Ahad, 16 Februari 2014

Makanan Tradisi dari Buah-buahan dan Daun-daunan III

Pucuk Ubi
Pucuk Ubi sayuran terkenal masyarakat Melayu.

Makanan daripada buah-buahan dan daun-daunan merupakan satu tajuk yang penting kerana sumber makanan sentiasa menjadi topik utama dalam perbincangan harian yang merujuk kepada bahan yang boleh dijadikan makanan. Bagi ketegori buah-buahan telahpun diperbincangkan dalam tajuk yang sebelumnya maka kali ini kita akan melihat pula ketegori daun-daunan.

Dalam artikel kali ini kita akan melihat daun-daunan yang biasanya dimasak sebagai bahan utama dalam masakan. Daun-dauan ini juga dikenali sebagai sayuran dalam bahasa kita. Sayuran yang biasanya terdapat di pasar-pasar adalah dari ketegori sayuran moden (ditanam secara besar-besaran) dan ada juga sayur-sayuran kampung yang boleh didapati tumbuh secara meliar atau ditanam secara kecil-kecilan.


Pucuk Ubi


Pucuk ubi tekenal kerana daun tumbuhan ini boleh dijadikan sebagai bahan masakan yang menyelerakan. Selain daripada ianya boleh dipelbagaikan, daun ubi amat popular dijadikan sebagai hidangan sementara menunggu ubi menghasilkan ubinya dalam usia kira-kira 8 bulan.

Daun ubi kayu juga dikenali sebagai pucuk ubi, popular sebagai masakan asas atau sebagai bahan campuran. Terdapat juga masakan yang menggunakan pucuk ubi sebagai bahan sampingan seperti 'sambal daun kayu' yang amat diminati ramai. Pucuk ubi juga popular sebagai ulaman iaitu daun ubi celur yang dihidangkan bersama-sama dengan sambal.

Pucuk Paku

Pucuk Paku
Pucuk Paku tumbuh subur di kawasan berpaya.

Pucuk paku pula jarang ditanam melainkan ianya tumbuh meliar di kawasan-kawasan berpaya. Tumbuhan unik ini juga merupakan salah satu sayuran yang amat popular kerana ianya boleh dipelbagaikan dalam pelbagai bentuk hidangan. Sebagai bahan utama pucuk paku boleh disediakan sebagai 'goreng pucuk paku', 'masak lemak' dan juga kerabu. Ia juga sering dicampurkan dengan bahan utama yang lain seperti ikan ataupun ayam.

Sebagai ulaman pucuk paku juga boleh disediakan sebagai pucuk paku celur. Sesuai dengan namanya bahagian yang digunakan untuk masakan adalah bahagian daun yang muda kerana daunnya yang lembut serta rasanya yang tidak pahit.

Pucuk Labu/ Pucuk Kundur

Pucuk Labu
Pucuk Labu juga merupakan sayuran yang enak.

Sama seperti buah labu, daun labu juga boleh digunakan dalam masakan. Apa yang bebeza penyediaan pucuk labu memerlukan kemahiran bagi mengurangkan miang daun yang terdapat pada daun tumbuhan tersebut. Pucuk labu amat popular sebagai 'masak lemak pucuk labu', walaupun ianya boleh juga digunakan dalam bentuk masakan yang lain.

Kangkung

Kangkung
Kangkung sayuran mudah disediakan untuk masakan.

Terdapat dua jenis kangkung yang popular. Iaitu kangkung yang ditanam secara komersil dan juga kangkung yang tumbuh secara meliar yang juga dikenali sebagai 'kangkung paya'. Kangkung paya lebih sedap kerana mempunyai daun dan batang yang tebal. Kangkung paya tumbuh di gigi air di kawasan berpaya atau pinggir sungai dengan arus yang perlahan.

Kangkung sesuai digunakan untuk masakan 'goreng' juga boleh digunakan sebagai masakan biasa dan sebagai bahan capuran masakan. Digunakan juga sebagai bahan campuran menyediakan 'nasi goreng' sama seperti sayur sawi. Kangkung juga amat sesuai dijadikan sebagai 'kangkung' celur untuk ulaman.

Pegaga

Pegaga
Pegaga baik sebagai ulam-ulaman.

Pegaga popular sebagai bahan campuran walaupun boleh dimasak sebagai bahan utama. Ini kerana pegaga liar agak pahit namun mempunyai khasiat yang amat baik. Pegaga liar tumbuh di kawasan pinggir halaman dalam kelompok-kelompok yang kecil. Jadi ia biasanya dijadikan ulam dan dimakan seperti 'salad segar'. Kebaikan khasiat pegaga semakin terkenal dan hari ini ia turut menjadi bahan yang digunakan dalam industri kosmetik/kecantikan.

Pucuk Keledek

Pucuk Keledek
Pucuk keledek boleh dijadikan sayur.
Pucuk keledek
Terdapat juga pelbagai jenis pucuk keledek.

Pucuk keledek atau bahagian daun yang masih lembut juga amat sesuai dijadikan sebagai sayuran. Sama seperti pucuk ubi daun pokok ini digunakan sebagai masakan sementara menunggu isi ubi keledek mencapai usia matang. Daun keledek boleh digunakan sebagai masakan goreng atau campuran masakan. Daun yang dicelur juga sesuai dimakan sebagai ulaman bersama sambal.

Embut Nibong/ Kelapa/ Sawit

Pokok nibung
Walaupun berduri nibung amat berguna kepada manusia.

Embut merujuk kepada bahagian lembut yang berada di bahagian dalam pokok bagi tumbuh-tumbuhan seperti nibung, kelapa ataupun kelapa sawit. Kesemua embut tumbuhan ini boleh digunakan sebagai bahan masakan. Malah terdapat sajian yang unik disediakan menggunakan bahagian tumbuhan ini. Suatu masa dahulu ia merupakan bahan sajian yang sering digunakan. Semasa majlis keramaian seperti kenduri-kendara di mana proses penyediaannya dilalukan secara gotong-royong bersama masyarakat sekampung.

Tumbuhan seperti nibung memerlukan kemahiran dalam mendapatkan embutnya. Ini kerana tumbuhan ini dipenuhi duri di setiap bahagia pokok tersebut - dari batang hingga ke pucuknya. Manakala lokasi tumbuhnya pula biasanya berhampiran dengan pokok-pokok yang lain. Jadi kemahiran menebang (untuk mengelakkan pokok tersebut tersangkut pada pokok yang lain) sehingga kemahiran mengeluarkan embutnya amat diperlukan.

Daun Kesum

Daun Kesum
Daun kesum membangkitkan aroma masakan 'Laksa'.

Daun kesum adalah bahan perasa yang penting bagi penyediaan masakan seperti laksa dan juga masak asam. Aroma dan rasa tumbuhan ini amat penting dalam memberikan masakan ini rasanya yang unik. Walaupun ia tidak digunakan seperti daun-daun yang lain, penggunaannya untuk masakan-masakan tertentu amat penting bagi membolehkan rasa unik masakan tersebut dihasilkan.

Daun Limau Purut


Daun limau purut juga amat popular sebagai bahan perasa makanan. Ia boleh digunakan dalam masakan bagi memberikan bauan yang harum serta sedikit rasa yang unik. Daun limau purut tidak digunakan sebagai bahan utama masakan dan hanya digunakan dalam kuantiti yang kecil. Namun begitu penggunaannya memberikan hasil yang ketara kepada masakan anda.

Daun Kunyit

Daun Kunyit
Daun Kunyit menambah rasa dan bau pada masakan.

Daun kunyit juga merupakan bahan perasa sama seperti daun limau purut. Namun begitu ia banyak digunakan terutama untuk masakan rendang daging dalam memberikan aroma dan rasa yang lebih menarik. Bukan setakat itu sahaja kerana daun kunyit turut popular bagi menyedapkan lagi masakan labu misalnya. Ia juga merupakan bahan penting dalam penyediaan 'sambal daun kayu' seperti yang disebutkan sebelum ini.

Daun Mengkudu

Daun Mengkudu
Daun mengkudu juga boleh digunakan dalam masakan.

Tidak semua orang tahu menyediakan masakan daun mengkudu namun begitu ianya boleh digunakan untuk menyediakan masakan yang unik dan biasanya menggunakan bahan campuran seperti ikan bilis atau ikan kering sebagai bahan tambahan untuk menambah rasa masakan ini. Apa yang penting untuk menyediakan pucuk mengkudu sebelum dimasak ianya perlulah dicelur bagi mengurangkan rasa pahit daun tumbuhan ini. Mungkin terdapat cara lain penggunaan daun tumbuhan unik ini dan bagi sesiapa yang mengetahuinya bolehlah kogsikan bersama kami di ruangan komen.

Cekur Manis

Cekur Manis
Masakan cekur manis mudah dan enak.

Cekur manis tumbuhan yang sering ditanam di pinggir dapur atau halaman. Cara penanamannya yang mudah menjadikan ia sering ditanam di pinggir dapur kerana sebaik sahaja ia digunakan untuk masakan ia akan terus ditanam di pinggir dapur. Jenis  masakan yang biasa disediakan adalah dari jenis masak lemak, walaupun gorengan sayur cekur manis juga amat popular di kalangan masyarakat Malaysia.

Bayam

Bayam Liar
Bayam liar mudah tumbuh di kawasan lapang & berpasir.

Bayam Merah
Bayam Merah juga enak seperti bayam biasa.

Bayam juga merupakan sayur yang mudah didapati dan adakalanya tumbuh meliar. Walaupun terdapar sayur bayam yang ditanam secara komersil, bayam kampung adalah lebih sedap. Penyediaan sayur bayam dalam masakan biasanya disediakan sebagai bayam goreng, tumis air atau sebagai bahan campuran kepada nasi goreng. Bayam popular kerana ia mudah tumbuh melalui semaian bijinya dengan mudah.

Maman

Maman
Maman popular di sesetengah kawasan di Malaysia.

Sayur maman hanya dikenali di beberapa kawasan di Malaysia. Namun begitu ia mempunyai permintaan yang tinggi di kawasan-kawasan tersebut. Sayur maman liar amat pahit dan perlu disediakan dengan betul. Sayur maman digunakan sebagai bahan campuran istimewa dalam penyediaan rendang ayam atau daging sebagai hidangan semasa hari-hari perayaan.

Begitulah antara beberapa sayuran berasaskan daun-daun yang biasa digunakan di negara kita. Walaupun masih terdapat pelbagai lagi sayuran berasaskan daun dan saya akan cuba paparkan dimasa-masa yang akan datang. Diharap bagi yang tidak mengenali sayuran ini diharap sedikit sebanyak telah mendapat pengenalan akan sayur-sayur tersebut. Apa yang penting semoga kita akan terus memelihara dan memanfaatkan tanaman dan sayuran yang terdapat di sekeliling kita.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog