Khamis, 6 Mac 2014

Bagaimana Memiliki Taman Mini Yang Cantik

beautiful garden
Taman yang cantik hasil daripada perancangan yang tersusun.

Pernahkah anda terfikir untuk memiliki taman mini di rumah yang cantik seperti yang sering dilihat di taman-taman bunga? Taman-taman yang anda lawati mungkin memiliki bunga yang tersusun rapi dengan saiz yang hampir sama dan bunga-bungaan yang menarik dan subur. Bagaimana ia dapat dihasilkan oleh para penjaga taman tersebut? Mari kita ikuti tips-tips yang membolehkan anda memiliki taman seumpama ini dengan mudah.

Taman-taman bunga disediakan secara terancang maka setiap tumbuhan yang ditanam di dalam kawasan tersebut disusun dengan rapi mengikut pelan yang disediakan. Selain itu juga setiap pokok yang ingin ditanam dipastikan kesesuaiannya terlebih dahulu sebelum ditanam ini bagi memastikan pokok tersebut dapat tumbuh dengan baik dan menghasilkan bunga yang menarik (bagi tumbuhan yang berbunga). Selain dari proses tanaman proses penjagaan juga diberikan penekanan bagi memastikan pokok tersebut dapat terus hidup dengan subur dan sentiasa kelihatan menarik.

Untuk mendapatkan satu taman yang menarik anda perlulah melakukan beberapa proses seperti berikut:

i) Pelan perancangan & penyediaan tapak

ii) Tapak semaian benih

iii) Sistem pengairan/perparitan

iv) Rutin penjagaan

Pelan Perancangan & Penyediaan Tapak

Pelan perancangan awal memudahkan proses pembinaan dan tanaman.

Sebuah taman yang menarik dapat dilihat hasilnya pada tahap perancangan lagi. Ini kerana melalui perancangan yang betul hasil seperti yang dirancangkan akan terhasil setelah taman siap dibina. Setiap bahan dan pokok-pokok yang akan ditanam disusun mengikut kesesuaian lokasi dan saiz kawasan yang disediakan. Kesesuaian lokasi tanaman juga dapat dilihat lebih awal di peringkat perancangan lagi. Pada tahap ini anda seolah-olah dapat menyaksikan hasil sebenar taman anda nanti.

Penyediaan tapak adalah menyediakan kawasan sesuai untuk menempatkan bahan serta tanaman anda nanti. Ini meliputi penyediaan tanah sesuai untuk tanaman serta penanaman paip saliran, kabel elektrik (sekiranya perlu) dan juga bentuk muka bumi seperti yang diperlukan. Penyediaan tanah penting bagi kawasan perumahan baru yang meliputi proses rawatan tanah kerana tanah di kawasan perumahan baru biasanya tidak sesuai untuk tanaman. Rawatan tanah dapat mengembalikan kesuburan tanah serta memastikan tanaman anda untuk hidup subur.

Bagi kawasan taman yang kecil anda mungkin tidak mempunyai masalah yang besar. Sedikit rawatan tanah menggunakan tanah hitam atau ‘moss peat’ dapat mengembalikan semula kesuburan tanah tersebut. Sekiranya anda mempunyai kawasan taman yang lebih luas, penyediaan yang lebih rapi perlulah dibuat bagi memudahkan rawatan yang lebih berkesan dilakukan. Ini termasuk pemeriksaan pH tanah bagi memastikan kaedah rawatan yang sesuai.

Tapak Semaian Benih

Tapak semaian mampu menyediakan anak benih pokok yang subur dan cantik.

Tapak semaian benih adalah tempat di mana tempat penyediaan semua pokok yang akan ditanam di taman anda. Ia merupakan satu keperluan penting bagi memastikan taman anda sentiasa memiliki pokok yang tersusun cantik. Tapak semaian akan menjadi tempat di mana semaian benih dilakukan dan hanya pokok yang sihat sahaja akan dipindahkan ke taman anda.

Tapak semaian mungkin terdiri daripada sebuah rumah hijau kecil yang mempunyai jaring teduhan untuk membantu pokok hidup subur. Di sini pokok akan ditanam di dalam bekas-bekas kecil sehingga sesuai untuk dialihkan ke kawasan tanaman yang sesuai. Anda boleh membina para dan meletakkan tanaman secara bertingkat untuk menjimatkan ruang di sini. Malah banyak proses penyediaan tanaman boleh dilakukan sebelum tanaman sedia untuk dialihkan.

Semasa penyemaian benih adalah sukar untuk memastikan samada pokok anda mampu tumbuh dengan sihat atau tidak. Namun semasa proses pertumbuhan ia dapat dilihat melalui kadar pertumbuhan pokok-pokok tersebut. Pokok yang terhasil daripada biji/anak pokok yang rosak akan terbantut semasa proses pembesaran. Maka anak benih ini bolehlah diasingkan. Melalui kaedah ini, pokok yang dialihkan ke kawasan taman akan mempunyai tumbesaran yang hampir sama dan bunga yang lebih cantik.

Sistem Pengairan/perparitan

Sistem pengairan yang terancang memudahkan penjagaan taman anda.

Sistem pengairan dan perparitan dapat memastikan pokok mendapat bekalan air yang secukupnya. Ia juga dapat mengelakkan kawasan air bertakung yang boleh merosakkan tanaman anda. Sistem pengairan yang berlebihan akan menyebabkan baja yang digunakan untuk tanaman dibawa air ke dalam longkang. Ini akan menyebabkan pembaziran dan juga membawa masalah kepada ekosistem di dalam air (kolam , sungai dan tasik). Elakkan air ini masuk ke dalam kolam, sekiranya taman anda memiliki kolam hiasan.

Sistem pengairan yang efektif dapat mengairi taman anda dengan cukup, mengoptimumkan serapan baja untuk tanaman serta tiada pembaziran. Jadi anda perlu memastikan sistem ini sentiasa beroperasi dengan baik. Anda boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk mengairi taman anda samada menggunakan sistem pancuran seperti ‘sprinkler’, ‘fertigasi’ atau pancuran getah biasa. Semuanya bergantung kepada keperluan dan kemampuan anda dari segi belanja dan masa yang boleh anda peruntukkan.

Selain daripada penyiraman sahaja, anda boleh menggunakan ‘mulching’ untuk mengekalkan lembapan pada tanah (seperti penggunaan ‘coco peat’). Ini dapat mengelakkan anda menggunakan air yang terlalu banyak. Penggunaan batu-batu kerikil pula dapat mencantikkan lagi taman anda disamping mengelakkan pertumbuhan rumpai.

Rutin Penjagaan

Kaedah yang betul membantu anda dalam pelbagai cara.
(Penggunaan LECA untuk tanaman).

Rutin penjagaan penting dalam memastikan taman anda kelihatan tetap cantik sepanjang masa. Ia perlu dirancang sejak awal lagi. Jadi anda dapat menyesuaikan waktu yang perlu anda luangkan untuk penjagaan taman anda. Ini termasuklah masa di mana tumbuhan yang ditanam perlu diganti. Tumbuhan kecil yang berbunga biasanya perlu diganti dengan lebih kerap (3 ~ 4 bulan). Namun dengan adanya tapak semaian benih anda boleh menyediakan tanaman ganti ini dalam tempoh masa yang sesuai. Namun sekiranya anda mempunyai waktu yang terhad gunakanlah pokok yang boleh kekal lama – seperti tumbuhan yang berdaun rimbun dan berkayu.

Bagi tujuan penjagaan juga anda boleh menggunakan kaedah seperti penggunaan ‘coco peat’ dan batu-batu bagi mengurangkan kerja-kerja merumput. Disamping itu terdapat bahan tanaman seperti ‘perlite’, ‘leca’ atau sebagainya yang dapat memudahkan lagi penjagaan tanaman anda. Anda juga boleh menggunakan pelbagai teknik pembajaan bagi memastikan pokok anda mendapat baja yang cukup dan sentiasa subur. 

Gabungan baja organik, kimia dalam bentuk pepejal dan cecair boleh digunakan. Ini kerana kedua-dua bentuk baja perlu dalam mengekalkan pokok tumbuh dengan baik. Fahami kaedah penggunaan baja dengan betul bagi mengelakkan pokok anda rosak.

Minat dan ilmu pengetahuan penting untuk sesuatu perkara.
(Penggunaan perlite untuk tanaman).

Untuk memiliki sebuah taman yang cantik dan teratur tidaklah menjadi suatu perkara yang sukar sekiranya anda mempunyai perancangan yang teratur. Apa yang penting anda perlulah melakukan lebih pengamatan pada tumbuhan anda disamping sedikit usaha untuk mempelajari kaedah penjagaan tanaman yang betul. Sekiranya anda mampu mengikuti langkah-langkah seperti yang disebutkan tadi taman anda pasti akan sentiasa kelihatan cantik dan teratur.


Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog