Tuesday, February 9, 2021

Bagaimana Kerang dan Kepah Membersihkan Air Tercemar?

Kulit kerang-kerangan yang biasa kita temui.

Mungkin kita mengenali sebahagian kerang dan kepah daripada makanan yang dihidangkan seperti kueh teow kerang ataupun sambal kerang yang popular. Malah banyak lagi makanan yang dihasilkan daripda keluarga kepah ini termasuk antara yang popular seperti tiram atau geoduck dan kerang gergasi yang pernah dipaparkan di dalam artikel yang terdahulu.
 
Tetapi kali ini kita ingin melihat kumpulan hidupan ini melalui fungsinya kepada keseimbangan alam sekitar, terutamanya yang melibatkan perairan sama ada sungai, tasik, muara ataupun laut. Ini kerana kumpulan hidupan ini jarang sekali mendapat perhatian kerana ia biasanya berada di dalam lumpur di dasar sungai atau dasar laut membuatkan cara hidupnya jarang mendapat perhatian. Malah ia juga tidak bergerak pantas menjadikan ia kurang menarik untuk diperhatikan. Namun itu tidak bermakna ia kurang penting kepada alam sekitar yang mana kita akan lihat dengan lebih dekat melalui artikel ini nanti.

Tiram merupakan bahan makanan terkenal dari keluarga "bivalves".

 
Terdapat kepelbagaian spesies dari keluarga "bivalves".


Terdapat kumpulan yang besar dalam keluarga “bivalves”, yang merangkumi air tawar dan juga air masin termasuk kerang, kepah, lala, tiram, pepahat dan lain-lain. Terdapat sekitar 9,200 spesies hidupan “bivalves”, seperti yang disenaraikan oleh Markus Huber di dalam “Compendium of Bivalves”, pada tahun 2010. Jumlah ini mungkin lebih kerana sebahagian daripadanya (yang disenaraikan sebanyak 20,000 spesies) masih lagi belum dikenal pasti. Kumpulan hidupan ini mempunyai dua bahagian cengkerang yang boleh dibuka dan bercantum pada satu bahagian seperti engsel pada pintu atau tingkap. Kumpulan hidupan ini mempunyai teknik pemakanan yang unik iaitu dengan menyedut air yang membekalkan oksigen dan juga sumber makanan bagi mereka. Melalui aktiviti inilah, air yang disedut masuk tadi, akan ditapis dan dikeluarkan semula daripada injap pembuangan.
 
Bahan-bahan organik di dalam air akan ditapis dan menjadi sumber makanan bagi hidupan-hidupan ini. Bagi kawasan hidupan seperti sungai, tasik dan juga terumbu karang, ia amat penting bagi memastikan air dibersihkan daripada bahan-bahan organik terampai - yang menjadikan air keruh serta menghalang cahaya matahari untuk menembusi air. Air keruh yang berterusan boleh mengakibatkan banyak hidupan air yang lain terganggu - mengakibatkan kualiti air yang buruk dan seterusnya mengancam hidupan-hidupan air lain (samada hidupan mahupun tumbuhan).
 

Hidupan-hidupan “bivalves” ini juga merupakan sumber makanan bagi hidupan-hidupan air yang lain. Selama jutaan tahun, ia berikteraksi dengan hidupan-hidupan lain untuk mengimbangi ekosistem yang saling membantu antara satu sama lain. Sekiranya ia terganggu, maka tentulah keseluruhan ekosistem turut terjejas.
 
Apa yang membimbangkan, hari ini pembuangan sisa pertanian dan industri ke dalam sumber-sumber air yang seterusnya mengalir ke laut turut mengandungi bahan pencemaran kimia serta bahan pencemaran pepejal yang boleh memudaratkan hidupan-hidupan air “bivalves” ini. Lebih serius lagi adalah - ia kemudiannya mungkin berakhir di atas meja hidangan anda yang turut meracuni anda dan ahli keluarga yang lain. Bahan-bahan seperti ini, tentulah akan menjadi punca penyakit kepada hidupan yang menjadikan mereka sumber makanan temasuk manusia.

Kerang gergasi merupakan kerang terbesar di lautan.


Struktur dalaman bagi kerang.

 
Kajian turut menunjukkan cebisan daripada cucian pakaian manusia - yang dibuang ke dalam saliran air turut memberi kemudaratan kepada hidupan ini. Ini kerana, cebisan-cebisan ini merosakkan bahagian-bahagian seperti insang, tisu-tisu dalaman, mengakibatkan kecacatan, bengkak dan kehilangan silia (organ seperti rerambut). Kajian ini telahpun dibentangkan oleh Dr. Andrew Turner, dari School of Biological and Marine Sciences and School of Geography, Earth and Environmental Sciences, yang mengetengahkan kesan daripada cebisan pakaian ini turut mengandungi bahan-bahan kima yang amat memudaratkan terutamanya kepada hidupan “bivalves” yang menapis air untuk mendapatkan sumber makanan dan pernafasan. Sekiranya cebisan-cebisan pakaian ini boleh mengakibatkan kesan yang buruk pada hidupan ini, bagaimana pula bahan-bahan pencemaran yang lain? Tentulah hidupan ini mengalami ancaman yang amat besar dari pencemaran kesan aktiviti manusia.
 
Hidupan kerang-kerangan ini telah menjadi sebahagian makanan manusia sejak ribuan tahun, malah menjadi sumber ekonomi bagi manusia. Selain menjadi sumber makanan ia juga turut membekalkan mutiara, menjadi bahan matawang, bahan/alatan keagamaan, sebagai peralatan, dan juga menghasilkan “mother of pearl” - yang menjadi bahan hiasan dan perhiasan dalam hasil seni lukisan, mahupun perabot. Terdapat juga kerangan yang menghasilkan bahan yang digunakan untuk tenunan yang dikenali sebagai sutera laut - hidupan laur ini dikenali sebagai “Pinna nobilis”, merupakan sumber bahan tenunan bagi sekitar kawasan Mediterranean.

Perabot dengan tatahan "mother of pearl", merupakan perabot mewah.

 
Kita perlu menyedari kepentingan hidupan-hidupan ini walaupun ia tidak seaktif hidupan-hidupan lain yang banyak bergerak - namun begitu ia mempunyai fungsi yang amat penting. Ia bukan bermakna bahawa hidupan-hidupan lain lebih penting daripada manusia, tetapi ia turut memberikan kita keselesaan hidup yang harmoni di dalam alam. Sekiranya ia musnah, kehidupan manusia juga akan terjejas dan ia mungkin tidak dapat dikembalikan semula. Sama-samalah kita menjaga keseimbangan alam sekitar.



 
 
Rujukan:
 
1) Wikipedia
2) Scientechdaily
3) Sciencing
4) YouTube

No comments:

Post a Comment

Blog Archive