Ahad, 15 November 2020

Limau Purut Bahan Penting Masakan SE Asia

Limau purut dan daun limau purut.


Bagi penduduk Asia Tenggara (SE Asia), limau purut (Citrus hystrix), ‘Kaffir Lime’, bukanlah satu tumbuhan yang asing, walaupun kehadirannya di dalam masakan hanyalah disertakan dengan beberapa helai daun. Namun daun limau purut dapat memberikan kesan yang amat ketara kepada masakan-masakan ini, khususnya Tom Yam dari Thailand - di mana daun limau purut membangkitkan rasa pedas berapi masakan tersebut.
 
Berbeza dengan limau biasa, limau purut mempunyai daun yang mengandungi pati aroma yang kuat. Campuran daun limau ini di dalam masakan dapat memberikan kesegaran kepada bahan masakan tanpa memberikan rasa masam (air limau) ataupun rasa pahit (kulit limau). Walaupun ia terkenal dengan masakan Tom Yam, daun limau purut turut digunakan di dalam pelbagai jenis masakan - ia bergantung kepada jenis masakan serta bahan campuran rempah yang lain di dalam masakan tersebut.
 
Walaupun limau purut boleh ditanam kebanyakan kawasan di dunia, ia kebiasaannya ditanam sebagai tanaman hiasan. Jadi kegunaan komersialnya hanya dikenali di kawasan sekitar SE Asia dan beberapa negara berhampiran. Jadi terdapat beberapa nama limau purut dari kawasan-kawasan ini antaranya; jeruk purut: Indonesia, jiàn yè chéng (箭叶橙): China, kabuyaw atau kulubot: Philippines, makrud atau makrut (มะกรูด, /máʔ.krùːt/): Thailand, mak khi hut (ໝາກຂີ້ຫູດ, /ma ːk.kʰi ː.hu ːt/): Laos, trúc atau  chanh sác: Vietnam, combava: Réunion Island, gondhoraj lebu: West Bengal, India dan Bangladesh, dan semestinya limau purut di Malaysia.

 
Limau purut sendiri amat penting kepada Masyarakat Melayu yang sering digunakan untuk tujuan rawatan tradisional. Penggunaan limau dari jenis lain hanyalah sebagai pengganti sekiranya limau purut sukar didapati. Selain itu ia turut digunakan untuk tujuan mandian, membuang hanyir ikan dan daging, penyegar udara, menghilangkan bau badan dan rawatan kelemumur. Sebelum kita pergi lebih lanjut mengenai kegunaan sampingan limau purut ada baiknya kita kembali semula kepada tajuk asal kita.
 

Ciri-ciri Limau Purut


Pokok limau purut ditanam di atas tanah.
Limau purut yang ditanam di dalam pasu.

Limau purut mendapat namanya dari fizikal kulit buatnya yang
menggerutu (seperti juga katak puru). Namun sedikit berberza dengan daunnya yang mempunyai dua bahagian yang hampir sama (berbeza dengan limau lain di mana bahagian bawahnya lebih kecil). Selain itu, daunnya juga adalah lebih tebal berbanding dengan daun limau biasa seperti limau kasturi dan limau nipis. Cara yang paling mudah untuk memastikan daun limau purut adalah, apabila ia dikoyakkan, bauan limau yang kuat dapat dihidu. Pokok limau purut biasanya akan mencapai ketinggian sekitar 4 - 5 meter di atas tanah biasa. Ia juga biasa dijadikan tanaman di dalam pasu di sekitar halaman rumah.
 
Tanaman limau purut boleh dilakukan daripada biji. Tapi bagi memastikan hasil yang baik, teknik cantuman tunas dari pokok induk yang baik ataupun secara tampang (tut) adalah digalakkan. Ini bagi memastikan pokok yang sihat selain menghasilkan buah yang bermutu. Tanaman limau purut memerlukan sumber tanah yang kaya bahan organik. Penyediaan tanah dengan nutrient yang cukup perlu disediakan sebelum pokok di alih.
 
Bagi tanaman di atas tanah, lubang berukuran 0.6m X 0.6m X 0.6m diisikan dengan baja Triple Super Phosphate (100 gram), baja tahi ayam (100 gram) dan Ground Magnesium Limestone (GML) (100 gram) yang digaul sehingga rata diperlukan sebelum penanaman. Bagi tanaman di dalam pasu pula, komposisi yang disyorkan adalah 3:1:1 (komposisi tanah: tahi ayam: pasir). Anak pokok perlu ditanam pada kedalaman 2” (5 cm) selain perlu dipastikan air dapat mengalir keluar dengan baik bagi mengelakan kerosakan pada akar pokok. Pasu juga berlu bersaiz besar bagi membolehkan pokok dapat tumbuh dengan subur. Kesesuaian tanah untuk tanaman limau purut seperti juga buah citrus yang lain adalah pada pH6.0 - pH6.5.

 

Penyimpanan Daun Limau Purut

 
Daun limau purut bagus digunakan dalam keadaan segar. Namun begitu sekiranya anda perlu menyimpan daun yang berlebihan ia boleh dilakukan dengan menyimpannya di dalam bekas plastik dengan zip lock atau masukkan di dalam balang kaca. Penyimpanan pada suhu bilik membolahkan daun bertahan dalam tempoh seminggu. Bagi penyimpanan yang lebih lama, anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk (boleh bertahan selama setahun) atau lebih di dalam ruang beku. Anda juga boleh mengeringkan daun ini dengan menggantungkannya secara terbalik di dalam bilik yang kering, gelap dan panas: daun limau yang kering boleh disimpan sehingga 3 tahun.


Daun limau purut mudah dikenali dengan dua bahagian yang ketara dan ketebalan daun.


Penggunaan Limau Purut


Limau purut dan ayam.

Cheesecake limau purut, satu olahan baru berasaskan limau purut.

 
Penggunaan daun limau purut di dalam masakan amatlah meluas. Ia digunakan untuk memberikan kesegaran kepada makanan. Walaupun popular sebagai bahan masakan di dalam Tom Yam, ia juga digunakan dalam pelbagai masakan lain untuk bahan masakan seperti daging, ayam, ikan, lain-lain makanan laut mahupun sayuran dan ulaman. Selain itu ia juga digunakan untuk pelbagai jenis penyediaan seperti kari merah, kari hijau, sup, Tom Yam, masak lemak, masak asam pedas, singang, stir-fry, kerabu dan salad serta lain-lain kaedah penyediaan masakan.
 
Penggunaan limau purut juga boleh digunakan daripada, daun, kulit dan juga jus perahan limau itu sendiri. Namun penggunaan limau purut terutamanya adalah daripada daun dan parutan kulit. Daun limau purut samada dikoyakkan secara kasar ataupun dihiris halus dicampurkan di dalam masakan. Perahan jus limau boleh digunakan untuk membuang hanyir ikan dan daging ataupun apabila jus limau diperlukan (rasa masam diperlukan).
 
Walaupun limau purut amat penting di dalam masakan-masakan tertentu, ia juga perlu digandingkan dengan rempah-rempah atau herba yang lain. Antara herba dan rempah yang sering digunakan bersama limau purut termasuklah; serai, bunga kantan, lengkuas, halia, daun ketumbar, daun sup, daun bawang, kunyit, daun kesum, cili padi, perahan/jus limau, perahan asam jawa, daun selasih, santan kelapa dan bawang merah (dan antaranya yang tidak saya ketahui). Ia mudah dipadankan dengan bahan perasa makanan yang lain - kerana ia lebih kepada menambah kesegaran makanan.
 

Kegunaan Lain Limau Purut


Limau purut juga digunakan di dalam produk-produk tertentu.

Kegunaan lain limau purut seperti yang disebutkan di atas, ia banyak digunakan sama juga seperti limau-limau yang lain. Ia amat berguna untuk tujuan membuang bau hanyir dan kotoran pada makanan ataupun bau badan. Selain itu ia juga sering digunakan untuk mencuci rambut bagi memberikan kesegaran. Ia juga
dikatakan baik untuk membantu proses penghadaman. Manakala perahan limau purut juga digunakan sebagai bahan pencuci mulut untuk menguatkan gusi dan membersihkan mulut. Pati minyak limau purut juga dapat memberikan ketenangan minda selain digunakan untuk menghalau gangguan makhluk halus.
 
Itu adalah antara faedah yang dapat diketengahkan mengenai limau purut pada kali ini. Selain ia digunakan untuk tujuan masakan, pokok limau purut sendiri boleh digunakan sebagai hiasan landskap rumah. Tanaman di dalam pasu yang sesuai dapat menghasilkan pokok yang sihat disamping buah yang baik. Jadi diharap, ini dapat membantu para pembaca mengenali pokok limau purut dengan lebih dekat.

 

2 ulasan:

  1. Terbaik perkongsian ilmu dan input yang diberikan. Terima kasih blogger tersayang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bukan terbaik ajelah.. awesome!.. haha.. thanks. (Y)

      Padam

Arkib Blog