Memaparkan catatan dengan label angkasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label angkasa. Papar semua catatan

Ahad, 19 Oktober 2014

Menghuni Marikh dan Projek Biosphere 2

Biosphere 2 Complex
Keseluruhan bangunan Biosphere 2.

Bagi peminat-peminat cereka Sci-Fi persekitaran kehidupan di angkasa atau kehidupan di planet lain biasa digambarkan dengan pelbagai keadaan. Mungkin bagi sesetengah kita hanya menganggapnya sebagai sebuah hasil filem atau cereka yang dihasilkan untuk tujuan hiburan semata. Namun begitu bagi mereka yang optimis, idea untuk mendirikan penempatan di angkasa telah lama dilakukan.

Biosphere 2, sebuah projek yang telah lama dilakukan iaitu sejak tahun 1985 lagi. Tujuan eksperimen ini adalah untuk meninjau keadaan kehidupan di Marikh dengan menyediakan kehidupan sama seperti di bumi. Walaupun eksperimen ini mungkin tidak dapat memberikan jawapan yang 100% positif untuk peluang manusia tinggal di Marikh, namun ia memberikan sedikit-sebanyak maklumat yang berguna atau peluang untuk memperbaiki sebarang kesilapan yang dapat dikenal pasti di peringkat awal. Malah ia juga turut memberikan sedikit-sebanyak tentang jawapan kehidupan di bumi sendiri.

Oceanic area at biosphere 2
Kawasan yang mewakili lautan turut menempatkan turumbu karang.

Biosphere 2 adalah sebuah kemudahan yang didirikan dan menempatkan ruang kehidupan sama di bumi dengan dilengkapi kawasan seperti hutan tropika, kawasan paya bakau, gurun dan lautan dalam skala yang kecil. Keseluruhan sistem ini bertujuan bagi menyediakan satu ekosistem lengkap untuk membantu kehidupan di planet lain seperti di Marikh. Di sini, beberapa penyelidik menghabiskan masa kira-kira 2 tahun bagi meninjau samada ia dapat memberikan kemudahan bagi peserta disepanjang masa yang dilhabiskan di dalam Biosphere 2.

Bagi keseluruhan sistem Biosphere 2 ia mengandungi 1,900 meter persegi kawasan hutan hujan, 850 meter persegi lautan (turut menempatkan terumbu karang), 450 meter persegi kawasan paya, 1,300 meter persegi kawasan savannah, 1,400 meter persegi kawasan gurun, 2,500 meter persegi kawasan untuk aktiviti pertanian penghuninya. Ia juga dilengkapi dengan jaringan saluran bawah tanah untuk mengawal suhu dan membekalkan tenaga. Ia merupakan kawasan yang tertutup sepenuhnya dengan binaan kaca bagi membolehkan cahaya matahari menembusi struktur tersebut untuk membantu pertumbuhan hidupan di dalam ekosistem di dalamnya.

Savannah area biosphere 2
Kawasan savannah di dalam Biosphere 2.

Sepanjang tempoh daripada pembinaannya Biosphere 2 telah digunakan sebanyak 2 kali untuk mejalankan eksperimen di mana para peserta akan meluangkan masa beberapa ketika di dalam ruangan Biosphere 2 dan tidak dibenarkan keluar. Pada kali pertama peserta menghabiskan masa untuk 2 tahun daripada tahun 1991 hinggalah ke 1993 dan pada eksperimennya berikutnya iaitu kira-kira enam bulan yang menekankan lebih kepada aspek-aspek pembaik pulihan. Kini Biosphere 2 dibuka kepada orang ramai untuk tujuan lawatan dan tinjauan. Ia sudah tentu amat menarik untuk dikunjungi.

Living area biosphere 2
Antara ruangan untuk penghuni di Biosphere 2.

Sudah pastinya eksperimen ini mengalami pelbagai cabaran. Membina sebuah bumi kecil bukanlah mudah walaupun hampir kesemua ekosistem dihimpunkan di dalam satu bangunan yang kecil namun ianya tidak dapat memenuhi keperluan sebenar ekosistem ini. Biosphere 2 juga mengalami perbezaan tekanan udara di antara siang dan malam yang diakibatkan oleh kesan pengembangan udara. Ia juga mengalami kandungan Karbon Dioksida yang tinggi kesan daripada ketidak seimbangan ekosistem di dalamnya. Terdapat juga keadaan di mana para peserta mengalami kekurangan makanan dan sebagainya.

Walaupun Biosphere 2 tidak mungkin akan dibina di Marikh namun eksperimen ini sedikit sebanyak memberi banyak pengajaran kepada para penyelidik yang terlibat terutamanya dari segi keperluan rekabentuk dan juga ekosistem yang terdapat di dalam Biosphere 2. Dari percubaan inilah banyak perkara dapat diperbaiki dan kelemahan dapat dikenalpasti. Eksperimen seumpama ini mungkin akan terus dijalankan sehingga manusia berjaya dalam apa yang diusahakannya. Sehubungan dengan itu apa yang penting bukanlah kejayaan semata, tetapi usaha yang berterusan sehingga berjaya.



Free Download



Selasa, 7 Oktober 2014

Binaan Manusia Terpaling Mahal

International Space Station
ISS yang mengorbit bumi dari angkasa.

Manusia merupakan satu-satunya makhluk yang mampu membina hampir apa sahaja yang diinginkannya. Setelah beberapa zaman berlalu, banyak tinggalan yang dapat kita lihat ditinggalkan oleh orang-orang terdahulu menunjukkan manusia sentiasa membina bagi mencapai pembangunan yang ideal. Namun begitu setiap pembangunan akhirnya hanyalah tinggal menjadi sebahagian sejarah seperti mana yang dapat kita lihat hari ini.

Adalah sukar untuk menggambarkan kos sebenar bagi pembangunan-pembangunan yang didirikan pada tamadun-tamadun yang lepas kerana perbezaan gaya hidup dan sistem mata wang yang tidak difahami. Apa yang ingin kita lihat di sini adalah pembinaan yang dilakukan bagi manusia pada zaman ini bagi satu tujuan dan adalah mustahil ianya boleh didirkan oleh satu pihak sahaja memandangkan kosnya yang terlalu tinggi.

Working on ISS
Angkasawan melakukan kerja-kerja di ISS.

Binaan tersebut pula bukanlah berada di permukaan bumi seperti binaan-binaan lain, tetapi ianya berada di ruang angkasa bumi pada jarak 400km daripada permukaan bumi. ISS atau lebih dikenali sebagai International Space Station merupakan makmal yang berada di ruang angkasa yang dibangunkan secara berperingkat-peringkat dengan penglibatan banyak negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, Canada, Europe, Jepun dan negara-negara lain.

Ianya dibina secara berperingkat-peringkat bermula pada tahun 1998. Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 2000 dua krew pertama ISS memulakan tugas mereka di sini. Pada permulaannya ISS didirikan hanya mempunyai 3 modul. Ia kemudiannya terus ditambah secara berperingkat sehinggalah pada masa sekarang mengandungi pelbagai modul yang menjadi tempat untuk menjalankan eksperimen saintifik mahupun ruang penginapan bagi para angkasawan.

Life on ISS
Aktiviti bagi mengisi masa lapang di ISS.

Semenjak ia dimulakan ISS terus menjalani pelbagai penambahan dan pengubahsuaian bagi memastikan ia mampu menyempurnakan pelbagai keperluan dalam menjalankan kajian-kajian saintifik. Sehingga kini keseluruhan ISS menjangkau saiz 109 meter lebar dan 73 meter panjang dan ia lebih besar berbanding saiz padang bola. Disebabkan saiznya inilah menyebabkan ia perlu dibina di angkasa dan tidak boleh diterbangkan sekali daripada bumi. Berat ISS adalah menjangkau sehingga 400 tan. Berbalik kepada kos untuk pembinaan ISS dianggarkan menelan USD150 billion dan setakat ini tiada pembinaan satu objek yang menelan kos sehingga jumlah tersebut.

Namun pembinaan ISS adalah penting bagi manusia untuk lebih memahami tentang pelbagai keajaiban alam. Ini kerana untuk memahami apa yang berlaku di permukaan bumi adakalanya kita perlu melangkah ke luar untuk mendapat gambaran yang lebih jelas. Pembinaan ISS jelas menunjukkan tiada perkara yang mudah dalam menyelesaikan sesuatu perkara namun tiada yang mustahil sekiranya kita betul-betul mahu.

Cupola Module
Cupola module yang menyediakan tingkap pandang ke bumi.

Ada beberapa perkara lagi yang menarik mengenai ISS untuk anda ketahui antaranya adalah kelajuannya bergerak mencapai sehingga 27,000 kilometer sejam. Pada kelajuan ini ianya adalah 8 kali ganda lebih laju berbanding peluru. Manakala untuk membolehkan ianya beroperasi bagi menjalankan pelbagai aktiviti di angkasa ia dilengkapi dengan panel-panel solar yang berukuran 34 X 12 meter bagi membekalkannya sehingga 60kW kuasa elektrik.


ISS merupakan satu binaan yang amat menakjubkan. Bagi para peminat dunia sains, ISS merupakan satu ikon baru yang memberikan inspirasi untuk kita terus berusaha mengkaji dan mencipta. Malah ISS antara lainnya akan menjalankan eksperimen pelengkap kepada satu lagi kajian yang dilakukan di bumi - yang dijalankan di sebuah makmal yang juga merupakan satu lagi rekaan terulung iaitu LHC - Large Hadron Collider.




Free Download



Arkib Blog