latihan tersebut. Sekiranya atlet tidak mendapat tidur yang cukup maka, tiada otot-otot baru yang akan dihasilkan seterusnya tiada peningkatan di dalam prestasi mereka.

Dalam bidang pelajaran pula, waktu tidur merupakan di mana proses penyimpanan maklumat dilakukan oleh otak. Sebab itulah ramai yang mendapati mereka lebih mudah untuk mengingat apabila mengulangkaji sebentar sebelum bersedia untuk tidur. Mereka yang terus berjaga dan mengulangkaji tanpa mendapat tidur yang cukup pula hanya akan mendapati mereka terlalu letih/mengantuk di dalam kelas dan mungkin tidak melakukan banyak perubahan dalam prestasi pembelajaran mereka.

Kaedah Mendapat Tidur Yang Baik


Brain wave
Otak memerlukan rehat bagi menumpukan pada proses memperbaiki sistem badan.

Bagi mendapatkan tidur yang sempurna anda perlulah memastikan beberapa perkara dilakukan bagi mengelakkan tidur anda terganggu yang menyebabkan anda menjadi letih semasa melakukan aktiviti harian nanti. Waktu rehat/tidur yang diperlukan bagi seseorang individu mungkin berbeza bergantung kepada aktiviti harian masing-masing. Adalah perlu bagi seseorang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan, senaman, pergaulan selain daripada pekerjaan dan sebagainya. Beberapa perkara ini mungkin anda perlu berikan perhatian bagi mendapatkan tidur yang sempurna:

i) Tetapkan waktu tidur anda bagi memastikan anda tidak terlewat bangun keesokan harinya. Biasakan masuk tidur dan bangun pagi pada waktu yang sama bagi mengekalkan jadual tidur anda. Melalui cara ini anda tidak akan merasa letih sepanjang hari semasa bekerja.

ii) Kawal stress anda sebelum masuk tidur. Stress boleh mengganggu daripada anda dapat melelapkan mata dengan sempurna. Jadi anda perlulah belajar menangani stress dengan betul untuk mendapatkan tidur yang lebih nyenyak.

iii) Elakkan makan terlalu banyak pada waktu malam. Perut yang terlalu kenyang boleh mengganggu anda untuk tidur. Sebaiknya anda makan awal dan hanya mengambil makanan yang ringan sekiranya perlu di sebelah malam.

iv) Sekiranya anda mengalami kesukaran tidur setelah mengambil kopi pula, pastikan anda tidak mengambil kopi bermula daripada sebelah petang. Anda mungkin tidak merasa mengantuk untuk masuk tidur awal namun anda mungkin mengalami kesukaran untuk bangun seperti biasa atau akan merasa mengantuk keesokan harinya sewaktu bekerja atau belajar.

v) Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh melengahkan tidur anda seperti bersukan, buku yang terlalu menarik, cerita TV atau apa sahaja. Cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan jadual tidur anda.

vi) Elakkan mengambil pil tidur. Ini kerana ia akan menyebabkan anda akan terus bergantung kepadanya untuk jangka masa panjang. Ia juga mungkin menyebabkan kesan sampingan yang lain kepada anda dengan tidur yang tidak semulajadi.

vii) Sentiasa amalkan kehidupan yang aman harmoni. Iaitu sentiasa mendedahkan diri anda dengan perkara-perkara yang anda senangi serta hidup yang penuh ceria. Ini dapat membantu anda dalam mengenal tanda-tanda daripada badan anda seperti mengantuk, lapar, sakit, pening dan sebagainya. Badan sentiasa memberikan isyarat pada kita, dan adakalanya kita tidak menyedari tanda-tanda ini.

Tabiat-tabiat Tidur Yang Pelik


Michael Phelps
Latihan Michael Phelps merangkumi tidur yang disusun dengan sistematik.

Tidak dinafikan ada di antara kita yang mempunyai tabiat tidur yang pelik dan ianya tidak pula mengganggu tahap kesihatan mahupun aktiviti harian mereka. Antara tabiat tidur pelik yang dimaksudkan antaranya adalah;

Leonardo da Vinci yang biasanya akan mengambil masa untuk tidur seketika (kira-kira 20 minit) setiap 4 jam. Bagi beliau yang memerlukan tahap fokus yang tinggi mungkin perkara ini perlu. Ini kerana otak tidak mampu untuk kekal dalam keadaan konsentrasi yang terlalu lama. Bagi orang biasa tahap pemfokusan akan hanya berada dalam masa 15 minit sebelum hilang tumpuan.

Winston Churchill pula mengambil masa 2 jam setiap hari untuk berehat pada waktu selepas 5:00 petang. Bagi beliau waktu tidur ini sangat penting dan boleh mengembalikan semula kesegaran pada beliau untuk terus kekal cergas melakukan tugasnya sepanjang hari. Sebagai seorang perdana menteri beliau juga amat terkenal sebagai seorang yang amat kuat berjaga malam.

Berbeza pula dengan Michael Phelps yang melengkapkan tempat tidurnya seperti berada pada ketinggian 8,500 ke 9,000 kaki sebagai pelengkap kepada latihannya. Keadaan ini akan mengurangkan tahap oksigen yang mampu dihantar ke otot-ototnya. Ini menyebabkan badannya akan bekerja lebih kuat untuk membawa jumlah oksigen yang cukup untuk badannya. Apabila kembali semula dalam keadaan sebenar, ianya adalah hasil seperti mana yang anda dapat lihat dalam pencapaian atlet cemerlang ini.


Itu adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang perlu anda ketahui mengenai tidur yang mungkin sebahagian daripada kita memandang remeh terhadapnya. Apa yang penting adalah kita perlu memahami keperluan badan kita dari segi fizikal dan juga rohani dalam memastikan keseimbangan dan fungsi badan yang berada dalam keadaan yang baik. Kesihatan yang kita nikmati bukanlah percuma, jadi fikirkanlah dan pertimbangkanlah sebelum ianya terlambat.


Free Download



Ahad, 23 Februari 2014

Makanan Untuk Kesihatan, Kacang Walnut


Walnut
Walnut yang masih di atas pokok.

Sebagai usaha untuk mempromosikan makanan yang membantu meningkatkan kesihatan para pengguna saya memaparkan lagi beberapa makanan yang dapat mempertingkatkan tahap kesihatan melalui khasiat pemakanan yang terkandung di dalam makanan tersebut. Kali ini kita akan melihat pula tentang khasiat kekacang yang dikenali sebagai walnut. Seperti juga kekacang yang lain, walnut kaya dengan protein dan khasiat yang membantu untuk kecerdasan otak.

Persian atau English walnut, Juglans regia
Nilai nutrient untuk setiap hidangan
Saiz hidangan
100 grams
Tenaga
2,738 kJ (654 kcal)
Karbohidrat
13.71
- Starch
0.06
- Gula
2.61
  - Laktosa
0
- Dietary fiber
6.7
Lemak
65.21
- tepu
6.126
- monounsaturated
8.933
- polyunsaturated
47.174
Protein
15.23
Air
4.07
Alcohol
0
Caffeine
0
Vitamin A equiv.
1 μg (0%)
Vitamin A
20 IU
- beta-carotene
12 μg (0%)
lutein and zeaxanthin
9 μg
Thiamine (vit. B1)
0.341 mg (30%)
Riboflavin (vit. B2)
0.15 mg (13%)
Niacin (vit. B3)
1.125 mg (8%)
Pantothenic acid (B5)
0.570 mg (11%)
Vitamin B6
0.537 mg (41%)
Folate (vit. B9)
98 μg (25%)
Vitamin B12
0 μg (0%)
Vitamin C
1.3 mg (2%)
Vitamin D
0 μg (0%)
Vitamin D
0 IU (0%)
Vitamin E
0.7 mg (5%)
Vitamin K
2.7 μg (3%)
Kalsium
98 mg (10%)
Zat Besi
2.91 mg (22%)
Magnesium
158 mg (45%)
Manganese
3.414 mg (163%)
Fosforus
346 mg (49%)
Potassium
441 mg (9%)
Sodium
2 mg (0%)
Zinc
3.09 mg (33%)

Satu perkara yang anda perlu ketahui mengenai makanan yang kaya dengan protein adalah ia boleh membantu anda merasa kenyang untuk tempoh masa yang lebih lama berbanding dengan makanan yang kaya dengan karbohidrat. Dengan kata lain, ia dapat membantu mencegah anda daripada terus makan tanpa henti – secara tidak langsung ia membantu anda mengawal berat badan. Protein tumbuhan juga kurang lemak, manakala bagi kekacang ianya adalah dalam bentuk lemak tak tepu yang baik untuk kesihatan jantung anda.

Seperti yang saya katakan di dalam artikel mengenai kekacang badam, walnut juga merupakan antara makanan kegemaran bagi para doktor dan profesional yang lain. Selagi ianya tidak ditambah garam berlebihan (salted nuts) atau ditambah perisa lain (terutama MSG), ianya amat baik untuk kesihatan anda juga. Pengambilan sedikit kekacang setiap hari dapat membantu mengimbangi keperluan protein dan lemak tak tepu untuk kecerdasan otak anda.

Walnut adalah kekacang yang padat dengan nutrient: di dalam 100 gram walnut mengandungi 15.2 gram protein, 65.2 gram lemak (terutamanya lemak tak tepu), 6.7 gram serat dan lain-lain mikro-nutrient yang turut diperlukan oleh badan. Apa yang menariknya ia juga mengandungi Omega 3 dan Omega 6 yang baik untuk fungsi otak anda. Maka tidak hairanlah mengapa ia menjadi pilihan snack kegemaran para doktor dan profesional.

Selain itu juga, berbanding dengan kekacang yang lain walnut mengandungi antioksidan yang lebih tinggi dalam bentuk antioksida bebas dan antioksidan terikat pada serat. Aktioksida baik untuk mencegah kanser dan juga kerosakan sel-sel di dalam tubuh badan anda.

Agak sukar bagi kita untuk mengenali pokok walnut ini kerana ianya tidak ditanam di Malaysia. Negara pengeluar walnut utama dunia adalah China dengan jumlah pegeluaran sebanyak 2.55 juta tan metrik pada tahun 2010, ini diikuti oleh Iran, United States, Turkey, Ukraine, Mexico, Romania, India, Perancis dan Chile.

Bagi kita masyarakat Malaysia pemakanan kekacang mungkin merupakan sesuatu yang janggal kerana ianya hanya biasa digunakan di dalam penyediaan kuih-muih dan masakan seperti kek. Selain itu juga harga kekacang ini agak mahal jika dibandingkan dengan makanan snack (makanan ringan) yang lain. Namun begitu khasiat yang terkandung di dalam kekacang ini adalah sesuai jika dibandingkan dengan harganya, malah anda hanya memerlukan kuantiti yang sedikit sebagai makanan tambahan sahaja.

Isi walnut
Isi walnut yang boleh dimakan.

Begitulah serba sedikit mengenai walnut yang ingin saya kongsi buat kali ini. Terdapat banyak lagi kekacang lain yang akan saya kongsi untuk tatapan semua. Semoga pengetahuan ini dapat membantu anda untuk mengamalkan pemakanan yang lebih sihat, lebih bermanfaat untuk diri anda juga keluarga tersayang.



Free Download




Isnin, 2 Disember 2013

Aktiviti Menarik Musim Cuti Sekolah

Cuti sekolah masa sesuai aktiviti keluarga.

Cuti sekolah merupakan masa yang ditunggu-tunggu oleh semua murid-murid kerana merupakan masa untuk melapangkan fikiran. Tetapi jika masa yang terluang hanya diisi dengan menonton TV atau bermain video games tentu pengisian masa cuti sekolah ini tidak begitu mendatangkan faedah yang positif. Di sini mari kita perhatikan bagaimana kita boleh memanfaatkan masa yang ada bagi menjadikan setiap masa semasa cuti sekolah ini lebih bermanfaat.

Cuti sekolah memberikan kita peluang untuk mempelajari perkara-perkara yang tidak dapat dipelajari di sekolah. Banyak perkara yang boleh membantu kita mempertingkatkan kemahiran diri semasa cuti sekolah terutama dengan meluangkan masa melakukan aktiviti-aktiviti di luar rumah - kerana interaksi dengan alam sudah tentu membuka pemikiran kita terhadap alam yang luas. Semua ini akan memperkembangkan lagi keupayaan pemikiran kita dan perkembangan otak yang normal.

Daya Interaksi dan Perkembangan Otak

Pengalaman pertama memang menarik.

Interaksi dengan alam tidak boleh dilakukan di dalam kelas mahupun melalui peralatan elektronik. Ini kerana ransangan yang kita alami mengaktifkan keseluruhan deria yang terdapat pada tubuh. Semasa kita menyentuh cacing untuk memasang umpan misalnya, deria sentuhan akan mengenal pasti akan kelembutan badan cacing tersebut. Manakala deria bau akan memberitahu akan bau daripada tanah di mana cacing itu tinggal. Ya, ia mungkin mendatangkan rasa geli dan sebagainya. Tetapi ini adalah pengalaman di mana kita perlu alami sebelum dapat membuat keputusan yang tepat mengenai penilaian yang akan kita tentukan (samada geli atau sebaliknya).

Begitu juga bagi yang suka merentasi denai-denai di hutan seperti dalam aktiviti 'Jungle Tracking'. Walaupun ia kelihatan mudah, adakalanya kita perlu memikirkan di mana kaki kita berpijak. Musim hujan akan memburukkan lagi keadaan - kita perlu berhati-hati untuk mengelakkan daripada tergelincir. Ini memerlukan otak kita membuat penilaian tentang persekitaran dan bagaimana kita perlu bertindak. Ia merupakan satu proses yang tidak kita sedari. Namun otak akan terus bekerja supaya kita sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat.

Bagaimanapun kemahiran otak ini perlu dilatih dengan pengalaman. Otak tidak mampu membuat keputusan tepat tanpa latihan. Bayangkan kali pertama kita memecahkan telur ayam. Ianya satu latihan penting untuk membantu otak membuat anggaran dan melatih tangan untuk membuat ketukan yang tepat pada cengkerang telur. Kita tidak perlu kuathir sekiranya tidak dapat melakukan proses pertama ini dengan baik, kerana otak dalam proses menyukat akan kekuatan ketukan yang betul - ini membantu atlet-atlet sukan memperbaiki hasil ketukan mereka dalam sukan golf.

Imbangan Satu Latihan Terbaik

Deria Imbangan antara deria yang paling pesat berkembang

Imbangan badan merupakan satu proses yang amat sukar. Otak kita bekerja keras membantu kita berjalan dengan betul semasa di peringkat kita masih bayi lagi. Namun apabila dewasa kita memerlukan kemahiran imbangan ini untuk proses yang lebih kompleks seperti menungang basikal atau bermotosikal. Semua ini berkait rapat dengan daya imbangan badan dan kemahiran otak untuk membuat andaian mengenai imbangan.

Sekiranya kita mampu melakukan kedua-dua proses di atas dengan baik makalah boleh mencuba aktiviti ini pula, iaitu bermain kasut roda, papan luncur atau bermain ski. Tapi perlu berhati-hati kerana sukan ini boleh mendatangkan bahaya sekiranya dilakukan tanpa mengikut peraturan keselamatan yang betul. Apa yang penting, kita tidak membiarkan potensi otak kita tanpa digunakan kerana otak sihat membantu kepada pertumbuhan minda yang cerdas.

Untuk latihan imbangan yang lebih mudah kita bolehlah melakukan latihan menari kerana ianya lebih selamat. Walaupun ianya mudah, ia turut membantu badan melakukan senaman dalam masa yang sama. Ini membantu perjalanan darah yang lebih baik serta menggalakkan fungsi sistem badan berjalan dengan lancar. Mungkin latihan menari ini juga boleh digantikan dengan permainan yang lebih menceriakan seperti permainan lumba lari, polis sentri, galah panjang dan sebagainya (mungkin permainan ini juga sudah semakin dilupakan).

Lawatan

Aktiviti di luar sememangya mencabar fizikal dan mental

Lawatan juga memberikan ransangan kepada pendedahan otak untuk berfikir lebih luas mengenai alam. Ini memberikan ransangan kepada kita untuk mengetahui lebih banyak seterusnya meneroka perkara-perkara baru untuk dipelajari. Adakalanya ia berkaitan, haiwan, tempat-tempat menarik, bentuk muka bumi, cuaca, teknologi, rekabentuk, budaya dan sebagainya yang dapat kita perhatikan daripada sesuatu lawatan yang dilakukan.

Lawatan ke taman-taman seperti taman burung, taman rama-rama ataupun zoo misalnya adalah untuk memudahkan kita melakukan proses ini. Ini kerana bahan-bahan pameran dikumpulkan di satu tempat  untuk memudahkan pemerhatian. Di mana dalam keadaan sebenar ianya mungkin agak sukar untuk ditemui dan berada di tempat yang sukar untuk dilawati. Jadi kita perlu menggunakan kesempatan ini sekiranya berpeluang.

Cuti di Rumah


Bagi yang terpaksa tinggal di rumah pula kita tidak semestinya tidak dapat memanfaatkan masa cuti dengan lebih baik. Terdapat banyak saluran berbentuk pendidikan di kaca TV hari ini. Pastikan kita menontonnya dalam Bahasa Inggeris kerana dalam masa yang sama kita dapat mempelajari Bahasa Inggeris. Tentu kita ingin mengetahui sesuatu dan gunakan masa ini untuk mencari maklumat yang kita perlu ketahui.

Sebagai contoh tidakkah kita ingin mengetahui bagaimana tenaga elektrik dihantar kerumah kita? Di mana ini membolehkan kita menonton TV, bermain komputer dan menerangi rumah kita. Bagaimana ianya dihasilkan dan bagaimana pula sekiranya kita ingin menghasilkan tenaga elektrik sendiri? Jadi semasa keputusan bekalan elektrik, kita tidak perlu bergelap. Mungkin juga kita masih mendapat bekalan elektrik sewaktu membuat lawatan ke kawasan pendalaman.

Jadi banyak sekali perkara yang boleh dilakukan disepanjang cuti sekolah ini yang dapat membantu kita untuk belajar lebih banyak perkara menarik. Pastikan kita tidak melakukan satu aktiviti sahaja dan mempelbagaikan aktiviti ini melibatkan aktiviti fizikal dan juga bergaul dengan orang lain. Apa yang lebih menarik mungkin suatu hari kita boleh berkongsi dengan orang lain tentang apa yang kita pelajari disepanjang cuti sekolah ini.


Free Download





Arkib Blog