Memaparkan catatan dengan label terbang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label terbang. Papar semua catatan

Khamis, 1 Jun 2017

Burung Burung Terbesar Di Dunia

'Argentavis magnificens' merupakan burung terbang terbesar yang telah pupus.

Burung merupakan antara haiwan yang diminati ramai. Selain boleh terbang kebanyakan burung-burung ini mempunyai bulu yang cantik, siulan yang merdu dengan aneka ragam pula. Namun begitu terdapat juga kumpulan burung-burung yang tidak boleh terbang dan kebanyakan burung-burung ini tergolong di dalam golongan burung-burung terbesar.

Bagi burung terbesar yang masih hidup hari ini adalah ‘burung unta’ atau ostrich (Struthio camelus) yang tinggal di kawasan padang-padang rumput di Afrika dan Arab. Saiz burung unta jantan dewasa boleh mencecah sehingga 2.8 m (9.2 ft.) dengan berat sehingga 156 kg (344 lb). Telur burung unta juga boleh mencecah sehingga 1.4 kg (3.1 lb.) dengan saiz 15 cm (6 in.) dan merupakan telur burung terbesar hari ini. Terdapat sehingga 60 biji telur di dalam sebuah sarang burung unta yang akan dieramkan secara bergilir-gilir oleh burung-burung unta tersebut selama 42 ke 46 hari.

Adapun burung terbesar yang telah pupus adalah ‘burung gajah’ atau elephant birds (Aepyornis maximus) yang dikatakan pupus pada abad ke-17 atau abad ke-18. Ia mendiami kawasan pendalaman di Kepulauan Madagascar. Walaupun bersaiz lebih besar daripada burung unta, burung gajah ini mempunyai kaitan yang lebih dekat dengan burung Kiwi dari New Zealand. Saiz burung gajah dikatakan mencapai sehingga 3 m (9.8 ft.) tinggi, dengan berat anggaran antara 350 kg sehingga 500 kg (770 lb. ke 1,100 lb.). Telur burung gajah pula mencapai ukuran sehingga 34 cm (13 in), yang juga merupakan saiz telur burung terbesar pernah dijumpai. Melalui saiz tersebut, telur burung ini merupakan 160 kali ganda lebih besar berbanding telur ayam.

Burung unta merupakan burung terbesar pada hari ini.

Elephant birds, burung gergasi yang tinggal di Kepulauan Madagascar.

'Pelagornis sandersi' merupakan satu lagi spesies burung gergasi terbang.

Bagi spesies burung yang boleh terbang pula Wandering Albatross (Diomedea exulans) merupakan burung yang mempunyai saiz bukaan sayap yang terpaling besar iaitu sehingga 3.65 m (12.0 ft.). Manakala ukuran panjangnya pula adalah sehingga 1.44 m (4.7 ft.). Walaupun ia mempunyai saiz bukaan sayap terbesar, burung albatross bukanlah mempunyai berat terbesar bagi burung-burung yang boleh terbang.

Bagi burung terbesar yang boleh terbang dan telah pupus pula Argentavis magnificens merupakan burung yang pernah diketahui. Melalui fosil yang dijumpai di Argentina burung ini mempunyai bukaan sayap sehingga 8.3 m (27 ft. ) dengan panjang sehingga 3.5 m (11 ft.), ketinggian sehingga 2 m (6.6 ft.) dan berat sehingga 80 kg (180 lb.). Antara burung terbang lain yang bersaiz besar pernah diketahui menyaingi Argentavis adalah Pelagornis sandersi, yang mempunyai bukaan sayap sehingga 24 ft.


Kumpulan burung terbesar termasuk yang telah pupus
Saintis mengukur kepak burung albatross.

Walaupun burung-burung terbesar ini diukur berdasarkan beberapa pengelasan iaitu dari segi saiz, ketinggian, bukaan sayap, kumpulan family dan sebagainya. Kesemua burung-burung ini sememangnya mempunyai saiz yang jauh lebih besar daripada burung-burung biasa yang lain. Berikut pula merupakan burung-burung yang dikelaskan mengikut berat pula;


Rank
Burung
Berat Purata
[kg (lb)]
Berat Maximum
[kg (lb)]
Panjang Purata
[cm (ft)]
1
Ostrich
104 (230)
156.8 (346)
210 (6.9)
2
Somali ostrich
90 (200)
130 (287)
200 (6.6)
3
Southern cassowary
45 (99)
85 (190)
155 (5.1)
4
Northern cassowary
44 (97)
75 (170)
149 (4.9)
5
Emu
33 (73)
70 (150)
153 (5)
6
Emperor penguin
31.5 (69)
46 (100)
114 (3.7)
7
Greater rhea
23 (51)
40 (88)
134 (4.4)
8
Dwarf cassowary
19.7 (43)
34 (75)
105 (3.4)
9
Lesser rhea
19.6 (43)
28.6 (63)
96 (3.2)
10
King penguin
13.6 (30)
20 (44)
92 (3)
11
Domesticated turkey
13.5 (29.8)
39 (86)
100 - 124.9 (3.3 – 4.1)
12
Kori bustard
11.4 (25.1)
20 (44.1)
150 (5)
13
Great bustard
10.6 (23.4)
21 (46)
115 (3.8)
14
Andean condor
8.1 - 14.9 (18-33)
14.9 (33)
100-130 (3.3-4.3)
15
Dalmatian Pelican
7.25–15 (16.0–33.1)
15 (33.1)
183 (6)

'Emperor penguin' tergolong dalam kumpulan burung terbesar dan merupakan burung penguin terbesar pula.

Walaupun terdapat kedudukan burung terbesar mengikut kumpulan burung masing-masing, gambaran di atas jelas menunjukkan kedudukan burung terbesar utama secara umum. Jadi burung yang terbesar dan masih hidup hingga ke hari ini merupakan burung yang tidak boleh terbang dan mendiami Benua Afrika.


Semoga dengan paparan kali ini, ia akan menarik minat para pembaca untuk terus mengenali dengan lebih dekat mengenai alam sekitar dan sama-sama pula kita mengendalikannya dengan baik. Banyak lagi perkara menarik mengenai dunia burung yang mungkin akan dipaparkan untuk masa-masa akan datang.




Free Download



Sabtu, 25 Julai 2015

Keunikan Dunia Haiwan Ular Terbang

Ular terbang berbentuk pipih semasa meluncur di udara.

Ular terbang bukanlah satu dongengan atau cerita rekaan. Ular terbang merupakan ular yang wujud dan mendiami kawasan serata Asia Tenggara, Selatan India dan Sri Lanka sehingga ke bahagian Selatan China. Ia merupakan ular yang bersaiz sederhana dan mempunyai bisa yang kurang kuat yang hanya digunakan untuk membunuh binatang-binatang kecil yang dijadikan sebagai makanan.

Ular terbang tidaklah boleh terbang seperti burung sebaliknya hanya meluncur seperti binatan-binatang meluncur yang lain seperti tupai terbang atau cicak terbang. Namun begitu ular terbang mempunyai keupayaan meluncur yang lebih baik berbanding dengan tupai terbang kerana mampu mengawal bentuk badannya dengan baik untuk mendapat jarak luncuran serta navigasi yang lebih baik.

Chrysopelea ornata
Ular terbang - Chrysopelea ornata.

Ular terbang menghabiskan masanya berada di atas pokok (arboreal) dan jarang sekali turun ke tanah, malah ia juga jarang meluncur melainkan apabila perlu – terutama apabila terancam. Jadi sebab itulah kehadirannya jarang dikesan. Memburu haiwan-haiwan kecil daripada rodensa (seperti tikus dan tupai), cicak, katak, burung dan kelawar. Bisanya yang lemah dan tidak membawa maut kepada manusia. Ia juga merupakan haiwan diurnal (memburu pada siang hari).

Speseis ular-ular terbang ini berukuran antara 61 centimeter (2 kaki) sehingga 1.2 meter (4 kaki) dan terdapat beberapa speseis ular terbang yang diketahui. Speseis yang terbesar adalah ‘golden tree snake’ atau ‘ornate flying snake’ (Chrysopelea ornata) yang boleh mencapai ukuran sehingga 4 kaki. Walaupun mempunyai nama golden tree snake, ia mempunyai warna yang berbeza-beza daripada hijau dan ada juga yang mempunyai warna oren-kemerahan.


Bentuk badannya digunakan untuk mengawal luncuran.

Paradise tree snake’ (Chrysopelea paradisi) pula merupakan ular yang bersaiz sederhana, iaitu boleh mencapai saiz sehingga 3 kaki dan popular kepada perdagangan haiwan peliharaan Eropah. Warnanya kehitaman dengan warna hijau. Terdapat juga tompokan warna-warna seperti merah, oren dan kuning di bahagian belakang ular ini. Namun sebahagiannya mungkin hanya dipenuhi dengan warna hijau sahaja tanpa tompokan warna-warna lain.

Twin-barred tree snake’ atau ‘banded flying snake’ (Chrysopelea pelias) merupakan speseis yang paling kecil dengan panjang sekitar 2 kaki mempunyai warna kelabu gelap. Keseluruhan badannya terdapat gelang kecil bewarna merah atau kuning dan juga hitam. Ia juga merupakan speseis yang jarang ditemui dan tidak mampu meluncur dengan baik berbanding C. Paradisi.

Manakala terdapat 2 lagi speseis yang jarang dikaji adalah ‘Moluccan flying snake’ (Chrysopelea rhodopleuron) yang mendiami kawasan Ambon di Sulawesi, Indonesia dan ‘Sri Lankan flying snake’ (Chrysopelea taprobanica) dari Sri Lanka.

Gambar dekat 'ornate flying snake'.

Ular-ular terbang ini juga mendapat perhatian daripada para pengkaji fizik termasuklah United States Department of Defense untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi penerbangan ular ini. Antara kajian terbaru adalah dijalankan oleh University of Chicago yang mendapati hubungan antara saiz dan kemampuannya untuk terbang di mana ular yang bersaiz kecil mampu menjangkau jarak yang lebih jauh.

Ia mungkin berada pada tahap yang masih baru mengenai kajian terhadap ular ini. Namun pergerakan dan luncuran ular ini jauh berbeza dengan haiwan-haiwan meluncur yang lain seperti tupai terbang ataupun cicak terbang. Kebolehannya untuk menjadikan badannya berbentuk pipih dan gerakan ekor yang membantu perubahan jarak dan haluan luncuran.

Begitulah serba sedikit mengenai ular terbang ini. Jadi anda tidak perlu merasa hairan sekiranya melihat ular terbang) sekiranya anda tidak pernah melihatnya selama ini. Cuma diharap ia akan terpelihara dan lebih banyak kajian dapat dijalankan terhadapnya nanti.






Free Download



Rabu, 13 Mei 2015

Sejarah Penerbangan Manusia

Flight - Leonarda da Vinci
Lakaran oleh Leonardo da Vinci mengenai konsep penerbangan pada tahun 1485. 

Manusia sememangnya tidak boleh terbang seperti burung tanpa bantuan peralatan atau kenderaan seperti kapal terbang. Namun begitu impian untuk menusia terbang dan menguasai ruang udara telah bermula sejak ribuan tahun dahulu. Sememangnya manusia melihat daripada alam dan belajar bagaimana melakukannya sebagaimana yang dilakukan oleh hidupan yang lain seperti burung, kelawar, serangga ataupun haiwan lain yang hanya meluncur seperti tupai terbang.

Layang-layang merupakan antara pencetus utama mengenai kemampuan manusia untuk terbang. Mula direka di China sejak 400 BC untuk tujuan upucara tertentu dan terdapat juga layang-layang khas untuk tujuan kajian cuaca. Namun begitu layang-layang merupakan petanda utama kepada rekaan-rekaan lain seperti luncur angin (gliders) dan belon udara.

Pada selang masa yang agak jauh iaitu kira-kira pada 1485 pereka tersohor Leornardo da Vinci melakarkan banyak rekaan untuk mesin-mesin terbang antaranya Ornitthopter. Walaupun mesin-mesin ini tidak dihasilkan sepenuhnya, namun rekaan beliau ini masih lagi menjadi pencetus kepada mesin terbang moden seperti helikopter.

Belon udara di Paris pada tahun 1783. 

Rekaan yang betul-betul berjaya membawa manusia ke udara adalah menggunakan belon udara panas. Iaitu pada tahun 1783 dengan belom rekaan oleh Jaseph Michel dan Jacques Etienne di Paris, France. Belon tersebut berjaya mencapai ketinggian 6,000 kaki dan terbang lebih daripada 1 batu. (1 m). Belon tersebut terus digunakan untuk membawa manusia merasai pengalaman berada di atas udara.

Cubaan seterusnya dalam memperbaiki luncur angin (glider) oleh George Cayley antara tahun 1799 – 1850 banyak memberi pengaruh kepada luncur-luncur angin berikutnya dan menemui prinsip-prinsip asas mengenai daya dalam penerbangan. Menghabiskan kira-kira 50 tahun untuk memperbaiki ciri-ciri yang terdapat pada peluncur dengan menambah ekor untuk kestabilan dan juga mengenai daya tambahan bagi membolehkan peluncur terus meluncur dan terbang.

Peluncur oleh Otto Lilienthal dari German.

Menjelang kepada jentera penerbangan moden iaitu pada tahun 1891 Otto Lilienthal iaitu seorang jurutera daripada German yang menghasilkan luncur angin yang lebih earodinamik (aerodynamics) dan mampu terbang untuk jarak yang lebih jauh. Malah kajian beliau yang diterbitkan pada tahun 1889 juga turut menjadi rujukan kepada Wright Brothers dalam rekaan asas mereka.

Walaubagaimanapun beliau akhirnya terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya sendiri setelah lebih daripada 2,500 penerbangan.

Walaupun akhirnya sebuah jentera terbang terhasil oleh dua orang yang sangat bersemangat untuk menghasilkan mesin terbang iaitu Orville dan Wilber Wright, namun beliau sendiri banyak berusaha dan belajar daripada pengalaman mereka-mereka yag terdahulu sebelum beliau sendiri. Selain daripada Otto Lilienthal, kedua bersaudara ini juga turut mendapat rujukan daripada Octave Chanute yang menghasilkan ‘Progress in Flying Machines’ pada tahun 1894.

Detik bersejarah penerbangan jentera oleh Orville dan Wilber Wright.

Jentera terbang yang pertama dikenali sebagai “Flyer” akhirnya terbang di Big Kill Devil Hill, North Carolina pada 10:35 pagi, pada 17 Disember 1903. Ianya dipandu oleh Orville sendiri di mana jentera tersebut mempunyai berat yang mencapai 600 pound.

Kembali semula ke Dayton, Ohio dam menghabiskan 2 tahun lagi untuk memperbaiki rekaan mereka dan pada penerbangan berikutnya iaitu pada 5 Oktober 1905 Flyer III dapat terbang selama 39 minit dengan jarak sejauh 24 batu dan menjadikan ia sebagai kapal terbang praktikal yang pertama.

Pesawat supersonik Concorde yang diberhentikan sejak tahun 2003.

Banyak lagi perkara yang akan dikupas mengenai keunikan kejayaan sejarah manusia dan penerbangan ini kerana ia merupakan antara rekaan yang membolehkan kepesatan manusia menjadi lebih pantas dan teknologi manusia semakin berkembang. Walaupun penerbangan komersial supersonik concorde telah dibatalkan pada 2003, namun begitu kemungkinan pesawat komersial berkelajuan tinggi akan diperkenalkan semula adalah tinggi.




Free Download



Arkib Blog