Isnin, 25 Oktober 2021

Bekas Yang Boleh Digunakan Untuk Tujuan Tanaman

Bekas tanaman yang sesuai menambahkan lagi seri tanaman hiasan.

Tajuk kali ini masih lagi berkaitan dengan tanaman. Namun tidak khusus kepada tumbuhan, sebaliknya bekas yang digunakan untuk tujuan tanaman tersebut. Tajuk ini dirasakan penting, kerana adakalanya kita mungkin kekurangan bekas tanaman atau mungkin memikirkan apakah bekas yang sesuai untuk dijadikan sebagai bekas untuk kegunaan sesuatu tanaman.
 
Bekas tanaman walaupun tujuan asalnya untuk menampung tanah ataupun medium-medium lain tanaman, turut memainkan peranan lain apabila tanaman tersebut mempunyai fungsi tertentu seperti sebagai hiasan, sebagai tanaman sementara atau untuk tujuan khusus seperti tanaman-tanaman istimewa dan eksotik. Maka sebab itulah tajuk kali ini, cuba berkongsi mengenai bekas-bekas tanaman mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita lebih berminat mengenai dunia tanaman.
 
Bekas-bekas tanaman dibahagikan kepada beberapa ketegori mengikut fungsinya. Ini kerana, melalui fungsi inilah bekas ini dapat berfungsi sepertimana yang diinginkan. Antara faktor penting dalam memilih bekas tanaman adalah faktor ketahanan, iaitu berapa lama bekas tanaman boleh bertahan sebelum ianya rosak. Ini kerana tanaman-tanaman yang ditanam dikategorikan kepada beberapa kumpulan.

 

Bekas Tanaman Sementara

 
Bekas tanaman sementara berfungsi untuk tanaman jangka pendek. Namun begitu ia amat penting dalam proses penanaman tumbuhan. Bekas tanaman sementara, digunakan untuk tujuan penyediaan anak benih tumbuhan, ataupun tumbuhan-tumbuhan jangka pendek. Jadi bekas tanaman sementara sendiri mempunyai pengkelasan seperti untuk tempoh beberapa minggu, sehingga untuk beberapa bulan dan beberapa tahun. Antara bekas tanaman sementara termasuklah.

Penggunaan kotak telur bukan sahaja menjimatkan, malah memudahkan proses penyemaian biji benih.

Kotak telur - kotak telur digunakan terutamanya sebagai tapak semaian. Ia digunakan kerana, ianya mudah dikendalikan (dibuat lubang, diubah bentuk dan dilupuskan apabila penggunaannya selesai). Ini kerana tapak semaian hanya digunakan hanya untuk tempoh beberapa hari sehingga beberapa minggu. Satu lagi kebaikan kotak telur adalah ianya mudah dilupuskan.
 
Kotak plastik - terdapat kotak plastik yang digunakan khas sebagai tapak semaian. Walaupun ia hanya digunakan untuk tempoh yang singkat. Ia boleh digunakan semula berulang kali. Kotak plastik sesuai kerana ianya ringan, tahan lasak dan mudah dikendalikan. Terdapat kotak plastik khas dijual untuk kegunaan sebagai tapak semaian, dan ia biasa digunakan oleh pembekal benih tumbuhan (nursery). Walaupun ia terpaksa dibeli, namun harganya tidaklah terlalu mahal.
 
Polybag - Polybag juga merupakan bekas tanaman sementara yang amat popular. Ini kerana polybag membolehkan tanaman terus membesar sebaik sahaja setelah bercambah, namun belum sesuai untuk dialihkan ke tapak tanaman kekal. Polybag kebiasaannya digunakan untuk tempoh beberapa bulan sehingga beberapa tahun, sehingga tanaman dialihkan ke tapak tanaman baru. Polybag adalah lebih murah dan mudah dikendalikan. Namun begitu setelah digunakan ia perlulah dilupuskan dengan baik bagi mengelakkan pencemaran kepada persekitaran.

Penggunaan botol plastik dapat mengelakkan pembuangan secara tidak terkawal.

Botol air plastik - Tidak dinafikan, penggunaan botol air plastik adalah penggunaan bekas tanaman sementara yang mudah lagi menjimatkan. Ini kerana ia banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita. Penggunaan botol plastik bukan sahaja mengelakkan ia daripada dibuang begitu sahaja, malah membantu anda menanam tumbuhan yang juga memberikan satu lagi faedah penjimatan.
 
Bekas makanan - Selain daripada botol air plastik, bekas-bekas makanan juga boleh digunakan untuk tujuan ini. Bekas tanaman sementara, tidak memerlukan ciri-ciri yang istimewa seperti reka bentuk yang unik, ketahanan tinggi atau harga yang mahal. Apa yang penting, bekas tanaman perlu mampu bertahan sehingga tanaman sedia untuk digunakan atau dipindahkan. Berbeza dengan botol air, bekas tanaman mungkin mempunyai saiz tanaman yang lebih besar, dan ini memberikan faedah tambahan.
 

Bekas Tanaman Hiasan

 
Berbeza dengan bekas tanaman sementara, bekas tanaman hiasan adalah bertujuan untuk peragaan. Walaupun ada sesetengah tanaman hiasan yang bersifat sementara, namun bekas tanaman yang digunakan perlulah sesuai dengan fungsinya, iaitu sebagai hiasan atau peragaan. Kita lihat pula bentuk-bentuk bekas yang sesuai digunakan untuk peragaan.

Botol kaca amat sesuai untuk tanaman hiasan, terutamanya bagi tumbuhan yang boleh hidup dengan hanya menggunakan air.
 
Botok-botol Kecil - tidak seperti tanaman sementara yang menggunakan botol plastik, untuk tanaman hiasan, botol kaca adalah lebih sesuai. Walaupun botol-botol ini, adakalanya juga adalah botol daripada barangan yang digunakan seharian. Botol selain mempunyai rupa yang lebih cantik, ia juga tahan lama serta mudah dibersihkan. Botol yang digunakan bolehlah digunakan mengikut jenis tanaman yang ingin ditanam seperti saiz, warna dan lokasi.
 
Gelas - Selain daripada botol kaca, gelas juga sesuai digunakan sebagai bekas tanaman. Sesetengah tumbuhan yang boleh ditanam terus di dalam air misalnya sesuai menggunakan bekas seperti ini. Manakala, gelas-gelas yang mempunyai reka bentuk serta warna yang menarik pula mungkin menambahkan lagi keunikan penampilan tanaman hiasan yang ditanam. Bekas-bekas kaca kebiasaannya digunakan sebagai terrarium.

 
Pasu Hiasan - Pasu hiasan, terdiri daripada pelbagai jenis, warna, bahan pembuatan, harga dan keunikan pembuatannya yang tersendiri. Tidak mengira jenisnya, pasu-pasu dipilih mengikut lokasi ianya digunakan. Pasu hiasan yang digunakan di luar rumah misalnya, mungkin lebih ringkas berbanding dengan pasu yang digunakan di dalam rumah. Pasu-pasu juga digunakan mengikut saiz tanaman yang ingin ditanam, ia mungkin pasu kecil daripada bahan plastik atau, pasu bersaiz besar yang menampung tumbuhan bersaiz besar pula. Jadi, pasu hiasan mempunyai tajuk perbincangan yang amat luas sekiranya ingin dibincangkan dengan lebih teliti.
 
Mentol Kaca - Selain daripada botol-botol kaca, adakalanya bahan-bahan seperti mentol kaca terpakai juga boleh digunakan sebaga bekas tanaman. Ia sesuatu yang baik kerana satu lagi penggunaan bahan terpakai. Bagi membolehkan botol kaca digunakan, anda perlulah membuang bahagian dalaman (filamen) mentol tersebut. Proses ini perlu dilakukan dengan berhati-hati, dan mungkin boleh mendatangkan kecederaan. Jadi sekiranya anda kurang mahir, dapatkan bantuan atau gunakan bahan yang lebih selamat.

Tayar terpakai sukar dilupuskan, penggunaannya sebagai bekas tanaman merupakan salah satu kaedah penggunaan semula yang praktikal.

Tayar Terpakai - Tayar terpakai merupakan bekas tanaman yang telah digunakan semenjak sekian lama. Ia digunakan tertamanya bagi tanaman di luar rumah, di mana keadaan yang lebih lasak diperlukan. Tayar samada digunakan secara terus, atau ada juga yang diterbalikkan dan dipotong mengikut kesesuaian. Penggunaan tayar dapat mengelakkan pembuangan tayar yang tidak terkawal, selain ianya lebih murah berbanding menggunakan bekas-bekas tanaman yang lain.
 
Bekas Batu atau Simen - Adakalnya untuk memudahkan tanaman hiasan, bekas tanaman disediakan terus menggunakan batu dan simen. Ia digunakan apabila saiz tanaman yang diperlukan adalah lebih luas atau besar. Ia biasa digunakan di pinggir-pinggir bangunan, tepian pejalan kaki atau taman-taman bunga. Bekas binaan seperti ini, lebih murah dan mudah kerana saiznya yang besar dan sesuai juga digunakan untuk tumbuhan bersaiz besar juga.
 

Bekas Tanaman Istimewa

 
Bekas tanaman ini adalah menarik, kerana ia juga merupakan bekas tanaman hiasan. Boleh juga dikategorikan sebagai bekas tanaman untuk teknik-teknik tanaman tertentu yang tidak digunakan dalam teknik tanaman konvensional. Mari kita lihat contoh bekas-bekas tanaman istimewa.

Bekas bonsai perlu mampu menyerlahkan keunikan rupa bentuk bonsai yang ditanam.

 
Bekas Bonsai - Bonsai merupakan tanaman unik yang memerlukan peragaan istimewa. Sesetengah bonsai mencapai usia ratusan tahun. Bagi menyerlahkan lagi keunikan rekaan bonsai, bekasnya juga perlu mampu menyerlahkan ciri-ciri keunikan tersebut. Ia bukan sahaja dari segi rupa bentuk bekas, malah bahan yang digunakan. Apa yang menarik, tiada bentuk khas untuk bonsai, malah, ia juga merupakan sebahagian daripada hasil keunikan rekaan bonsai tersebut. Bonsai merupakan hasil seni seperti juga lukisan, ukiran, syair dan lagu.
 
Tanaman Komersial - tanaman komersial juga adakalanya adalah tanaman hiasan, dan adakalanya dihasilkan dalam jumlah yang banyak untuk tujuan penjualan secara pukal. Tanaman komersial, seperti tanaman di dalam rumah hijau, mempunyai bekas tanaman yang berbeza daripada bekas-bekas tanaman lain. Apatah lagi, di sesetengah lokasi, rumah hijau turut mempunyai sistem kawalan suhu dan pam gas karbon dioksida untuk menggalakkan pertumbuhan tanaman. Ada juga bekas tanaman khusus untuk jumlah yang kecil dengan kawalan tertentu untuk penjagaan tumbuhan seperti Electrolux Moots, Smart Mountain, OGarden, bekas tanaman tanpa siraman dan macam-macam lagi rekaan unik. Bekas-bekas seperti ini amat sesuai bagi mereka yang sibuk dan sukar melapangkan masa untuk tumbuhan.

 
Hydroponics & Aeroponics - Walaupun tiada bekas atau reka bentuk khas untuk kedua-dua system ini, namun keduanya mempunyai standard dari segi konsep. Jadi terdapat bekas-bekas tanaman daripada sistem ringkas (untuk tanaman bersaiz kecil), sehingga sistem yang lebih besar (bagi tanaman komersial). Apa yang berbeza daripada kaedah tanaman yang lain, sistem ini perlu menggunakan pam dan sistem kawalan yang lebih sofistikated. Selain itu, sistem yang hampir sama dengan kedua-dua kaedah penanaman ini adalah aquaponics.

Walaupun berbeza dengan kaedah tanaman biasa, tanaman menegak mempunyai peranan tersendiri yang memberikan manfaat.
 
Vertical Planting (tanaman menegak) - Tanaman menegak mungkin terdiri daripada teknik-teknik tanaman seperti hydroponics, aeroponics, aquaponics atau medium tanaman lain. Dalam teknik tanaman menegak, tanaman ditanam secara menegak, berbanding secara mendatar dalam teknik tanaman biasa. Tanaman menegak bertujuan untuk menjimatkan ruang yang digunakan dalam tanaman mendatar. Bekas tanaman dalam teknik tanaman menegak perlulah mampu menampung tumbuhan dalam peringkat-peringkat tertentu selain memastikan tanaman mendapat nutrient makanan diperlukan untuk tujuan tumbesaran.
 
Itu adalah secara ringkas mengenai bekas-bekas tanaman. Daripada setiap bekas tanaman ini anda boleh melihat secara terperinci akan bekas tanaman yang akan anda gunakan bagi tanaman anda. Setiap bekas tanaman mempunyai tujuan tersendiri, jadi setiap bekas adalah berguna mengikut fungsinya masing-masing. Jadi anda sedikit sebanyak dapat membuat perancangan yang lebih teratur, atau mungkin memulakan tanaman dengan lebih cepat, daripada menunggu sehingga anda mendapat bekas seperti yang anda inginkan. Semoga ini dapat membantu anda membuat keputusan.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog