Monday, March 22, 2021

Fahami Masalah Nafas Berbau Dan Apa Yang Boleh Anda Lakukan

Masalah nafas berbau boleh disebabkan oleh pelbagai punca.

 

Masalah nafas berbau merupakan perkara yang biasa dan adakalanya terlepas pandang, oleh kerana ia sukar dikesan oleh orang yang mengalaminya. Manakala ia pula dianggap sensitif bagi orang lain menegur masalah ini, kerana ia boleh menyebabkan seseorang merasa malu - kerana dianggap pengotor! Sekiranya ia dilihat dari sudut yang lain pula, anda mungkin akan mendapati ia merupakan satu perkara yang penting - kerana adakalanya mereka yang mengalami masalah ini tidak menyedarinya. Masalah nafas berbau boleh disebabkan oleh pelbagai perkara dan tidak semestinya disebabkan kurang menjaga kebersihan gigi dan mulut.
 
Kali ini kita ingin melihat masalah yang sensitif, ini kerana adakalanya kita agak malu untuk bertanya apatah lagi sekiranya orang lain menegur kita mempunyai masalah nafas berbau. Ya, perkara paling utama yang perlu anda berikan perhatian adalah penjagaan kebersihan gigi dan mulut - ini termasuklah kaedah pembersihan gigi yang betul, menggunakan floss gigi, membersihkan lidah, menggunakan cecair kumur dan memastikan anda membersihkan gigi sebelum tidur. Walaupun anda mengamalkan kaedah pembersihan gigi dan mulut ini, anda tidak semestinya tidak mempunyai masalah nafas berbau. Jangan panik! Apa yang anda perlu lakukan sebenarnya adalah mengenal pasti punca masalah bagi membantu menangani punca sebenar.
 
Berikut adalah beberapa perkara yang boleh menyebabkan nafas anda berbau;

Pereputan Makanan

 
Masalah nafas berbau secara umumnya berpunca daripada proses penguraian sisa makanan oleh bakteria yang menghasilkan bau yang kurang enak dan lebih dikenali sebagai “halitosis”. Sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut menjadi makanan kepada bakteria yang biasanya berada di celah-celah gigi dan gusi yang merupakan tempat sesuai bagi bakteria. Namun lidah juga merupakan tempat di mana bahan pereputan ini biasanya berkumpul, kerana lidah juga mempunyai bahagian yang menyerupai rerambut yang memerangkap bahan pereputan bakteria tersebut.
 

Bangun Dari Tidur

 
Nafas anda mempunyai bau yang lebih kuat apabila baru bangun daripada tidur, dan ini merupakan masalah yang normal. Semasa anda tidur, penghasilan air liur yang membantu membersihkan mulut dikurangkan - bagi membolehkan anda tidur dengan nyenyak. Namun bakteria di dalam mulut akan terus melakukan kerja-kerja mereka dalam menghurai sisa makanan. Ia boleh dikurangkan dengan memastikan anda membersihkan gigi dan mulut sebelum tidur. Manakala anda membersihkan mulut apabila bangin sebelum memulakan hari anda bersama-sama orang lain.
 
Sesetengah makanan juga boleh menyebabkan nafas berbau.

Bernafas dengan mulut menyebabkan mulut menjadi kering.


Bernafas Dengan Mulut

 
Bagaimana bernafas dengan mulut menyebabkan masalah nafas berbau? Bernafas dengan mulut menyebabkan air liur anda menjadi kering dan proses membersihkan mulut dengan air liur menjadi kurang, sama juga seperti seperti anda tidur. Masalah ini mungkin menjadi lebih ketara apabila anda bernafas dengan mulut ketika tidur. Jadi masalah ini boleh ditangani dengan memberikan perhatian kepada cara anda bernafas sehingga anda dapat mengawal kaedah anda bernafas dengan baik - melainkan anda mempunyai masalah kesihatan, seperti ketika mengalami masalah selesema.
 

Makanan Yang Dimakan Menyebabkan Nafas Berbau

 
Sesetengah makanan menyebabkan nafas anda berbau seperti bawang, rempah, petai dan jering, budu, belacan dan sebagainya. Namun begitu bahan makanan ini akan hilang setelah beberapa jam - kesan pembersihan sisa makanan daripada air liur di dalam mulut. Namun ia boleh juga dihasilkan apabila anda sendawa - kesan daripada bau yang meruap daripada perut semasa proses penghadaman makanan berlaku. Jadi bagi mengurangkan masalah nafas berbau ini, anda juga perlu memberikan perhatian kepada makanan yang anda makan - terutamanya apabila anda perlu menghadiri majlis yang memerlukan anda bergaul dengan orang ramai.
 

Anda Tidak Makan Sebarang Makanan

 
Apabila anda tidak memakan sebarang makanan untuk tempoh yang lama, mulut anda akan menjadi kering kerana air liur kurang dihasilkan. Ini kerana air liur dihasilkan apabila anda memakan sesuatu - ini merupakan tindak balas semulajadi bagi membersihkan mulut. Air liur ini juga selain membersihkan mulut, ia turut digunakan bagi memudahkan proses menelan makanan selain menyediakan enzim bagi membantu proses penghadaman. Jadi anda perlu ingat, sekiranya anda tidak makan dalam tempoh yang lama - anda mungkin mempunyai bau nafas yang kuat, walaupun anda telah pun membersihkan gigi dan mulut dengan baik.
 

Merokok

 
Merokok menyebabkan nafas berbau kerana bau yang dihasilkan oleh rokok itu sendiri. Selain itu juga ia menyebabkan mulut menjadi kering dengan pengurangan air liur yang dihasilkan. Jadi nafas berbau merupakan antara masalah yang lebih mudah berlaku kepada para perokok.

Pemakaian peralatan penjagaan gigi memerlukan teknik pembersihan khusus.

Pembersihan lidah dapat membantu masalah nafas berbau.

 

Masalah Pernafasan

 
Masalah pernafasan seperti ‘post-nasal drip’, juga boleh menyebabkan punca kepada nafas berbau. Ini kerana, cecair daripada hidung ini sebenarnya akan mengalir ke dalam mulut dan berkumpul di atas lidah anda. Ini juga akan menghasilkan masalah nafas berbau. Anda boleh mengawasi perkara ini apabila anda mengalami masalah pernafasan seperti batuk dan selsema.
 

Masalah Kaviti

 
Masalah gigi bermula apabila anda mempunyai kaviti (gigi berlubang). Jadi sebelum ianya terjadi, pastikan anda cuba mencegahkan sebaik mungkin. Masalah kaviti memburukkan lagi kesan nafas berbau. Ini kerana sisa makanan yang tertingagal di dalam kaviti sukar dibersihkan dan menyebabkan bakteria mudah membiak. Bagi mengelakkan masalah ini, anda perlulah menampal gigi yang yang mempunyai kaviti bagi mengelakkannya daripada bertambah buruk.
 

Penggunaan Peralatan Penjagaan Gigi

 
Penggunaan peralatan ‘orthodontic’, seperti gigi palsu, braces, positioner, expander dan pelbagai lagi peralatan yang diletakkan di dalam mulut boleh memerangkap sisa makanan yang menyebabkan pembiakan bakteria yang menyebabkan masalah nafas berbau. Adalah diingatkan bahawa penggunaan peralatan ini penting bagi membantu anda mendapatkan tahap kesihatan gigi yang lebih baik. Namun begitu, anda perlu memberikan perhatian yang tinggi dalam tempoh penggunaannya kerana ia perlu dibersihkan dengan teliti - terdapat pelbagai peralatan yang boleh digunakan untuk tujuan ini. Anda juga akan mendapat kesan yang lebih positif daripada hasil rawatan daripada peralatan tersebut.
 

Masalah Pedih Ulu Hati (Heartburn)

 
Walaupun masalah halitosis kebanyakannya berpunca daripada bauan yang terhasil daripada bahagian mulut dan tekak, namun ia juga boleh berpunca daripada masalah yang berpunca dari sepanjang rangkaian sistem pencernaan. Masalah seperti ‘gastroesophageal reflux disease’ (GERD), di mana kandungan dari dalam perut ditolak semula ke bahagian esofagus. Daripada kajian yang diterbitkan pada tahun 2007 di dalam jurnal Oral Diseases, mendapati masalah nafas berbau adalah lebih tinggi bagi mereka yang mengalami masalah GERD berbanding dengan mereka dengan masalah penghadaman yang lain. Ini dikatakan mungkin berpunca daripada kerosakan tisu tekak yang disebabkan oleh asid perut.

Terdapat pelbagai kaedah membantu menyegarkan nafas secara semulajadi. 

 

Masalah Tekak (Strep Throat)

 
Masalah sakit tekak juga adalah disebabkan jangkitan bakteria yang menyebabkan masalah nafas berbau. Terdapat pelbagai jenis masalah jangkitan tekak dan hidung yang boleh menghasilkan bau nafas yang kurang enak. Jadi anda perlulah peka dalam menjaga kesihatan tekak dan hidung - seperti mengelakkan daripada terdedah kepada pencemaran dan membersihkan tekak dan mulut dengan sempurna.
 

Bakteria Mulut

 
Bakteria mulut merujuk kepada jenis bakteri yang menjadikan mulut anda sebagai tempat tinggal bagi mereka. Ini sama juga seperti bakteria yang mendiami bahagian usus anda yang dikenali sebagai mikrobiota (microbiome). Mikrobiota seseorang individu adalah unik berbanding individu lain. Jadi anda mempunyai bau nafas yang juga agak unik kepada anda sendiri. Sekiranya anda mempunyai bau nafas yang kuat walaupun setelah membersihkan gigi dan mulut dengan baik - maka anda mungkin mempunyai bakteria mulut yang menghasilkan masalah ini. Jadi anda perlu membersihkan gigi dan mulut secara lebih kerap.
 

Anda Mengalami Sjogren’s Syndrome

 
Sjogren’s syndrome (SS) merupakan antara masalah autoimun yang sering berlaku kepada wanita pada peringkat umur pertengahan. Antara gejala SS adalah menyebabkan mulut menjadi kering - dan ini semestinya menyebabkan masalah halitosis kepada pengidapnya. Masalah SS juga boleh berlaku kepada mereka yang lebih muda dan mereka yang sihat - Venus Williams adalah antara pengidap SS yang dikesan pada 2011.
 

Selain daripada masalah nafas berbau itu sendiri, terdapat juga kira-kira 1% daripada manusia yang menghidap halitophobia - yang merasakan mereka mempunyai nafas berbau. Seperti juga masalah phobia yang lain ia mungkin boleh menyebabkan kesan yang serius - dan gangguan kepada mental seseorang. Masalah ini menjadi lebih terus sekiranya pengidap mula merasakan masalah bau nafas ini menyebabkan orang lain mula menjauhi mereka. Bagi pengidap masalah ini, bantuan pakar psikologi adalah diperlukan bagi mengelakkan kesan yang lebih serius.
 
Bau nafas adalah perkara yang normal, tetapi perlu diberikan perhatian - di mana ia juga membantu anda mengesan tahap kebersihan dan kesihatan seseorang. Masalah nafas berbau tidak semestinya berpunca daripada sikap pengotor - malah kebanyakan pengidap masalah ini tidak menyedarinya (dan kebijaksanaan seseorang dalam memberitahu pengidap masalah ini dapat membantu mereka mengatasi punca masalah). Melalui pemahaman ini diharap kita dapat membantu penghidap masalah ini atau mungkin kita sendiri dalam mengatasi masalah nafas berbau. Semoga ia memberikan manfaat.
 
Rujukan:
 
1) Health.com
2) Mappes Orthodontics

No comments:

Post a Comment

Blog Archive