Memaparkan catatan dengan label burung. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label burung. Papar semua catatan

Khamis, 14 Januari 2016

Haiwan Paling Bijak Dan Kegelapan

Common Raven dari keluarga burung gagak.

Manusia banyak belajar dari alam, maka hubungan antara manusia dan alam amat penting dalam memastikan kemajuan manusia yang berterusan. Apa yang berbeza manusia mempunyai kelebihan untuk menggunakan segala sumber yang ada di dalam alam ini sedangkan kebanyakan ilmu yang kita miliki adalah apa yang diilhamkan daripada pemerhatian alam sekeliling.

Haiwan paling bijak mungkin tidak mampu untuk menghasilkan barangan seperti manusia, namun dapat menyesuaikan mereka untuk meneruskan hidupan dalam dunia yang mencabar bersama-sama dengan kehadiran manusia – di mana kebanyakan haiwan lain menghadapi kepupusan. Haiwan yang dimaksudkan adalah burung gagak (raven).


Bulu burung raven adalah  sedikit berkilau.

Burung gagak.

Raven atau  common raven (Corvus corax), adalah termasuk dalam family burung gagak (dari genus Corvus) mempunyai ciri-ciri warna yang gelap dan kurang menarik kerana reputasi yang diberikan oleh manusia kepadanya sejak zaman berzaman. Namun dalam masa yang sama juga kisah-kisah kebijaksanaan gagak turut diceritakan dalam beberapa versi cereka rakyat dari pelbagai bangsa.

Raven merupakan antara spesis gagak yang sangat terkenal dengan kebijaksaannya. Ini dibuktikan dengan banyak kajian yang dijalankan oleh beberapa University antaranya adalah Bernd Heinrich and Thomas Bugnyar iaitu saintis dari Vermont University di Canada dan St Andrews University di Scotland mendapati burung ini menggunakan kaedah logik dalam menyelesaikan masalah dan keupayaan ini mengatasi haiwan dari spesis beruk seperi chimpanzee.

Apa yang menarik burung gagak dapat menyelesaikan masalah yang agak kompleks menerusi proses ‘trial and error’. Proses ini memerlukan burung gagak untuk menganalisa setiap perlakuannya di dalam minda mereka. Ia merupakan kemahiran berfikir yang jarang ada pada haiwan-haiwan yang lain.

Burung ini juga terkenal mempergunakan haiwan lain untuk melakukan kerja bagi mereka seperti menarik perhatian serigala dan musang kepada haiwan yang mati. Ia adalah bertujuan supaya haiwan ini dapat menyiatkan kulit binatang tersebut yang tidak dapat dilakukannya sendiri. Di kawasan bandar pula burung gagak sering menggunakan apa sahaja disekeliling mereka untuk menyelesaikan masalahnya – ikuti video burung gagak memecahkan kacang.

Bagi raven, taburannya adalah di bahagian utara dunia dari Amerika, Canada, negara-negara Eropah, China, Korea dan Jepun. Namun begitu bagi spesis lain gagak boleh didapati hampir di keseluruhan bahagian dunia. Oleh kerana kemampuan inilah antara faktor yang juga menyebabkan burung-burung ini dengan mudah menyesuaikan diri dengan kehadiran manusia. Berbanding lari dari manusia – burung gagak memilih untuk tinggal hampir dengan manusia (walaupun ia kurang disenangi oleh manusia).


Burung gagak memakan hampir apa sahaja.

Burung gagak di tempat pembuangan sampah.

Bagi spesis raven saiznya boleh mencapai sehingga 54 ke 67 cm (21" ke 26") panjang dengan ukuran bukaan kepak 115 ke 130 cm (45 ke 51") lebar. Beratnya pula adalah antara 0.69 ke 2 kg (1.5 ke 4.4 lb) yang juga merupakan antara burung dari kumpulan ‘passerines’ yang terbesar. Terdapat pelbagai spesis raven dari keluarga gagak ini.

Oleh kerana warnanya yang gelap, ia sering dikaitkan dengan ‘kegelapan’, kuasa jahat, kematian, nasib burukdan sebagainya. Keburukan ini bukan sahaja membentuk kepercayaan, malah turut dimuatkan lagi dalam karya-karya manusia, filem, novel dan sebagainya. Ia memberi kesan yang buruk kepada keluarga burung ini dan menyebabkan kita kurang senang dengannya.

Dalam kisah yang lain pula, burung gagak turut dikisahkan sebagai haiwan yang bijak dan baik hati seperti di dalam kisah gagak yang ingin minum di dalam balang air – di mana ia memasukkan batu ke dalam balang air tersebut. Terdapat juga kisah di mana burung gagak menolong manusia yang susah dan sebagainya.


Itu adalah antara kisah kebijaksanaan burung gagak dan anda tidak akan mempercayainya selagi anda tidak melihatnya sendiri. Jadi sekiranya anda melihat burung ini nanti, pastikan anda mengamati gerak-geri mereka untuk melihat bagaimana kebijaksaan mereka dalam menyelesaikan masalah. 








Free Download



Rabu, 23 Disember 2015

Walaupun Tidak Boleh Terbang, Kasawari…

Kasawari mempunyai warna yang amat menarik dan terang.

Kasawari atau ‘cassowaries’ merupakan burung yang tidak boleh terbang sama juga dengan beberapa jenis burung lain (bersaiz besar) seperti burung unta (ostrich) dan emu. Walaupun dari segi ketinggian ia merupakan ketiga tertinggi namun dari segi berat ia adalah kedua terberat selepas ostrich. Burung dari genus Casuarius ini merupakan hidupan asal dari hutan tropika di New Guinea dan kepulauan berhampiran serta bahagia Timur Laut Australia.

Burung kasawari mempunyai rupa bentuk yang unik dimana burung jantan dan betina dilengkapi dengan ‘casque’ yang membentuk seperti tanduk. Manakala badannya yang panjang pula memerlukan kaki yang bersaiz besar dan kuat untuk menyokongnya. Ia berwarna biru terang dan biru yang lebih muda di bahagian kepalanya. Ditambah pula dengan bahagian yang berwarna merah, burung ini mempunyai kombinasi warna yang amat menarik apabila dilihat.

Antara spesies kasawari dari jarak dekat.


Burung yang amat terkenal dengan kemampuannya menyerang manusia.

Walaupun burung ini tidak boleh terbang, ia amat ditakuti oleh manusia sekiranya tidak berhati-hati. Ini kerana burung ini terkenal dengan sikapnya yang suka menyerang dan boleh menyebabkan maut. Jadi sekiranya anda menyaksikan burung ini di dalam kurungan, elakkan daripada menyebabkan ianya terperanjat (atau menyebabkan ia kurang selesa). Manakala sekiranya berhadapan dengan burung ini di kawasan liar pula, anda perlulah berhati-hati kerana ia boleh mengejar dengan pantas sehingga  kelajuan 50 km/j (31 mph) di dalam kawasan hutan.

Burung kasawari diselaputi dengan bulu pelepah yang panjang yang kelihatan seperti bulu-bulu yang kasar. Bagi ‘southern cassowaries’ dewasa, saiznya boleh mencapai sehingga 1.5 to 1.8 meter (4.9–5.9 kaki) tinggi, manakala burung betina boleh mencecah sehingga 2 meter (6.6 kaki) dengan berat sehingga 58.5 kilogram (129 lb).

Kasawari jantan dengan anak-anaknya.


Telur burung kasawari berwarna hijau.


Anak-anak burung yang masih kecil mempunyai bulu yang bercorak.

Kedua-dua burung jantan dan betina mempunyai topi di kepala yang dipanggil sebagai ‘casque’ sama juga seperti yang terdapat pada burung enggang (hornbill). Topi pada kepalanya ini adalah diperbuat daripada bahan yang seolah-olah seperti span yang diselaputi dengan keratin. Walaupun agak keras, ‘casque’ ini agak lembut di bahagian tengahnya. Tiada yang dapat memastikan kegunaan sebenar topinya ini, samada untuk tujuan perlindungan, peragaan atau mempunyai fungsinya yang lain.

Antara keunikan lain burung kasawari adalah, penjagaan telur burung dilakukan oleh burung jantan sedari mengeram sehinggalah setelah menetas. Tempoh pengeraman ini mengambil masa selama 60 hari. Setelah itu penjagaan anak-anaknya ini akan diteruskan oleh burung jantan sehingga 16 bulan, namun kebiasaannya adalah di antara 9 bulan hingga 10 bulan sahaja.

Terdapat 4 spesies burung kasawari di mana satu di antaranya telah pun pupus.

Southern cassowary atau ‘double-wattled cassowary’, Casuarius casuarius, terdapat di Selatan New Guinea, Timur Laut Australia dan di Aru Islands, kebanyakannya di kawasan-kawasan tanah rendah.

Dwarf cassowary atau ‘Bennett's cassowary’, Casuarius bennetti, boleh didapati di New Guinea, New Britain,  dan Yapen, terutamanya di kawasan tanah tinggi.

Northern cassowary atau ‘single-wattled cassowary’, Casuarius unappendiculatus, boleh didapati di Utara dan Barat New Guinea dan Yapen, terutamanya di kawasan tanah rendah.

Casuarius lydekki, iaitu spesis kasawari yang telahpun pupus.

Burung kasawari merupakan burung yang amat unik sama juga dengan beberapa spesies burung lain yang tidak boleh terbang seperti emu, rheas, ostrich, kiwi, dan yang telah pupus seperti moa dan elephant birds. Antara perbezaan ketara burung ini dengan spesies-spesies yang lain adalah ia tinggal di kawasan hutan berbanding dengan kawasan terbuka seperti ostrich, emu dan rhea.



Burung ini amat agresif apabila diganggu. Maka adalah lebih baik anda berhati-hati untuk mengelakkan provokasi ke atasnya. Ia bukan sahaja mempunyai tendangan kaki yang kuat, malah kuku kaki nya yang tajam dengan mudah boleh mengakibatkan kecederaan yang serius. Ia adalah antara burung yang terkenal yang boleh menyebabkan kematian manusia dan masyarakat asli di mana ia tinggal. Namun begitu ia tetap merupakan burung yang amat unik dan memiliki keistimewaan tersendiri.




Free Download



Ahad, 4 Oktober 2015

Cenderawasih Burung Di Awan

Cenderawasih yang dikenali oleh Masyarakat Melayu.

Sejak berkurun lamanya Masyarakat Melayu mempercayai bahawa burung cenderawasih adalah burung yang tinggal di awan, bertelur di awan dan jarang sekali hinggap ke bumi. Burung yang dimiliki oleh sesetengah pihak ini digunakan untuk mengubati penyakit dan mengaut keuntungan yang tinggi daripada pesakit tersebut.

Itulah yang menimpa kepada kita, apabila tidak mempunyai ilmu mengenai sesuatu perkara. Dipergunakan oleh pihak lain demi kepentingan mereka yang menyembunyikan perkara sebenar dan mereka perkara-perkara yang aneh. Namun begitu dengan perkembangan teknologi hari ini, perkara sebegini bergantung kepada kita sendiri. Maklumat boleh dicari dengan mudah, hanya bergantung kepada kita sendiri.


Wilson bird of paradise.

Blue bird of paradise.

Sebenarnya burung Cenderawasih adalah burung seperti juga burung-burung lain, yang jarang ditemui. Burung ini hanya tinggal di Kepulauan Papua New Guinea yang diselaputi hutan tebal dan dihuni oleh masyarakat asli (masyarakat Korowai) yang juga suatu masa dahulu menjadikan manusia sebagai sebahagian makanan mereka. Di pendalaman hutan inilah terdapatnya beberapa spesis burung cenderawasih yang tidak dijumpai di kawasan-kawasan yang lain.

Burung Cenderawasih yang dikenali oleh Masyarakat Melayu (Malaysia khususnya) adalah dikenali sebagai ‘Greater Bird of Paradise’ iaitu salah satu daripada banyak lagi spesis di dalam kumpulan keluarga burung ini: Bird-of-paradise adalah dari familyParadisaeidae’ dari order ‘Passeriformes’. Dalam kumpulan burung ini terdapat sekumpulan burung-burung yang amat cantik dengan gelagat yang sangat mempersonakan.

Oleh kerana sukarnya untuk menemui burung ini, maka sesetengah pihak telah merekakan cerita-cerita yang tidak sepatutnya bagi mengaut keuntungan atas orang lain. Namun hari ini, sejumlah besar burung-burung ini telahpun dikenal pasti dan banyak sekali burung-burung dari kumpulan cenderawasih ini dikaji mengenai kelakuan dan sifat semulajadi mereka.


Six-plumed bird of paradise.

Kumpulan burung-burung ini sememangnya mempunyai bulu yang amat cantik. Manakala perwatakan mereka juga amat menarik sesuai sekali mereka diberikan gelaran sebagai ‘bird-of-paradise’. Mungkin tidak semua antara kita yang berpeluang melihat burung ini secara dekat, maka satu-satunya peluang untuk melihat burung ini adalah melalui bahan media cetak atau elektronik (majalah, rencana TV dan internet).


Jadi sekarang anda telahpun mengetahui bahawa burung cenderawasih bukanlah burung ajaib seperti yang digembar-gemburkan. Sekiranya berpeluang kami akan memaparkan lebih banyak mengenai burung menakjubkan ini. Namun anda juga boleh membuat carian sendiri mengenainya dan jangan lupa kongsi-kongsikan maklumat yang anda perolehi dengan pembaca yang lain.






Isnin, 14 September 2015

Burung Yang Terbang Paling Lama

Alpine swift menghabiskan masanya terbang di udara.
Sebelum ini kita pernah membincangkan mengenai beberapa kelebihan spesies burung yang terbang terpaling pantas dan terpaling tinggi. Hari ini kita lihat pula burung manakah yang mampu terbang untuk satu jangka masa yang paling lama.

Burung layang-layang Alpine swift (Tachymarptis melba) atau Apus melba merupakan jenis burung layang-layang yang membiak sekitar kawasan Eropah dan Himalaya. Seperti juga burung layang-layang yang lain ia merupakan spesies burung yang bermigrasi mengikut musim. Bagi keperluan inilah burung layang-layang Alpine Swift memerlukan kelebihannya untuk terbang tanpa henti.

Burung layang-layang ini menghabiskan masa lebih daripada 200 hari dalam setahun di udara dalam perjalanannya dari kawasan ia membiak di Switzerland ke kawasan musim sejuknya di Afrika Barat di mana ia akan berada dalam keadaan terbang sepanjang musim.

Untuk melakukan perkara ini burung layang-layang Alpine swift akan melakukan segala aktiviti mereka dalam semasa terbang seperti makan, minum dan termasuklah tidur. Kelebihan burung layang-layang ini diukur dengan menggunakan tag elektronik yang dipasang kepada enam ekor burung layang-layang pada tahun 2011 oleh Felix Liechti dan rakannya di Swiss Ornithological Institute. Dari situlah cara hidup burung ini dapat dikaji dengan lebih terperinci dimana mereka didapati terbang selama 200 hari tanpa henti.


Saiz dan warnanya agak berbeza dari burung layang-layang biasa.

Fizikal layang-layang membolehkan ia terbang dengan aksi yang menarik.

Burung Alpine swift ini bersaiz agak besar berbanding dengan burung layang-layang biasa dan mempunyai bahagian bawah dan leher yang berwarna putih.  Saiznya boleh mencapai sehingga 20 ke 23 cm (7.9 to 9.1 in) panjang, dengan lebar sayap sehingga 57 cm (22 in) manakala mempunyai berat sehingga 100 g (3.5 oz). Kebiasaanya berwarna coklat gelap dengan beberapa bahagian berwarna putih (terutama bahagian bawah). Burung-burung yang masih kecil berwarna seakan dewasa tetapi agak pudar.


Semua jenis burung layang-layang merupakan penerbang yang mahir dan boleh membuat gaya penerbangan yang sangat menakjubkan. Bentuk badan sayap dan ekornya membolehkan corak penerbangannya diubah dalam tempoh yang singkat. Jadi, tidak hairanlah sekiranya ia juga mempunyai kelebihan untuk terbang terpaling lama di udara.




Ahad, 6 September 2015

Keunikan Nelayan Burung

Nelayan dan burungnya.

Nelayan burung mungkin agak asing bagi kita rakyat Malaysia namun ia merupakan teknik yang digunakan selama 1,300 tahun lamanya. Malah ia merupakan teknik yang pernah digunakan di Jepun, Greece, Macedonia, England, France, Peru dan hanya bertahan di China iaitu di Daerah Guilin.

Menangkap ikan menggunakan burung ini merupakan teknik yang sangat klasik, maka dengan itu ia semakin dilupakan apabila teknik yang lebih moden lebih mudah untuk digunakan. Kaedah memancing ini menggunakan burung dari jenis Cormorant (Phalacrocoracidae) yang juga merupakan burung air yang dilatih untuk menangkap ikan bagi nelayan.


Kebiasaannya lebih dari seekor burung digunakan.

Nelayan burung dengan hasil tangkapan.

Terdapat lebih kurang 40 spesis burung cormorant dan hanya beberapa di antaranya yang digunakan untuk tujuan menangkap ikan. Jenis burung juga yang digunakan juga agak berbeza seperti di Jepun burung ‘Japanese cormorant’ (P. capillatus) digunakan, manakala di China pula ‘great cormorants’ (P. carbo) adalah lebih popular.

Menggunakan kaedah ini, jerutan akan dikenakan pada leher burung dan hanya membolehkan ia menelan ikan-ikan kecil sahaja. Manakala ikan besar akan tersangkut di kerongkongnya. Burung ini akan kembali kepada bot nelayan di mana nelayan akan mengeluarkan ikan tersebut.


Raja Udang mungkin terlalu kecil untuk teknik ini.

Di Daerah Guilin kaedah ini masih lagi dijalankan oleh segelintir nelayan untuk menangkap ikan di Sungai Lijiang, Jingshan (Beijing) dan Suzhou. Manakala di Jepun pula teknik ini dikenali sebagai ukai (鵜飼), pernah digunakan di 13 bandar terutama di Daerah Gifu di Sungai Nagara. Antara nelayan ini ada diantaranya yang diupah oleh raja dan dikenali sebagai ‘Nelayan Diraja’.


Oleh kerana ia merupakan teknik yang hanya sesuai digunakan oleh nelayan-nelayan kecil, maka hari ini ia semakin dilupakan. Walaupun begitu ia merupakan satu teknik menangkap ikan yang paling unik dengan melibatkan kerjasama antara manusia dan burung.




Free Download






Sabtu, 5 September 2015

Burung Yang Terbang Terpaling Tinggi

Ruppell vulture terbang di udara.

Seperti yang terkandung di dalam artikel yang lepas corak penerbangan burung adalah berbeza-beza antara satu spesis dengan spesis yang lain. Banyak faktor yang mempengaruhi corak penerbangan ini termasuklah keupayaan fizikal burung-burung itu sendiri. Jadi untuk kali ini kita akan melihat burung yang mampu terbang terpaling tinggi di udara pula.

Rüppell's vulture atau Rüppell's griffon vulture (Gyps rueppellii) adalah jenis vulture bersaiz besar yang boleh di dapati di kawasan Sahel di Afrika Tengah. Mempunyai populasi sekitar 30,000 ekor dan semakin menurun akibat aktiviti manusia yang mengakibatkan burung ini turut terancam. Namanya diberikan bersempena seorang pengembara, pengumpul dan juga zoologist  German iaitu Eduard Rüppell. Kemampuan burung ini untuk terbang setinggi 11,300 m (37,000 ft.) dari aras laut merupakan penerbangan paling tinggi dilakukan oleh burung.

Tengkorak Ruppell vulture.

Menjumpai bangkai 'blue wildebeest'.

Ketinggian biasa penerbangan Rüppell's vulture adalah sekitar 6,000 meter (20,000 ft.). Pada ketinggian ini kekurangan Oksigen boleh menyebabkan haiwan lain dan manusia sendiri jatuh pengsan dan membawa maut. Bagi burung istimewa ini darahnya mengandungi hemoglobin yang berbeza dikenali sebagai sub-unit alphaD yang membolehkan Oksigen diserap pada tekanan rendah pada altitude tinggi troposphere.

Burung ini pernah disahkan termasuk ke alam enjin jet  pesawat yang terbang melepasti Abidjan, Côte d'Ivoire pada 29 November, 1973 pada ketinggian 11,300 m (37,00 ft.) Pelanggaran seperti ini sudah tentu membawa maut kepada burung dan ia berpotensi menyebabkan kerosakan teruk kepada pesawat juga.

Ruppell vulture, di San Diego Zoo.


Selain itu burung Rüppell's vulture turut tersenarai sebagai "near threatened" oleh the International Union for Conservation of Nature pda tahun 2007. Senarai ini tidak kekal lama dan ia semakin meruncing apabila senarai tersebut berubah kepada status “Endangered” menjelang 2012. Sekiranya tiada usaha untuk membantu burung ini, populasinya mungkin akan pupus dalam masa beberapa tahun lagi.




Free Download





Arkib Blog