Isnin, 15 Mac 2021

Adakah Berus Gigi Elektrik Lebih Baik Berbanding Berus Gigi Biasa?

Terdapat pelbagai berus gigi elektrik mengikut keperluan pengguna.
 
Satu persoalan yang mungkin tidak berapa penting sehingga anda mengalami masalah gigi atau berkaitan kesihatan mulut. Walaupun kedua-dua jenis berus gigi ini mempunyai kelebihan masing-masing, namun apabila dilihat kepada persoalan pertama perbincangan ini, kita dengan mudah membuat keputusan berpandukan kepada tujuan utama penggunaan peralatan ini.
 
Walaupun berus gigi elektrik jauh lebih mahal berbanding berus gigi biasa, namun hari ini harganya jauh lebih murah berbanding sewaktu ia mula-mula diperkenalkan dahulu. Terdapat juga berus gigi pakai buang yang menggunakan kuasa bateri - dan ini adalah tidak digalakkan - kerana ianya jauh lebih membazir disamping meningkatkan lagi jumlah pembuangan bahan buangan yang mencemarkan. Selain itu juga terdapat berus gigi elektrik dengan fungsi yang agak kurang penting seperti sambungan aplikasi telefon bimbit, fungsi-fungsi tambahan lain yang tidak banyak mengubah fungsi sebenarnya iaitu membersihkan gigi dan bahagian dalam mulut.
 

Apakah kelebihan utama berus gigi elektrik?


Oral-B, merupakan antara jenama terkenal berus gigi elektrik.

Philips Sonicare, satu lagi jenama berus gigi elektrik berprestij.

 

Ini adalah persoalan utama yang perlu kita ketahui sebelum membuat keputusan untuk menggunakan berus gigi elektrik - kerana harganya yang sedikit mahal berbanding berus gigi biasa. Berus gigi elektrik mempunyai kuasa pembersihan yang lebih sekata sepanjang proses pembersihan berjalan. Malah anda dengan mudah melakukan kerja-kerja memberus gigi tanpa merasa letih dan dapat menumpukan perhatian pada bahagian-bahagian penting yang perlu dibersihkan. Terdapat bahagian-bahagian di dalam mulut yang dapat dibersihkan dengan mudah kerana berus gigi elektrik hanya berputar atau bergetar - berbanding berus gigi biasa yang perlu digerakkan secara kehadapan dan ke belakang yang tidak sesuai seperti bahagian belakang gigi.
 
Penggunaan berus gigi elektrik juga dapat mengelakkan kecederaan sewaktu memberus gigi. Anda tentu sekali pernah mengalami kecederaan ini, terutamanya sewaktu cuba membersihkan gigi secara pantas - ia tentu memburukkan lagi hari anda yang mungkin sedikit terburu-buru. Malah kecederaan ini boleh membawa kepada masalah kesakitan berpanjangan dan kesakitan gusi. Sekiranya ia tidak diawasi, mungkin boleh mengakibatkan jangkitan. Masalah ini tidak berlaku dengan berus gigi elektrik, kerana anda hanya perlu meletakkannya ke atas permukaan gigi dan gusi tanpa tekanan yang kuat. Malah kawasan celahan gigi juga mudah dibersihkan dengan menggunakan berus gigi elektrik.
 
Kajian menunjukkan penggunaan berus gigi elektrik adalah lebih berkesan berbanding berus gigi biasa - ini bukan sahaja dari segi keupayaan membersih, malah memberikan kesan kepada kesihatan gusi yang lebih baik seterusnya memanjangkan jangka hayat gigi. Keputusan ini adalah hasil kajian yang dijalankan selama 11 tahun oleh Oral Health Foundation, UK, dalam kajian perbandingan kesan penggunaan antara berus gigi biasa dan berus gigi elektrik.
 

Bagaimanakah memilih berus gigi yang sesuai?

Penggunaan aplikasi telefon bimbit merupakan antara ciri-ciri terbaru berus gigi elektrik. 

 
Semenjak berus gigi elektrik diperkenalkan, sambutan yang menggalakkan membuatkan lebih banyak variasi berus gigi elektrik dihasilkan. Daripada pelbagai jenis berus gigi elektrik ini berus gigi elektrik yang berputar adalah antara yang terbaik kerana ia membersihkan gigi dengan lebih rata. Walaupun berus gigi daripada pelbagai jenis mungkin mempunyai kelebihan tersendiri - namun ada di antaranya mungkin tidak begitu penting - seperti sambungan ke applikasi telefon pintar untuk fungsi-fungsi yang tidak menjurus kepada proses pembersihan itu sendiri. Namun ini bergantung kepada pilihan pengguna sendiri sekiranya ingin memiliki peralatan tersebut.
 
Sebahagian applikasi mungkin boleh membantu anda untuk melihat prestasi pembersihan gigi untuk keseluruhan gigi anda. Melalui aplikasi ini, anda dengan mudah melihat bahagian yang memerlukan pembersihan dengan lebih rapi. Terdapat juga fungsi-fungsi tambahan yang mungkin membantu sekiranya anda mempunyai keperluan tambahan seperti, gigi sensitif dan masalah gusi. Namun perlu diingatkan di sini, kepentingan asas adalah untuk memastikan anda dapat membersihkan gigi dengan baik - iaitu sekurang-kurangnya menggunakan berus gigi berkuasa elektrik.
 

Berus gigi gantian.

Kepala berus gigi gantian - dengan pelbagai ciri-ciri pilihan.

 

Antara kebaikan penggunaan berus gigi elektrik antara lainnya adalah anda hanya perlu menukar mata berus sahaja setiap 3 bulan atau apabila ianya rosak. Namun anda juga perlu memastikan mata gantian ini adalah bersesuaian dengan model berus gigi elektrik yang digunakan. Ini merupakan kesilapan yang sering dihadapi apabila menggunakan berus gigi elektrik - kerana, jenama yang sama mungkin mempunyai pelbagai model dan tidak semuanya boleh digunakan antara satu sama lain. Jadi apabila anda membeli kepala gantian berus gigi anda, pastikan perkara utama yang dilihat adalah kesesuian nya digunakan bersama-sama berus gigi elektrik yang anda gunakan.
 
Apa yang menarik di sini, kebiasaannya terdapat beberapa variasi kepala berus yang boleh digunakan bersama-sama dengan sesuatu jenis berus gigi elektrik. Jadi anda masih mempunyai pilihan sekiranya mempunyai keperluan yang berbeza untuk keperluan anda. Cuma, adakalanya sesetengah model mungkin sukar didapati di kawasan-kawasan tertentu, terutamanya apabila anda memberlinya daripada bahagian lain di dunia (sesetengah model mungkin hanya dijual di bahagian-bahagian tertentu seperti model untuk pasaran US, Europe dan Asia). Ini juga merupakan antara faktor yang perlu diberikan perhatian sebelum anda membeli berus gigi elektrik anda.
 

Aksesori.

Set lengkap berus gigi elektrik bersama-sama aksesori tambahan.

 
Aksesori juga tidak kurang pentingnya. Sebahagian aksesori bukan sahaja mempunyai kelebihan tertentu, malah mungkin perlu dalam memudahkan lagi penggunaan berus gigi elektrik anda. Antara aksesori yang penting adalah kotak kembara (travel case) - ini dapat mengelakkan berus gigi anda rosak selain memastikan kesemua bahagian tersimpan dengan sempurna. Terdapat juga kotak dengan sinar UV yang dapat memastikan kepala berus gigi anda sentiasa bersih dan terhindar daripada kuman. Sebahagian aksesori mungkin disediakan oleh pihak ketiga - jadi anda perlu memastikan ianya adalah bersesuaian dengan jenama dan model berus gigi elektrik yang anda gunakan. Walaupun aksesori hanyalah sebagai pilihan tambahan, namun adakalanya ianya amat membantu - pastikan anda memilih aksesori yang betul.
 

Palam kuasa dan sumber kuasa yang digunakan.

 

Tidak dinafikan, antara masalah utama penggunaan berus gigi elektrik adalah sumber bekalan kuasa. Terutamanya bagi yang melakukan perjalanan ke negara-negara yang mempunyai sumber bekalan kuasa yang berbeza. Selain daripada berus gigi anda mungkin tidak berfungsi - lebih buruk lagi, ia mungkin akan merosakkan peralatan anda. Jadi perlu diingat- sekiranya anda perlu melawat ke negara-negara lain, sumber bekalan kuasa dan adaptor yang sesuai perlu digunakan bagi memastikan berus gigi anda berfungsi dengan baik. - Di sinilah berus gigi biasa dapat membantu apabila berus gigi elektrik tidak dapat digunakan. Jadi, berus gigi biasa tidak semestinya tidak berguna sama sekali.
 
Walaupun berus gigi elektrik adalah jauh lebih baik dari berus gigi biasa, namun berus gigi biasa masih berguna dalam keadaan-keadaan tertentu. Jadi adakalanya anda masih perlu menyimpan berus gigi biasa untuk waktu-waktu tertentu (sekiranya ketiadaan bekalan kuasa elektrik, dalam perjalanan atau adakalanya terlupa mengecas berus gigi anda). Kesihatan gigi merupakan antara faktor penting yang perlu dititik beratkan kerana - bagi orang dewasa - kehilangan gigi bermakna, kehilangan kekal (tidak dapat diganti walaupun menggunakan gigi palsu - ia tidak akan menyamai gigi yang asal). Jagalah gigi anda sebaik mungkin sebelum terlambat.
 
 
Rujukan:
 
1) Electric Teeth
2) Oral Health Foundation
3) Larkam House
4) Healthline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog