Memaparkan catatan dengan label kaedah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kaedah. Papar semua catatan

Rabu, 27 Januari 2016

Corak Pelbelajaran Individu

Pendidikan Online memberikan peluang yang sama rata.

Tahukah anda, bahawa anak-anak anda mempunyai corak pembelajaran individu yang unik. Malah setiap dari kita mempunyai kecenderungan ini. Maka dengan itu pemahaman mengenai ciri-ciri individu ini dapat memastikan kesan pendidikan yang lebih baik.

Kesan ini adalah hasil daripada rangkaian sel-sel otak neuron yang unik pula pada setiap individu. Kajian yang dijalankan oleh saintis di Yales dalam mendapatkan corak rangkaian neuron ini dari 126 individu yang berbeza menghasilkan ‘fingerprint’ yang juga dikenali sebagai ‘connectivity profile’. Profile ini dapat menjelaskan corak pemikiran seseorang tentang bagaimana ia akan menyelesaikan sesuatu masalah. Ia juga boleh membantu mengesan kecenderungan seseorang untuk kursus yang sesuai bagi mereka.

Sijil atau Ijazah sahaja tidak menjanjikan apa-apa.

Ibu bapa perlu memberikan perhatian kepada pendidikan anak-anak.

Selain daripada menggunakan kaedah ‘connectivity profile’ ini, kaedah tradisi mengenal pasti kecenderungan seseorang untuk mengenal pasti bakat dan kecenderungan digunakan. Ia merupakan titik tolak dalam menghasilkan sesuatu hasil yang jauh lebih memberangsangkan.


Ia menerangkan betapa perlunya ibu bapa membantu anak-anak mereka mengesan perkara ini di peringkat awal selain daripada hanya menyerahkan pendidikan anak-anak kepada pendidikan di sekolah sahaja. Pendidikan di sekolah hanyalah sekadar memberikan kemahiran asas yang diperlukan oleh anak anda. Sedangkan kemahiran berinteraksi dengan dunia luar adalah yang menentukan sejauh manakah seseorang individu tersebut menghadapi kehidupannya nanti.



Free Download



Isnin, 30 November 2015

Siapakah Saintis?

Para saintis melakukan kerja-kerja penyelidikan di dalam makmal.

Kita biasa mendengar perkataan saintis bagi merujuk kepada seseorang yang melakukan kerja-kerja menemukan sesuatu perkara baru di dalam bidang ilmu. Gelaran saintis adalah antara gelaran yang tertinggi bagi seseorang yang menceburkan diri dalam bidang pengkajian. Namun begitu saintis secara umumnya adalah ‘seseorang yang menggunakan kaedah sistematik dalam mencapai pengetahuan (tentang sesuatu perkara)’.

Ya, kaedah yang dikenali sebagai kaedah sintifik adalah kaedah yang mampu dibuktikan secara ilmiah dengan susunan proses-proses tertentu bagi memastikan pembuktian sesuatu perkara adalah mengikut garis panduan yang betul. Seorang saintis juga mungkin menguasai beberapa bidang ilmu sains atau merujuk sesuatu perkara berasaskan kepada bidang-bidang sains yang berkaitan seperti matematik, fizik, kimia, biologi dan sebagainya. Secara ringkasnya seorang saintis adalah mereka yang melakukan pembuktian sesuatu teori dengan bukti-bukti kukuh secara saintifik.


Aristotle merupakan pencetus teknik pemikiran bersistematik.

Al-Haytham menghasilkan kajian dengan kaedah saintifik.

'Book of Optics' - hasil karangan al-Haytham

Hari ini bidang kerjaya saintis menjadi lebih menjurus kepada perkara-perkara yang lebih ‘detail’ (halus) di dalam sesuatu bidang ilmu. Maka para saintis hari ini perlu menguasai pelbagai bidang ilmu dan kemahiran untuk membantu mereka dalam menemukan sesuatu penemuan baru. Tidak kurang juga, para saintis hari ini turut bergantung dengan peralatan yang lebih baik pada masa ini yang membantu mereka untuk penemuan-penemuan ini seperti mikroskop elektron, komputer, elektrik dan elektronik, mesin-mesin pengukur (measurement instruments), serta banyak lagi peralatan moden yang membantu mereka membuat kajian antaranya termasuklah LHC (Large Hadron Collider) dan ISS (International Space Station).

Pembangunan corak pemikiran manusia mula dibentuk dalam bentuk yang lebih bersistematik bermula dari zaman Greek lagi seperti yang direkodkan oleh Aristotle (384-322 BC). Corak pemikiran inilah yang membantu manusia untuk melakukan pemerhatian dengan lebih teratur dan tepat (tidak hanya berasaskan kepada naluri/pemikiran seseorang sahaja). Kaedah ini kemudiannya diperbaiki lagi oleh Ibn al-Haytham (Alhazen) (c. 965 – c. 1040 ce) dengan lebih terperinci dalam membuktikan penemuan-penemuannya berkaitan ilmu matematik dan fizik secara sistematik (saintifik). Beliau juga adalah individu yang diberi gelaran “Saintis Pertama”. Maka dari kedua-dua tokoh ini, kaedah kajian secara saintifik terus berkembang dan menjadikan ia sesuatu yang dapat dibuktikan dan mudah dipelajari.


Baris atas: Aristotle, Archimedes, Ibn al-Haytham, Leonardo da Vinci, Galileo Galilei, Johannes Kepler, Antonie van Leeuwenhoek, Isaac Newton;
Baris kedua: Carl Linnaeus, James Hutton, Antoine Lavoisier, John Dalton, Robert Brown, Michael Faraday, Charles Darwin, Gregor Mendel;
Baris ketiga: Louis Pasteur, Lord Kelvin, James Clerk Maxwell, Nikola Tesla, Max Planck, Ernest Rutherford, Marie Curie, Albert Einstein;
Baris keempat: Max Born, Niels Bohr, Erwin Schrödinger, Linus Pauling, Enrico Fermi, Werner Heisenberg, Paul Dirac, Alan Turing;
Baris bawah: Richard Feynman, Rosalind Franklin, E. O. Wilson, Carl Sagan, Jane Goodall, Richard Dawkins, Stephen Hawking, and Neil deGrasse Tyson

Tidak dinafikan banyak saintis- saintis yang muncul selepas mereka dengan hasil kajian yang lebih baik sejajar dengan perkembangan penemuan-penemuan baru oleh para pengkaji-pengkaji yang lain. Berbeza dengan hari ini, suatu masa dahulu, para pengkaji dan penyelidik perlu menyediakan peralatan mereka sendiri seperti mikroskop, teleskop dan bahan-bahan lain yang diperlukan untuk kajian mereka. Berbeza dengan hari ini, ia telah pun siap ataupun disediakan oleh orang lain.

Berbeza dengan saintis, engineer pula adalah seorang yang menggunakan hasil kajian para saintis bagi diaplikasikan dalam kehidupan, mereka peralatan, memperbaiki kualiti bahan, mengubahsuai dan lain-lain. Walaupun engineer tidak melakukan penemuan secara terus, mereka juga terdiri daripada individu-individu yang berpengetahuan luas tentang bidang sains (adakalanya merangkumi pelbagai bidang). Salah seorang tokoh engineer yang paling terkenal adalah Nikola Tesla (adakalanya beliau juga diletakkan sebaris dengan para saintis).

Hari ini terdapat sejumlah ramai saintis dan tidak mudah lagi untuk mengenal mereka secara individu. Walaupun segelintir mereka lebih terkenal daripada yang lain, para saintis memberikan sumbangan mereka masing-masing mengikut bidang khusus mereka tertentu. Ia bagaikan sebuah badan yang lengkap, tanpa sebahagian yang lain, badan tersebut pastinya terjejas (walaupun fungsinya dianggap kecil).

Para saintis yang terdahulu adalah lebih mudah untuk dikenali kerana mereka menemukan asas sesuatu bidang ilmu seperti matematik, fizik, kimia, biologi dan sebagainya. Apabila bidang ini semakin mengecil dan mendalam, maka ia menjadi pecahan-pecahan kecil menghasilkan lebih ramai pengkaji yang terlibat dengannya. Bagaimanapun sumbangan penemuan awal adalah begitu penting sebagai pencetus untuk menemukan yang lebih baik dan lebih tepat.


Anda mungkin ingin mengetahui lebih mendalam mengenai topik ini, namun ianya tidak dapat disampaikan dalam satu artikel yang ringkas. Oleh sebab itu kita akan melihat pecahan daripada topik-topik ini di masa-masa akan datang. Ya, secara ringkas “saintis” adalah para pengkaji yang membuat perhatian sesuatu fenomena dan membentangkannya (menerangkan nya) secara ilmiah/saintifik. Sekiranya anda mampu melakukannya anda adalah – Saintis!





Free Download



Rabu, 8 April 2015

Keistimewaan Telur Burung

Bird eggs
Telur burung mempunyai keunikan dari segi rupa bentuk dan warna. Photo by: Link

Rupa bentuk, warna dan saiz telur-telur burung amat berbeza di antara satu spesis dengan spesis yang lain. Banyak perkara yang mempengaruhi fizikal telur-telur burung ini bagi memenuhi fungsinya supaya bersesuaian dengan gaya hidup dan persekitaran sesuatu spesies.

Bentuk, warna dan ketebalan cengkerang amat penting bagi memastikan telur-telur burung berada dalam persekitaran yang selamat (sehingga anak burung berjaya menetas). Bentuk telur yang sedikit bujur dan tirus sebenarnya dapat mengelakkan telur mengolek jauh dari tempat asalnya. Manakala warna telur-telur burung ini biasanya mempunyai corak yang mengelakkan ianya daripada mudah dikesan musuh.

Itu adalah fungsi asas telur-telur burung dan jika dilihat dengan lebih teliti setiap spesies mempunyai ciri-ciri telur yang unik seperti berikut;

African Jacana (Actophilornis africanus)

Burung yang tinggal di pesisir pantai ini mempunyai sarang yang di buat di atas air. Sarangnya yang diperbuat daripada rumput yang agak ringkas ini mudah tenggelam apabila burung ini mula naik ke sarang seterusnya menenggelamkan telur-telurnya ke dalam air. Antara keistimewaan telur burung ini adalah, ianya kalis air.

Fork-tailed Storm-petrel (Oceanodroma furcata)

Berbeza pula dengan burung yang mendiami bahagian dingin Alaska ini, telur-telurnya perlu bertahan bagi persekitaran cuaca sejuk yang panjang. Ini kerana burung-burung ini juga akan meninggalkan sarangnya untuk tempoh masa yang agak lama untuk mendapatkan makanan. Selain daripada mampu bertahan dalam suhu dingin yang tinggi, tempoh pengeraman telur boleh dilewatkan sekiranya ibu burung terlalu banyak meninggalkan sarang.

different types of eggs
Telur-telur pelbagai jenis. Photo by: thegraphicsfairy.com

Common Murre (Uria aalge)

Burung ini pula mendiami cerun-cerun tinggi di pesisir pantai. Selain daripada bertelur tanpa sarang telur-telur mereka juga adalah terletak terus di atas pasir dan batu. Bentuk bujur tirus telur inilah yang mengelakkan ia daripada bergolek jauh dari tempat asalnya.

Satu lagi keistimewaan telur burung ini adalah kulitnya amat kalis kepada air supaya ianya mudah dibersihkan. Apabila percikan air mengenai kulitnya ia akan turut membawa kotoran yang terlekat pada permukaan telur ini.

Malleefowl (Leipoa ocellata)

Berbeza dengan kebanyakan burung lain yang mengeramkan telurnya burung ini pula menimbuskan telur-telur mereka seperti penyu untuk membantu telur supaya berada dalam keadaan yang panas untuk menetas. Bagi memastikan telur ini boleh bernafas, telur ayam ini mempunyai cengkerang yang nipis dan liang-liang udara yang lebih besar.

Selain daripada itu juga telur burung ini mempunyai saiz yang agak besar (berbanding saiz burung ini). Oleh kerana anak yang telah menetas akan mencari makanan sendiri tanpa pengawasan induknya, anak-anak ini perlu berada dalam keadaan yang betul-betul kuat. Jadi telur burung ini sebenarnya mengandungi bahagian kuning (yolk) yang banyak untuk memastikan tumbesaran anak burung yang kuat.

Hoopoe (Upupa epops)

Burung hoopoe pula membina sarang nya di dalam lubang-lubang kayu. Setelah bertelur burung ini akan menyaluti telur-telurnya dengan cecair melekit berwarna coklat. Bakteria yang terkandung di dalam lendiran tersebut akan menghasilkan protein anti-mikrob yang mengelakkan telur ini dijangkiti sebarang jangkitan. Telur-telur ini juga mempunyai kawah-kawah kecil bagi membolehkan lendiran melekat dengan sempurna.

Black Tern (Chlidonias niger)

Burung ini membina sarangnya menggunakan pepohon/dedaun yang lembab (tinggal di kawasan berair) yang terapung. Oleh kerana kelembapan yang tinggi telur-telur burung perlu mengurangkan sedikit kelembapannya iaitu sekitar 15%. Untuk itu telur burung ini mepunyai liang yang lebih berbanding dengan telur jenis burung yang sama yang bertelur di tanah yang kering.

Gorund Bird's eggs
Telur burung di atas tanah mudah menjadi sasaran musuh. Photo credit: Wordpress.com

Japanese Quail (Coturnix japonica)

Burung ini akan mencari persekitaran yang mempunyai persamaan dengan corak telurnya nanti. Bagi memastikan telurnya sukar dikesan, burung betina akan memastikan persekitaran tempatnya bertelur dapat mengelakkan telurnya dilihat dengan mudah. Jadi burung ini perlu mengetahui corak telurnya sendiri sebelum bertelur!

Great Tinamou (Tinamus major)

Burung ini mempunyai kaedah yang lebih pelik. Selain daripada mempunyai telur yang berwarna lebih terang dan berkilat dari burung itu sendiri. Ia adalah spesies burung yang bertelur di atas tanah. Burung ini akan bertelur pada sarang yang sama – dengan jumlah telur yang lebih banyak dari biasa (kebiasaan seekor burung) – ini kerana kebiasaannya musuh tidak akan dapat menghabiskan keseluruhan telur-telur itu.

Ostrich (Struthio camelus)

Burung unta mempunyai telur yang amat besar dan juga cengkerang yang tebal dengan bentuk yang agak bulat. Kulit cengkerangnya yang tebal membolehkan seorang lelaki dewasa berdiri di atasnya. Selain itu juga telur burung ini berwarna putih terang – membuatkan ia mudah kelihatan di atas tanah. Namun begitu ia dapat memantulkan panas terik matahari di kawasan gurun di mana kawasan Ostrich tinggal.


Ya, begitulah beberapa keistimewaan telur-telur burung yang dapat dipaparkan. Malah terdapat banyak lagi keistimewaan yang perlu dipelajari dari setiap haiwan-haiwan ini yang mungkin dapat disampaikan pada masa-masa akan datang.


Free Download



Arkib Blog