Selasa, 10 November 2020

Kenali Bijan dan Potensinya Sebagai Tanaman Pertanian

Bijan putih dan bijan hitam merupakan dua jenis yang popular.

 
Bijan (Sessamum indicum) atau juga dikenali sebagai ‘sesame’ dalam Bahasa Inggeris, adalah sebahagian daripada rempah yang penting (namun ia tidak disenaraikan sebagai rempah bagi masakan masyarakat Melayu Malaysia khususnya). Ini kerana, bijan digunakan untuk menyediakan juadah sampingan seperti kuih muih, biskut ataupun daripada masakan masyarakat yang berhijrah ke Tanah Melayu suatu masa dahulu.
 
Walaupun ia jarang digunakan dalam masakan harian, kali ini kita ingin melihat keunikan bijan yang mempunyai potensi yang besar bukan sahaja dari segi kegunaannya, malah sebagai tanaman yang boleh memberikan sumber pendapatan kepada petani. Ini kerana, bijan boleh tumbuh dengan subur di Malaysia. Malah, mungkin anda pernah melihat pokoknya tanpa mengenali bahawa ia adalah tumbuhan yang menghasilkan biji-bijian bijan.
 
Bijan komersial hari ini, dikatakan berasal dari India dan ia merupakan tumbuhan bijian tertua digunakan untuk menghasilkan minyak. Namun begitu terdapat banyak spesis liar dari keluarga bijan ini terutamanya di bahagian Sub-Sahara, Afrika. Pokok bijan bagaimanapun tumbuh dengan subur di kawasan Tropika dan menjadi tanaman membekalkan bijiannya sebagai sumber makanan. Antara negara pengeluar utama bijan adalah Tanzania, Myanmar, India, Sudan, China dan Nigeria. Malah negara jiran kita Indonesia turut menanam bijan, walaupun tidak menjadi antara pengeluar utama dunia.

 
Perkembangan perdagangan dunia and perpindahan budaya bagaimanapun mampu menjadikan bijan begitu terkenal di serata dunia walaupun banyak ditanam di Afrika dan kawasan Tropika. Oleh itu terdapat pelbagai nama bagi bijan dari seluruh dunia seperti, French: sesame, German: Sesam, Italian: sesamo, Spanish: ajonjoli, sesamo, Arabic: tahina, tahine, tahini, Chinese: chi mah, hak chi mah (black sesame), Indian: gingelly (oil), Japanese: goma, kuro goma (black sesame) dan Melayu : bene, bijan. Ini menunjukkan banyak lagi potensi bijan yang masih tidak diteroka oleh Masyarakat Melayu khususnya - kerana Ia hanya digunakan untuk penyediaan sebahagian kecil makanan yang kebiasaannya adalah kuih-muih dan bukan hidangan utama.
 

Kegunaan Bijan

Bijan dalam masakan bayam.

Kuih bebola bijan antara makanan popular menggunakan bijan.

 

Bijan kebiasaannya digunakan dengan menaburkannya ke atas bahan masakan yang disediakan sama juga dalam banyak kegunaan jenis masakan bagi mana-mana juga kawasan di dunia. Ia ditaburkan di atas roti ataupun biskut. Namun sedikit berbeza di dalm penyediaan halva, iaitu sejenis masakan Timur Tengah dengan mengegunakan bijan sebagai bahan utama dengan mengisar bijan menjadi halus dan dicampur dengan bahan-bahan lain.
 
Bijan yang dikisar juga, atau lebih dikenali sebagai tahini, amat terkenal di Timur Tengah. Ia digunakan sebagai bahan penambah rasa bagi hummus, dan sos bagi kebab selain dicampur dengan lemon dan bawang putih sebagai pencecah roti. Selain itu, minyak bijan yang juga dikenali sebagai ajonjoli di Mexico sering digunakan untuk tujuan masakan.
 
Selain daripada bijan biasa, bijan hitam juga sering digunakan bagi masakan-masakan dari Timur seperti dalam masakan dari China, Jepun dan Korea. Bijan digunakan untuk menyaluti bahan masakan seperti daging dan ikan sebelum dimasak dan menjadikan ianya lebih garing. Ia juga digunakan dalam penyediaan gomassio, iaitu sejenis bahan perasa makanan yang terkenal dalam budaya Jepun, selain digunakan bersama masakan samada nasi mahupun mee.
 
Seperti juga bahan rempah-rempah yang lain, penggunaan bijan boleh dipadankan dengan pelbagai jenis masakan samada daging, ayam, ikan, sayur, kuih-muih mahupun roti. Namun bijan tidak digunakan untuk minuman (sekiranya ada, boleh lah ditambah di ruangan komen). Selain itu minyak bijan juga amat terkenal sebagai bahan perasa makanan kerana ia membangkitkan aroma makanan - walaupun hanya dicurahkan sedikit di atas bubur ayam anda.
 

Penanaman Bijan

Ladang bijan semasa peringkat dewasa.

Peringkat penuaian pokok yang telah kering.


Bijan merupakan tumbuhan yang amat sesuai tumbuh di kawasan Tropika dengan ketinggian tanah dari 1.0 - 1,200 meter dari aras laut. Ia tidak sesuai ditanam di kawasan bersuhu rendah, curahan hujan yang terlalu tinggi serta cuaca yang mendung. Kawasan yang mendapat cahaya matahari dengan suhu sekitar 25 - 30°C merupakan kawasan yang sesuai untuk tanaman bijan. Manakala curahan hujan yang diperlukan adalah sekitar 300 - 1,000mm. Air diperlukan untuk peringkat awal pertumbuhan, manakala selebihnya, pokok bijan merupakan tanaman yang tahan keadaan kering namun tidak tahan sekiranya tanah menakungi air. Ia juga boleh ditanam di tanah yang mempunyai pH antara 5.5 - 8.0.
 
Bagi penanaman bijan apa yang penting adalah mendapatkan biji benih yang baik bagi memastikan pengeluaran hasil yang baik (dari segi jumlah pengeluaran, kualiti bijian mahupun ketahan melawat penyakit). Setelah mendapatkan biji benih yang baik ini, para petani juga perlu mengenal pasti pokok-pokok baru yang mempunyai tahap kesihatan yang baik serta buah yang berkualiti untuk dijadikan biji benih untuk penanaman yang berikutnya. Bagi yang mempunyai kemahiran untuk menghasilkan pokok kacukan pula, boleh lah cuba menghasilkan baka yang baru daripada pokok-pokok yang terdapat di ladang.
 
Sekiranya anda mempunyai tanah yang sesuai untuk tanaman bijan. Ia mampu memberikan hasil dalam tempah 120 - 150 hari penanaman. Pokok sesuai dituai apabila sekitar 2/3 daripada buah di pokok telah bertukar warna kepada kekuningan. Pokok akan dipotong dan dikeringkan (ia diletakkan dalam keadaan tegak ataupun terbalik). Apabila buah sudah cukup kering biji akan mula jatuh dan buah pokok-pokok boleh dipukul dengan kayu untuk membolehkan keseluruhan biji keluar daripada buahnya.
 

Kegunaan Lain Bijan

Buah-buah bijan masih pada pokoknya.

Bijan disimpan di dalam bekas kedap udara untuk ketahanan.

 

Seperti juga makanan-makanan dan rempah yang lain, bijan juga sering digunakan untuk kegunaan lain selain daripada tujuan masakan. Malah faedah-faedah inilah juga yang menyebabkan sesuatu bahan makanan menjadi pilihan utama berbanding daripada yang lain. Maka kali ini kita akan melihat pula faedah yang terdapat pada bijan seperti:
 
Anti penuaan - bijan mengandungi bahan antioksidan yang membantu melambatkan kesan penuaan dan memberikan penampilan kulit yang lebih muda.
 
Membantu kesihatan gigi - minyak yang terdapat dalam bijan dapat membantu membuang plak yang melekat pada gigi dan memelihara kesihatan gigi.
 
Membantu proses penghadaman - bijan hitam dapat membantu bagi masalah sembelit kerana ia mempunyai serat yang tinggi selain mengandungi asid lemak. Minyak yang terdapat dalam bijan membantu melicinkan permukaan usus, manakala serat yang tinggi memudahkan lagi proses pergerakan bahan yang dicernakan di dalam usus.
 
Sumber tenaga - ia merupakan sumber tenaga yang baik kerana mengandungi lemak yang tinggi. Ia terdiri daripada asid lemak polyunsaturated dan juga Omega-6. Selain itu ia turut mengandungi serat, zat besi, kalsium, magnesium dan phosphorus dalam meningkatkan tenaga.
 
Menstabilkan tekanan darah - kandungan magnesium yang tinggi di dalam bijan membantu mengelakkan tekanan darah tinggi. Lemak polyunsaturated dan bahan sesamin yang terdapat di dalam bijan juga membantu mengawal tekanan darah.
 
Membantu menguatkan tulang - bijan hitam mengandungi kalsium dan zinc yang tinggi membantu menguatkan tulang.
 
Melawan stress dan tekanan - bijan mengandungi asid amino yang dikenali sebagai tyrosine, yang mempunyai kaitan dengan aktiviti serotonin. Serotonin merupakan neurotransmitter yang memberi kesan kepada perasaan (mood). Ketidak seimbangan serotonin boleh menyebabkan stress dan tekanan. Maka pengambilan makanan yang membantu penghasilan serotonin boleh membantu memberikan perasaan yang lebih positif, serta mengelakkan kesan stress yang serius.

Sumber lemak tak tepu - lemak yang terkandung di dalam bijan kebanyakannya terdiri daripada lemak tak tepu. Bagi minyak bijan di dalam 100 grams, 40 grams adalah lemak monounsaturated, 42 grams merupakan lemak polyunsaturated dan hanya sekitar 14 grams merupakan lemak tepu. Ia merupakan antara minyak yang mengandungi lemak tepu yang rendah.

Bunga bijan jenis komersial agak cerah.

Bunga bijan ungu, antara bijan liar.

 
Terdapat banyak lagi perkara yang menarik mengenai biji-bijian bijan ini. Namun sebelum terlupa, perlu diingatkan, bijan juga boleh menyebabkan kesan alahan seperti gatal-gatal, eczema, semput, sakit perut, kemerahan dan kerengsaan pada mata, selain membengkak pada mata, muka, bibir dan tekak dan lidah, keresahan, pucat, perasaan yang kacau serta lemah. Kesan yang lebih serius boleh mengakibatkan anaphylactic yang memerlukan rawatan segera dan boleh menyebabkan sekatan pada saluran pernafasan.
 
Maka dengan itu, sekian sahaja buat kali ini mengenai bijan. Semoga ia dapat menambah pengetahuan kita mengenai potensinya. Mungkin ada yang berminat untuk mengolah resipi baru menggunakan bijan atau cuba untuk menanam bijan sendiri di halaman rumah. Ya, silakan!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog