Memaparkan catatan dengan label bakteria. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bakteria. Papar semua catatan

Ahad, 12 Oktober 2014

Keunikan Sistem Penghadaman Haiwan Ruminan

Cow
Lembu merupakan haiwan ruminan yang paling mudah ditemui.

Sistem penghadaman merupakan sistem yang penting bagi hidupan samada bagi haiwan mahupun manusia. Apa yang membezakan sistem penghadaman haiwan ruminan adalah kemampuannya untuk memproses makanan yang tidak mampu dihadamkan oleh manusia dan masih memperolehi zat makanan daripadanya.

Haiwan ruminan mendapat panggilan namanya daripada perutnya yang dipanggil rumen. Rumen merupakan perut utama bagi haiwan-haiwan ruminan yang terdiri daripada haiwan pemakan tumbuh-tumbuhan 100% seperti lembu, kambing, kerbau, rusa, kijang dan sebagainya. Dilengkapi dengan sistem penghadaman yang sedemikian membolehkan haiwan ruminan seperti lembu mendapatkan khasiat dari bahan makanan yang tidak berkhasiat pada manusia seperti rumput, hampas soya, daun sawit yang terdiri daripada bahan-bahan kasar.

Apa yang menarik bagi membolehkan haiwan ruminan melakukan perkara seperti ini, perut haiwan ruminan mempunyai 4 bahagian utama yang membolehkan bahan makanan disediakan sebelum ianya sedia untuk melalui bahagian serapan zat makanan sebaik sahaja meninggalkan bahagian perutnya (untuk ke bahagian seterusnya yang dipanggil duodenum dan seterusnya bahagian usus). Bahagian-bahagian perut ini berbeza dari segi fizikal permukaannya yang membolehkan bahan makanan haiwan ruminan dicernakan dengan baik.

Bantuan Mikro-organisma

Bacteria in cow's rumen
Salah satu daripada jutaan bakteria di dalam 'rumen' lembu.

Tahukah anda proses penghadaman makanan haiwan ruminan banyak bergantung mikro-organisma yang berada di dalam perutnya? Sebenarnya selain daripada sistem perut haiwan tersebut, miro-organisma ini banyak membantu dalam menghuraikan bahan makanan bagi membolehkan zat-zat daripada bahan makanan tersebut diserap oleh haiwan ruminan. Jadi kemampuan haiwan ruminan menghadamkan makanan ini turut dipengaruhi oleh bakteria yang berkembang di dalam perutnya. Jadi sekiranya haiwan ruminan tersebut menukar jenis pemakanannya secara mendadak, ia boleh mengakibatkan ia mengalami kesukaran untuk menghadamkan bahan makanan tersebut.

Protozoa in cow's rumen
Salah satu daripada protozoa di dalam 'rumen' lembu.

Bukan itu sahaja, haiwan ruminan sendiri turut membantu bakteria-bakteria ini untuk berkembang dengan lebih baik dengan menyediakan bahan makanan yang sesuai selain terus mengunyah bahan makanan tersebut sehingga ribuan kali kunyahan bagi memastikan bakteria dapat menggunakannya untuk pertumbuhan.

Mikro-organisma yang berada di dalam perut haiwan ruminan terdiri daripada bakteria dan protozoa. Dianggarkan di dalam bahagian ‘rumen’ haiwan seperti lembu sahaja terdapat kira-kira setengah juta bakteria dan 50 billion protozoa. Bakteria dan protozoa inilah yang akan membantu proses penghuraian bahan makanan yang telah dikunyak oleh haiwan-haiwan tersebut. Mikro-organisma inilah yang akan membantu untuk menghadamkan cellulose, hemicellulose, kanji, gula, asid organis, protein atau lemak. Terdapat juga bakteria yang menghasilakn ammonia dan methane atau men-sistesis vitamin.

Cow's Rumen
'Rumen', satu daripada empat bahagian di antara perut lembu.

Pemakanan haiwan ruminan perlu menitik beratkan pada mikro-organisma yang hidup di dalam perutnya berbanding makanan yang boleh dimakan. Ini kerana proses pemakanannya bergantung kepada mikro-organisma ini. Atau dengan perkataan lain, makanan sebenarnya adalah mikro-organisma tersebut seperti juga makanan ikan paus yang terdiri daripada hidupan-hidupan kecil yang dipanggil plankton, manakala seperti serangga yang membiakkan funggus untuk dijadikan makanan.


Kemampuan haiwan-haiwan ini dalam menjadikan tumbuh-tumbuhan kasar sebagai bahan makanan membolehkan banyak bahan buangan daripada hasil pertanian dijadikan sebagai sumber makanan bagi haiwan ternakan seperti kambing dan lembu. Ini membolehkan keseimbangan dalam sistem pertanian dan menjimatkan bahan buangan tersebut. Selain itu ia turut menjelaskan mengapa haiwan ruminan berupaya menjadikan bahan tumbuhan kasar sebagai makanan. Hubungan antara haiwan dan mikro-organisma juga menjelaskan betapa hidupan di dalam alam sentiasa bergantung antara satu sama lain untuk hidup dengan sempurna. 



Free Download



Ahad, 21 September 2014

Keunikan dan Kehebatan Dunia Fungus

Beautiful fungus
Fungus meliputi kumpulan hidupan yang luas yang terdiri daripada pelbagai spesies.

Dunia fungus amat luas merangkumi pelbagai jenis kulat termasuklah daripada cendawan yang biasa dimakan sehingga yang menyebabkan jangkitan kulit seperti kurap dan panau. Kajian mendapati fungus berada dalam kumpulan hidupan yang berada di antara haiwan dan tumbuhan malah lebih rapat kepada ciri-ciri menyerupai haiwan berbanding tumbuhan. Mengikut pengkelasan ini, terdapat jutaan spesies fungus yang menjadikan ia sebagai satu kumpulan hidupan tersendiri yang unik.

Mungkin sebahagian anda hanya memikirkan tentang cendawan yang biasa dimakan atau sebahagian cendawan lain yang beracun dan mudah dilihat hampir di setiap kawasan di mana fungus bertindak sebagai agen pereputan (hidup di atas hidupan lain yang mereput). Fungsi fungus merangkumi pelbagai aspek kehidupan samada manusia ataupun hidupan lain sendiri. Ini kerana kebanyakan aktiviti hidupan istimewa ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedangkan manusia dan fungus telah saling bekerjasama sejak sekian lama dalam penghasilan makanan seperti kicap, tempeh, keju, tapai, sake, beer dan macam-macam lagi.

Spesies fungus merangkumi hidupan ringkas seperti yis sehinggalah kepada cendawan yang bersaiz besar dan boleh dimakan. Fungsi fungus dalam kehidupan manusia juga merangkumi pelbagai kegunaan termasuklah perubatan di mana ia digunakan untuk penghasilan penicillin – iaitu sebagai ubat anti-bakteria yang telah membantu dalam merawat jutaan pesakit. Melalui kepesatan penyelidikan fungsi fungus turut membantu dalam penghasilan antibiotik selain dari penicillin,  vitamin, anti kanser, dan ubatan yang membantu menurunkan kadar kolesterol.

Malah kejuruteraan genetik turut melibatkan kumpulan hidupan ini seperti ke atas yis, iaitu dalam membantu tahap tumbesarannya yang lebih pantas bagi mempercepatkan lagi proses tindak balas dalam penghasilan sesuatu ubatan ataupun makanan.

Fungus bukanlah sekadar berguna kepada manusia sahaja. Fungsinya secara semulajadi di dalam alam merangkumi pelbagai fungsi. Ia turut mempengaruhi dunia hidupan lain seperti haiwan dan tumbuhan malah di antara kumpulannya sendiri dari spesies yang lain. Oleh sebab itu kumpulan kajian khas mengenai kumpulan hidupan ini merupakan satu bidang khas yang dipanggil mycology. Ini kerana kumpulan fungus di dapati boleh digunakan hampir di dalam kebanyakan bidang dalam kehidupan manusia.

Fugus and degradation
Fungsi fungus amat penting dalam pereputan.

Fungus dan Tumbuhan


Fungus membentuk hubungan simbiosis dengan tumbuhan dalam membantu tumbuhan bagi menyerap nutrient tidak organik seperti nitrate dan phosphate dari tanah yang mempunyai kepekatan rendah nutrient-nutrient ini. Ia juga menghubungkan antara tumbuhan dalam proses perkongsian karbohidrat dan nutrient lain. Fungus juga boleh mendiami hampir kesemua bahagian tumbuhan yang terdiri daripada pelbagai spesies yang berbeza dengan memberi pelbagai faedah berbeza pula kepada tumbuhan tersebut.

Manakala dalam situasi yang lain terdapat juga spesies fungus yang menyebabkan penyakit pada tumbuhan. Malah kebanyakan masalah penyakit pada tanaman adalah berpunca daripada fungus.

Fungus, Alga dan Bakteria

Lichen, combination of fungus, algae and backteria
Lichen -  Lobaria pulmonaria, simbiosis fungus, alga, dan bakteria cyanobacteria.

Fungsi fungus meliputi sehingga ke dalam hidupan mikro-organisma dalam hubungan unik ini bagi membentuk lichen. Lichen merupakan hasil daripada hubungan yang dibentuk daripada fungus (spesies berbeza daripada ascomycetes dan beberapa basidiomycetes), alga dan cyanobacteria. Melalui hubungan ini ia bertindak sebagai satu organisma dan berbeza sekali daripada komponen asal mereka. Hubungan ini membernarkna gula dan karbohidrat didapati daripada proses photosynthesis (alga), manakala fungus akan membekalkan mineral dan air.  Hubungan ini dapat membantu mereka untuk hidup di pelbagai keadaan di muka bumi yang agak sukar dilakukan secara individu.

Fungus dan Serangga


Banyak spesies serangga yang bergantung kepada fungus sebagai sumber makanan mereka dan hubungan mereka ini amat unik. Semut misalnya didapati membiakkan sendiri fungus ( dari kumpulan Agaricales) di dalam sarang mereka untuk dijadikan makanan. Begitu juga kumbang ambrosia yang menanam beberapa spesies fungus pada kulit pokok yang didiaminya. Berbeza pula bagi wood wasp yang menanamkan bersama telur mereka spora fungus dari jenis Amylostereum areolatum bagi menyediakan tempat tumbesaran yang sesuai apabila anak-anak mereka menetas nanti. Malah kumpulan fungus dari jenis yis (genus Candida dan Lachancea) mendiami bahagian usus kebanyakan serangga termasuk neuropteran, kumbang dan lipas. Hubungan ini tidak pasti samada membawa kebaikan kepada perumah atau sebaiknya.

Mycotoxins


Mycotoxins merupakan bahan yang dihasilkan oleh fungus bagi menyediakan persekitaran yang lebih sesuai untuk sesuatu fungus hidup dengan lebih baik atau sebagai pertahanan daripada musuh yang terdiri daripada pelbagai organisma lain samada bakteria, virus ataupun dari jenis fungus sendiri. Mycotoxin boleh menyebabkan makanan menjadi rosak dan menyebabkan keracunan makanan. Ia juga dalam masa yang sama digunakan sebagai ubatan seperti penicillin dalam membasmi bakteria. Mycotoxin juga merupakan bahan yang menjadikan sesuatu jenis cendawan itu beracun dan boleh membawa maut.

Bidang Pemakanan

Saccharomyces cerevisiae cells shown with DIC microscopy
Saccharomyces cerevisiae atau yis dilihat di bawah mikroskop.

Yis atau juga dikenali sebagai Saccharomy cescerevisiae, merupakan fungus satu sel yang digunakan dalam penghasilan roti dan lain-lain makanan seperti pizza dan pau. Manakala yis dari genus Saccharomyces  juga digunakan dalam penghasilan minuman beralkohol melalui proses penapaian. Makanan tradisi Asia seperti kicap, sake dan miso juga menggunakan kulat yang dikenali sebagai Aspergillus oryzae. Manakala Rhizopus merupakan spesies yang digunakan dalam penghasilan tempah. Lain-lain makanan yang menggunakan spesies fungus ini termasuklah tapai. Fungus yang digunakan dalam proses penyediaan makanan turut menghasilkan mycotoxins, namun ianya tidak membahayakan kesihatan kepada manusia.

Kumpulan fungus yang lebih besar seperti cendawan juga turut digunakan secara meluas dalam bidang pemakanan. Sejak sekian lama manusia mempelajari kaedah untuk membiakkan sendiri cendawan-cendawan yang boleh dimakan untuk tujuan komersial. Agaricus bisporus atau lebih dikenali sebagai cendawan butang merupakan antara spesies yang terkenal dijual secara meluas dan digunakan dalam banyak masakan.

Beautiful mushroom
Kebanyakan spesies fungus tidak boleh dimakan, mempunyai fungsi lain dalam alam.

Dari jenis cendawan-cendawan ini ada di antaranya dianggap sebagai amat berharga seperti ‘matsu-take’ dan truffles. Ini kerana bukan semua jenis cendawan boleh dibiakkan melalui kaedah yang sama. Walaupun industri penanaman cendawan semakin popular masih terlalu sedikit cendawan yang boleh dibiakkan oleh manusia – manakala yang lainnya hanya boleh didapati secara meliar ataupun kaedah pembiakan yang tidak efektif.


Begitulah serba sedikit mengenai dunia fungus yang amat menarik untuk anda membuat tinjauan yang lebih lanjut. Ia merupakan satu dunia yang luas kerana dikatakan terdapat kira-kira 1.5 juta spesies fungus dan cuma 5% daripadanya yang diklasifikasikan. Oleh kerana dunia fungus turut mempengaruhi semua spesies kehidupan yang lain, maka bidang kajian fungus merupakan satu bidang yang penting untuk diberikan tumpuan seperti juga bidang hidupan yang lain.  Diharap penulisan kali ini dapat membuka lebih minat anda untuk mengenali kumpulan hidupan istimewa ini. Mungkin ia memberikan sedikit pandangan berbeza kepada anda mengenai dunia fungus yang merangkumi cendawan, kulat, kulapuk, yis dan macam-macam nama lagi. Terima kasih.



Free Download



Isnin, 12 Mei 2014

Hidupan Pembunuh No #1 Di Dunia.

deadliest animals
Punca-punca kematian manusia.


Kita sering dipaparkan dengan keganasan haiwan-haiwan besar yang boleh membunuh manusia dengan mudah seperti singa, buaya, badak sumbu, badak air, ular tedung dan macam-macam lagi. Namun begitu setelah diselidiki dan diamati daripada data yang dikumpulkan ternyata hidupan yang banyak menyebabkan punca kematian sebenar berpunca daripada serangga kecil iaitu nyamuk.

Nyamuk banyak menyebarkan kuman (bakteria & virus) serta cacing yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit yang membawa maut. Apa yang membimbangkan nyamuk tinggal berhampiran sekali dengan kita dan ada kalanya bersama kita di dalam rumah. Satu kaedah yang boleh mengurangkan jangkitan ini adalah dengan memastikan keadaan di dalam rumah yang teratur (tiada tempat persembunyian nyamuk) dan luar rumah yang bersih (tiada saliran tersumbat tempat pembiakan nyamuk).

Terdapat beberapa penyakit bawaan nyamuk yang terkenal dan merbahaya antaranya ialah:

Aedes aegypti
Aedes aegypti nyamuk penyebar denggi yang mudah dikenali melalui belang-belang pada badannya.

Seperti yang kita ketahui Malaria dan Denggi merupakan dua wabak yang begitu popular bukan sahaja di negara-negara membangun malah juga di negara-negara yang membangun. Kematian akibat denggi boleh di dengar di mana sahaja samada di bandar atau di kampung-kampung (malah sering berlaku di bandar).

Bagi kes-kes besar denggi pernah dilaporkan menyerang Venezuala dan menyebabkan lebih daripada 11,600 kes pada tahun 2004 – jumlah kematian tidak dipastikan. Manakala wabak yang sama pernah menyerang Indonesia yang menyebabkan 600 kematian dan sebanyak lebih 54,000 jangkitan pada tahun 1999.

Dengan perangkaan yang sebegitu besar maka sudah pastinya membuktikan nyamuk merupakan punca kematian besar-besaran dengan kemampuan menyebarkan penyakit pada skala yang amat besar berbanding dengan haiwan-haiwan merbahaya yang lain – mungkin akan mengakibatkan kematian akibat kecederaan serangan namun ia tidak menular.

Namun begitu Denggi bukanlah satu-satunya penyakit merbahaya bawaan nyamuk. Seperti yang disenaraikan di atas dan banyak lagi jenis-jenis penyakit yang mungkin tidak disenaraikan sebagai penyakit utama bawaan nyamuk kerana tidak membawa maut – seperti untut.

Negara kita pernah mengalami kes besar-besaran penularan wabak JE (Japanese Encephalitis) dan mengorbankan ramai pesakit di sekitar tahun 1999. Walaubagaimanapun wabak ini menular hanya di kawasan-kawasan yang kebiasaannya terdapat kandang-kandang pembelaan khinzir serta sawah padi. Ia mungkin disebabkan kawasan-kawasan tersebut terdapat air bertakung yang sesuai bagi nyamuk-nyamuk tersebut membiak (juga virus yang dibawanya merebak).

Anopheles stephensi
Anopheles stephensi merupakan nyamuk penyebar Malaria.

Secara keseluruhannya penyakit bawaan nyamuk yang paling banyak membawa kepada kematian di dunia adalah Malaria (mungkin tidak di negara kita). Dikatakan Malaria menyebabkan kematian lebih sejuta orang setahun dan antara 300 – 500 juta kes dilaporkan setiap tahun. Ia juga menyebabkan punca kematian seorang kanak-kanak bagi setiap 40 saat.

Mungkin banyak lagi perkara yang masih perlu disingkap untuk anda mengetahui setiap penyakit bawaan nyamuk ini. Bagi yang ingin mengetahui lebih lanjut bolehlah membuat rujukan di laman-laman yang membincangkan mengenai kesihatan juga masalah penyakit bawaan nyamuk ini.

Apa yang penting langkah pencegahan perlu diambil dengan memastikan kawasan persekitaran kita sentiasa bersih. Tiada saliran atau sungai-sungai berhampiran kediaman anda yang tersumbat kerana nyamuk sememangnya sentiasa ada – namun bekteria/virus yang dibawa oleh nyamuk tersebut merupakan punca sebenar wabak yang membawa maut tersebut perlu dielakkan daripada membiak di kawasan anda.

Jadi sama-samalah kita menjadi peka tentang persekitaran, tentang rumah kita dan perkara-perkara yang boleh mendatangkan bahaya dengan mengambil sedikit tindakan yang mungkin dapat menyelamatkan ahli keluarga kita dan orang-orang yang kita sayangi.


Free Download




Jumaat, 25 April 2014

Cara Membasuh Tangan Dengan Betul Dan Mengelakkan Jangkitan

sakit perut
Sakit perut boleh mengganggu perjalanan hari anda, atau anak anda di sekolah.

Membasuh tangan adalah perkara paling penting di dalam penjagaan kebersihan apatah lagi sekiranya anda akan menyentuh makanan atau menyediakan makanan. Membasuh tangan perlu dilakukan dengan sempurna bagi mengelakkan bakteria merebak pada makanan yamg disentuh. Samada makanan masih mentah atau telah siap dimasak, bakteria akan mula membiak sebaik sahaja hinggap kepada bahan makanan seterusnya menyebabkan keracunan makanan.

Tangan merupakan bahagian anggota badan paling penting untuk menjalankan tugas-tugas seharian di mana kita akan menyentuh pelbagai benda yang telah dihinggapi bakteria. Semasa bersentuhan inilah bakteria dipindahkan dari seorang individu kepada individu yang lain. Kebiasaannya benda yang kerap disentuh seperti tombol pintu, butang lift, susur tangga, pemegang troli dan segala benda yang disentuh oleh ramai individu menjadi punca utama bakteria dapat merebak.

cara mencuci tangan
Cara mencuci tangan dengan betul perlu diamalkan.

Dalam kes keracunan makanan, bakteria dipindahkan daripada individu yang menyentuh bakteria dan memindahkannya kepada makanan yang disentuh tadi. Bakteria yang kini berada pada makanan akan membiak dan menghasilkan toksin yang menjadi punca kepada keracunan makanan. Apa yang membantu bakteria membiak dengan pantas adalah punca makanan, suhu dan kelembapan. Bakteria akan merebak pada suhu bilik dengan pantas. Oleh sebab itu makanan perlu sentiasa dalam keadaan sejuk atau panas untuk mengelakkan bakteria membiak.

Wabak penyakit yang melanda negara-negara membangun boleh dikurangkan sekiranya tahap kebersihan dapat dipertingkatkan dan ini bermula dengan tabiat mencuci tangan dengan betul samada semasa proses penyediaan makanan atau sebelum menyentuh makanan. Ini kerana bakteria lebih kuat apabila berada di dalam perumah yang menyediakan keadaan yang sesuai untuk ia merebak dengan cepat. Keadaan akan bertambah buruk sekiranya rawatan tidak dapat diberikan dengan cepat. Toksin yang dihasilkan oleh bakteria bukan sahaja dapat membunuh bakteria-bakteria lain malah boleh membawa maut kepada perumah sendiri.

Bakteria salmonella
Bakteria salmonella merupakan antara punca keracunan makanan.

Kaedah mencuci tangan yang betul bukan sahaja dapat mengurangkan bakteria malah membunuhnya sekali. Cucian tangan yang sempurna adalah dalam masa 15 saat - oleh sebab itu digalakkan kita mencuci tangan selama 30 saat menggunakan sabun dengan menyempurnakan cucian untuk semua bahagian tangan (tapak tangan, bahagian belakang tangan, jari-jemari serta kuku). Cucian tangan menggunakan sabun biasa dengan kaedah ini juga berkesan untuk membunuh kuman yang terdapat pada permukaan kulit tangan.

Anda juga perlu mengulangi proses mencuci tangan setelah menyentuh bahan-bahan yang berbeza contohnya setelah menyentuh bahan mentah (daging, ikan, sayur dan sebagainya) sebelum menyentuh bahan yang sudah dimasak. Ini kerana bahan mentah mungkin mengandungi bakteria yang tidak aktif dan boleh berpindah kepada bahan yang telah dimasak tadi. Malah bahan mentah dikatakan sumber utama bakteria di dapur.

sabun
Sebarang sabun boleh digunakan untuk mencuci tangan dan membunuh bakteria dengan berkesan. 
Perhatikan juga peralatan yang anda gunakan semasa proses memasak dan untuk menikmati hidangan. Peralatan seperti pisau, senduk, sudu dan garfu juga perlu menjalani proses pembersihan yang sama. Jangan gunakan pisau yang digunakan untuk memotong daging terus digunakan untuk memotong buah-buahan atau kek walaupun pisau tersebut kelihatan kering dan bersih. Sudu dan garfu pula perlu dicuci dan kering sebelum digunakan. Sebaiknya setelah dicuci rendamlah sudu-sudu dan garfu ini di dalam air panas selama 30 saat.

Ruang kerja-kerja di dapur juga perlu dipastikan sentiasa bersih dan keadaan lantai dapur juga sentiasa kering. Meja kerja serta sinki boleh dinyahkuman dengan menggunakan cecair peluntur seperti clorox setelah setiap kali selesai melakukan tugas-tugas memasak. Lantai juga boleh dicuci dan dikeringkan dengan sempurna bagi mengelakkan bakteria membiak serta terus kekal berada di dapur anda.

Akhir sekali simpan bahan-bahan makanan dengan selamat sesuai mengikut keperluan simpanan bahan makanan tersebut. Simpanlah bahan makanan mentah seperti ikan dan daging di tempat simpanan beku sehingga ia digunakan untuk memasak. Simpan pula bahan-bahan seperti sayuran dan makanan di dalam tin di dalam ruangan dingin sehingga untuk digunakan. Elakkan bahan ini dikeluarkan terlalu lama. Ambil apabila diperlukan dan simpan semula secepat mungkin - elakkan suhunya naik bagi mengelakkan bakteria aktif dan membiak.

Bagi makanan yang telah dimasak pula kekalkan suhunya dalam keadaan yang panas semasa dihidang. Manakala bahan-bahan yang sejuk seperti ice-cream dan kek tetap sejuk semasa dihidangkan. Perkara ini amat mudah jika anda sentiasa mempraktikkan amalan kebersihan dengan betul. Pertama pastikan tangan sentiasa bersih sebelum menyentuh bahan makanan. Kedua, elakkan makan makanan yang terdedah.

Adalah diharap artikel kali ini dapat membantu anda dalam menjalani kehidupan dengan lebih baik. Semoga amalan kebersihan tersebut dapat dicontohi oleh anak-anak kita sehingga mereka dewasa. Kesihatan merupakan factor utama kecemerlangan mereka di sekolah. Terima kasih.


Free Download



Ahad, 5 Januari 2014

Pembersih Udara Terbaik Untuk Membasmi Gas Merbahaya, Kuman dan Habuk

Airocide teknologi pembersihan udara dari NASA

Pembersih udara terbaik mungkin tidak terdapat pada satu produk memandangkan kesemua produk mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Walaubagaimanapun terdapat pembersih udara yang baik dari segi mencapai matlamat membantu anda mencapai tujuan penting iaitu kebersihan dari ancaman yang terdapat di dalam udara seperti bakteria, virus, kulapuk dan gas-gas merbahaya. Mari kita ikuti lebih lanjut mengenai teknologi pembersihan udara ini.

Terdapat banyak kandungan terampai di dalam udara yang terdiri dari pelbagai benda utama iaitu gas, habuk dan hidupan (bakteria, virus dan kulat). Kesemua benda asing ini boleh membawa mudarat kepada anda dan juga benda lain yang terdapat di dalam rumah anda seperti tumbuhan dan binatang kesayangan anda. Di dalam idustri kualiti udara lebih menekankan kepada partikel-partikel halus terdapat di dalam udara jadi ianya lebih mementingkan penapis udara yang mempunyai tapisan.

Di dalam suasana rumah pula kualiti udara lebih menekankan kepada keselamatan penghuni daripada dijangkiti oleh hidupan di dalam udara serta gas-gas merbahaya. Sememangnya sukar untuk mengawal kehadiran mikro-organisma di dalam udara kerana kita bernafas memerlukan udara. Jadi penapis udara yang mampu membunuh organisma merbahaya ini amatlah penting – terutama sekiranya anda menghidapi alahan seperti asma. Ia juga mampu mengelakkan jangkitan seperti H1N1 dan penyakit-penyakit lain yang berjangkit melalui udara.

Dalam sistem pembersihan udara terdapat beberapa ciri-ciri penting seperti;

Penapis HEPA perlu melalui ujian makmal untuk mendapat pentauliahan

a) Menapis – pembersih udara jenis ini menggunakan penapis untuk menapis habuk terampai di dalam udara. Ini bergantung kepada kehalusan pada sistem penapisan. Sistem penapisan mungkin membersihkan udara daripada habuk tetapi tidak membunuh organisma di dalam udara. Antara penapis terbaik adalah HEPA yang menapis 99.97 partikel di dalam udara.

b) Membunuh organisma – sistem penapisan ini dilengkapi dengan sistem yang dapat membunuh organisma di dalam udara. Antaranya menggunakan UV untuk membunuh organisma yang terdapat di dalam udara atau haba yang tinggi.

c) Pengionan – pengionan membersih dengan cara pengumpalan habuk menjadi partikel yang lebih besar dan jatuh ke permukaan lantai atau dikumpulkan pada plat pengumpul bercas yang akan menarik partikel-partikel tersebut.

d) Gabungan – kebiasaannya juga penapis udara menggabungkan beberapa ciri-ciri ini bagi mendapatkan kualiti udara terbaik. Penapis udara yang menapis sahaja mungkin tidak memadai sekiranya organisma dan gas merbahaya masih lagi terdapat di dalam ruang yang dilengkapi dengan sistem tapisan.

Terdapat banyak lagi teknologi tapisan udara yang digunakan di dalam bidang industri dan kesihatan. Ini kerana kedua bidang ini memerlukan kualiti udara pada tahap yang terbaik. Jadi penggunaan sistem pembersihan udara yang mantap sememangnya diperlukan.

Antara teknologi pembersihan udara yang baru dikomersialkan dan baik untuk digunakan di dalam rumah adalah Airocide. Satu-satunya pembersih udara yang berbeza dengan pembersih udara yang lain. Ini kerana ianya tidak menggunakan sebarang penapis namun dapat membersihkan udara daripada organisma merbahaya dan juga gas-gas yang boleh menyebabkan gangguan kepada kesihatan.

Airocide bukan sahaja cantik, malah lebih berkesan dalam membersihkan udara

Airocide direka menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh NASA (National Aeronautics and Space Administration). Pada mulanya ianya digunakan untuk mengatasi masalah kandungan gas ethylene yang menyebabkan buah-buahan cepat masak. Dengan bantuan daripada University of Wisconsin para jurutera NASA dapat mereka satu pembersih udara yang mampu menyahkan 99% kandungan ethylene dari dalam udara. Malah teknologi ini juga digunakan dalam industri pengimportan buah-buahan, makanan dan bungaan sejak dari tahun 1998 lagi.

Kajian seterusnya mendapati Airocide juga sangat berkesan dalam menghapuskan kandungan VOC (Volatile Organic Compounds) dari dalam udara – bahan berbahaya yang terdiri daripada semburan racun serangga, bahan pencuci, bahan penyahkuman, bahan cucian kering (dry-cleaning), bahan binaan, thinner, racun serangga, penyegar udara dan bahan-bahan lain yang meruap di dalam udara. Malah Airocide juga didapati dapat menghapuskan bahan lain seperti debunga, hama, virus, bakteria dan juga bahan organisma lain yang terkandung di dalam udara.

Teknologi Airocide diperkenalkan dalam hospital, klinik, bilik kecemasan, klinik pergigian dan juga pusat penjagaan kanak-kanak semenjak 2003 lagi dan mendapati kesan yang positif dalam mengawal penyakit yang merebak seterusnya mengurangkan kadar bakteria dan kulapuk.

Airocide tidak dilengkapi dengan tapisan bahan terampai di udara. Jadi penggunaan alatan ini adalah lebih baik digunakan bersama dengan sistem tapisan habuk sekiranya anda inginkan kualiti udara yang lebih bersih. Namun begitu perlu diingat penapis yang memerangkap habuk juga menjadi sebahagian tempat pengumpulan bakteria dan kulat. Penggunaan Airocide amat penting bagi mengawal bahan-bahan merbahaya ini di dalam udara.


Diharap artikel kali ini dapat membantu anda memahami lebih lanjut tentang kebersihan udara dan alat pembersih udara dengan lebih baik. Mungkin di lain masa saya ingin menyentuh tentang bahaya organisma yang terdapat di dalam udara. Melalui pengetahuan lebih lanjut mengenai perkara ini mungkin dapat mengelakkan kita daripada dihinggapi serangan penyakit merbahaya dan melindungi keluarga kita daripadanya.



Free Download



Jumaat, 1 November 2013

Penemuan Hebat Penicillin Oleh Alexander Fleming.

Alexander Fleming sedang memerhatikan bakteria yang dibiakkan.
Hari ini saya ingin bercerita sedikit berkenaan dengan sejarah penemuan penicillin. Mungkin ramai di antara kita masih mengingati nama saintis yang menemui penawar pertama yang telah membantu merawat berjuta manusia di serata dunia iaitu Alexander Fleming. Mari kita lihat bagaimana penemuan ini berlaku, kerana ianya mungkin dapat membantu kita menyedari bahawa adakalanya penemuan sesuatu yang menarik adalah secara tidak sengaja.


Pada sekitar tahun 1928, Alexander Flamming, 48 berkelahiran Scotland diberikan tugasan sebagai ketua biokimia di Haspital St. Mary di London dan diberikan sebuah ruangan khas yang juga menjadi sebagai makmal ujikajinya bersebelahan dengan bilik dandang.

Sebagai kakitangan pengkaji bakteria beliau membiakkan bakteria di dalam piring petri untuk tujuan ujikaji pihak hospital. Menggunakan miskroskop jumlah bakteria (sampel daripada pesakit) yang dibiakkan dapat membantu untuk mengenalpasti jangkitan dan kuman yang menyebabkan punca penyakit serta mencari kaedah sesuai untuk melawan penyakit tersebut. Kesemua piring petri yang mengandungi bakteria berbahaya yang terdiri daripada staphylococci, streptococci dan pneumococci disusun dan di label dengan teliti disepanjang para di dalam makmal Fleming.

Kulapuk merupakan musuh utama kepada makmal Flemming. Manakala suasana di dalam makmal Flemming pula sentiasa berada dalam keadaan pengaliran udara yang tidak teratur mengikut keadaan bilik dandang yang beroperasi bersebelahannya. Pengaliran udara untuk makmal ini hanya bergantung kepada tingkap yang berhadapan dengan parking/taman hospital tersebut. Ini memberi peluang kepada angin tengahari membawa masuk daun-daun, habuk dan bermacam jenis kulapuk yang sedia di dalam udara. Adalah sukar untuk mengawal kehadiran kulapuk ini dari menjejaskan tumbesaran bakteria yang cuba dibiakkan.

Pada 28 September, 1928, Flemming kelihatan agak kecewa bila mendapati piring petri yang mengandungi bakteria berbahaya stapylococci telah dimusnahkan oleh kulapuk hijau yang kelihatan ganjil. Kelapuk tersebut telah menguasai hampir separuh daripada piring petri tersebut dan pastinya telah menghinggapi piring tersebut malam sebelumnya.

Dalam kekecewaan tersebut dia tiba-tiba tersentak bila menyedari di mana pada bahagian kulapuk ini hidup bakteria staphylococci didapati hilang (mati). Begitu juga bakteria yang berada hampir seinci daripada kulapuk ini didapati tiada lagi atau tidak sihat.

Penicillium Notatum yang dibiakkan

"Kulapuk apakah yang dapat memusnahkan bakteria yang begitu aktif, ganas dan boleh membawa maut kepada dunia? Tiada bahan yang diketahui (pada masa itu) yang boleh mengancam staphylococci dengan berjaya". Bisik hati beliau.

Fleming mengambil masa dua minggu untuk mengasing dan membiakkan cukup kulapuk hijau untuk tujuan mengenalpasti kulapuk tersebut: Penicillium notatum. Sebulan berikutnya beliau mendapati kulapuk ini menghasilkan bahan yang mampu membunuh bakteria dan memanggil bahan tercebut sebagai "penicillin".

Melalui eksperimen yang dijalankan beliau mendapati penicillin mampu menghapuskan bakteria pembunuh manusia dengan mudah antaranya - staphylococci, streptococci, pneumococci juga yang lebih hebat seperti diphtheria.

6 bulan berikutnya beliau menguji penggunaan penicillin ke atas arnab untuk memastikan ia selamat digunakan ke atas manusia. Lewat pada 1929 beliau mengisytiharkan penemuan kulapuk ajaib tersebut yang diterbangkan masuk melalui tingkap makmalnya.

Itu berkaitan dengan penemuan sahaja. Tetapi penghasilan penicillin seterusnya melalui beberapa peringkat yang lain termasuk penghasilnya secara besar-besaran. Beruntunglah kerana hari ini dunia perubatan modern mampu menghasilkan lebih banyak ubatan dan antibiotik yang mampu menangani masalah yang berpunca daripada bakteria. Manakala kaedah yang lain digunakan untuk menangani masalah yang berpunca daripada virus seperti pemvaksinan.

Apa yang penting di sini adalah titik permulaan penemuan jalan penyelesian bagi sesuatu masalah yang kemudiaannya mencetuskan lebih banyak penemuan-penemuan baru. Ia merupakan satu langkah yang merubah segalanya.


Free Download



Arkib Blog