Jumaat, 3 Jun 2016

Permainan-Permainan Menarik Minat Anak Anda Kepada Sains

Minat kanak-kanak mudah diransang dengan peralatan yang betul.

Sepertimana kita ketahui permainan dan kanak-kanak bagaikan tidak dapat dipisahkan. Walaupun adakalanya permainan menjadikan kanak-kanak leka dan terlupa kepada pelajaran mereka, permainan juga bole melakukan sebaliknya. Walaupun tajuk kita merujuk kepada minat kepada sains, ia juga boleh merujuk kepada sebarang minat yang memberikan hasil yang lebih positif kepada anak-anak anda.

Mengapa Permainan Melekakan?

Kebanyakan permainan direka bertujuan untuk mengisi masa lapang selain menguji keupayaan mental mahupun fizikal seseorang. Namun sekiranya ia tidak dilakukan dengan betul (tanpa memenuhi objektif permainan), inilah yang menyebabkan permainan tersebut hanya melekakan dan tidak mendatangkan faedah yang positif (melainkan sekadar mengisi masa lapang).

Bagi memastikan permainan dapat merangsang daya pemikiran anak-anak anda  apa yang anda perlu lakukan adalah mengenali sesuatu permainan tersebut  sebelum memberikannya kepada anak anda. Ini tidak bemakna, ianya adalah permainan pilihan anda (anda hanya mengenali permainan kegemaran mereka dan bagaimanakah ianya boleh mendatangkan kesan positif kepada mereka).

Anda juga digalakkan bermain bersama dengan mereka bagi membincangkan objektif permainan supaya mereka memahaminya dengan lebih baik. Ia boleh dilakukan tanpa menghilangkan keseronokan bermain. Malah, ia akan menjadikan permainan lebih efektif dalam mencapai kualiti permainan terbaik. Adakalanya anda boleh bersama-sama mencari objektif permainan ini dengan mereka – dan ini memberikan mereka peluang meluahkan pendapat.

Pemantauan ibubapa memastikan permainan memberikan impak yang labih berkesan.

Berikut adalah beberapa contoh permainan dan bagaimana anda boleh menjadikan ianya lebih baik.

Lego – Lego merupakan permainan senibina (construction) yang adakalanya menguji kreativiti dan kesabaran. Ia mengajar anak anda untuk membuat perancangan, menyusun setiap blok Lego menjadi sebagaimana pelan yang cuba dihasilkan. Bincangkan pelan tersebut dan berilah peluang anak anda mencubanya sebelum memberikan pertolongan untuk membina satu-satu rekabentuk.

Kanta Pembesar – Ia merupakan permainan yang paling ringkas, namun boleh memberikan impak yang sangat besar. Ini kerana pada kanta pembesar mempunyai ciri-ciri tersendiri yang perlu diterangkan dengan baik (berkenaan sains dan optik). Namun begitu penjelasan ini boleh dilakukan secara berperingkat-peringkat. Terangkan bagaimana cahaya dibengkokkan oleh kanta pembesar yang membolehkan objek kelihatan lebih besar. Anda juga perlu menjelaskan bahaya kanta pembesar yang boleh mengakibatkan kebakaran. Ia juga mempunyai kaitan dengan beberapa peralatan yang lain seperti mikroskop dan teleskop.

Globe dapat memberikan gambaran kedudukan geografi sesuatu kawasan.

Globe – Mungkin bukan merupakan sebuah permainan. Namun globe dapat menerangkan kedudukan geografi sesuatu tempat di bumi. Ia juga memberikan gambaran awal kepada anak anda mengenai perbezaan kawasan-kawasan di muka bumi. Pemahaman ini akan berkembang mengikut masa, namun globe merupakan pencetus keinginan kembara di peringkat awal.

Satu lagi permainan yang memerlukan kreativiti dan kemahiran.

Play Doh (clay) – Satu lagi permainan yang membangkitkan kreativiti mereka sesuatu pada anak anda. Ia juga melatih mereka menggunakan kemahiran tangan mereka dalam membentuk play-doh menjadi sepertimana yang diinginkan. Mulakan dengan membentuk objek-objek yang mudah sehingga kemahiran membentuk objek yang lebih kompleks tercapai. Anda boleh menarik minat mereka dengan membina karektor kegemaran mereka, objek-objek yang dilihat daripada alam mahupun kenderaan dan bangunan.

Mewarna melatih daya fokus dan ketekunan.

Buku Mewarna – Juga merupakan aktiviti yang melatih kemahiran melihat dan menyalin (meniru) semula ke dalam buku mewarna. Adakalanya ia juga boleh ditambah dengan sedikit kreativiti dan imaginasi anak-anak anda sendiri. Ia juga melatih kemahiran anak-anak anda menggunakan jari dan tangan mereka untuk menghasilkan sesuatu – iaitu salah satu ciri yang penting bagi menghasilkan kerja-kerja kreatif seperti melukis, mengukir, menjahit, menyulam, menganyam dan bermacam-macam lagi.

Chess melatih kanak-kanak mengatur strategi.

Catur (Chess) – Permainan catur memerlukan kemahiran berfikir yang lebih kompleks. Namun ia merupakan permainan strategi yang amat baik dimulakan pada usia yang muda. Permainan chess dapat melatih seseorang untuk membuat kiraan beberapa langkah dan membuat andaian gerakan lawan. Ini merupakan satu proses yang memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi.

Permainan magnet mengungkap pelbagai keajaiban dunia sains.

Magnet – Magnet merupakan satu lagi permainan yang penting untuk anak anda. Mengenali magnet sebagai pengenalan kepada bahan yang digunakan dalam kebanyakan peralatan di dalam rumah anda. Magnet juga mempunyai hubungan rapat dengan elektromagnet dan tenaga elektrik. Jadi permainan magnet antara permainan terpenting dalam memberikan pengenalan kepada bagaimana elektrik dihasilkan.

Peralatan muzik berfungsi melalui getaran gelombang bunyi.

Peralatan Muzik – Walaupun ianya adalah peralatan muzik mainan, anda boleh menekankan mengenai bagaimana perbezaan gelombang bunyi (frekuensi) menghasilkan bunyi yang berbeza-beza. Ia juga membawa kepada perbezaan bunyi mengikut peralatan yang dimainkan. Ini boleh menerangkan lagi bagaimana daya pendengaran manusia berbeza daripada daya pendengaran sesetengah hidupan yang lain. Muzik juga merupakan salah satu cabang seni yang memperkembangkan kreativiti.


Kebanyakan permainan direka untuk meransang daya pemikiran atau direka berdasarkan sesuatu prinsip ilmu yang perlu difahami. Anak-anak anda mungkin tidak mampu menghuraikannya sendiri. Maka bantuan anda boleh membantu mereka dalam mendapatkan manfaat yang optimum hasil daripada permainan tersebut. Sekiranya anda tidak memahaminya, usahakanlah mencari jawapan kerana anda juga belum terlambat untuk belajar.



Free Download



Mengenali Siput Dengan Lebih Dekat

Siput, banyak lagi yang perlu kita ketahui.

Siput sejenis haiwan yang bergerak perlahan dan tidak mempunyai kaki dan mempunyai cengkerang. Siput terdiri daripada sekumpulan hidupan yang besar merangkumi siput darat, siput air tawar dan juga siput air masin. Kumpulan ini menjadi lebih besar sekiranya ianya merangkumi kumpulan besarnya yang dikenali sebagai Gastropoda iaitu salah satu daripada kumpulan di dalam kumpulan Moluska (molluscs). Walaupun siput adakalanya dianggap sebagai haiwan perosak, namun siput juga mempunyai banyak kepentingan kepada kehidupan manusia.

Siput merupakan antara sumber makanan penting kepada manusia sejak zaman dahulu lagi daripada tinggalan yang ditemui di gua-gua. Siput sungai dan sebahagian lagi siput paya bakau dan juga siput laut menjadi sebahagian sumber makanan manusia sehingga ke hari ini. Selain daripada menjadi sumber makanan, siput juga adakalanya menjadi sebagai matawang dan sebagai barang perhiasan.

Terdapat pelbagai jenis siput yang tidak kita kenali.

Giant African Snail, siput darat terbesar.

Syrinx aruanus, siput yang paling besar.

Walaupun kebiasaannya hanya siput-siput air yang menjadi makanan, siput-siput darat juga turut menjadi sumber makanan di beberapa negara lain. Makanan berasaskan siput ini paling terkenal di Perancis dan antara hidangan terkenal adalah Escargot à la Bourguignonne. Malah siput-siput untuk tujuan makanan ini adalah diternak bagi memastikan ianya dapat membesar dengan baik selain mengelakkan siput daripada tercemar (dengan bahan makanan beracun ataupun jangkitan). Selain dari Perancis, siput darat juga terkenal sebagai hidangan di Philippines, Morocco, Nigeria, Algeria, Cameroon, Italy, Portugal, Greece, Bulgaria, Belgium, Vietnam, Laos, Cambodia, Cyprus, Ghana, Malta, Nepal, Barat Daya China, Timur Laut India di Manipur, Tripura dan beberapa bahagian di United States. Siput darat juga menjadi hidangan di beberapa bahagian di Indonesia samada digoreng sebagai satay atau masakan yang dikenali sebagai sate kakul.

Selain daripada sebagai makanan, siput juga berguna di dalam penghasilan krim penjagaan kulit. Siput dari jenis Cornu aspersum menghasilkan cecair yang mempunyai nilai perubatan dalam merawat beberapa masalah kulit seperti kedutan, parut, kulit kering dan juga acne. Ini kerana cecair yang dihasilkan oleh siput ini mengandungi aktiviti anti-oksidan seperti Superoxide dismutase dan Glutathione S-transferase (GSTs). Krim daripada siput ini semakin mendapat perhatian di beberapa bahagian dunia samada di Barat (US) mahupun Timur (Korea).

Terdapat banyak spesis siput dan di Australia sahaja terdapat sekitar 3,000 jenis siput darat dan jumlah ini tentu lebih besar sekiranya digabungakan dengan jenis-jenis siput dari kawasan lain. Selain makanan siput juga turut dijadikan sebagai haiwan kesayangan seperti Giant African Snail. Manakala siput cowrie pula terkenal dijadikan sebagai matawang dan juga sebagai sebahagian bahan hiasan kerana mempunyai kulit yang cantik dan berkilat.

Rawatan kecantikan menggunakan siput.

Masakan Perancis daripada siput.

Makanan siput dari Asia.

Namun disebalik pergerakan siput yang perlahan, sejenis siput yang dikenali sebagai siput ‘cone’ adalah sangat beracun dan mampu membunuh manusia melalui sengatnya. Dari kumpulan siput cone sahaja terdapat lebih daripada 600 spesis yang terdapat di sekitar kawasan Barat Indo-Pacific, dan beberapa spesis lagi di sekitar Afrika Selatan, Medditerranean dan juga Selatan California.

Manakala siput terbesar pula adalah Syrinx aruanus atau lebih dikenali sebagai Australian trumpet atau false trumpet yang merupakan sejenis siput laut yang mampu menjangkau saiz sehingga 91 cm panjang dan berat sehingga 18 kilogram. Walaupun ia terkenal kerana saiznya yang besar, sifat sebenar siput ini masih lagi kurang difahami kerana kurang penyelidikan dilakukan ke atasnya.

Walaupun siput merupakan haiwan perosak, namun banyak lagi perkara yang masih kurang difahami mengenainya. Siput yang dikenali oleh kita adalah terlalu sedikit berbanding jumlahnya yang terlalu banyak. Maka banyak lagi kebaikan siput yang masih belum kita terokai dan tidak sepatutnya kita abaikan. Semoga dengan ini kita akan mempunyai pandangan berbeza terhadap hidupan unik ini dan mengelakkan ianya mengalami kepupusan.



Free Download



Rabu, 1 Jun 2016

Fenomena Sains Menarik Di Dalam Bebola Plasma

Bebola plasma menghasilkan plasma pelbagai warna.

Mungkin ramai yang masih mengingati bebola plasma yang sangat popular beberapa tahun kebelakangan dahulu yang mempamerkan fenomena indah aliran plasma berwarna warni dari pusat bebola tersebut ke dinding bebola kaca yang melindunginya. Disebalik keindahan aliran plasma ini, tersimpan kaedah yang membolehkan ianya dilihat berbanding kebiasaannya plasma tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Plasma merupakan salah satu keadaan unsur daripada pepejal, cecair dan gas. Plasma merupakan gas panas ter-ion yang mengandungi kuantiti ion ber-cas positif dan elektron ber-cas negatif pada jumlah yang sama. Plasma boleh dihasilkan melalui pemanasan gas atau menggunakan medan magnet yang kuat, dilakukan menggunakan laser ataupun penjana gelombang  mikro. Proses ini akan mengurang atau meningkatkan jumlah elektron mewujudkan zarah-zarah bercas positif ataupun negatif yang dipanggil ion, ia akan diikuti oleh penceraian ikatan molekul, sekiranya ada.

Plasma salah satu bentuk unsur yang jarang diberi penekanan.

Bebola plasma lebih popular sebagai hiasan.

Bebola plasma atau juga dipanggil sebagai ‘plasma ball’,‘plasma globe’, ‘plasma lamp’, ‘plasma dome’ atau ‘plasma sphere’ merupakan bebola kaca lutsinar yang diisi dengan campuran beberapa gas nadir (noble gasses) dengan elektrod bervoltan tinggi di tengah-tengahnya. Jaluran plasma akan mengunjur dari elektrod ke dinding kaca apabila elektrik dialirkan menghasilkan warna-warna yang menarik.

Bebola plasma yang pertama adalah dihasilkan oleh pereka terkenal Nikola Tesla semasa melakukan eksperimen untuk arus elektrik pada frekuensi tinggi di dalam tube kaca vakum pada tahun 1894. Tesla menggunakan lampu dari jenis ‘incandescent’ yang berbentuk bulat di mana di tengah-tengahnya pula diletakkan satu elemen pengalir yang dialirkan dengan voltan tinggi dihasilkan daripada ‘Tesla coil’, yang kemudiannya menghasilkan jejalur discas.

Bebola plasma moden dihasilkan semula oleh Bill Parker menggunakan campuran gas-gas yang tidak dapat digunakan pada masa Nikola Tesla. Gas-gas yang digunakan termasuklah xenon, krypton dan neon termasuk beberapa gas yang lain. Malah bebola plasma turut menggunakan bekas yang pelbagai bentuk selain turut dilengkapi dengan litar elektronik bagi menghasilkan cahaya dengan pelbagai warna dan ragam pergerakan plasma yang lebih kompleks.

Matahari juga terdiri daripada plasma.

Kilat juga merupakan plasma.

Aurora satu lagi bentuk plasma.

Bebola plasma menggunakan voltan tinggi dan menghasilkan aliran plasma bercas; ianya selamat tetapi anda perlulah berhati-hati. Walaupun ianya jarang berlaku, kejutan elektrik yang rendah mungkin boleh berlaku. Gelombang radio yang digunakan oleh bebola plasma juga boleh mengganggu peralatan-peralatan elektronik yang lain seperti komputer, telefon bimbit dan lain-lain. Malah sesetengahnya mungkin boleh memberi kesan yang lebih kuat berbanding yang lain.


Namun begitu bebola plasma merupakan sebuah instrument penting di dalam pendidikan (fizik) dalam mengenal satu lagi bentuk unsur yang jarang diberikan penekanan sebelum ini. Adalah dengan pengenalan ini, ianya sedikit sebanyak akan menambah minat anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai plasma dan bagaimana ianya boleh mendatangkan manfaat kepada kehidupan manusia.

Jaluran plasma pada bebola plasma.


Free Download



Selasa, 31 Mei 2016

Sains Disebalik Lava Lamp

Lava Lamp menyimpan rahsia sains yang unik.

Tiada apa yang menarik pada Lava Lamp sekiranya anda melihatnya sebagai sebuah lampu. Namun pada penciptaan ‘Lava Lamp’ ini tersimpan prinsip sains yang membolehkan ianya direka sedemikian rupa. Ia adalah berasaskan prinsip sains yang ringkas namun memerlukan sedikit ketelitian bagi memastikan ‘Lava Lamp’ yang dihasilkan memberikan hasil yang memuaskan.

‘Lava Lamp’ direka pada tahun 1963 oleh seorang accountant British iaitu Edward Craven Walker yang juga merupakan pengasas kepada syarikat Mathmos yang mengeluarkan lampu. Keunikan ‘Lava Lamp’ adalah ia mengandungi cecair bewarna yang akan turun dan naik di dalam satu lagi cecair lutsinar yang membolehkan ia diterangi oleh cahaya lampu di bawahnya.

Mungkin ramai yang mengetahui bahawa, lampu yang berada di bahagian bawah ‘Lava Lamp’ memanaskan cecair bewarna dan membolehkan ianya naik ke bahagian atas dan turun semula apabila ianya menyejuk. Walaupun ini adalah benar, namun kesesuaian cecair yang digunakan perlulah tepat bagi memastikan konsep rekaan ‘Lava Lamp’ boleh dicapai.

Terdapat pelbagai rekaan lampu 'Lava Lamp'.

Pergerakan cecair di dalam 'Lava Lamp' disebabkan haba dari lampu.

Dalam rekaan ‘Lava Lamp’ dua cecair berbeza yang digunakan perlu mempunyai ketumpatan yang hampir sama, namun begitu ia juga tidak boleh larut di antara satu sama lain. Walaupun air dan minyak tidak boleh larut antara saru sama lain, namun ketumpatannya adalah terlalu jauh berbeza, jadi ianya tidak sesuai digunakan. Antara cecair yang digunakan antaranya termasuklah air dan juga cecair tanpa warna, tembus cahaya, atau cecair legap daripada gabungan minyak mineral, lilin parafin dan juga  carbon tetrachloride. Kebiasaannya cecair-cecair ini diwarnakan mengikut kesesuaian.

Hari ini Lava Lamp dihasilkan menggunakan cecair yang berbeza-beza mengikut pengeluar malah ia juga turut dihasilkan oleh individu sebagai hobi. Cecair carbon tetrachloride juga tidak digunakan lagi kerana ianya adalah toksid yang boleh mendatangkan bahaya kepada manusia. Malah cecair yang digunakan untuk menghasilkan Lava Lamp juga biasanya menjadi sebahagian rahsia bagi pengeluar-pengeluar yang menghasilkan ‘Lava Lamp’.

Lampu yang digunakan untuk memanaskan cecair di dalam ‘Lava Lamp’ juga adalah penting bagi menentukan masa yang diambil untuk cecair menjadi panas dan bergerak ke bahagian atas lampu. Kebiasaannya lampu pijar berkuasa 25 ke 40 watt digunakan. Ia akan mengambil masa sekitar 45 – 60 minit untuk memanaskan cecair lilin sebelum ianya mampu bergerak ke bahagian atas lampu. Namun begitu, suhu persekitaran juga turut mempengaruhi masa pemanasan ini.

'Lava Lamp' turut dihasilkan oleh peminat hobi.

Pergerakan cecair di dalam 'Lava Lamp'.

Penggunaan lampu ini juga penting, kerana selain memastikan masa yang diperlukan untuk memanaskan cecair di dalam ‘Lava Lamp’ ia juga perlu mengelakkan suhu yang terlalu panas dan menyebabkan lampu pecah/meletup. Jadi pastikan anda tidak menggantikan lampu di dalam ‘Lava Lamp’ dengan lampu yang lain untuk mempercepatkan pemanasannya.


Pergerakan proses pemindahan haba ini berlaku secara perlahan dan menyebabkan ‘Lava Lamp’ merupakan satu proses yang mengambil masa agak lama untuk diperhatikan. Ia mungkin tidak menarik minat semua orang, namun setelah mengetahui akan ‘misteri’ disebalik rekaannya ini, adalah diharap ia tidak lagi dipandang hanya sekadar sebuah lampu hiasan.


Free Download



Isnin, 30 Mei 2016

Lego Permainan Pembinaan Paling Terkenal di Dunia

Kepingan-kepingan asas Lego yang membentuk pelbagai objek.

Lego merupakan permainan pembinaan yang paling terkenal di dunia kerana keunikannya berfungsi. Ia direka oleh seorang tukang kayu bernama Ole Kirk Christiansen (1891–1958) dari Billund, Denmark pada tahun 1932. Boleh dikatakan semua generasi hari ini mengenali Lego walaupun kebanyakan kita tidak pernah bermain dengan Lego yang sebenar.

Lego diminati oleh kerana keupayaannya berfungsi untuk menghasilkan pelbagai bentuk mengikut krativiti pemain. Walaupun hari ini terdapat keluaran yang hanya boleh membentuk model-model tertentu, kepingan lego asal, masih diminati dalam membentuk objek-objek tanpa had. Melalui pelbagai perubahan dalam bidang perniagaan permainan ini, Lego turut membuka taman temanya sendiri. Sehingga kini terdapat 6 taman tema di serata dunia dan satu daripadanya adalah di Nusajaya, Malaysia. Sehingga July 2015, kira-kira 600 billion bahagian Lego telah dihasilkan. Pada Februari 2015 juga Lego menggantikan Ferrari sebagai “jenama paling terkenal di dunia” oleh Brand Finance.

Lego berasal daripada permainan kayu yang mula dihasilkanpada tahun 1932 yang menggunakan nama asal  "Automatic Binding Bricks" dan di patentkan di United Kingdom pada tahun 1939 dan mula dipasarkan pada tahun 1947. Rekabentuk ini kemudiannya diubahsuai mengikut sample yang dihasilkan oleh pengeluaran menggunakan mesin ‘injection-molding’, yang kemudiannya dibeli oleh Lego. Kepingan Lego kemudiannya dihasilkan menggunakan ‘cellulose acetate’.

Hari ini Lego mempunyai bentuk yang pelbagai.

Lego boleh membentuk sebuah replika bandar.

Lego mempunyai moto yang amat menarik iaitu “det bedste er ikke for godt”, yang bermaksud “hanya yang terbaik adalah terbaik” atau boleh juga membawa maksud “yang terbaik masih belum terlalu baik”. Moto yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini diasaskan oleh Ole Kirk untuk menggalakkan para pekerjanya supaya tidak mengurangkan kualiti barangan mereka. Sehingga tahun 1951, barangan permainan plastik merupakan separuh daripada bahan yang dihasilkan oleh Lego yang pada masa itu barangan plastik dikira sebagai barangan yang kurang sesuai untuk peralatan permainan kanak-kanak.

Menjelang 1954, pengurusan Lego mula diambil alih oleh anak kepada  Christiansen iaitu  Godtfred yang juga merupakan bermulanya pengembangan empayar Lego ke pasaran luar. Beberapa pembaharuan dilakukan bagi menjadikan Lego lebih mudah untuk dipadankan (menjadi bentuk-bentuk yang lebih versatile). Pada tahun 1958, Lego mempunyai bentuk modennya namun ianya mengambil masa kira-kira 5 tahun lagi untuk Lego menggunakan material yang lebih baik iaitu polimer ABS (acrylonitrile butadiene styrene). Lego moden kemudiannya dipatentkan pada 28 Januari 1958.

Selain daripada itu Lego juga memperkenalkan Lego Duplo pada tahun 1969 iaitu dengan rekaan yang lebih besar sehingga 2 kali ganda saiz Lego asal untuk menyasarkan kepada golongan kanak-kanak yang masih kecil. Rekabentuk manusia kecil pula mula diperkenalkan pada tahun 1978 yang kemudiannya terus menjadi sebahagian daripada pelengkap kepada set-set Lego yang berikutnya.

Rivendell daripada Lego.

Antara model-model besar daripada Lego.

Lego dikenali kerana permainan ini membolehkan kanak-kanak menerokai potensi kemahiran mereka dalam bidang pembinaan, kreativiti, kognitif dan sebagainya. Boleh dikatakan kebanyakan dari kita mengenali Lego (walaupun ramai juga yang tidak pernah menyentuhnya). Lego bukan sahaja menjadi permainan kanak-kanak malah ia juga melangkaui fungsi asalnya dan menjadi sebahagian daripada kebanggaan masyarakat dunia.

Pada May 2011, Lego menyertai kapal angkasa  Space Shuttle Endeavour, misi STS-134 bersama 13 set Lego menuju ke International Space Station dalam mengkaji kesan mikro-graviti ke atas model yang dihasilkan. Keputusan kajian ini kemudiannya akan dikongsikan bersama dengan sekolah-sekolah sebagai salah sau program pendidikan.

Pada May 2013 pula model terbesar yang dihasilkan menggunakan Lego di pamerkan di New York menggunakan 5 juta Lego untuk menghasilkan saiz sebenar 1:1 model kapal  X-wing fighter. Selain daripada itu Lego juga pernah menghasilkan menara 112 kaki dan landasan keretapi sejauh 4 km (2.5 mi.).

Lego sentiasa menghasilkan keluaran-keluaran terbaru bersesuaian dengan peredaran masa. Malah Lego mempunyai kawalan mutu yang ketat di mana mesin yang menghasilkan kepingan-kepingan Lego hanya mempunyai kadar tolerans sebanyak ± 10 mikrometer sahaja. Ini adalah untuk memastikan setiap kepingan dapat dicantumkan dengan sempurna dan boleh pula ditanggalkan semula.

Perkembangan permainan Lego ini adalah kerana usaha berterusan Lego yang bukan sahaja menghasilkan kualiti barangan yang bermutu malah sentiasa menghasilkan barangan baru yang berdaya saing. Ia juga tidak memandang rendah kemampuan pesaing-pesaingnya. Lego mempunyai kakitangan rekabentuk seramai 120 orang yang terletak di beberapa kawasan seperti di UK, Spain, German dan Japan.

X wing figther yang dihasilkan menggunakan Lego.

Satu daripada 6 Legoland di dunia.

Selain daripada penghasilan permainan dan aktif dalam promosi penghasilan model-model terbesar dan sebagainya. Lego juga mempunyai filem-filem, video games, board games dan pelbagai lagi bidang yang menjadikan ia sentiasa dikenang. Malah hari ini Lego turut menghasilkan “theme park” nya sendiri di beberapa kawasan iaitu yang pertamanya di  Billund, Denmark; yang keduanya terletak di  Windsor, England; yang ketiga dibina di Günzburg, Germany; yang ke-empat adalah di Carlsbad, California; yang kelima pula adalah di  Winter Haven, Florida; dan yang ke-enam terletak di Nusajaya, Malaysia.


Begitulah seba sedikit mengenai keunikan sejarah mengenai permainan yang paling terkenal di dunia iaitu Lego. Bagi mereka yang mampu, bolehlah menjadikan Lego sebagai sebahagian permainan untuk anak-anak mereka atau sebahagian daripada aktiviti keluarga. Ia merupakan antara permainan yang terbukti memberikan banyak kebaikan kepada kanak-kanak dalam membentuk perkembangan yang positif.


Free Download



Arkib Blog