Isnin, 16 Mei 2022

Memasak Bujang Seorang di Rumah Menjimatkan, Tips dan Teknik

Memasak di rumah memerlukan perancangan yang betul bagi mendapatkan faedah yang baik.

Memasak di rumah amat menjimatkan selain memastikan makanan yang dimasak adalah lebih berkhasiat dan menepati citarasa sendiri. Namun bagi mereka yang tinggal bersendirian, terdapat beberapa perkara yang menyebabkan perkara ini menjadi sedikit sulit kerana perbelanjaan, dan masa yang diluangkan untuk memasak adalah agak tinggi berbanding sekiranya ia disediakan untuk jumlah yang lebih ramai. Malah kebiasaan nya, lebihan masakan terpaksa dibuang. Perkara-perkara ini merupakan punca utama mengapa mereka yang tinggal bersendirian tidak memilih untuk memasak sendiri di rumah.

 
Memasak sendiri di rumah memerlukan perancangan yang betul untuk memastikan ia memenuhi tujuan penting untuk memasak sendiri terutamanya penjimatan dalam berbelanja. Sebelum kita memulakan proses memasak, sekiranya anda tinggal bersendirian adalah penting untuk memastikan peralatan yang anda perolehi di rumah sebelum membuat persiapan dan perancangan memasak. Peralatan asas merupakan perkara utama yang mempengaruhi perancangan anda untuk memasak. Peralatan ini merangkumi untuk tujuan persiapan, penyimpanan, penyediaan, memasak dan menghidang. Walaupun dalam sesetengah keadaan, tidak semua peralatan boleh diperolehi dalam satu-satu masa, namun kita masih boleh menyediakan masakan sendiri di rumah mengikut kesesuaian.
 
Peralatan

Peralatan memasak yang sesuai, mempercepatkan proses memasak dan mengemas.


Peralatan penyimpanan juga penting untuk bahan sebelum dan selepas memasak.

 
Peralatan sedia ada merupakan keperluan utama dalam membuat perancangan sebelum memulakan kerja-kerja memasak di rumah. Daripada peralatan inilah mampu memberikan kita gambaran mengenai jenis-jenis masakan yang boleh disediakan. Daripada peralatan asas seperti cerek elektrik, pinggan mangkuk dan sudu serta garfu, membolehkan kita sekurang-kurangnya menyediakan mi segera. Namun peralatan tambahan seperti peti sejuk, periuk, ketuhar gelombang mikro dan dapur membolehkan perancangan masakan dengan pilihan yang lebih luas. Jadi, dengan mengenal pasti peralatan yang sedia ada, kita mampu membuat perancangan yang lebih rapi untuk menambah peralatan-peralatan lain, atau hanya mengekalkan peralatan yang sedia ada.

 
Peralatan yang ringkas membolehkan kita menyediakan makanan yang ringkas untuk satu atau dua hidangan sahaja. Manakala, peralatan yang lengkap membolehkan anda menyimpan bekalan bahan mentah ataupun hasil masakan tadi untuk tempoh beberapa lama. Anda boleh menyemak artikel lama kami mengenai periuk-periuk yang membolehkan kerja-kerja memasak dilakukan dengan lebih pantas, begitu juga dengan artikel mengenai penggunaan pisau di dapur. Begitu juga dengan teknik penyimpanan makanan yang boleh dilakukan dengan pelbagai proses seperti pengeringan, penyejukan, menjeruk dan teknik yang lebih moden iaitu sejuk beku. Kesemua teknik ini boleh digunakan bergantung kepada keperluan kita sendiri.
 
Persiapan bahan memasak

Bahan-bahan kering (rempah dan herba) boleh disimpan dengan lebih lama, terutamanya jika anda memasak hanya untuk seorang di rumah.

Penyediaan bahan memasak amat penting, terutamanya apabila anda menyediakan makanan sendiri (untuk seorang). Ini kerana, andalah yang perlu menyediakan bahan tersebut dan menggunakannya untuk memasak. Bahan-bahan yang disediakan, sama ada berjaya digunakan untuk dimasak atau adakalanya terpaksa dibuang kerana rosak sebelum sempat digunakan. Oleh sebab itu, peralatan penyimpanan seperti peti sejuk amat membantu bagi menyimpan bahan-bahan yang mudah rosak (untuk memanjangkan tempoh penyimpanan nya). Selain itu, penggunaan bahan-bahan kering juga adalah lebih mudah untuk disimpan dalam tempoh yang lebih panjang. Anda juga mungkin memerlukan bekas-bekas penyimpanan kecil untuk menyimpan bahan-bahan yang digunakan dalam jumlah yang sedikit seperti bahan rempah yang digunakan sedikit, namun kerap digunakan di dalam masakan.
 
Penyediaan

Penggunaan bahan yang berkualiti boleh memberikan anda hasil masakan yang enak.

Masakan untuk seorang boleh disediakan bergantung kepada peralatan yang anda perolehi. Sekiranya anda mempunyai peralatan penyimpanan yang lengkap seperti bekas dan peti sejuk, maka makanan yang disediakan boleh disimpan untuk beberapa hari. Namun sekiranya anda tidak memiliki peti sejuk, maka makanan yang disediakan perlu dihabiskan dalam hari yang sama. Dalam peringkat penyediaan ini adalah untuk mengenal pasti saiz masakan yang akan disediakan. Dari sinilah kita dapat merancang untuk penjimatan berbanding pembaziran sekiranya hasil masakan perlu dibuang apabila berlaku lebihan atau sebelum sempat ianya dimakan.
 
Terdapat jenis-jenis masakan yang sesuai untuk seorang. Masakan-masakan ini terdiri daripada, masakan yang tidak menggunakan terlalu banyak bahan, mudah disediakan dan boleh disimpan dengan mudah. Satu perkara yang perlu diingat apabila menyediakan makanan untuk anda sendiri adalah kelenturan bagi anda memilih resepi dan mengubah resepi sesuai dengan citarasa dan kesesuaian keperluan anda. Anda tidak perlu terikat dengan resepi-resepi tradisi malah anda berpeluang mencuba resepi-resepi lain disamping mengolah resepi tersebut. Apa yang penting dalam menyediakan masakan sendiri adalah memastikan bahan utama masakan tersebut seperti daging, ayam, ikan, sayur dan sebagainya.

 
Antara faktor lain yang mempengaruhi jenis masakan yang anda sediakan adalah masa. Tempoh penyiapan bahan mentah perlu diambil kira kerana ia akan mengambil masa yang lama untuk keseluruhan tempoh memasak. Namun proses ini boleh juga dipercepatkan dengan menggunakan peralatan seperti alat pengisar atau peralatan-peralatan sesuai yang lain. Satu lagi kaedah adalah dengan menggunakan perencah segera atau menyediakan nya sekali untuk digunakan beberapa kali semasa memasak. Begitu juga penyediaan jenis-jenis masakan yang memerlukan tempoh penyediaan yang terlalu lama seperti rendang dan ketupat juga mungkin tidak sesuai bagi anda.
 
Hidangan

Hidangkan makanan sebaik mungkin, kerana ia akan menambah selera anda untuk menikmatinya.

Walaupun anda boleh menghidangkan masakan anda dengan ringkas, anda perlu merancang untuk memiliki peralatan asas seperti pinggan, mangkuk, piring, sudu & garfu selain peralatan penyimpanan. Anda boleh menghias masakan anda sesuai dengan peralatan dan bahan yang sedia ada. Ini boleh memberikan kepuasan kepada kerja keras anda dalam menyediakan masakan tersebut. Anda juga perlu menyediakan bekas dan peralatan yang sesuai untuk penyimpanan lebihan daripada masakan. Penyimpanan lebihan masakan atau anda merancang untuk memasak lebih daripada satu hidangan dapat menjimatkan masa dan perbelanjaan. Ia merupakan antara tujuan penting bagi menyediakan masakan sendiri di rumah walaupun untuk seorang.
 
Walaupun tajuk ini kurang diberikan perhatian, namun ia merupakan tajuk penting sebagai kemahiran asas kelangsungan hidup. Ia bukan sahaja membantu kita dalam menjimatkan perbelanjaan, malah memastikan kita dapat menyediakan makanan yang menyihatkan, bersih, selamat, menepati citarasa, membolehkan anda mempelajari perkara baru, mengelakkan kebosanan dan banyak lagi. Memasak bukanlah perkara yang sukar ataupun perkara yang boleh dipandang ringan. Ia merupakan satu lagi peluang untuk anda mengeksplorasi pelbagai perkara mengenai masakan yang pastinya memberikan kepuasan. Sekiranya terdapat sebarang komen yang membina bolehlah kongsi-kongsikan di ruangan komen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog