Selasa, 16 September 2014

Tidur Yang Cukup Menjamin Kesihatan Yang Baik


Healthy Sleep
Tidur yang cukup penting untuk memastikan tahap perkembangan yang baik.

Tidur merupakan antara perkara yang menjadi kegemaran sesetengah orang dan ada juga yang mengelakkan tidur bagi meningkatkan lagi waktu yang lebih produktif. Bagi mereka yang menahan daripada tidur hanya semata-mata untuk berjaga dan meluangkan masa tanpa tujuan, fikirkanlah tentang beberapa perkara penting mengenai tidur kerana ia jauh lebih membawa kebaikan daripada meluangkan masa tanpa tujuan.

Tidur Untuk Kerehatan Badan


Anda mungkin mampu menahan diri daripada mengantuk, namun mengantuk adalah satu daripada cara bagaimana badan memberitahu anda yang ia memerlukan rehat. Rehat bagi badan bermaksud, waktu untuk membaik pulih sistem badan supaya dapat berfungsi dengan baik dan membantu anda untuk kekal sihat. Semasa anda tidur sistem badan tetap aktif untuk membaik pulih sel-sel yang telah mati, membina sel-sel baru, mengimbangi tahap hormon dalam badan, menguatkan sistem pertahanan badan (imunisasi), mengatur memori (daya ingatan) dan macam-macam lagi.

Mungkin anda boleh meningkatkan masa bekerja dengan mengelakkan tidur. Namun dengan tidur yang cukup serta cara kerja yang lebih efektif anda tetap mampu menghasilkan kerja yang sama sekiranya tidak lebih baik. Ramai di antara kita yang terperangkap di dalam situasi kuantiti dari kualiti dan dalam sesetengah perkara kita mungkin tidak dapat menghasilkan kerja yang diharapkan. Ini kerana bagi memastikan hasil mutu kerja yang baik, badan perlu berada dalam keadaan yang bersedia untuk memberikan fungsinya pada tahap tertinggi.

Semasa kita tidur badan giat melakukan proses-proses berkaitan membaiki sistem badan. Ia adalah masa di mana sel-sel otot yang rosak akan diperbaiki atau digantikan dengan yang baru. Sebab itulah para atlet perlu mendapat tidur yang cukup kerana selain daripada proses latihan, proses re-generasi badan inilah yang akan memberikan hasil daripada latihan tersebut. Sekiranya atlet tidak mendapat tidur yang cukup maka, tiada otot-otot baru yang akan dihasilkan seterusnya tiada peningkatan di dalam prestasi mereka.

Dalam bidang pelajaran pula, waktu tidur merupakan di mana proses penyimpanan maklumat dilakukan oleh otak. Sebab itulah ramai yang mendapati mereka lebih mudah untuk mengingat apabila mengulangkaji sebentar sebelum bersedia untuk tidur. Mereka yang terus berjaga dan mengulangkaji tanpa mendapat tidur yang cukup pula hanya akan mendapati mereka terlalu letih/mengantuk di dalam kelas dan mungkin tidak melakukan banyak perubahan dalam prestasi pembelajaran mereka.

Kaedah Mendapat Tidur Yang Baik


Brain wave
Otak memerlukan rehat bagi menumpukan pada proses memperbaiki sistem badan.

Bagi mendapatkan tidur yang sempurna anda perlulah memastikan beberapa perkara dilakukan bagi mengelakkan tidur anda terganggu yang menyebabkan anda menjadi letih semasa melakukan aktiviti harian nanti. Waktu rehat/tidur yang diperlukan bagi seseorang individu mungkin berbeza bergantung kepada aktiviti harian masing-masing. Adalah perlu bagi seseorang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dari segi pemakanan, senaman, pergaulan selain daripada pekerjaan dan sebagainya. Beberapa perkara ini mungkin anda perlu berikan perhatian bagi mendapatkan tidur yang sempurna:

i) Tetapkan waktu tidur anda bagi memastikan anda tidak terlewat bangun keesokan harinya. Biasakan masuk tidur dan bangun pagi pada waktu yang sama bagi mengekalkan jadual tidur anda. Melalui cara ini anda tidak akan merasa letih sepanjang hari semasa bekerja.

ii) Kawal stress anda sebelum masuk tidur. Stress boleh mengganggu daripada anda dapat melelapkan mata dengan sempurna. Jadi anda perlulah belajar menangani stress dengan betul untuk mendapatkan tidur yang lebih nyenyak.

iii) Elakkan makan terlalu banyak pada waktu malam. Perut yang terlalu kenyang boleh mengganggu anda untuk tidur. Sebaiknya anda makan awal dan hanya mengambil makanan yang ringan sekiranya perlu di sebelah malam.

iv) Sekiranya anda mengalami kesukaran tidur setelah mengambil kopi pula, pastikan anda tidak mengambil kopi bermula daripada sebelah petang. Anda mungkin tidak merasa mengantuk untuk masuk tidur awal namun anda mungkin mengalami kesukaran untuk bangun seperti biasa atau akan merasa mengantuk keesokan harinya sewaktu bekerja atau belajar.

v) Elakkan aktiviti-aktiviti yang boleh melengahkan tidur anda seperti bersukan, buku yang terlalu menarik, cerita TV atau apa sahaja. Cuba sebaik mungkin untuk mengekalkan jadual tidur anda.

vi) Elakkan mengambil pil tidur. Ini kerana ia akan menyebabkan anda akan terus bergantung kepadanya untuk jangka masa panjang. Ia juga mungkin menyebabkan kesan sampingan yang lain kepada anda dengan tidur yang tidak semulajadi.

vii) Sentiasa amalkan kehidupan yang aman harmoni. Iaitu sentiasa mendedahkan diri anda dengan perkara-perkara yang anda senangi serta hidup yang penuh ceria. Ini dapat membantu anda dalam mengenal tanda-tanda daripada badan anda seperti mengantuk, lapar, sakit, pening dan sebagainya. Badan sentiasa memberikan isyarat pada kita, dan adakalanya kita tidak menyedari tanda-tanda ini.

Tabiat-tabiat Tidur Yang Pelik


Michael Phelps
Latihan Michael Phelps merangkumi tidur yang disusun dengan sistematik.

Tidak dinafikan ada di antara kita yang mempunyai tabiat tidur yang pelik dan ianya tidak pula mengganggu tahap kesihatan mahupun aktiviti harian mereka. Antara tabiat tidur pelik yang dimaksudkan antaranya adalah;

Leonardo da Vinci yang biasanya akan mengambil masa untuk tidur seketika (kira-kira 20 minit) setiap 4 jam. Bagi beliau yang memerlukan tahap fokus yang tinggi mungkin perkara ini perlu. Ini kerana otak tidak mampu untuk kekal dalam keadaan konsentrasi yang terlalu lama. Bagi orang biasa tahap pemfokusan akan hanya berada dalam masa 15 minit sebelum hilang tumpuan.

Winston Churchill pula mengambil masa 2 jam setiap hari untuk berehat pada waktu selepas 5:00 petang. Bagi beliau waktu tidur ini sangat penting dan boleh mengembalikan semula kesegaran pada beliau untuk terus kekal cergas melakukan tugasnya sepanjang hari. Sebagai seorang perdana menteri beliau juga amat terkenal sebagai seorang yang amat kuat berjaga malam.

Berbeza pula dengan Michael Phelps yang melengkapkan tempat tidurnya seperti berada pada ketinggian 8,500 ke 9,000 kaki sebagai pelengkap kepada latihannya. Keadaan ini akan mengurangkan tahap oksigen yang mampu dihantar ke otot-ototnya. Ini menyebabkan badannya akan bekerja lebih kuat untuk membawa jumlah oksigen yang cukup untuk badannya. Apabila kembali semula dalam keadaan sebenar, ianya adalah hasil seperti mana yang anda dapat lihat dalam pencapaian atlet cemerlang ini.


Itu adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang perlu anda ketahui mengenai tidur yang mungkin sebahagian daripada kita memandang remeh terhadapnya. Apa yang penting adalah kita perlu memahami keperluan badan kita dari segi fizikal dan juga rohani dalam memastikan keseimbangan dan fungsi badan yang berada dalam keadaan yang baik. Kesihatan yang kita nikmati bukanlah percuma, jadi fikirkanlah dan pertimbangkanlah sebelum ianya terlambat.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog