Sunday, August 12, 2012

Kain Pelikat Pakain Selesa Masyarakat Serata Dunia


Kain pelikat merupakan antara kelengkapan harian yang biasa bagi kita Orang Melayu. Malah di negara kita Malaysia, kain ini turut dipakai oleh bangsa-bangsa lain juga. Mungkin tidak ramai antara kita yang menyangka banyak lagi masyarakat di dunia yang lain turut memakai kain pelikat dalam kehidupan seharian mereka. Artikel saya kali ini menampilkan kain pelikat bersempena hari raya yang hampir tiba dan teringatkan kain pelikat yang sering saya jadikan sebagai 'cenderahati' untuk hari yang istimewa ini. Mungkin pemakaian kain pelikat tidak se 'gah' pakaian berjenama yang lain, tetapi dapat menampilkan ciri-ciri keunikan nilai budaya yang tinggi.




Kain pelikat sememangnya selesa dipakai kerana ianya memudahkan pergerakan. Keadaan kain yang hanya diikat di bahagian atas kain menjadikan si pemakai merasa lebih sejuk kerana aliran udara yang lancar. Bagi kain pelikat yang dibuat menggunakan benang yang bermutu pula keselesaannya lebih terasa disamping kain kelihatan lebih menarik. Terdapat banyak variasi dari segi corak dan bahan buatan kain yang lebih dikenali sebagai 'sarong' ini.

Bagi kita hari ini kain pelikat mungkin hanya dipakai di rumah atau semasa ke masjid/ surau ketika menunaikan sembahyang. Malah bagi sesetengah orang memakai kain pelikat ketika tidur merupakan satu kemestian untuk mendapatkan keselesaaan. Saya juga tidak lupa membawa sehelai kain pelikat setiap kali melancong ke mana-mana. Kain pelikat juga pernah saya berikan sebagai hadiah kepada teman-teman yang berasal dari luar negara sebagai tanda pertukaran budaya.

Seorang tua Somalia memakai pelikat
Kain pelikat sebenarnya bukan hanya digunakan oleh masyarakat kita Orang Melayu sahaja malah popular di kalangan orang India, Bangladesh, Sri Lanka, Yaman dan Somalia. Mungkin perbezaannya hanya sedikit iaitu dari segi corak dan tenunannya sahaja. Ini kerana rata-rata kain pelikat diperbuat daripada benang kapas. Bagi masyarakat lain seperti di India dan Sri Lanka, kain pelikat turut dipakai sewaktu melakukan aktiviti seharian.

Begitulah hebatnya kain pelikat sebenarnya. Hari ini kain pelikat dipelbagaikan dengan ciri-ciri yang lebih menarik seperti tenunan dan bahan (benang kapas) yang lebih istimewa. Bagi kain pelikat yang berkualiti tinggi, kainnya lebih nipis dan ringan tetapi lebih berkilat. Kainnya juga tidak mudah berbulu setelah digunakan beberapa tahun lamanya. Terdapat juga kain yang agak licin dan berat menjadikannya nampak lebih lurus dan menarik. Jadi, pengguna kain pelikat hari ini sememangnya mempunyai banyak pilihan dalam rangkaian fesyen kain pelikat sahaja.

Memandangkan saya telah menulis artikel mengenai kain pelikat ni, saya teringat yang tahun ini saya masih lagi belum membeli kain pelikat untuk hari raya. InsyaAllah saya akan cuba cari kain pelikat yang istimewa untuk saya sendiri.

Free Download



No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...