Memaparkan catatan dengan label tiruan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tiruan. Papar semua catatan

Ahad, 26 Jun 2016

Mengenali Lebih Dekat Tumbuhan Wasabi

Daun dan batang wasabi segar.

Wasabi (Eutrema japonicum atau Wasabia japonica) amat terkenal sebagai gandingan makanan Jepun iaitu sushi. Namun begitu oleh kerana pekembangan idustri makanan ini yang begitu pesat, wasabi yang digunakan kebanyakannya bukanlah dari jenis yang asli melainkan bahan gantian yang diperbuat untuk menggantikan wasabi. Jadi bagaimanakah wasabi sebenarnya, dan mengapa ia tidak dihidangkan bersama dengan sushi yang kita nikmati?

Wasabi berasal dari famili tumbuhan Brassicaceae yang juga termasuk kobis, horseradish dan mustard. Wasabi juga sebenarnya dikenali sebagai Japanese horseradish. Horseradish merupakan tumbuhan yang berbeza daripada wasabi, namun ia juga merupakan bahan utama yang digunakan untuk menggantikan wasabi – dengan erti kata lain, wasabi yang kita gunakan untuk sushi di pasaran diperbuat daripada bahan ini. Kedua-dua bahan ini menghasilkan rasa sengit yang amat kuat sehingga meruap ke bahagian hidung berbanding mulut dan lidah seperti cili.

Mengapa Wasabi Sukar Diperolehi?

Wasabi tumbuh berhampiran kawasan anak-anak air dan sungai di kawasan-kawasan lembah di Jepun. Tidak seperti tumbuhan lain, penanaman wasabi perlu dilakukan berhampiran punca air, namun begitu ia tidak ditanam di dalam air seperti teratai. Penggunaan wasabi pada asalnya adalah bertujuan untuk mengelakkan keracunan makanan daripada memakan ikan mentah – dan bukan kerana rasanya yang pedas. Ia dikatakan mula digunakan di daerah “Nara prefecture”, terletak di Selatan Jepun.

Bahagian yang digunakan pada wasabi adalah batangnya walaupun ramai yang menyangka ianya  adalah bahagian akar atau rizom. Ini kerana kesan daun yang ditinggalkan pada batang tersebut dapat dilihat dengan jelas sebelum ianya digunakan.

Penggunaan wasabi segar hanya disediakan apabila ia akan digunakan (dimakan). Ini bermakna ia akan diparut dan digunakan dalam tempoh 15 minit. Rasanya akan berubah selepas tempoh tersebut. Jadi penggunaan wasabi segar bukanlah mudah dan salah satu cara untuk mengekalkan kesegarannya adalah meletakkannya di antara nasi dan ikan bagi megelakkannya daripada terdedah.

Ladang wasabi di Jepun.

Wasabi yang dijual di dalam tiub.
Wasabi di pasaran dihasilkan menggunakan horseradish.

Daun dan bunga horseradish.

Wasabi Tiruan

Wasabi merupakan tumbuhan yang sukar ditanam selain mempunyai permintaan yang tinggi. Oleh sebab itu wasabi tiruan dihasilkan dengan menggunakan campuran horseradish, mustard, kanji dan bahan pewarna makanan – ia bagaimanapun tetap dilabelkan sebagai wasabi. Horseradish menghasilkan rasa sengit seperti juga wasabi kerana mengandungi bahan yang sama iaitu isothiocyanate. Perbezaan yang paling ketara antara kedua bahan ini adalah warnanya yang lebih terang berbanding wasabi yang mempunyai warna hijau semulajadi.

Wasabi Asli

Wasabi asli kini cuba ditanam di luar Jepun termasuklah di Amerika Utara seperti United States dan juga Canada. Usaha ini adalah kerana wasabi asli mempuyai nilai yang lebih tinggi, rasa yang lebih sedap dan daunnya juga boleh dimakan (dijadikan salad). Walaupun ianya berjaya ditanam, namun ia dikatakan sebagai antara tanaman yang paling sukar untuk ditanam secara komersial (terutama di luar habitat asalnya; Jepun). Harga wasabi segar boleh mencapai sehingga USD160 (£98) sekilogram pada harga borong – merupakan antara tanaman yang memberikan pulangan yang tinggi.

Menurut seorang penanam wasabi iaitu Mr Oates, yang berusaha selama beberapa tahun (6 tahun) hanya untuk mendapatkan benih wasabi yang boleh ditanam. Tumbuhan ini kemudiannya ditanam di dalam rumah hijau di University of British Columbia (UBC), Vancouver yang juga merupakan tempat dimana beliau bertugas.

Tanaman wasabi di Vancouver di dalam rumah hijau.

Wasabi segar mempunyai harga yang tinggi.

Daun wasabi juga enak dijadikan salad.

Cabaran menanam wasabi adalah ianya merupakan tumbuhan yang sensitif kepada kelembapan, penggunaan baja dan sebagainya. Tanaman ini boleh mati pada bila-bila peringkat dengan sebab-sebab yang sukar difahami. Malah ia juga mudah dijangkiti penyakit apabila ditanam dalam kuantiti yang besar. Sehingga hari ini, kaedah tanaman wasabi dapat dihasilkan dengan lebih baik tanpa masalah seperti sebelumnya.

Walaubagaimanapun penanaman wasabi juga memerlukan perbelanjaan yang besar sebelum ianya mendatangkan hasil. Namun begitu Mr Oates turut memberikan bantuan berkenaan dengan kaedah penanaman wasabi dengan pembelian lesen untuk mendapatkan kaedah tanaman ini pada harga $70,000. Manakala pebelanjaan tanaman ini pula adalah sekitar $700,000 untuk setiap ekar. Namun ianya merupakan satu pelaburan yang memberikan pulangan yang setimpal kerana bekalan wasabi amatlah sukar diperolehi.

Jadi sekarang anda tahu betapa pentingnya penggunaan teknologi dalam pertanian. Walaupun sukar ia tidak bermakna tidak boleh dilakukan. Cuma sejauh mana usaha anda menentukan samada ianya akan berjaya ataupun tidak. Bagi anda yang ingin merasai wasabi asli setakat ini mungkin perlu ke Jepun, kerana wasabi segar sukar didapati di luar negara tersebut. Bagi yang berminat cuba menanamnya pula, mulakanlah usaha anda; mungkin suatu hari nanti kita dapat merasa wasabi yang dihasilkan di Malaysia pula.






Free Download



Khamis, 18 Februari 2016

Bagaimana Mutiara Dibuat Oleh Tiram

Mutiara di dalam tiram.

Mutiara adalah sejenis bahan yang dihasilkan bukan sahaja oleh tiram sebenarnya, tetapi oleh kebanyakan hidupan yang sejenis dengan tiram. Proses pembentukan mutiara semulajadi adalah sukar ditemui. Maka hari ini mutiara yang dihasilkan adalah melalui industri penternakan tiram yang dipelajari sejak ribuan tahun dahulu.

Mutiara sebenarnya dihasilkan daripada ‘calcium carbonate’sama juga seperti bahan untuk menghasilkan cengkerang kulit-kulit hidupan tersebut. Lapisan ini digunakan untuk menyaluti bahan yang termasuk ke bahagian dalam tiram yang mungkin terdiri daripada benda asing seperti pasir dan bahan-bahan lain. Benda asing ini boleh mengakibatkan kecederaan pada bahagian lembut dalam tiram, maka ia akan disaluti dengan ‘nacre’ yang juga dikenali sebagai ‘mother of pearl’. Bahan ini dapat dilihat pada bahagian dalam kulit tiram mahupun hidupan bercengkerang yang lain.

Pelbagai jenis mutiara yang dihasilkan oleh hidupan.

Antara proses mengekstrak mutiara dari tiram.

Selain daripada digunakan untuk membuat bahan perhiasan, mutiara juga digunakan di dalam bahan kosmetik, ubat-ubatan dan juga cat. Manakala mutiara yang terdapat hari ini kebanyakannya adalah yang dihasilkan melalui industri penternakan tiram. Bagi memastikan tiram-tiram tersebut menghasilkan mutiara pula, benda asing dimasukkan ke dalam tiram untuk disaluti dengan ‘nacre’ dan menghasilkan mutiara.


Sejak sekian lama mutiara menjadi antara bahan beharga. Walaupun hari ini ia boleh didapati dengan lebih murah, ia masih lagi memerlukan tiram untuk menghasilkannya. 

Mahkota yang dihasilkan daripada mutiara asli.

Mutiara hitam dan tiram.


Free Download



Sabtu, 2 Mei 2015

Bolehkah Daging Sintetik Menggantikan Daging Asli

Lab-grown burger
Daging burger yang dibiakkan di dalam makmal. 

Penggunaan bahan makanan yang diproses secara makmal sememangnya telah lama dijalankan, malah usaha untuk menggantikan sumber bahan makanan tanpa memerlukan penternakan ataupun pertanian juga serupakan salah satu daripada usaha dalam mengatasi keperluan manusia yang semakin bertambah.

Walaupun mendapat pelbagai reaksi samada positif mahupun negatif, ia merupakan satu usaha penting dalam memastikan satu hari nanti manusia tidak akan keputusan bahan makanan ataupun daripada mengelakkan sebarang kemungkinan terhadap industri penternakan atau pertanian seperti wabak dan sebagainya.

Beyond Meat - chicken strips
Daging tiruan daripada tumbuh-tumbuhan.

Daging tiruan yang sebelum ini cuba dihasilkan daripada bahan tumbuh-tumbuhan sehingga ada diantaranya yang mendapat sambutan hebat seperti Beyond Meat, yang menghasilkan daging dengan tekstur yang menyerupai daging ayam. Oleh kerana ia dihasilkan dalam persekitaran yang terkawal (persekitaran industri makanan), maka ia mempunyai kadar khasiat yang sekata tanpa penggunaan bahan-bahan penggalak seperti hormon, bebas penyakit, bersih, kurang lemak dan segala perkara yang terlibat dalam industri penternakan ayam.

Namun begitu penghasilan makanan yang sememangnya daripada daging yang dibiakkan di dalam makmal juga telah berjaya dijalankan. Berbeza daripada daging yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan yang hanya mempunyai rasa dan tekstur seperti daging (Beyond Meat), daging tiruan ini mempunyai sel-sel haiwan yang sebenar dan dihasilkan tanpa mengorbankan walau seekor haiwan pun.

Lab-grown process
Process pembiakan sel memerlukan peralatan dengan kadar yang tinggi.

Walaupun kaedah penghasilan daging tiruan ini bukanlah satu perkara yang baru namun masih belum ada penghasilan secara komersial dilakukan. NASA telah melakukan eksperimen semenjak tahun 2001, menghasilkan daging secara in vitro daripada ayam belanda. Hasil pertama yang boleh dimakan dihasilkan oleh NSRT/Touro Applied BiosCience Research Consortium pada tahun 2002: iaitu penggunaan sel daripada ikan emas untuk menghasilkan fish fillets.

Manakala baru-baru ini daging burger yang dihasilkan sepenuhnya di dalam makmal oleh Dr. Mark Post dan kumpulannya di Maastricht University daripada sel stem yang diambil daripada lembu. Sel ini dibiakkan di dalam serum untuk menghasilkan 20,000 rantaian sel otot/daging. Ia mengambil masa beberapa minggu sebelum ia boleh dikumpulkan dan diwarnakan menggunakan jus daripada beetroot dan juga saffron, serdak roti dan juga bahan untuk melengkapkan nya menjadi seketul daging burger.

Penghasilan daging di dalam makmal ini masih lagi di peringkat baharu. Keseluruhan kajian penghasilan daging burger ini menelan belanja yang amat tinggi iaitu €250,000 (£215,000) dan ditaja oleh salah seorang daripada pengasas Google iaitu Sergey Brin.

Memandangkan industri penternakan yang semakin terhimpit dengan isu-isu seperti kaedah penternakan yang menyiksa haiwan; kandang yang sempit, kotor serta pengurusan yang tidak teratur. Ini ditambah lagi dengan isu-isu lain seperti penggunaan hormon, makanan yang tidak sesuai, antibiotik serta lain-lain perkara yang menyebabkan bahaya kepada pengguna. Malah industri penternakan memerlukan sumber tenaga, kawasan dan kos yang tinggi – dan pada masa akan datang mungkin menjadi satu masalah yang besar.


Mungkin apa yang diketengahkan oleh Sergey Brin itu merupakan beberapa perkara asas yang menjadi kerisauan pada orang ramai dalam masa yang sama penajaan beliau tersebut mungkin membolehkan kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang potensi daging tiruan ini. Walaupun masih ada yang tidak dapat menerima daging tiruan ini, kemungkinan ia menjadi sumber makanan utama di masa hadapan adalah amat besar.



Free Download




Arkib Blog