Sabtu, 2 Mei 2015

Bolehkah Daging Sintetik Menggantikan Daging Asli

Lab-grown burger
Daging burger yang dibiakkan di dalam makmal. 

Penggunaan bahan makanan yang diproses secara makmal sememangnya telah lama dijalankan, malah usaha untuk menggantikan sumber bahan makanan tanpa memerlukan penternakan ataupun pertanian juga serupakan salah satu daripada usaha dalam mengatasi keperluan manusia yang semakin bertambah.

Walaupun mendapat pelbagai reaksi samada positif mahupun negatif, ia merupakan satu usaha penting dalam memastikan satu hari nanti manusia tidak akan keputusan bahan makanan ataupun daripada mengelakkan sebarang kemungkinan terhadap industri penternakan atau pertanian seperti wabak dan sebagainya.

Beyond Meat - chicken strips
Daging tiruan daripada tumbuh-tumbuhan.

Daging tiruan yang sebelum ini cuba dihasilkan daripada bahan tumbuh-tumbuhan sehingga ada diantaranya yang mendapat sambutan hebat seperti Beyond Meat, yang menghasilkan daging dengan tekstur yang menyerupai daging ayam. Oleh kerana ia dihasilkan dalam persekitaran yang terkawal (persekitaran industri makanan), maka ia mempunyai kadar khasiat yang sekata tanpa penggunaan bahan-bahan penggalak seperti hormon, bebas penyakit, bersih, kurang lemak dan segala perkara yang terlibat dalam industri penternakan ayam.

Namun begitu penghasilan makanan yang sememangnya daripada daging yang dibiakkan di dalam makmal juga telah berjaya dijalankan. Berbeza daripada daging yang dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan yang hanya mempunyai rasa dan tekstur seperti daging (Beyond Meat), daging tiruan ini mempunyai sel-sel haiwan yang sebenar dan dihasilkan tanpa mengorbankan walau seekor haiwan pun.

Lab-grown process
Process pembiakan sel memerlukan peralatan dengan kadar yang tinggi.

Walaupun kaedah penghasilan daging tiruan ini bukanlah satu perkara yang baru namun masih belum ada penghasilan secara komersial dilakukan. NASA telah melakukan eksperimen semenjak tahun 2001, menghasilkan daging secara in vitro daripada ayam belanda. Hasil pertama yang boleh dimakan dihasilkan oleh NSRT/Touro Applied BiosCience Research Consortium pada tahun 2002: iaitu penggunaan sel daripada ikan emas untuk menghasilkan fish fillets.

Manakala baru-baru ini daging burger yang dihasilkan sepenuhnya di dalam makmal oleh Dr. Mark Post dan kumpulannya di Maastricht University daripada sel stem yang diambil daripada lembu. Sel ini dibiakkan di dalam serum untuk menghasilkan 20,000 rantaian sel otot/daging. Ia mengambil masa beberapa minggu sebelum ia boleh dikumpulkan dan diwarnakan menggunakan jus daripada beetroot dan juga saffron, serdak roti dan juga bahan untuk melengkapkan nya menjadi seketul daging burger.

Penghasilan daging di dalam makmal ini masih lagi di peringkat baharu. Keseluruhan kajian penghasilan daging burger ini menelan belanja yang amat tinggi iaitu €250,000 (£215,000) dan ditaja oleh salah seorang daripada pengasas Google iaitu Sergey Brin.

Memandangkan industri penternakan yang semakin terhimpit dengan isu-isu seperti kaedah penternakan yang menyiksa haiwan; kandang yang sempit, kotor serta pengurusan yang tidak teratur. Ini ditambah lagi dengan isu-isu lain seperti penggunaan hormon, makanan yang tidak sesuai, antibiotik serta lain-lain perkara yang menyebabkan bahaya kepada pengguna. Malah industri penternakan memerlukan sumber tenaga, kawasan dan kos yang tinggi – dan pada masa akan datang mungkin menjadi satu masalah yang besar.


Mungkin apa yang diketengahkan oleh Sergey Brin itu merupakan beberapa perkara asas yang menjadi kerisauan pada orang ramai dalam masa yang sama penajaan beliau tersebut mungkin membolehkan kita mengetahui dengan lebih lanjut tentang potensi daging tiruan ini. Walaupun masih ada yang tidak dapat menerima daging tiruan ini, kemungkinan ia menjadi sumber makanan utama di masa hadapan adalah amat besar.



Free Download




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog