Selasa, 5 November 2013

Makanan Tradisi Ubi Kayu

Ubi kayu selepas dituai
Ubi kayu memang tidak asing lagi bagi mereka yang tinggal di kampung. Walaupun hari ini ianya tidak sepopular dahulu, tetapi suatu masa dahulu orang tua-tua kita pernah bergantung dengan pokok ajaib ini untuk menyambung hidup semasa Jepun menjelalah Tanah Melayu. Malah pokok ini bukan digunakan bahagian ubinya sahaja malah daunya turut menjadi sumber makanan yang menyelerakan.

Tahukah anda ubi kayu ini masih popular hari ini di serata dunia. Bubble tea yang dipopularkan di Taiwan semakin mendapat perhatian di serata dunia (terutama bandar-bandar yang didiami oleh orang Asia). Selain itu puding ubi kayu (tapioca pudding) juga merupakan salah satu hidangan yang digemari. Cuma ia disediakan menggunakan ubi kayu yang telah diposes dan dijadikan berbentuk biji-bijian yang menarik dan enak untuk dimanakan.

Begitu juga ubi kayu turut popular di negara-negara tropika lain terutama India, Bangladesh, negara-negara di Benua Afrika dan Amerika Selatan. Mereka juga mempunyai makanan kegemaran sendiri yang disediakan berasaskan ubi kayu. China juga merupakan negara yang banyak menghasilkan ubi kayu bukan sahaja untuk tujuan sebagai sumber makanan malah untuk tujuan penghasilan bahan api - penghasilan ethanol daripada ubi kayu. Loji penghasilan ethonal ini didirikan di Beihai dengan kapasiti penghasilan sebanyak 200 ribu tan setahun. Jadi ubi kayu mempunyai potensi yang tinggi untuk tujuan komersial.

Pokok ibu kayu tidak terlalu besar

Ubi Kayu di Malaysia


Di negara kita ubi kayu digunakan terutamanya sebagai sumber makanan samada daripada ubinya mahupun daun yang digunakan sebagai bahan masakan. Pucuk ubi kayu yang direbus dan dimakan bersama apa juga sambal sememangnya antara hidangan popular masyarakat kita - tidak kira daripada pelbagai bangsa. Biasanya menjadi bahan campuran untuk kepada masakan seperti ikan, daging ataupun daun ubi sendiri dengan dicampur sedikit ikan bilis atau udang. Bagi hidangan yang lebih exotic seperti sambal daun kayu, daun ubi juga merupakan antara bahan yang terpilih sebagai salah satu ramuannya.

Berbanding dengan ubinya yang digunakan untuk pelbagai kegunaan. Sebagai hidangan ianya boleh direbus dan dimakan begitu sahaja. Malah ianya lebih sedap sekiranya dimakan dengan kelapa parut dan taburan garam ataupun gula. Terdapat banyak kuih-muih yang menggunakan ubi sebagai bahan utamanya seperti lepat ubi, bingka ubi, ketuk ubi, kerepek dan talam ubi. Pengat ubi juga merupakan antara hidangan yang sedap disediakan dengan ubi. Makalanya ia juga boleh digunakan untuk membuat tapai ubi - melalui proses pemeraman & penapaian.

Selepas diproses dan dijadikan tepung atau berbentuk bijian ianya masih digunakan untuk tujuan penyediaan makanan seperti dicampur di dalam bubur/pengat. Tepung ubi boleh digunakan sebagai pelikat masakan bagi menggantikan tepung jagung. Malah terdapat kuih yang dihasilkan daripada biji sagu ubi ini. Tepung ubi juga menjadi bahan campuran didalam proses pembuatan makanan yang lain seperti keropok dan kuih-muih tradisional yang lain.

*terdapat juga sagu yang dihasilkan daripada pokok sagu.

Satu lagi perkara yang menarik mengenai tepung ubi kayu adalah - ianya boleh digunakan sebagai bahan pelekat. Oleh kerana ianya dihasilkan daripada ubi, ianya memang selamat digunakan terutama untuk industri berkaitan makanan - malah ianya jauh lebih murah.

Kerepek ubi sajian popular di Malaysia
Ubi rebus, salah satu penyediaan ubi yang paling mudah.
Tepung ubi kayu, satu lagi produk daripada ubi.

Khasiat Ubi Kayu


Ubi kayu menjadi antara penyumbang utama karbohidrat selepas beras bagi negara-negara tropika. Bagi setiap 100g ubi kayu mampu membekalkan 50mg calcium, 40mg phosphorus dan 25mg vitamin C. Walaubagaimanapun ianya kurang mengandungi protein dan zat makanan yang lain. Zat makanan yang lain boleh didapati daripada daun dan kulit ubi - yang biasanya dijadikan makanan ternakan.

Porpulariti Ubi Kayu


Anda mungkin tidak menyangka yang ubi kayu sememangnya terkenal di kebanyakan negara. Malah ianya disediakan dengan pelbagai kaedah tidak disangka. Di Venezuela misalnya, ia digunakan untuk menyediakan casabe - sejenis roti (menyerupai lempeng besar) daripada ubi kayu. Sebahagian negara di Afrika juga menyediakan makanan seperti ini dan dipanggil fufu.

Terdapat juga minuman yang dihasilkan daripada ubi kayu seperti masyarakat Uganda seperti sejenis samsu yang dipanggil okaritua yang dinikmati terutama kaum lelaki semasa menikmati masa santai mereka. Di Brazil bijian ubi kayu ini dimasak bersama kulit kayu manis dan cengkih bersama wain merah dan dihidangkan bersama krim serbuk susu/ubi kayu.

Bahaya Ubi Kayu


Penyediaan casabe di Venuzuela
Ubi boleh dinikmati dengan pelbagai cara.

Memang terdapat toksin terkandung di dalam ubi kayu. Sebab itu terdapat ubi kayu yang tidak dimakan di negara kita. Malah ubi kayu tidak sepatutnya dimakan mentah, ia perlu di rebus atau direndam bagi mengeluarkan toksin ini sebelum betul-betul selamat dimakan. Toksin ini adalah dari jenis cyanide (CN), dan ianya dikatakan lebih tinggi di dalam ubi kayu sewaktu musim panas/kemarau. Penyediaan yang kurang berhati-hati boleh menyebabkan anda mengalami keracunan cyanide yang boleh mengundang bahaya.

Untuk langkah keselamatan penyediaan ubi perlu direndam selama 18 - 24 jam (ini bagi jenis-jenis ubi sekiranya anda tidak pasti ianya selamat ataupun sekiranya ianya pahit). Ubi yang kecil mengandungi kurang kandungan cyanide berbanding ubi yang besar. Kandungan cyanide ini juga sebahagiannya dikeluarkan semasa proses memasak - jadi pastikan anda tidak menggunakan sebarang ubi yang jarang dimasak dan sentiasa berhati-hati dalam penyediaannya. Bahaya boleh mengundang!

Bubble Tea, cepat mendapat tempat di pasaran.

Bubble Tea, mudah dipelbagaikan.

Begitulah antara paparan menarik mengenai ubi kayu yang menjadi sumber makanan penting masyarakat di serata dunia. Mungkin yang membezakan hari ini ianya disediakan dalam sajian yang lebih menarik. Sekiranya anda berkunjung ke bandar besar seperti San Francisco, atau Houston anda pasti tertarik dengan kedai-kedai yang menyediakan bubble-tea. Ya, itu dihasilkan daripada ubi kayu yang di tanam di belakang rumah kita suatu masa dahulu. 



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog