Memaparkan catatan dengan label pejabat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pejabat. Papar semua catatan

Isnin, 8 Ogos 2022

Pewangi Udara Yang Mudah Digunakan

Pelbagai jenis pewangi udara yang mudah didapati.

Tajuk kita kali ini masih lagi mengenai kesegaran udara dan pewangi udara. Mungkin tapa kita sedari, pewangi udara kini digunakan hampir di mana sahaja, daripada ruang pejabat, hotel, tandas, rumah, almari pakaian, peti sejuk dan sebagainya. Walaubagaimanapun jenis-jenis pewangi ini adalah berbeza mengikut fungsi dan jenis-jenisnya sesuai dengan keadaan di mana ianya digunakan. Ada pelbagai jenis pewangi udara yang digunakan daripada ruangan lobi hotel, pejabat, sehinggalah kepada yang digunakan di dalam tandas. Walaupun mempunyai fungsi yang sama, setiap pewangi udara ini adalah berbeza dari segi bauan, jenis, harga dan bagaimana ia berfungsi. Mengetahui lebih lanjut mengenai pewangi ini, mungkin membantu anda mendapatkan pewangi yang sesuai (jimat dan berkesan) untuk kegunaan tertentu.
 
Berikut merupakan beberapa jenis pewangi yang biasa digunakan mengikut jenis dan kesesuaian nya.
 
Pewangi Menggunakan Kipas

Kipas memerlukan kuasa dari bateri atau palam elektrik.

Pewangi menggunakan kipas atau menggunakan hembusan angin daripada penyaman udara di dalam kenderaan merupakan antara pewangi yang popular digunakan di dalam kenderaan. Ini kerana bahan wangian dapat disebarkan dengan lebih baik mengikut aliran udara. Antara lain jenama-jenama pengeluar wangian jenis ini juga mempunyai rangkaian bauan yang menarik adalah antara punca mengapa ianya menjadi popular.
 
Walaupun wangian jenis ini biasa digunakan untuk kenderaan, ada juga yang jenis yang mempunyai kipas sendiri yang menggunakan kuasa bateri ataupun tenaga elektrik daripada palam kuasa di rumah. Pewangi jenis ini mampu memberikan wangian yang lebih ketara kerana bahan wangian dapat disebarkan dengan sempurna. Kebiasaannya menggunakan katrij dan ada juga yang menggunakan cecair, pewangi jenis ini mempunyai harga sedikit mahal daripada pewangi jenis biasa.
 
Pewangi Udara Tradisional

Mudah dan murah, jenis pewangi ini telah lama digunakan.

Pewangi udara tradisional merupakan pewangi yang masih digunakan sehingga ke hari ini kerana ianya murah dan senang digunakan. Pewangi ini terdiri daripada pewangi-pewangi jenis gel dan juga aerosol. Terdiri daripada pelbagai jenis wangian daripada bunga-bungaan kepada buah-buahan citrus. Penggunaannya adalah semudah menanggalkan penutup pelindungnya dan ianya sedia digunakan untuk beberapa minggu sehingga sebulan.
 
Pewangi jenis ini mempunyai bauan yang sedikit lemah kerana ia bergantung kepada bauan yang meruap secara perlahan daripada bahan gel. Ia juga bergantung kepada pergerakan udara di ruang di mana ia digunakan. Oleh kerana terdapat banyak jenama yang menghasilkan pewangi jenis ini, maka adakalanya anda mungkin terbeli wangian daripada jenama yang kurang berkualiti.
 
Lilin Dengan Wangian

Lilin berpewangi biasa digunakan juga sebagai hiasan.

Lilin dengan wangian merupakan satu lagi kaedah mudah untuk mewangikan sesuatu ruang. Kebanyakan lilin dengan wangian mempunyai rupa bentuk yang unik dan kebiasaannya digunakan sebagai bahan hiasan berbanding dibakar untuk menghasilkan bauan. Malah terdapat juga lilin dengan wangian yang digunakan untuk menghalau serangga seperti nyamuk, semut, lalat dan serangga-serangga kecil yang lain.
 
Lilin dengan wangian mungkin mempunyai harga yang sedikit mahal dan kualiti yang berbeza-beza. Walaupun penggunaan nya sangat mudah, namun pengguna harus berhati-hati kerana lilin yang terbakar turut menghasilkan jelaga, haba dan risiko kebakaran. Manakala tempoh pembakaran lilin juga hanyalah untuk jangka masa yang singkat iaitu dari beberapa minit sehinggalah beberapa jam.
 
Pewangi Meruap dan Penyembur

Penggunaan pewangi meruap yang mudah digunakan.

Antara jenis pewangi yang popular termasuklah pewangi meruap dan juga penyembur. Ini kerana pewangi jenis ini amat mudah digunakan. Dalam kaedah ini, bahan pewangi akan disebarkan menggunakan bahan penyerap seperti batang-batang buluh atau bahan penyerap yang menyerupai bahan hiasan yang unik. Bahan pewangi yang terkandung di dalam botol kemudian nya diserap dan disebarkan ke udara melalui luas permukaan yang terdapat pada bahan penyerap tadi. Kadar pewangi yang disebarkan dikawal dengan jumlah bahan penyerap (batang buluh) yang dimasukkan ke dalam botol pewangi.
 
Manakala pewangi semburan pula bergantung kepada semburan yang dilakukan. Maka anda perlu menyembur bahan pewangi ini yang boleh bertahan untuk beberapa lama mengikut jenis pewangi. Terdapat juga pewangi yang sesuai disembur kepada bahan fabrik untuk untuk kesan wangian yang lebih lama.
 
Penyembur dengan Jangka Masa

Penyembur dengan jangka masa kini lebih murah dan sesuai digunakan untuk rumah. 

Pewangi semburan mampu memberikan hasil wangian yang baik namun untuk tempoh jangka masa yang pendek. Oleh kerana itu, alat penyembur dengan kawalan masa digunakan untuk melakukan semburan secara automatik untuk sela masa tertentu. Walaupun pada mulanya ia banyak digunakan untuk kegunaan pejabat, hari ini ia digunakan dengan lebih meluas kerana harganya yang lebih praktikal.
 
Pewangi semburan memberikan bauan yang kuat, terutamanya pada kawasan yang berhampiran dengan kawasan semburan. Jadi ia perlu diletakkan di lokasi-lokasi strategik untuk memastikan semburan wangian dapat disebarkan dengan lebih sekata. Selain itu, semburan pewangi jenis ini juga menggunakan kuasa bateri (yang perlu diganti setelah beberapa lama). Jadi anda perlu memastikan bateri dibuang dengan selamat bagi mengelakkan pencemaran bahan kimia digunakan dalam bateri.
 
Potpuri (Potpourri)

Potpuri boleh dibeli atau disediakan sendiri daripada bahan-bahan sedia ada di rumah.

Potpuri merupakan bahan wangian yang mudah dan selamat digunakan (sekiranya ia tidak ditambah dengan pewangi-pewangi dan bahan sintetik secara berlebihan). Bahan pewangi yang menggunakan tumbuh-tumbuhan kering ini bukan sahaja mewangikan persekitaran, malah ia juga turut menjadi sebahagian hiasan menarik di dalam ruangan rumah atau di mana ia digunakan.
 
Potpuri boleh dihasilkan dengan pelbagai bahan tidak mengira samada ianya bahan bungaan, daun-daun, buah-buahan, kulit daripada buah-buahan, kulit tumbuhan, dan bahan rempah. Bahan-bahan ini dikeringkan dengan baik dan adakalanya ditambah dengan pewarna. Ia seterusnya disimpan dengan bahan pewangi (dari jenis minyak esensial). Ia kemudiannya digunakan dengan meletakkan ia di dalam bekas untuk membebaskan wangiannya.
 
Manik-manik Harum (Aroma Beads)

Manik-manik berpewangi sesuai untuk ruang-ruang kecil.

Manik-manik harum merupakan biji-bijian (seperti plastik) yang menyerap haruman dan membebaskan haruman ini apabila ia digunakan. Antara lain kebaikan penggunaan manik-manik ini adalah ianya tidak tumpah dan sukar dibersihkan seperti pewangi daripada bahan cecair. Selain itu, bahan pewangi yang dibebaskan juga adalah secara perlahan-lahan yang memberikan pewangi jenis ini ketahanan untuk tempoh jangka masa yang panjang.
 
Kebiasaannya mempunyai pelbagai warna menarik yang juga boleh digunakan sebagai bahan hiasan. Namun kebiasaannya manik-manik ini digunakan untuk menyegarkan ruang yang lebih kecil seperti almari pakaian, laci, almari kasut atau ruang-ruangan kecil. Manik-manik ini boleh digunakan terus atau ditukar bekas ke dalam bekas yang lebih sesuai untuk tujuan hiasan.
 
Setanggi (Incense)

Setanggi telah digunakan sejak ribuan tahun dan merupakan salah satu pilihan yang baik.

Setanggi merupakan bahan wangian yang biasanya dibakar untuk tujuan keagamaan. Namun begitu tujuan sebenar setanggi adalah untuk membebaskan haruman dan ianya mungkin agak mahal (dahulunya) untuk tujuan penggunaan peribadi. Setanggi merangkumi bahan-bahan wangian yang dibakar untuk menghasilkan bau-bauan harum. Ianya dihasilkan daripada bahan-bahan semulajadi daripada kayu-kayuan dan juga bunga-bungaan. Penggunaan setanggi adalah lebih mudah kerana ianya hanya perlu dibakar. Masalah yang timbul dengan penggunaan setanggi adalah, ia mungkin hanya tahan untuk selama beberapa jam selain daripada menghasilkan asap dan abu. Namun hari ini setanggi lebih mudah didapati dengan harga yang berpatutan. Setanggi juga dikatakan dapat mengurangkan serangga-serangga kecil seperti nyamuk dan agas (gnat).
 
Plug-ins

Lebih mudah digunakan, plug-ins tahan untuk beberapa minggu hingga bulan.

Antara pewangi moden menggunakan kuasa elektrik untuk membekalkan haba untuk menyebarkan bauan. Pewangi jenis ini lebih mudah digunakan berbanding pemanas yang menggunakan lilin, yang hanya tahan untuk tempoh jangka masa pendek. Pemanas yang menggunakan kuasa dari palam ini juga lebih mudah untuk dikawal kerana ia membekalkan suhu pemanas yang stabil dan boleh dikawal untuk tahap wangian yang berbeza. Untuk sebotol bahan pewangi mungkin mampu membekalkan wangian untuk tempoh beberapa minggu sehingga sebulan.
 
Pewangi jenis ini perlu diawasi bagi mengelakkan kemalangan melibatkan litar pintas, walaupun ianya jarang-jarang berlaku. Ia merupakan salah satu pilihan yang lebih mudah untuk beralih kepada pewangi yang mudah dikendalikan, cuma anda mungkin memerlukan satu lagi palam khas untuk digunakan untuk tujuan ini.
 
Penyembur Ultrasonic

Penyembur ultrasonic kini merupakan trend terbaru dalam teknik pewangi udara.

Penyembur ultrasonic merupakan satu teknologi terbaru dalam penggunaan nya untuk berfungsi sebagai penyembur penyegar udara rumah atau pejabat. Penyembur jenis ini tidak menggunakan haba sebaliknya getaran ultrasonic yang menyebabkan molekul-molekul air yang bercampur bahan pewangi tersebar ke udara. Antara kebaikan penyembur jenis ini adalah ia mengekalkan bauan yang biasanya berubah apabila dipanaskan menggunakan teknik pemanas biasa.
 
Kebiasaannya penyembur jenis ini mempunyai bekas simpanan yang kecil dan hanya mampu digunakan untuk ruangan yang kecil. Selain itu ia juga menggunakan tenaga elektrik. Jadi anda perlu memastikan terdapat palam kuasa untuk digunakan khas untuk peralatan ini.
 
Seperti yang dibincangkan sebelum ini, pewangi-pewangi ini mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya (carcinogens) yang boleh membahayakan terutamanya bagi mereka yang mengalami asthma. Jadi anda perlulah mengenal pasti bahan-bahan yang digunakan atau mengawasi sekiranya terdapat tanda-tanda alahan apabila menggunakan bahan-bahan pewangi ini. Adakalanya penggunaan pewangi dari bahan semulajadi juga boleh menimbulkan kesan alahan. Apa yang penting gunalah bahan-bahan pewangi ini pada kadar berpatutan dan tidak berlebihan.
 
Antara lain, salah satu untuk mengekalkan kesegaran udara adalah dengan menyingkirkan punca bauan itu sendiri. Memastikan pengaliran udara yang baik juga dapat memastikan udara yang segar dapat mengalir dengan sempurna dan mengelakkan bau yang kurang enak. Bahan-bahan mudah seperti cuka, serbuk penaik (baking soda), arang aktif (activated charcoal), dan zeolite merupakan bahan-bahan yang berkesan untuk menyingkirkan bauan kurang enak. Terdapat juga bahan-bahan yang sesuai untuk bau-bauan tertentu. Selain itu tumbuh-tumbuhan di dalam rumah juga dapat memberikan kesegaran kepada kualiti udara yang lebih segar. Berikutan itu, mungkin di masa-masa akan datang kita akan melihat pula tajuk-tajuk lain berkaitan dengan pewangi ini. 

Arkib Blog