Jumaat, 28 Mac 2014

Keunikan Hidupan Laut Kima (Kerang Gergasi)

Kima-Chama gigantea
Keindahan kerang gergasi di kawasan terumbu karang.

Kima atau juga dikenali sebagai kerang gergasi adalah merupakan antara hidupan yang menghuni perairan terumbu karang Sabah (Borneo). Kima atau nama saintifiknya Tridacna gigas/Chama gigantea menghuni perairan terumbu karang pada kedalaman 20 meter yang menjangkau perairan Selatan Pacific hingga ke Lautan Hindi. Selain daripada saiznya yang boleh menjangkau sehingga melebihi 1 meter ia juga boleh mencapai umur sehingga ratusan tahun.

Keunikan hidupan ini selain daripada saiznya yang menjangkau sehingga melebihi 1 meter, adalah keupayaannya untuk menggunakan alga yang mampu hidup pada permukaan dalamannya dan mendapat sumber makanan daripada alga tersebut apabila ia menjalankan fotosintesis. Ini membolehkan kerang gergasi membesar dengan sempurna walaupun pada perairan yang kurang mengandungi plankton. Hubungan simbiosis seperti ini juga turut digunakan oleh hidupan lain seperti obor-obor (pada sebahagian spesies).

Saiz kerang gergasi yang pernah direkodkan adalah mencapai sehingga 137 cm (4.49 kaki) yang diperolehi pada tahun 1817 di pesisir pantai Sumatera Barat. Berat kulit kerang tersebut mencapai sehingga 230 kilogram dan dianggarkan berat semasa hidup boleh mencapai sehingga 250 kilogram. Kulit kerang gergasi tersebut kini disimpan di museum Ireland Utara.

Kulit kerang gergasi
Kulit kerang gergasi yang disimpan di Aquarium Finisterae, Spain.

Satu lagi spesimen yang diperolehi daripada kepulauan di Ishigaki, Jepun pula pada tahun 1956 menemukan kerang yang mencapai saiz sehingga 115 cm (3.77 kaki) dengan berat cengkerang mencapai 333 kilogram. Para saintis menganggarkan berat hidup kerang ini mungkin boleh menjangkau sehingga 340 kilogram.

Kerang gergasi yang mendiami kawasan terumbu karang akan membuka cengkerang dan mendedahkan bahagian dalamannya kepada cahaya matahari. Ini membolehkan alga yang hidup pada permukaan kulit dalaman tadi melakukan proses fotosintesis dan membolehkan ia juga mendapat hasil daripada alga tersebut. Permukaan kulit ini kelihatan amat cantik apabila terdedah kepada cahaya matahari – kesan daripada pantulan UV.

Kerang gergasi di dasar laut
Kerang gergasi di dasar laut.

Oleh kerana kerang gergasi akan berada pada suatu tempat untuk tempoh masa yang lama maka ia terdedah kepada bahaya musuh terutamanya manusia yang menjadikannya sebagai sumber makanan. Proses tumbesarannya yang lama menyebabkan jumlahnya turun secara mendadak. Proses pemuliharaan giat dilakukan oleh banyak negara termasuk Malaysia dan Australia. Di Malaysia usaha pemuliharaan dilakukan oleh Marine Ecology Research Center (www.merc-gayana.com) yang berpusat di Pulau Gaya, Sabah. Usaha ini dijalankan sejak 2007 dan telah berjaya melepaskan semula anak-anak kerang gergasi ke habitat yang sesuai.

Seperti juga spesies-spesies hidupan liar yang lain, kerang gergasi mengalami masalah kepupusan adalah disebabkan kadar tangkapan/buruan yang tinggi berbanding kadar pembiakan yang perlahan. Ini kerana kerang ini bukan sahaja menjadi sumber makanan masyarakat tempatan malah menjadi buruan mereka yang ingin memilikinya sebagai koleksi untuk dipelihara di dalam akuarium sebagai hiasan. Perkara yang lebih buruk mungkin boleh berlaku sekiranya habitat semulajadi mereka terganggu dan menyebabkan kematian hidupan unik ini.


Mungkin sekiranya mendapat peluang untuk merasa keunikan masakan kima ini saya juga ingin mencuba. Tapi apa yang lebih penting diharap usaha memelihara kelangsungannya juga patut diberikan perhatian. Adalah diharap kita sama-sama dapat membantu memelihara kerang gergasi ini daripada terus pupus.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog