Isnin, 2 Mei 2022

Juadah Raya Mengejut Tetap Meriah

Makanan raya tradisi agak berat, memerlukan penyediaan yang lama dan memenatkan.

 
Pengumuman Hari Raya Puasa 2022 yang mengejutkan menyebabkan ramai yang rata-ratanya menyangkakan hari raya lewat sehari, maka persiapan hari raya masih lagi belum betul-betul selesai. Apakah kita perlu menyediakan persiapan-persiapan yang memerlukan masa yang panjang dan meletihkan. Apa kata, kita mengambil pendekatan dengan menyediakan juadah yang lebih mudah tetapi tetap memeriahkan hari yang penting ini.
 
Hari raya sememangnya sinonim dengan juadah-juadah yang unik melambangkan tradisi dan budaya. Namun kita juga perlu berubah dengan peredaran masa dan mementingkan perkara yang lebih utama dalam merayakan hari yang mulia ini. Jadi kita akan melihat beberapa juadah yang berpotensi untuk diadaptasi sempena hari raya nanti.

 
Soto Ayam

Soto ayam makanan yang mudah dimakan.
 
Menu seperti soto ayam adalah lebih mudah disediakan kerana tidak memerlukan persiapan yang terlalu memakan masa ataupun bahan-bahan yang sukar untuk didapati. Soto ayam juga merupakan makanan yang tidak terlalu berminyak atau mengandungi terlalu banyak rempah yang mungkin boleh mengakibatkan gangguan kepada sistem penghadaman bagi mereka yang sensitif. Walaupun soto ayam biasa disediakan semasa hari raya, ia tidak dianggap sebagai juadah utama seperti lemang dan rendang. Kesederhanaan soto ayam adalah ia boleh digandingkan dengan bahan-bahan lain mengikut selera masing-masing. Jadi pilihlah bahan-bahan yang mudah namun memberikan rasa yang ketara.
 
Mee Kari

Mee kari mempunyai aroma yang membangkitkan selera daripada rempah yang digunakan.
 
Mee kari juga adalah makanan yang berpotensi untuk diketengahkan. Tidak seperti soto ayam, rempah kari (sekiranya terlalu pedas), mungkin boleh mengakibatkan masalah gangguan perut kepada mereka yang sensitif. Namun begitu mee kari mempunyai rasa yang lebih menyeluruh terutamanya apabila ia digandingkan dengan bahan-bahan yang sesuai seperti fish ball, fish cake, udang, ayam, kerang, kentang, telur rebus, sawi, taugeh, tauhu dan lain-lain. Mee kari sesuai dihidangkan ketika cuaca agak sejuk seperti di waktu pagi atau lewat petang hingga ke malam. Kenakan mee kari bukan sahaja pada rasanya, tetapi juga aroma daripada rempah yang digunakan. Jadi, hidangan ini amat berpotensi menjadi menu penting untuk hidangan hari raya.

 
Nasi Dagang

Nasi dagang dengan lauk tradisi, atau boleh ditambah dengan lauk yang lain.

Bagi mereka yang tidak biasa, hidangan nasi dagang mungkin agak sukar untuk disediakan. Namun sekiranya anda telah mencubanya beberapa kali ia sama seperti menyediakan juadah harian. Berbeza dengan nasi biasa, nasi dagang mempunyai rasa yang lebih menyelerakan kerana ia dimasak dengan bahan-bahan seperti bawang, halia santan dan halba. Selain itu, kari ikan tongkol yang menjadi gandingan nasi dagang juga membangkitkan lagi selera daripada bau yang dihasilkan daripada rempah kari ikan. Nasi dagang mempunyai rasa yang lengkap dengan masam, masin, manis dan lemak. Sekiranya disediakan dengan betul, ianya merupakan hidangan yang amat tepat bagi hari-hari yang penting seperti hari raya.
 
Lontong

Lontong mudah dimakan kerana ia mempunyai kuah yang tidak terlalu pekat.

Lontong sememangnya sudah sekian lama menjadi hidangan judah hari raya. Penyediaan lontong sama sahaja seperti soto ayam dengan kepelbagaian bahan yang digabungkan sebagai bahan campuran atau bahan gandingan. Namun lontong dan soto ayam mempunyai karakter yang berbeza dari segi teknik masakan dan bahan utama yang membezakan kedua-dua jenis masakan ini. Lontong menjadi makanan yang mudah dihadamkan apabila ia disediakan tidak terlalu pekat ataupun terlalu pedas. Ia juga mengenyangkan dengan nasi impit dan isi yang terdiri daripada pelbagai jenis sayuran dan tempeh. Juadah ini tidak menyebabkan anda mengantuk terutamanya bagi mereka yang memandu.

 
Roti Jala

Roti jala, mudah disediakan dan sedap bersama kuah kari ayam.

Roti jala juga sesuai sebagai hidangan di hari raya kerana rasanya yang lebih menyerlah berbanding lempeng biasa, namun tidak sesukar menyediakan roti canai. Roti jala juga enak dimakan bersama kuah kari ayam, atau apa sahaja kuah ayam (yang biasanya disediakan semasa hari raya). Ia merupakan satu lagi juadah ringan yang memuaskan, namun tidak terlalu berat. Roti jala mudah disediakan dan ia boleh digoreng apabila anda sedia untuk menghidangkannya kepada tetamu. Tempoh memasak tidak terlalu lama bagi jumlah yang kecil.
 
Salad Pasta

Bukan sahaja bewarna warni, salad pasta juga amat menyelerakan.

Mungkin tidak ramai yang menganggap makanan ini sesuai untuk dihidangkan di hari raya. Berbalik kepada kesederhanaan dan waktu penyediaan, makanan ini amat sesuai untuk diketengahkan. Salad pasta bukan sahaja mudah disediakan, malah ia juga mempunyai rasa yang memuaskan. Salad pasta tidak menggunakan bahan-bahan yang pedas seperti cili dan rempah - mengelakkan perut meragam. Mengandungi pelbagai jenis sayuran seperti brokoli, tomato dan buah zaitun (anda boleh mencuba sayuran lain yang sesuai), ia mempunyai rasa yang segar dan mudah untuk dimakan. Aroma daripada herba-herba seperti oregano, marjoram membangkit kesegaran kepada resipi ini. Anda juga boleh menggunakan emping cili atau lada hitam untuk sedikit rasa pedas.
 
Mee Goreng dan Nasi Goreng

Mee goreng hidangan versatil yang patut disediakan.
 
Walaupun tidak dianggap sebagai menu utama di hari raya, dua menu makanan ini merupakan hidangan yang paling berpotensi. Malah ia tetap disediakan ketika hari raya untuk situasi-situasi di mana kehabisan hidangan utama. Kesederhanaan mee goreng dan nasi goreng adalah bergantung kepada bahan-bahan yang terdapat semasa menyediakan mee goreng. Namun hidangan bertambah baik sekiranya ia dirancang sedari awal. Mee goreng dan nasi goreng yang disediakan dengan bahan-bahan tambahan yang tepat seperti fish ball, fish cake, daun bawang dan sayuran, bahan daging terdiri daripada ayam atau lembu, ditambah pula dengan makanan laut seperti sotong, udang, kerang atau kepah dan sebagainya yang sesuai. Ia merupakan menu yang cepat dimasak, sedap dimakan yang sepatutnya tidak diketepikan.

 
Salad dan Salad Buah

Salad buah, sebagai pilihan bagi mereka yang mempunyai masalah pemakanan.
 
Amat sesuai kerana kebanyakan hidangan hari raya adalah terlalu berat, berminyak dan mengandungi gula yang amat tinggi. Hidangan salad dan salad buah, mudah dihadam dan memberikan tenaga yang lebih cepat setelah sehari berjalan mengunjungi rumah saudara mara dan taulan. Ia juga merupakan hidangan bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti, darah tinggi dan kencing manis. Adalah penting kita bagi menyediakan hidangan yang sesuai untuk keperluan semua tetamu dalam pelbagai keadaan. Anda hanya perlu menyediakan buah-buahan yang sesuai dan sos salad buah yang sesuai. Ia adalah hidangan yang adakalanya kita terlepas pandang.
 
Banyak lagi hidangan-hidangan yang berpotensi di luar sana. Hasil daripada penghijrahan pelbagai masyarakat dari seluruh dunia yang berada di negara kita, di mana hidangan mereka menjadi sebahagian daripada kebiasaan masyarakat tempatan. Walaupun kita berada di dalam suasana berhari raya, perlu diingatkan supaya tidak keterlaluan dalam menyediakan persiapan sehingga menyebabkan kita kepenatan, berlakunya pembaziran atau terlepas peluang untuk ziarah menziarahi sesama kita. Utamakan yang utama dan hayatilah hari yang bahagia ini iaitu Hari Raya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog