Isnin, 18 Januari 2021

Peluang Melawat Ke Muzium di Seluruh Dunia Melalui Muzium Maya

Lawatan maya merupakan peluang terbaik untuk melawati muzium terbaik di dunia.


Antara aktiviti yang paling popular bagi pelawat ke negara-negara lain ketika melancong, adalah melawati muzium. Lawatan ke muzium-muzium mungkin dapat menambahkan lagi pengetahuan anda mengenai negara yang dikunjungi dan sesetengah muzium, turut memiliki koleksi yang dikumpulkan dari negara-negara lain. Hari ini muzium turut menyediakan pelbagai bahan untuk para pengunjung malah para penyelidik untuk bahan-bahan rujukan.
 
Terdapat banyak muzium berkualiti di serata dunia dan ia tentu sahaja sukar dikunjungi oleh pelbagai faktor. Malah memandangkan keadaan situasi dunia yang masih lagi dilanda wabak Covid-19, yang menyukarkan lagi aktiviti-aktiviti lawatan ke negara-negara luar. Namun dengan kepesatan teknologi maklumat dan usaha oleh pelbagai pihak, kebanyakan muzium di dunia mula menyediakan bahan pameran secara maya. Ia bukan sahaja memudahkan para pengguna, malah memberi peluang lebih besar bagi penduduk dunia mengenalinya dengan lebih dekat.
 
Walaupun teknologi lawatan maya ini telah mula dibangunkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ianya tidak benar-benar diberikan tumpuan sehinggalah lawatan ke negara-negara luar menjadi agak sukar apabila berlakunya wabak Covid-19. Namun begitu potensi untuk teknologi ini berkembang adalah begitu besar, memandangkan lawatan fizikal memerlukan perancangan yang lebih rapi dan adakalanya mengalami pelbagai masalah seperti, mendapatkan visa, kelewatan penerbangan, cuaca yang tidak menentu, masalah kesihatan dan kekangan-kekangan lain di saat-saat akhir.

Lawatan maya memberikan peluang anda melawat muzium-muzium yang sukar dilawati.

 

Terdapat pelbagai bentuk lawatan maya yang disediakan. Walaupun begitu, lawatan terus ke muzium tersebut masih lagi merupakan bentuk lawatan yang lebih baik (kita mungkin berpeluang semula sekiranya keadaan mengizinkan di masa akan datang). Apa yang penting, peluang menggunakan teknologi lawatan maya ini perlu digunakan sebaiknya - kerana ia boleh memberikan sedikit sebanyak maklumat apabila anda melakukan lawatan sebenar kelak.
 
Terdapat beberapa laman web yang telahpun menyenaraikan muzium-muzium yang mempunyai lawatan maya dan adalah lebih mudah sekiranya ianya terus di selitkan di dalam artikel ini. Antara laman yang mempunyai bahan pameran dari kebanyakan muzium telahpun disediakan oleh Google Arts & Culture yang bekerjasama dengan muzium-muzium di serata dunia untuk memudahkan tujuan ini. Bagi memudahkan anda untuk terus ke bahagian koleksi juga disediakan pautan terus ke bahagian tersebut di sini.
 
Selain daripada Google Arts & Culture, terdapat juga muzium-muzium yang mempunyai program lawatan maya sendiri yang dibangunkan oleh muzium-muzium tersebut dengan kelebihan-kelebihan tersendiri. Pameran-pameran seperti ini adalah lebih menarik kerana ia mempunyai keunikan masing-masing. Oleh kerana pembangunan sistem seperti ini memakan belanja yang tinggi, hanya muzium-muzium ternama yang mampu menyediakan kemudahan seperti ini. Namun, apa yang penting adalah manfaat yang diberikan kepada para pengguna.
 
Seperti yang dinyatakan di atas, terdapat banyak muzium terkemuka mula menyediakan lawatan muzium maya di seluruh dunia. Namun di sini, kami ingin berkongsi beberapa muzium yang kami rasakan penting untuk dilawati - selebihnya terpulanglah kepada para pembaca untuk membuat penilaian sendiri mengikut minat masing-masing. Muzium-muzim yang disenaraikan di sini adalah berdasarkan kualiti bahan dan juga mutu bahan lawatan maya yang disediakan.
 
1) British Museum, London

British Museum, merupakan muzium terbesar yang perlu dilawati.

 
Muzium British (British Museum) merupakan antara muzium terbesar di dunia dengan menyimpan lebih daripada 8 juta bahan pameran di dalamnya. Ditubuhkan semenjak 1759, ia merupakan muzium nasional pertama yang dibuka di dunia. Terdapat pelbagai bahan di sini yang dibawa dari seluruh dunia - yang kebanyakan dibawa pulang ke England semenjak zaman kolonial lagi. Jadi, sebahagian bahan yang ingin dilihat mungkin berada di sini berbanding daripada negara asal bahan tersebut.
 
Memandangkan koleksi bahan pameran yang begitu besar. Lawatan maya merupakan satu kemudahan yang amat membantu. Ini kerana lawatan langsung memerlukan pelawat mengunjungnya selama beberapa hari. Lawatan saya semasa ke British Museum sendiri dirasakan amat pendek - dan lawatan maya ini amat membantu untuk melihat sebahagian besar bahan yang tertingal pada lawatan dahulu.
 
Terdapat beberapa lawatan maya bagi British Museum melalui Google Arts & Culture, Google Street View. Namun adalah lebih baik sekiranya anda juga melawati lawatan maya yang disediakan melalui lawan web daripada British Museum sendiri, dimana anda juga mungkin dapat mengetahui lain-lain maklumat berkaitan.
 
Selain itu terdapat satu lagi bahan pameran maya yang amat menarik hasil kerjasama British Museum dan Google - di sini.
 
2) Natural History Museum (London)

Natural History Museum, satu lagi musium penting di Kotaraya London.

 
Natural History Museum (NHM), merupakan satu lagi muzium terkenal di Kotaraya London yang amat terkenal dengan koleksinya yang besar. Bahan-bahan di sini merupakan koleksi yang dikumpul sejak ratusan tahun dahulu daripada pengumpul-pengumpul persendirian mahupun daripada eksplorasi diraja yang dilancarkan semasa kemuncak pemerintahan Kolonial British. Semenjak ianyanya mula ditubuhkan pada 1881, hingga ke hari ini, muzium ini banyak menyumbangkan ilmu penting yang turut dikongsi bersama dengan para ilmuan di seluruh dunia. Bukan itu sahaja, pembangunan teknologi juga digunakan sepenuhnya dalam meningkatkan kualiti penyelidikan mahupun dalam menyampaikan maklumat kepada pengguna.
 
Muzium ini berada disenarai kedua, memandangkan bahan lawatan maya yang disediakan juga amat berkualiti, yang terdiri daripada pelbagai bentuk bahan. NHM, merupakan muzium di London, yang paling saya minati secara peribadi. Lawatan dua hari ke sini, masih lagi tidak dapat memenuhi kepuasan untuk mengamati bahan pameran secara lebih dekat. Malah bangunan muzium ini sendiri amat unik dengan senibina yang tersendiri. Jadi di dalam pameran maya nya juga termasuk photo bumbung bersaiz Gigapixel yang amat menarik.
 
Terdapat juga bahan-bahan yang dipamerkan secara 3D, seperti kerangka fosil yang terdapat di muzium ini. Melalui kaedah ini, fosil dapat dilihat dengan lebih mendalam berbanding melihatnya di dalam pameran sendiri. Terdapat juga pameran bahan daripada koleksi lukisan botanikal, koleksi serangga, dan banyak lagi. Muzium turut menyumbang dalam pelbagai bidang, malah turut muncul di dalam dokumentari dan filem.
 
Sekiranya anda berminat dengan lawatan maya yang disediakan oleh NHM, London, ini anda bolehlah melihat laman utama lawatan mayanya di sini.
 

3) The Smithsonian’s National Museum of Natural History, (Washington, D.C.)

The Smithsonian, mempunyai koleksi bahan yang terbesar, disamping lawatan maya nya yang amat berkualiti.

 
Seterusnya kita melihat salah satu lagi muzium bertemakan natural history yang mula dibuka sejak 1910 iaitu The Smithsonian’s National Museum of Natural History, (Washington, D.C.). Muzium ini dipaparkan di sini kerana ia memiliki lawatan maya yang amat berkualiti. Jadi sesuai sekali digunakan untuk tujuan pendidikan. Ini kerana, untuk menyediakan bahan lawatan maya, ianya memerlukan kerja-kerja yang rumit dan memerlukan ketelitian. Daripada bahan lawatan maya seperti lawatan muzium ini, jelas mutu hasil kerja yang amat tinggi. Malah terdapat pelbagai pilihan navigasi peta yang disediakan di dalam lawatan ini, untuk memudahkan lagi navigasi pelawat.
 
Smithsonian Institution atau juga dikenali sebagai The Smithsonian, merupakan badan penting dalam pengembangan ilmu pengetahuan di Amerika. Ditubuhkan pada 10, Ogos 1846 dengan namanya adalah daripada penyumbang dan pengasas badan itu sendiri iaitu, saintis British yang bernama James, Smithsonian. Badan ini memiliki sekitar 154 juta koleksi bahan rujukan/ pameran dan merupakan yang terbesar di dunia. Hari ini, ia merangkumi lebih daripada 200 muzium di 45 negeri, Puerto Rico dan Panama.
 
Banyak maklumat yang boleh anda perolehi melalui lawatan maya ini. Anda boleh ke laman utama muzium tersebut di sini. Mungkin anda juga boleh melawatinya semula apabila muzium dibuka semula untuk lawatan, dan perjalanan antarabangsa dibenarkan semula kelak.
 
4) Oxford University’s History of Science Museum (Oxford, England)
 
Sekali lagi kita ke muzium yang terletak di England. Kali ini ianya adalah Science Museum yang terletak di Oxford University. Dibuka pada tahun 1683 dan merupakan antara bangunan muzium yang direka khas. Mengandungi banyak koleksi daripada abad pertengahan sehingga ke awal 1900, termasuk daripada koleksi teknologi Islam serta manuskrip lama dari seluruh dunia.
 
Muzium ini mempunyai laman khas lawatan maya yang amat menarik, malah ia telah menyediakan lawatan maya semenjak daripada 1995 lagi. University of Oxford merupakan universiti yang penting di England kerana banyak menghasilkan penemuan-penemuan hebat, di mana ia juga merupakan antara universiti terkemuka di dunia. Jadi lawatan ini amat menarik sekiranya anda dapat meluangkan sedikit masa untuknya. Lawatan maya muzium tersebut boleh diikuti melalui pautan di sini.
 
5) Muzium Penerbangan (Seattle, Washington)

Muzium ini membolehkan anda melihat keadaan di dalam pesawat Concorde.

 
Bagi yang meminati dunia penerbangan, lawatan maya ke muzium ini mungkin merupakan antara peluang yang terbaik untuk melihat sendiri keadaan di dalam beberapa pesawat yang diminati. Didirikan pada tahun 1965, muzium ini menarik kira-kira 500,000 pelawat setahun. Terdapat lebih daripada 150 buah kapal terbang yang berada di dalam koleksinya. Ini termasuklah Boeing 747s, Lockheed SR-71 Blackbird dan termasuk juga pesawat supersonik Concorde.
 
Jadi di dalam lawatan mayanya, terdapat beberapa jenis kapal terbang yang anda boleh lawati ruang kawalan dan juga di bahagian penumpang atau kargo. Peluang seperti ini mungkin sukar untuk diperolehi memandangkan sebahagian model kapal terbang ini tidak terdapat di muzium-muzium lain di dunia. Bagi yang berminat bolehlah melawatinya melalui pautan di sini.
 

6) Anne Frank House (Amsterdam, Netherlands)

Walaupun kecil, Anne Frank House menyediakan lawatan maya yang menarik.

 
Sebuah lagi muzium yang amat menarik yang bertemakan kepada sejarah peperangan iaitu rumah kepada Anne Frank. Ia merupakan tempat persembunyian kepada keluarga Otto Frank iaitu bapa kepada Anna dan juga merupakan satu-satunya ahli keluarga yang terselamat selepas peperangan dunia kedua. Muzium ini menerima kunjungan kira-kira 1 juta pengunjung setiap tahun. Ianya dibangunkan atas peninggalan diari yang ditulis oleh Anna semasa di dalam tempoh bersembunyi di dalam rumah tersebut.
 
Muzium ini merupakan satu peringatan bagi masyarakat dunia tentang kesan peperangan dan pelupusan etnik (dan ini masih lagi dapat diperhatikan berlaku selepas perang dunia ke-2 dan sehingga ke hari ini). Muzium ini mempunyai lawatan maya yang amat menarik - dengan kaedah yang lebih interaktif, menjadikan lawatan lebih menarik. Bagi yang berminat, bolehlah melawat ke lawatan maya tersebut melalui pautan di sini.
 
Terdapat banyak lagi muzium-muzium yang mempunyai lawatan maya yang kebanyakannya melalui Google Arts & Culture. Kebanyakan muzium ini mempunyai bahan pameran yang amat menarik dengan kualiti terbaik juga. Berbanding memakan perbelanjaan yang tinggi dan masa perjalanan yang panjang, lawatan maya seperti ini boleh dilakukan apabila anda mempunyai kelapangan di rumah. Luangkan sedikit masa untuk mendalami tentang kebudayaan, kesenian, alam semulajadi, sejarah, sains dan teknologi daripada muzium-muzium terkemuka dunia.
 
 
Rujukan:
 
1) Upgradedpoints
2) Travel + Leisure
3) MuseumNext
4) Google Arts & Culture

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog