Isnin, 18 April 2022

Mengenali Stevia Manisan Pengganti Gula, Adakah Ianya Lebih Baik?

Pucuk dari pokok stevia, gula dan stevia yang telah diproses.

Tentu ramai yang telah mengetahui mengenai bahan manisan gantian gula yang dikenali sebagai stevia, namun tidak ramai yang mencubanya - oleh kerana pelbagai sebab. Mungkin antaranya adalah harga stevia di pasaran yang jauh lebih mahal tanpa standard terkawal. Selain itu juga, stevia dari pelbagai jenama dihasilkan dengan pelbagai proses dan hasil yang berbeza-beza. Namun apakah sebenarnya stevia dan bagaimanakah ianya digunakan?
 
Stevia merupakan bahan manisan tanpa kalori dihasilkan daripada steviol glycosides. Ia merupakan sebatian yang diekstrak dan diperhalusi daripada daun tumbuhan yang dikenali sebagai  Stevia rebaudiana. Walaupun stevia telah lama digunakan di mana asal ianya tumbuh oleh masyarakat Guaraní, dari Amerika Selatan iaitu semenjak kira-kira 1,500 tahun dahulu. Tumbuhan ini dikenali sebagai “ka'a he'ê” (herba manis). Tumbuhan ini juga turut digunakan secara tradisional semenjak ratusan tahun di Brazil dan Paraguay sebagai manisan di dalam teh, ubatan dan juga makanan manisan.

 
Hari ini, stevia yang berada di pasaran merupakan bahan ekstrak daripada daun tumbuhan stevia dan bukanlah daripada daun asli tumbuhan tersebut. Bahan yang diekstrak daripada daun dan diperhalusi ini dikenali sebagai rebaudioside A (Reb-A). Hasil daripada ekstrak ini mengandungi hanya sebahagian kecil daripada kandungan asal daun daripada tumbuhan stevia. Kandungan bahan yang diekstrak yang dikenali sebagai stevioside hanyalah terdiri daripada lima ke sepuluh peratus daripada berat kering daun-daun stevia. Namun bahan yang dihasilkan ini (Reb-A), mempunyai kemaisan sebanyak 200 kali ganda daripada gula biasa. Dalam sesetengah produk juga Reb-A digabungkan bersama pemanis-pemanis lain seperti erythritol (gula alkohol) dan dextrose (glukosa).

Stevia (Stevia rebaudiana), tumbuhan yang digunakan untuk menghasilkan stevia (rebaudioside A) atau Reb-A.

Walaupun kita boleh menggunakan daun stevia secara terus untuk tujuan memaniskan makanan atau minuman, namun untuk tujuan pemahaman mengenai stevia mungkin lebih kompleks dan perlu difahami bentuk sebenar bagaimana ianya dihasilkan. Oleh sebab itu, adalah agak sukar bagi kita membuat keputusan stevia manakah yang baik di pasaran.

 
Merujuk semual kepada stevia yang dihasilkan melalui teknik pemprosesan iaitu Reb-A, ia merupakan bahan manisan tanpa kalori yang sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kencing manis, selain membantu dalam mengatasi masalah berat badan. Namun kajian-kajian yang dijalankan masih terlalu sedikit mengenai faedah-faedah stevia kepada kesihatan. Adalah baik, ia diambil dalam kadar yang sedikit (kadar yang disyorkan adalah 4 milligrams (mg)/kilogram berat badan), tanpa menggunakannya secara berlebihan.

Stevia yang diproses menjadi bentuk tablet mudah digunakan.

Sebahagian pengeluar stevia pula menghasilkan stevia dalam bentuk ceceair.

Apakah kesan-kesan sampingan penggunaan stevia?
 
Sebahagian produk stevia mengandungi gula alkohol yang boleh memberikan kesan tidak selesa kepada individu yang sensitif kepada bahan tersebut - walaupun ia jarang berlaku. Kesan-kesan tersebut adalah:
 
  • Mual/loya (nausea)
  • Muntah-muntah
  • Tidak hadam
  • Kekejangan
  • Kembung perut
 
*Namun sebaliknya steviol glycosides mungkin mempunyai kesan yang baik bagi mengurangkan kesan cirit-birit dan gejala sindrom iritasi usus (IBS).
 

Walaupun penggunaan stevia boleh membantu mengurangkan kadar gula kepada para pengidap kencing manis, penggunaan berpanjangan stevia mungkin boleh mengakibatkan kesan kekurangan gula di dalam darah. Namun begitu keadaan ini juga jarang berlaku bagi mereka yang sihat lebih-lebih lagi yang mendapat bekalan gula daripada makanan seharian seperti kek, nasi, buah-buahan, kuih-muih dan sebagainya. Ianya mungkin bagi mereka yang menghidap kadar kekurangan gula darah yang abnormal.

Proses mengekstrak stevia daripada daun segar.

 
Bagaimanakah kita menggunakan stevia?
 
Stevia digunakan sama seperti gula biasa iaitu sebagai penambah rasa. Secubit daripada serbuk stevia adalah bersamaan dengan satu sudu kecil gula. Ia sesuai digunakan;
 
  • Di dalam kopi.
  • Pemanis di dalam air limau.
  • Ditabur di atas bijirin sarapan.
  • Bahan pemanis untuk smoothie.
  • Digunakan bersama yogurt tanpa gula.
 
Maka dengan itu serba sedikit mengenai stevia. Walaupun ianya adalah satu bahan yang baik dalam mengggantikan gula, ianya hendaklah digunakan secara berhati-hati. Terlalu banyak barangan stevia di pasaran yang boleh mengakibatkan kekeliruan kepada pengguna yang tidak mempunyai maklumat yang cukup mengenai bahan ini. Terdapat juga bahan-bahan manisan lain yang perlu kita kenali untuk masa-masa akan datang seperti Monk Fruit, Erythritol dan Xylitol. Semoga ia memberikan manfaat kepada kita para pembaca dan kongsi-kongsikan kepada mereka yang memerlukan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog