Wednesday, November 4, 2020

Bunga Cengkih, Rempah Yang Menjadi Buruan

Bunga cengkih antara rempah terpenting dunia.

Bunga cengkih (Syzygium aromaticum), atau lebih dikenali sebagai clove di dalam Bahasa Inggeris, merupakan bahagian bunga yang matang yang telah dikeringkan. Ia telah digunakan sejak sekian lama sebagai rempah, bahan pewangi, bahan di dalam rokok dan digunakan dalam merawat beberapa masalah kesihatan. Malah bunga cengkih bukan sahaja digunakan di kawasan di mana ianya dijumpai, malah boleh dikatakan hampir di seluruh dunia mengenali dan menggunakan bunga cengkih.
 
Walaupun bunga cengkih dikatakan berasal daripada Kepulauan Maluku (Moluccas) di Indonesia, namun oleh kerana perdagangan rempah selama ratusan tahun (mungkin lebih awal daripada itu) menyebabkan bunga cengkih dikenali di serata dunia. Oleh sebab itu bunga cengkih mempunyai pelbagai nama seperti Cloves (Inggeris), Grampoo; lavangam ; Lavang ; Lavangalu ; Krabu (India), dinh hurong (Vietnam), ding heung (China), ley-nyin-bwing (Myanmar), gahn plu (Thailand), clou de girofle (Perancis), Gewuzenelke (German) dan chiodo di garofano (Itali).

Bunga cengkih yang masih berada pada dahan-dahan pokok sebelum dituai.

 

Bunga cengkih pada asalnya hanya terdapat di bahagian kecil Kepulauan Maluku termasuk Bacan, Makian, Moti, Ternate dan Tidore. Bagaimanapun benih daripada kawasan berjaya dilarikan oleh seorang Botanis Perancis bernama Pierre Poivre, pada tahun 1770 dan ditanam di Isle de France (Mauritius), dan diikuti dengan Zanzibar yang pernah menjadi antara pengeluar terbesar bunga cengkih dunia.
 
Walaupun begitu, bunga cengkih juga dikatakan terdapat di kawasan lain seperti India dan Madagascar yang mempunyai iklim dan cuaca seakan sama dengan kawasan di Kepulauan Maluku di Indonesia. Ia juga mungkin dari spesis yang berbeza dari keluarga yang sama. Namun, bunga cengkih yang menjadi rebutan utama adalah dari Kepulauan Maluku seperti juga kulit kayu manis yang berasal dari Sri Lanka, sehinggalah tanaman ini kemudiannya di tanam di kawasan-kawasan lain di dunia.
 
Proses penghasilan bunga cengkih agak rumit kerana ia perlu dituai secara manual menjadikan ia kurang mendapat sambutan. Namun pengeluarannya masih lagi berterusan di beberapa kawasan berikutan permintaannya yang terus meningkat bersama penggunaan yang semakin meluas seperti penghasilan rokok kretek dan juga industri wangaian dan kosmetik.
 

Rempah Masakan

Untuk tujuan masakan, cengkih biasanya dipadankan dengan rempah-rempah yang lain.

 
Bagi pengguna biasa, bunga cengkih popular sebagai bahan rempah masakan. Walaupun jarang digunakan secara individu, ia masih merupakan bahan penting dan menjadi gandingan dengan beberapa rempah yang lain dan dikenali sebagai rempah 4 sekawan (bunga cengkih, kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga) dan rempah 6 sekawan (bunga cengkih, kayu manis, bunga lawang, jintan manis, lada hitam dan rempah biji).
 
Walaupun penggunaan rempah-rempah ini digunakan mengikut jenis masakan yang disediakan, kekurangan bunga cengkih dapat dirasai dengan ketara. Bunga cengkih mempunyai rasa yang agak lemah, namun mampu membangkitkan aroma makanan menjadikannya lebih menyelerakan. Ia juga digunakan sebagai rempah tumis untuk penyediaan pelbagai masakan (kari, sup, stir-fry, biskut, pie, minuman, manisan dan sebagainya).
 
Oleh kerana kegunaannya yang meluas, maka bunga cengkih adalah antara rempah yang perlu sentiasa ada di dapur setiap rumah seperti juga rempah-rempah penting lain (kayu manis, jintan, bunga lawang, kunyit dan cili/lada) - ini juga mengikut faktor geografi dan jenis masakan yang sering disediakan.
 
Dari segi penyimpanan pula, bunga cengkih perlu disimpan di dalam bekas yang kedap udara di tempat yang gelap dan dingin bagi mengekalkan aromanya. Bunga cengkih juga sebaiknya disimpan di dalam bentuk asalanya untuk tempoh yang lebih lama iaitu setahun berbanding di dalam bentuk serbuk yang hanya tahan sekitar tiga bulan.

 

Penanaman Bunga Cengkih

Pokok-pokok cengkih di ladang.

Proses penuaian cengkih yang menggunakan tenaga manusia.


Bagi penanaman bunga cengkih pula ia dikatakan agak rumit pada peringkat awal penanamannya. Tumbuh di kawasan Khatulistiwa, pokok bunga cengkih memerlukan taburan hujan yang tinggi iaitu sekitar 3,500mm setahun. Anak benih pokok dihasilkan daripada biji buah yang berkualiti bagi memastikan anak pokok boleh tumbuh dengan subur. Anak benih yang tumbuh sihat seterusnya dipilih untuk dialih dan ditanam di ladang.
 
Pertumbuhan awal anak pokok adalah amat penting, dan sebaiknya pengalihan anak benih ke ladang dilakukan semasa musim hujan. Ladang yang menyediakan sistem siraman adalah amat baik bagi memastikan pokok-pokok mendapat bekalan air yang cukup semasa proses pembesaran untuk beberapa tahun awal penanaman.
 
Pokok-pokok bunga cengkih memerlukan tanah yang kaya bahan organik dan penggunaan baja organik juga sesuai untuk pokok ini. Selain itu, pH tanah juga perlu dikekalkan berada pada sekitar pH5.0 dan perlu ditambah kapur sekiranya keadaan tanah berasid. Walaupun penanam awal pokok bunga cengkih agak rumit, pokok-pokok yang mampu mencapai usia dewasa mungkin boleh bertahan untuk tempoh yang lama dengan penghasilan bunga yang setiasa meningkat.
 
Untuk mengetahui lebih lanjut proses penanaman bunga cengkih bolehlah melawati laman web yang menceritakan kaedah penanaman bunga cengkih ini dengan lebih teliti melalui blog: animhosnan.blogspot.com
 

Kegunaan Lain Bunga Cengkih

Cengkih digunakan untuk membuat haruman, mampu menghalau serangga.

 
Seperti juga rempah-rempah dan herba yang lain, bunga cengkih turut digunakan untuk kegunaan yang lain dari tujuan kesihatan mahupun menghalau serangga. Antara kegunaan bunga cengkih yang paling popular adalah dalam mengurangkan kesan sakit gigi - kerana kesan kebas daripada bunga cengkih. Selain itu ia turut juga digunakan untuk merawat kurap (ringworm), hernia, sakit kulit, serta masalah penghadaman.
 
Oleh kerana bunga cengkih menghasilkan bauan yang menyegarkan ia juga sesuai digunakan untuk tujuan kesegaran mulut. Selain itu ia digunakan dengan mencucukkannya pada buah seperti epal dan oren untuk tujuan menghasilkan penyegar udara selain mampu mengelakkan serangga seperti lalat dan nyamuk. Serbuk bunga cengkih juga dikatakan dapat mengelakkan semut dan serangga perosak lain seperly mealybug dan bena.

Pengeringan bunga cengkih, antara proses penghasilan rempah bunga cengkih.

 

Penggunaan bunga cengkih di dalam industri haruman juga semakin popular sebagai sebahagian daripada gabungan dalam menghasilkan baunan pada tahap middle notes yang biasanya meruap pada kadar 2 - 4 jam selepas penggunaan. Penggunaan bunga cengkih ini sama juga seperti penggunaan rempah-rempah lain sebagai bahan bauan di dalam industri wangian.
 
Antara kegunaan terbesar bunga cengkih adalah dalam penghasilan rokok kretek yang mempunyai pasaran terbesar di Indonesia. Penghasilan rokok kretek ini, menggunakan hampir separuh daripada jumlah penghasilan bunga cengkih di dunia. Rokok kretek menghasilkan bauan yang agak kuat - dan adakalanya menarik kerana ia mempuyai bauan dan rasa yang manis. Rokok kretek juga turut dipasarkan di kawasan-kawasan lain di Asia, Eropah dan Amerika - ia pernah diharamkan pada 2009 kerana mempunyai rasa/aroma yang menarik kepada kanak-kanak.
 
 
Memandangkan kegunaan bunga cengkih ini mempunyai aplikasi yang meluas, maka pasarannya akan tetap ada di masa hadapan. Namun bagi memastikan ia berada pada tahap yang menguntungkan ia perlu diberikan pengolahan teknik dalam proses penghasilannya. Seperti juga industri-industri tanaman yang lain, kaedah penanaman yang lebih moden bukan sahaja menghasilkan hasil yang tinggi, namun kos pengurusan dapat dikurangkan serta penggunaan tenaga manusia dapat dikurangkan.


1 comment:

Blog Archive