Saturday, February 27, 2021

Malapetaka Berganda Dengan Serangan Belalang Juta

 
Petani yang cuba menghalau serangan belalang yang menyerang tanaman.


Tahun 2020 merupakan tahun yang dinanti-nantikan sebagai detik pembaharuan dalam sejarah peradaban manusia moden. Namun bagaimanapun, apa yang dinanti-nantikan bertukar sebaliknya apabila dunia dikejutkan dengan pelbagai musibah daripada kebakaran hutan di Australia, kebakaran hutan di California, US, Pandemik COVID-19 dan serangan belalang juta yang membawa kemusnahan besar-besaran.
 
Walaupun bencana belalang juta ini bermula sebelum tahun 2020 lagi. Tahun 2020 merupakan kemuncak daripada penyebaran belalang-belalang yang semakin merebak ke bahagian Timur daripada bahagian Timur Tengah dan Timur Afrika. Pergerakan belalang ini ke bahagian Timur membawa kumpulan belalang sehingga ke Utara India dan Pakistan. Sehingga kini pergerakan ke Timur cuba disekat oleh China menggunakan kumpulan ribuan itik untuk membantu menyekat kemaraan kumpulan belalang tersebut.
 
Belalang juta merupakan antara bencana yang amat ditakuti oleh semua penduduk dunia. Ini kerana kedatangnya merupakan tanda bakal bermulanya krisis kebuluran - akibat kemusnahan tanaman untuk ternakan dan juga sumber makanan manusia. Kumpulan belalang mencecah jutaan ahli dan jumlah ini akan berganda dalam tempoh beberapa minggu sahaja. Kumpulan belalang juga akan memusnahkan sejumlah besar tanaman/tumbuhan bagi setiap kawasan di dalam laluannya.

Anak-anak belalang yang baru menetas bergerak dalam kumpulan.

Belalang dewasa yang sedia untuk bergerak dalam kumpulan ke kawasan yang baru.

 
Walaupun serangan belalang juta lebih kerap berlaku di kawasan Benua Afrika sehigga ke Utara India, kawasan-kawasan lain di dunia tidak terlepas daripada serangan belalang juta (apa yang berbeza adalah dari segi jenis dan saiz kumpulan belalang sahaja. Ini kerana belalang juta adalah daripada belalang biasa (mengikut spesies-spesies tertentu) - yang kemudiaanya membentuk kumpulan menjadi satu kumpulan besar. Perubahan sifat ini lah yang memulakan serangan belalang juta yang sebelumnya adalah tidak ketara. Ia mengambil masa yang lama sehingga kumpulan belalang akan hilang semula (dan belalang akan kembali hidup secara berasingan).
 
Serangan belalang juta merupakan antara perkara yang dianggap serius dan amat papular di dalam kisah-kisah sejarah manusia dan diceritakan seranggan nya dari zaman Mesir lagi. Pada tahun 1875 pula serangan belalang yang dikenali sebagai Albert’s swarm menyerang United States di bahagian Barat Missouri. Ini diikuti pula oleh serangan belalang yang menyerang Palestin, Lebanon dan Syria yang dikenali sebagai 1915 Ottoman Syria locust infestation. 2003 - 05 pula serangan belalang yang dikenali sebagai Africa locust infestation - yang menyerang bahagian Barat Benua Afrika. Pada 2013 pula serangan belalang yang dikenali sebagai Madagascar locust infestation, menyerang kepulauan tersebut dengan jumlah yang dikatakan mencapai berbillion belalang. Pada 2016 pula Argentina mengalami serangan belalang yang dikatakan terburuk di dalam tempoh 60 tahun. Kumpulan belalang  ini terus bergerak ke kawasan-kawasan lain termasuk Paraguay dan menghala ke Selatan Brazil.

Serangan belalang juta, memenuhi setiap permukan pada pokok yang dihinggapinya.

 

Selain daripada bencana-bencana besar belalang juta seperti di atas, kes belalang juta turut melanda Australia daripada spesies belalang yang berbeza daripada belalang juta di Afrika. Namun dari segi pembentukan kumpulan dan pergerakan belalang ini adalah hampir sama sahaja. Apabila keadaan cuaca tertentu dicapai - yang menyediakan keadaan sesuai bagi belalang, ia akan mula membentuk kumpulan dan bergerak dalam kumpulan mengikut arah angin. Kebiasaannya, keadaan lembab perlu dicapai bagi memudahkan belalang membiak selain menyediakan jumlah makanan yang cukup untuk pengembangan kumpulan yang besar.
 
Walau bagaimanapun daripada ribuan spesies belalang, hanya 22 daripadanya yang boleh dikelaskan sebagai (belalang juta atau “locust”). Pengkelasan ini adalah berdasarkan kepada kebolehannya yang menukar keadaannya daripada keadaan bersendiri (“solitary”), kepada berkumpulan atau lebih dikenali sebagai “gregarious state”, sehingga membentuk kumpulan yang besar sehingga berbillion ahli. Perubahan ini turut merubah fisiologi belalang dari warna hijau/kusam kepada warna terang dan garang. Fisiologi lain adalah saiz kaki lompatnya yang lebih pendek, dan saiz otak tengah yang lebih besar yang memberikannya kelebihan kepada gaya hidup barunya.

Perbezaan keadaan belalang dalam peringkat "solitary" dan "gregarious".

 
Bagi bencana kali ini keadaan lembab bermula apabila Taufan Mekunu dan Taufan Luban dari Lautan Hindi melanda bahagian padang pasir Arab pada Mei dan Oktober 2018. Ini memulakan keadaan yang sesuai untuk belalang mula membentuk kumpulan. Pergerakan belalang kemudiannya dibantu lagi oleh Ribut Pawan pada Dis 2019 yang menggalakkan lagi pergerakan kumpulan belalang yang menghala ke Somalia, Ethiopia dan Kenya yang terjejas teruk dalam bencana kali ini. Walaupun sebahagian besar kumpulan belalang menghala ke arah Barat - terdapat juga kumpulan yang bergerak ke arat Timur yang menyerang sehingga ke Pakistan dan Utara India.
 
Oleh kerana bencana ini berlaku di zaman teknologi, bantuan lebih mudah diberikan daripada serata dunia. Sekiranya ia berlaku pada masa-masa dahulu, bencana-bencana seperti ini sudah pastinya akan memberikan kesan yang lebih buruk - kerana ia mungkin tidak diketahui dan menyebabkan kebuluran yang lebih tinggi. Namun begitu kita masih lagi belum menemui kaedah terbaik untuk berhadapan dengan bencana serangan belalang. Walaupun kita mungkin mengetahui beberapa data dari segi taburan dan penyebaran mereka. Kaedah penggunaan racun serangga bukanlah kaedah terbaik kerana ia turut memberikan kesan kepada hidupan lain malah manusia.

Peta serangan belalang pada Mei, 2020. Peta terkini boleh dilihat di sini.

 
Bencana belalang juta adalah sebahagian daripada bencana semulajadi yang perlu difahami. Walaupun ia dipandang dari segi negatif (kepada manusia), ia mungkin bertujuan mengawal keseimbangan alam - kerana belalang-belalang ini sendiri merupakan sumber makanan kepada sebahagian besar haiwan-haiwan yang lain. Semoga kajian dapat diteruskan dan kita lebih bersedia dalam menghadapi situasi seperti ini tanpa mengancam keseimbangan alam yang lebih penting.
 
 
Rujukan:
 
 

No comments:

Post a Comment

Blog Archive