Ahad, 22 Jun 2014

Bahan-bahan Yang Digunakan Orang Dahulu Untuk Pakaian

Kapas masak
Kapas dihasilkan daripada buah kapas yang telah masak.

Bahan-bahan yang digunakan oleh orang-orang dahulu dalam kehidupan adalah berasal dari bahan-bahan yang terdapat di sekeliling mereka. Ini termasuklah daripada bahan yang diperolehi dari tumbuh-tumbuhan ataupun haiwan. Mungkin tidak semua menyedari banyak bahan-bahan tersebut tidak lagi digunakan hari ini walaupun masih lagi terdapat banyak bahan tersebut di sekeliling kita.

Antara lain perkara yang baik mengenai bahan-bahan ini adalah ia bersifat mesra alam dan tidak menjejaskan alam seperti bahan-bahan yang direka melalui proses kimia seperti plastik, 'fiberglass', PVC, teflon ataupun bahan-bahan lain yang diubah unsurnya secara kimia. Bahan-bahan ini samada tidak boleh mereput ataupun mengambil masa yang terlalu lama untuk dilupuskan secara semulajadi dalam alam.

Antara bahan-bahan menarik yang didapati daripada alam yang digunakan oleh orang-orang terdahulu antaranya adalah bahan yang digunakan untuk membuat pakaian. Bagi menghasilkan benang untuk ditenun dan dijadikan kain, tumbuh-tumbuhan yang mempunyai serat yang tinggi digunakan. Malah bukan kain sahaja dapat dihasilkan menggunakan serat tumbuh-tumbuhan ini, tapi tali juga dibuat menggunakan bahan-bahan tersebut. Tali merupakan keperluan penting bagi mengikat barangan ataupun layar bagi kegunaan kapal layar yang membolehkan manusia merentasi lautan dan menjelajah kawasan ke serata dunia.

Antara serat tumbuhan yang popular bagi penduduk-penduduk kawasan Asia Tenggara satu masa dahulu adalah serat daripada nanas, kulit pisang, batang bunga raya, kapas dan sabut kelapa. Populariti bahan-bahan ini banyak dipengaruhi oleh faktor geografi sesuatu bahan tersebut. Di bahagian-bahagian lain pula tumbuhan seperti jut, papirus, flax dan hemp (ganja) adalah lebih popular. Namun kesemua bahan ini merupakan bahan penting bagi menghasilkan benang untuk ditenun dan dijadikan pakaian.

Pengasingan benang nanas
Proses pengasingan serat nanas secara tradisional.

Di negara Filipina contohnya penggunaan daun nanas untuk menghasilkan baju yang dipanggil ‘Barong Tagalog’ masih dipertahankan sehingga ke hari ini. Baju yang dihasilkan dengan teknik tenunan menggunakan bahan asli daun nanas dijalankan oleh beberapa syarikat bagi memelihara tradisi penduduk-penduduk negara tersebut. Baju tenunan daripada benang nanas ini masih boleh dibeli secara online terus daripada Filipina.

Di negara-negara seperti Malaysia, India, Sri Lanka dan beberapa negara yang mempunyai tumbuhan kelapa pula. Sabut kelapa merupakan bahan penting untuk menghasilkan tali. Walaupun hari ini bahan ini masih digunakan untuk tujuan lain seperti bahan pertanian atau bahan pengganti span di dalam industri perabot, tali daripada sabut kelapa mempunyai kelebihan sendiri kerana ia tidak menganjal apabila mencapai ketegangan yang tinggi. Ia juga tidak licin seperti tali yang dihasilkan daripada bahan plastik.

Pakaian dari benang nanas
Pakaian dari benang nenas yang dikenali sebagai 'Barong Tagalog'.

Kapas pula merupakan bahan yang lebih sesuai digunakan untuk pembuatan benang dan kain kerana serat daripada kapas mudah dikumpulkan apabila kapas telah mencapai kematangan. Pengasingan serat daripada kapas tidak perlu melalui proses untuk mendapatkan serat seperti daripada bahan-bahan tumbuhan yang lain. Kapas merupakan bahan yang sesuai untuk pakaian kerana ia dapat menyerap peluh dengan berkesan selain dapat menjadi penebat haba untuk membekalkan kehangatan kepada badan. Penggunaan kapas lebih popular di bahagian-bahagian Utara seperti India, Pakistan dan China.

Penggunaan serat tumbuhan juga adalah penting untuk menghasilkan kertas. Kertas membolehkan kerja-kerja merekod bahan dilakukan dan pengembangan institusi pendidikan awal seperti di China. Malah kertas juga turut digunakan sebagai sebahagian daripada bahan binaan dinding bangunan atau rumah. Penggunaan penghasilan kertas menggunakan papirus pula popular di bahagian Timur Tengah yang juga digunakan untuk tujuan merekod terutamanya bagi orang-orang Mesir. Sebelum papirus digunakan bahan lain yang digunakan untuk tujuan merekod adalah kulit binatang seperti kambing ataupun lembu.

Pembuatan tali sabut
Proses membuat tali sabut di Sri Lanka.

Antara penggunaan bahan yang terbaik adalah seperti sutera. Ini kerana bagi penghasilan sutera kaedah yang digunakan memerlukan pelbagai kemahiran. Malah penghasilan sutera turut berkembang dengan teknik pemeliharaan ulat sutera dan pemprosesan bebenang sutera. Penggunaan sutera bermula dari China kemudian berkembang ke bahagian-bahagian lain dunia. Pada peringkat permulaan penghasilan sutera, ia merupakan kaedah penghasilan yang hanya dikuasai oleh Negara China sahaja. Malah sutera juga merupakan kain yang hanya mampu dimiliki oleh golongan bangsawan sebagai barangan mewah.

Selain daripada serat-serat yang diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan, bahan untuk membuat pakaian juga diperolehi daripada bulu haiwan peliharan dan juga haiwan liar. Bulu-bulu binatang seperti biri-biri, arnab, llama, yak, unta dan beberapa haiwan lain turut digunakan untuk membuat pakaian bagi orang-orang dahulu. Pendek kata apa sahaja bahan yang terdapat disekeliling mereka dapat dimanfaatkan untuk pelbagai kegunaan. Selain daripada bulu binatang, kulit juga turut digunakan untuk membuat pakaian ataupun peralatan harian seperti kasut, tali pinggang dan beg.


Maka dengan itu, apa yang ingin saya ketengahkan hari ini adalah kepentingan untuk kita memahami bagaimana sumber semulajadi daripada alam telah sekian lama membantu kita manusia membina kehidupan yang lebih baik. Ia masih boleh digunakan hingga ke hari ini. Mungkin oleh kerana perkembangan industri membuatkan bahan-bahan yang dihasilkan daripada bahan bukan semulajadi boleh didapati dengan harga yang jauh lebih murah. Namun begitu kesan yang dihasilkan kepada alam boleh mendatangkan kesan buruk untuk jangka panjang. Adalah dengan ini sedikit sebanyak dapat membuatkan anda melihat tentang fungsi alam sekian lama.


Lain-lain artikel berkaitan:





Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog