Sunday, November 22, 2020

Kenali Pisau, dan Mengapa Anda Memerlukan Lebih Dari Satu Pisau di Dapur

Pelbagai jenis pisau, mempunyai fungsi yang unik.

 
Pisau merupakan salah satu peralatan keperluan di dapur. Selain digunakan untuk menyediakan makanan ataupun mengerat sesuatu. Tetapi pernahkah anda tertanya, mengapa anda memerlukan lebih daripada satu pisau di dapur? Apakah kelebihan pisau-pisau tertentu dan pisau manakah yang lebih penting bagi anda?
 
Walaupun adakalanya perkara ini dipandang remeh, penggunaan pisau yang betul bukan sahaja membantu kerja-kerja di dapur dapat disiapkan dengan lebih pantas. Malah penggunaan pisau yang betul boleh memberikan hasil kerja yang lebih baik. Pisau juga akan tahan lebih lama dan tentu sekali ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan untuk menggantikan pisau yang baru. Pisau yang betul juga dapat menjamin keselamatan anda di dapur, selain mengelakkan barang yang dipotong daripada rosak menjadikan ianya satu pembaziran.
 
Walaupun bagi kita Masyarakat Melayu, penggunaan peralatan tradisi hanyalah menggunakan beberapa peralatan dapur yang asas seperti pisau (kebiasaannya bersaiz kecil dan sederhana) dan parang untuk kerja-kerja memotong yang lebih berat (seperti memotong daging dan ayam yang mempunyai tulang yang lebih keras). Namun hari ini, kita terdedah dengan peralatan-peralatan pisau yang lebih moden sesuai pula dengan cara hidup yang turut menyediakan masakan-masakan moden dari budaya-budaya luar.
 
Penggunaan biasu yang betul dapat menjamin mutu kerjaya yang baik serta penggunanya - ini penting terutamanya bagi yang perlu bekerja di dapur setiap hari, seperti tukang masak. Kecederaan semasa bekerja boleh mengakibatkan kehilangan pendapatan atau menyebabkan jangkitan yang boleh mengakibatkan makanan yang disediakan tercemar. Jadi ada baiknya kita mempelajari serba sedikit mengenai pisau dan kesesuaiannya di dapur. Mungkin dengan ini dapat membantu kita mengenalinya dengan lebih dekat dan memberikan manfaat kepada kita. Cuma pisau-pisau ini lebih dikenali dengan namanya di dalam Bahasa Inggeris, namun dari bentuk dan ciri-cirinya ia amat mudah dikenali.
 

Pisau Chef

Pisau chef, dikenali daripada bentuk dan ukurannya.

 
Dari namanya sendiri menunjukkan betapa pentingnya ia di dapur. Ini kerana ia boleh melakukan pelbagai tugas di dapur, atau dengan kata lain ia merupakan pisau utama untuk kerja-kerja umum di dapur. Tugas-tugas seperti menghiris, memotong, mencincang, membuang tulang, melapah dan sebagainya dapat dilakukan dengan mudah menggunakannya. Bersaiz di antara 6 - 12 inci dan ia perlu disesuaikan dengan keselesaan pengguna (saiz tangan pengguna).
 
Pisau ini memerlukan pembuatan yang baik kerana fungsinya yang digunakan secara kerap. Sebaiknya pisau chef ini dibuat secara tempa bagi memastikan ketahanannya. Bentuknya yang sedikit tirus dihujung dan mata yang sedikit melengkung membolehkan kerja-kerja menghiris dilakukan dengan lebih mudah. Ia juga merupakan pisau utama yang perlu berada di setiap dapur.
 
 

Pisau Utility

Pisau utility lebih pendek daripada pisau chef.

 
Pisau utility bersaiz lebih kecil dengan kepanjangan antara 4 - 7 inci. Walaupun bentuknya seakan seperti pisau chef, saiznya yang lebih kecil, nipis dan ringan memudahkan ianya digunakan untuk kerja-kerja yang lebih teliti. Kerja-kerja seperti membuang kulit bawang kecil, membuang bahagian lubang pada ubi kentang atau membersihkan ikan yang bersaiz kecil. Kerja-kerja seperti ini tidak sesuai untu pisau yang bersaiz besar - sebaliknya pisau utility juga tidak sesuai digunakan untuk memotong objek yang besar atau kerja-kerja berat (kerana ia ringan dan lebih lembut).
 
Namun begitu, pisau utility dapat memudahkan kerja-kerja teliti sebegini memandangkan saiznya yang mudah dikawal. Jadi bagi memastikan kerja-kerja anda di dapur lebih mudah dan pantas, memiliki pisau ini merupakan suatu kelebihan.
 

Pisau Cleaver

Pisau cleaver, untuk kerja-kerja yang lebih berat.


Pisau cleaver amat mudah dikenali kerana bentuk yang seperti segi empat. Ia bersaiz amat besar dan berat berbanding pisau-pisau lain di dapur. Tugasnya pula adalah seperti parang iaitu untuk memotong bahan masakan yang mempunyai tulang yang lebih keras seperti ayam, daging ataupun ikan yang bersaiz besar. Saiz dan beratnya ini dapat memberikan ia lebih kuasa untuk memotong bahan yang besar ataupun keras.
 
Cleaver mempunyai banyak kegunaan dan sering digunakan untuk memecahkan bawang putih atau melembutkan daging. Cleaver yang tidak terlalu berat boleh digunakan untuk pelbagai perkara - dan merupakan antara pisau utama seperti juga pisau chef - terutamanya di dapur-dapur restoran Asia. Jadi cleaver juga merupakan keperluan penting di dapur.

 

Pisau Santoku

Pisau santoku, lebih ringan untuk bahan-bahan yang lembut.

 

Santoku bermaksud “tiga kebajikan”, di dalam hal ini ia merujuk fungsi pisau ini yang sesuai untuk kerja-kerja menghiris, mendadu dan mencincang. Ia mempunyai saiz dan panjang seakan-akan pisau chef. Apa yang membezakan antara keduanya adalah bentuk matanya yang tidak begitu melengkung dan juga ia adalah lebih nipis. Oleh kerana ciri-ciri ini, pisau santoku tidak sesuai digunakan untuk kerja-kerja berat - namun amat sesuai untuk memotong sayur-sayuran - di mana agak memenatkan sekiranya anda menggunakan pisau chef.
 
Jadi samada anda memiliki keduanya atau salah satu adalah penting untuk memastikan kerja-kerja di dapur dapat berjalan lancar. Pisau santoku mudah diasah dan tahan lama sekiranya anda menggunakannya hanya untuk bahan-bahan yang betul iaitu sayuran dan buah-buahan. Terdapat pisau santoku yang mempunyai sedikit bulatan lengkung pada matanya - ini adalah untuk mengelakkan bahan yang dipotong daripada melekat pada matanya (ciri tambahan yang juga amat berguna).
 

Pisau Bread (Roti)

Gigi pada pisau roti, mengelakkan roti daripada rosak semasa dipotong.

 

Pisau roti kebiasaannya mempunyai mata yang bergigi menyerupai gergaji dan lebih panjang daripada pisau-pisau yang lain. Walaupun panjang, ia mempunyai bilah yang tidak berapa tebal dan nipis menjadikannya tidak berapa berat untuk digunakan. Matanya yang bergigi membolehkan pisau roti memotong roti yang mempunyai permukaan yang keras dan isi yang lembut tanpa merosakkan roti tersebut. Oleh itu, pisau roti juga sesuai digunakan untuk memotong ayam panggang misalnya yang mempunyai kulit yang ranggup, namun isi yang lembut.
 
Walaupun ia sesuai untuk memotong buah-buah yang lembut dengan kulit yang kuat seperti tomato, saiznya yang panjang menjadikan kerja ini sedikit rumit. Maka adalah lebih sesuai menggunakan pisau kecil (pisau paring) yang mempunyai mata bergigi. Ia merupakan tambahan di dapur sekiranya anda suka menyediakan roti, kek, pizza dan juga makanan panggang di rumah.
 

Pisau Paring

Pisau paring memudahkan kerja-kerja halus seperti mengukir hiasan.

 
Pisau paring digunakan untuk membuat kemasan (trimming) dan biasa digunakan untuk membuat kerja-kerja hiasan pada makanan. Mempunyai saiz antara 3 - 4 inci dan hujung yang lebih runcing, ia amat mudah dikendalikan. Ia boleh digunakan untuk pelbagai bahan yang memerlukan pemotongan yang terperinci - kerana ia mudah dikawal dengan ketepatan yang tinggi.
 
Pisau paring penting untuk kerja-kerja halus - sekiranya anda berminat untuk membuat hiasan semasa memasak. Memilikinya adalah sebagai peralatan tambahan di dapur - ia tidak boleh melakukan kerja-kerja berat dan kasar. Terdapat variasi pisau paring samada bermata rata atau bergerigi, bermata lembing, paruh burung dan juga tapak biri-biri. Namun cirinya yang ketara adalah saiz dan panjangnya yang mudah dikenali.
 

Pisau Boning

Pisau boning, mengelakkan pembaziran daging semasa memisahkan nya daripada tulang.

 

Pisau boning digunakan untuk mengasingkan daging daripada tulang. Ia berbentuk runcing dan melengkung. Ia dapat membantu kerja-kerja mengasingkan daging menjadi lebih mudah - sekiranya anda perlu mengasingkan daging daripada sebahagian besar bahagian haiwan seperti kambing/lembu. Penggunaannya dapat mengelakkan pembaziran, kerana pengasingan daging dapat dilakukan dengan baik. Ia amat berguna, tetapi jarang digunakan. Jadi anda perlu mengetahuinya - namun tidak semestinya perlu berada di dapur.
 
Dari segi saiz dan bentuknya pisau boning mempunyai variasi daripada lembut (flexible), separuh lembut dan juga lebih keras. Walaupun kebiasaannya melengkung, tetapi ia boleh juga berbentuk agak lurus, namun masih lagi berbentuk tirus dan runcing - bagi memudahkan pisau memasuki celahan daging.

 
Itu adalah antara beberapa pisau utama yang perlu berada di dapur. Pisau-pisau ini merupakan keperluan asas dapur untuk memastikan kerja-kerja berjalan lancar. Seperti yang dibincangkan di atas, pisau yang betul bukan sahaja menjimatkan masa kerja di dapur, malah dapat mengelakkan kecederaan di dapur. Ia merupakan asas ilmu dapur yang perlu kita ketahui.
 
Pada masa akan datang kita akan melihat beberapa jenis pisau lagi yang boleh ditambah di dapur bagi melengkapkan kerja-kerja yang lain. Semoga penulisan kali ini dapat memberikan beberapa lagi manfaat kepada anda ataupun boleh dikongiskan kepada mereka yang memerlukannya.
 
 
Rujukan:
1) healthykitchen101.com
2) themanual.com
3) thespruceeats.com
4) webstaurantstore.com

No comments:

Post a Comment

Blog Archive