Rabu, 20 Oktober 2021

Sayuran-sayuran Yang Mudah Ditanam di Sekeliling Rumah

Sayuran lebih sedap apabila anda menanamnya sendiri.
 
Sayuran merupakan sumber makanan yang penting dalam membekalkan sumber khasiat pemakanan. Samada kita tinggal di bandar mahupun di kampung, bekalan sayuran kebiasaannya didapati daripada pembekal sayuran (dalam erti kata lain, ianya dibeli). Walaupun kita sering mendengar mengenai penggunaan racun serangga atau lain-lain bahan kimia yang digunakan di dalam pertanian boleh mengkibatkan masalah kesihatan. Namun tujuan kita kali ini adalah untuk melihat sejauh manakah kita mampu menyediakan bekalan sayuran sendiri melalui penanamannya di sekeliling rumah.
 
Penanaman sayuran di sekeliling rumah bukanlah bermaksud anda tidak perlu membeli sayuran di pasar. Sebaliknya terdapat beberapa kelebihan lain yang anda mungkin tidak sangka tersimpan disebalik aktivi yang amat menarik ini. Kemampuan menanam sayuran pula bergantung kepada kesesuaian persekitaran tempat tinggal anda. Di mana bagi mereka yang tinggal di rumah flat atau kondominium misalnya, mempunyai ruang yang amat terhad untuk tujuan ini. Namun, itu tidak bermakna, anda tidak boleh langsung mencuba.

 
Kita akan kembali semula kepada faedah aktiviti menanam sayuran atau tumbuhan di penghujung artikel ini nanti. Sebelum itu kita akan melihat beberapa jenis sayuran yang dengan mudah anda boleh mencuba menanamnya di rumah, dalam kuantiti yang kecil (samada untuk kegunaan sendiri, untuk hiasan atau sebagai meluangkan masa lapang). Namun pada kali ini saya lebih menekankan pada sayuran yang boleh ditanam di dalam bekas yang kecil kerana ianya sesuai bagi mereka yang mempunyai ruang tanaman yang kecil. Jadi bagi mereka yang mempunyai kawasan yang lebih luas, bolehlah menanamnya dalam kuantiti yang lebih banyak.
 
Sawi

Sayuran sawi banyak digunakan sebagai bahan campuran masakan.

Sawi merupakan tanaman yang paling terkenal bagi masyarakat Malaysia khususnya. Sayuran yang biasa dicampur dalam pelbagai masakan seperti nasi goreng, mee goreng, mee segera, masakan sup ataupun digoreng ‘stir-fry’ dengan campuran bahan-bahan yang lain. Jadi sawi merupakan tanaman yang paling sesuai dicuba kerana kebarangkalian untuk anda menggunakannya juga adalah tinggi.
 
Sawi mudah ditanam daripada biji yang boleh didapati di kedai menjual benih tumbuhan, selain itu ia juga boleh ditanam daripada keratan batang atau lebihan daripada masakan. Ia boleh ditanam terus ke atas tanah yang disediakan. Perlu dipastikan tanah yang tidak terlalu kering kerana ia membantutkan proses pembesaran sawi yang sememangnya memerlukan jumlah air yang sekata disepanjang proses pembesaran. Tanah hitam yang kaya nutrient amat sesuai untuk tanaman sawi. Selain itu campuran pasir penting bagi mengelakkan tanah yang terlalu padat. Tanaman sawi merupakan tanaman jangka pendek yang sesuai untuk dicuba di peringkat awal.
 
Kangkung

Kangkung mudah ditanam, dan mudah dimasak.

Kangkung, seperti juga sawi, adalah merupakan tanaman suka-suka, kerana merupakan tanaman yang paling mudah penjagaannya. Sesuai dengan cuaca tropika, pejagaan selebihnya hanyalah untuk memastikan ia tumbuh dengan lebih sihat dan subur. Kesesuaian kangkung sebagai bahan campuran di dalam masakan juga sama seperti sawi. Ia mudah dicampurkan hampir di dalam sebarang masakan. Malah ia juga selalu dijadikan gandingan bersama-sama Yong Tau Fu atau dimakan sebagai kangkung celur bersama sambal.
 
Kangkung boleh ditanam melalui biji atau daripada keratan batang. Keperluan penyediaan tanahnya juga tidak jauh berbeza daripada sawi. Apa yang berbeza adalah, ia lebih tahan cuaca berbanding sawi. Selain itu juga, kangkung lebih tahan sekiranya terdedah kepada keadaan yang berair. Terdapat juga jenis kangkung air atau juga dikenali sebagai kangkung paya. Bagi anda yang baru mencuba, kangkung merupakan satu lagi sayuran yang sesuai untuk dicuba, bagi memberikan anda galakan untuk terus menanam.
 
Sawi Cina (Bok Choy)

Bok Choy, seperti juga sawi tetapi lebih gemuk.

Bok Choy seakan-akan sawi dan mempunyai karakter yang hampir sama. Ia boleh ditanam melalui biji ataupun keratan batang. Dari segi kegunaan, ia sesuai dimasak sebagai masakan manis. Rasanya juga tidak sepahit sawi. Saiznya yang lebih kecil berbanding sawi membuatkan ianya disediakan secara keseluruhan daun dan batang pelepahnya. Bok Choy merupakan sayuran yang amat menarik apabila anda mula mengenali fungsinya di dalam masakan.
 
Dari segi penyediaan tanah juga adalah sama seperti sawi. Jadi anda boleh menanam kedua-dua tanaman sekali atau secara beselang-seli. Bagi mendapatkan hasil tanaman yang baik, pastikan anda menggunakan tanah yang kaya nutrient seperti tanah hitam, atau pastikan anda melakukan pembajaan bagi memastikan tumbesaran pokok yang lebih memberangsangkan.
 
Bayam

Bayam, sayuran yang adakalanya tumbuh secara meliar.

Terdapat dua jenis bayam yang mudah ditanam iaitu bayam biasa dan bayam merah. Kedua-duanya hampir sama, boleh ditanam menggunakan biji atau keratan batang. Namun untuk hasil tanaman yang baik, penggunaan biji adalah lebih sesuai bagi bayam. Bayam boleh digunakan sebagai campuran masakan dan boleh juga dimasak sebagai bahan utama. Bayam merah pula, selain sesuai sebagai sayuran, ia juga cantik sebagai tanaman hiasan.
 
Penyediaan tanah bagi tanaman bayam sama juga seperti kangkung. Apa yang berbeza, bayam tidak tahan dengan air yang banyak seperti kangkung. Namun penjagaannya amat mudah. Pastikan anda membiarkan sebahagian daripada bayam anda untuk berbunga dan menghasilkan bijian untuk penanaman seterusnya. Bayam adakalanya tumbuh secara liar tanpa penjagaan.

 
 
Terdapat beberapa jenis tanaman lain yang mudah ditanam di dalam bekas kecil bagi mereka-mereka yang tinggal di kediaman yang memiliki ruang terhad untuk tanaman. Apa yang ditekankan pada kali ini adalah tanaman berbentuk sayuran yang boleh digunakan secara keseluruhannya. Tidak seperti tanaman-tamaman herba yang lain seperti daun sup/saderi , daun ketumbar, cili padi, serai, daun pandan, kunyit, halia, bawang, daun pudina, lobak, bendi, selasih dan lain-lain lagi. Tumbuhan-tumbuhan tersebut akan dimuatkan di dalam artikel yang lain.

***
 
Berbalik kepada faedah penanaman sayuran di rumah secara kecil-kecilan, di sini dikongsikan sebahagian daripadanya.
 
Penggunaan waktu lapang untuk aktiviti yang berfaedah. Kerana masa akan terus berlalu tanpa dapat diulang semula. Melalui aktiviti seperti ini, yang mengambil sedikit masa dalam sehari adalah antara lain, berbentuk kerehatan (berbanding meluangkan masa tanpa sebarang aktiviti yang memberikan hasil). Ia antara lain mengurangkan stress, kerana anda tidak memikirkan perkara yang memberikan anda tekanan.
 
Semasa melakukan aktiviti tanaman kecil-kecilan begini, anda juga perlu mencari maklumat, merancang dan mejalankan aktiviti tanaman yang mengambil masa beberapa bulan. Ia sebenarnya melatih anda menjalankan aktiviti secara teratur sama juga seperti “project manager”. Ya, anda adalah pengurus projek anda sendiri, dan mungkin melatih anak-anak anda untuk turut serta.
 
Melalui penanaman tumbuhan juga, kita mempelajari keperluan tumbuh-tumbuhan untuk hidup subur. Walaupun kita tidak perlu mengetahuinya secara terperinci, kita mula menyedari tumbuh-tumbuhan juga memerlukan udara, air dan nutrient seperti juga kita untuk hidup sihat dan subur. Bagi petani-petani yang lebih serius, pengetahuan biologi tumbuhan sememangnya merupakan pengetahuan penting, terutamanya dalam memastikan tumbuhan dapat menghasilkan pulangan yang lebih tinggi.

 
Yang paling penting, dalam aktiviti seperti ini, ia tetap akan memberikan kepuasan apabila anda dapat menuai hasil daripada tanaman anda sendiri. Kejayaan seperti inilah yang memberikan anda keyakinan untuk mencuba sesuatu yang lebih besar, dan menginspirasi ahli keluarga lain juga untuk mencuba perkara-perkara yang memberikan hasil yang positif.

Bagi masa-masa seperti sekarang, dengan keadaan yang tidak menentu, penanaman sayuran secara kecil-kecilan merupakan perkara yang patut kita cuba. Mungkin hari ini anda mengikut panduan ringkas di dalam artikel ini. Namun suatu hari nanti, anda akan mempunyai pengetahuan sendiri yang boleh dikongsikan bersama kami. Pastikan anda menanam, untuk kepuasan dan kejayaan yang memberikan manfaat. Selamat mencuba.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog