Memaparkan catatan dengan label kesenian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kesenian. Papar semua catatan

Ahad, 24 Julai 2016

Keunikan Rekaan Tepak Sireh (Betel Set) dan Peralatan Lain

Bekas kapur sireh yang diperbuat daripada tulang yang diukir berasal dari Sumatra.

Bagi mereka yang lahir sebelum tahun 90-an mungkin dapat melihat lebih banyak berkenaan budaya memakan sireh. Walaupun ia sudah lama ditinggalkan oleh masyarakat di negara kita, namun budaya  memakan sireh amat terkenal di serata Asia Tenggara dan juga negara-negara lain seperti India, Bangladesh, Sri Lanka dan mungkin juga beberapa negara berhampiran.

Kepentingan pemakanan ini dapat dilihat daripada peralatan yang dihasilkan untuk menyimpan sireh dan juga bahan-bahan lain seperti pinang, gambir, kapur dan lain-lain (mungkin tembakau dan rempah). Oleh itu peralatan seperti tepak sireh diperbuat daripada pelbagai bahan dan diukir dengan begitu cantik ; bagi menggambarkan kepentingannya.

Peralatan tepak sireh digunakan dalam pelbagai majlis, dan untuk tujuan istiadat sudah tentu tepak sireh yang diperbuat daripada bahan yang lebih baik beserta ukiran halus digunakan. Anda mungkin tidak menyangka bahawa terdapat banyak sekali rekaan tepak sireh menggunakan pelbagai bahan daripada pelbagai negara yang popular dengan sireh ini.

Mungkin kita tidak perlu mengamalkan lagi budaya memakan sireh, namun keunikan budaya ini melambangkan kehalusan dan ketelitian adat budaya kita dalam bermasyarakat. Bersama-sama ini kita akan melihat sebahagian daripada peralatan tersebut.

Bekas Sireh dari Tembaga Parsi

Bekas sireh yang diperbuat daripada tembaga.

Bekas yang diperbuat daripada tembaga ini nampak kukuh dan kelihatan amat lama. Ia diperkatakan berasal dari tahun 1800-an dari India. Walaupun bekas ini sama seperti bekas-bekas yang lain, ia mungkin digunakan untuk menyimpan daun sireh dan bahan-bahan makanan sireh yang lain. Rekaannya adalah lebih ringkas, namun ia tetap melambangkan betapa pentingnya bahan yang disimpan di dalam bekas tersebut.


Bekas Pinang Daripada Perak

Bekas ini pula diukir dan diperbuat daripada perak.

Bekas pinang daripada perak ini adalah antara peralatan yang diperbuat daripada tahun 1940 adalah daripada hasil rekaan Cina Peranakan. Sama seperti rekaan pertama di atas, bekas ini tidak mempunyai bahagian-bahagian di dalamnya. Motif yang diukir di permukaan kotak ini pula jelas menunjukkan figura Cina dengan motif-motif bunga yang lain.


Bekas Sireh “Burmese Lacquer” (Kun-it)

Kun-it, amat cantik kerana ia diukir dan berkilat.

Lacquerware merupakan sebahagian hasil kepakaran masyarakt Burma sejak sekian lama. Maka tidak hairanlah sekiranya bekas sireh ini juga dihasilkan sebahagian daripada hasil kraft menggunakan lacquer. Ia diperbuat daripada buluh yang diukir dengan motif-motif yang menarik, diwarnai dan dilapisi dengan lacquer yang menambahkan lagi kecantikan bekas sireh ini. Ia juga merupakan sebahagian hasil berasal dari Daerah Bagan, di Myanmar.


Tepak Sireh Perak, Batavia, Dutch East Indies

Set tepak sireh pembesar Belanda di Indonesia.

Ianya merupakan tepak sireh yang digunakan pembesar-pembesar belanda yang menduduki kawasan jajahan seperti Indonesia yang menjadikan budaya memakan sireh sebagai satu elemen penting di dalam kemasyarakatan. Tepak sireh ini dikatakan diperbuat pada awal 1900 dan masih dalam keadaan yang baik. Tepak sireh yang diperbuat dari bahan perak/emas dan batu berharga ini, adalah lazimnya digunakan oleh para pembesar sahaja.


Tepak Sireh Perak, Peranakan

Antara tepak sireh yang eksklusif dan sukar ditemui.

Satu lagi contoh tepak sireh yang diperbuat daripada perak dengan ukiran yang halus. Set penuh seperti ini dilengkapi dengan bekas sireh, kapur, pinang, kacip dan beberapa bekas yang lain. Tepak sireh ini adalah dari jenis rekaan yang lebih baru sekitar 1900. Namun begitu sekarang rekaan ini sukar didapati.

Tepak Sireh Buah Manggis

Tepak sireh ini boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur.

Tepak sireh ini saya berikan nama sebagai buah manggis kerana ia mempunyai bekas yang menyerupai buah manggis. Ia boleh dilihat di Muzium Negara, Kuala Lumpur dan tidak dinyatakan tahun dan maklumat lebih jelas mengenai rekaan tepak sireh ini. Ia mempunyai jumlah set yang cukup termasuk, kacip, pemegang sireh, bekas pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Set-set seperti ini bukanlah digunakan oleh orang-orang biasa atau untuk kegunaan harian. Selain daripada rekaan yang unik, ia juga diperbuat dengan penuh kehalusan.

Tepak Sireh, Rajasthan India

Tepak sireh kegunaan harian dari Rajasthan, India.

Ini mungkin direka untuk kegunaan harian. Jelas menunjukkan ianya digunakan dengan kerap sehingga permukaan kayu ini haus. Namun begitu ia jelas menunjukkan bahagian-bahgian tertentu untuk hidangan sireh yang lengkap. Tepak sireh kegunaan harian seperti ini sememangnya akan direka seringkas mungkin kerana ianya akan mudah rosak (akibat pemakaian yang kerap). Walaupun begitu, tepak sireh ini tetap kelihatan unik.


Itu hanyalah sedikit daripada banyak lagi perkara-perkara berkaitan dengan budaya pemakanan sireh yang mungkin anda begitu kagum mengenainya. Walaupun kita tidak lagi mengamalkan pemakanan sireh, tidak sepatutnya ianya dilupakan kerana ia merupakan antara keunikan budaya kita yang amat berharga. Jadi sekiranya anda berpeluang, cari-carilah lebih banyak perkara berkaitan dengan sireh dan tepak sireh ini.


Free Download



Rabu, 18 Mei 2016

Kamera Resolusi Untra-high Google Mengambil Gambar Secara Terperinci

Google Art Camera membuat rakaman terperinci hasil seni penting.

Telah banyak kamera beresolusi tinggi yang dihasilkan kebelakangan ini, namun apa bezanya kamera resolusi tinggi yang dihasilkan oleh Google Cultural Institute (GCI) yang dikenali sebagai “Art Camera”. Projek yang telah berjalan selama 5 tahun yang dikenali sebagai “Art Project” ini bermula sejak 2011 lagi dan digunakan untuk misi yang amat penting iaitu menyimpan gambar-gambar terperinci hasil-hasil lukisan penting dari seluruh dunia.

Gambar-gambar yang diambil adalah bersaz sehingga Gigapixel dan dimuatkan ke dalam laman web Google Cultural Institute (GCI). Gambar yang kaya dengan pixel ini membolehkan pemerhati membuat tinjauan terperinci daripada gambar pada saiz asal sehinggalah pada pembesaran imej bagi melihat lebih dekat kesan-kesan halus berus lukisan pelukis tersebut. Apa yang lebih baik, melalui kaedah ini juga kesan terperinci yang boleh diperhatikan adalah sehingga ke tahap kesan-kesan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Membuat rakaman hasil karya seni.

Pandangan sisi Google Art Camera.

Ia boleh dikendalikan dengan lebih mudah.

Bagi mendapatkan kualiti sebegini ianya memerlukan peralatan yang mahal dan hanya boleh dilakukan oleh mereka-mereka yang benar-benar berpengalaman. Jadi kerja-kerja mengumpul maklumat penting hasil seni ini akan menjadi satu kerja yang menelan kos yang amat tinggi. Maka Google memutuskan untuk membina satu kamera yang mempunyai fungsi khusus untuk kerja-kerja ini bagi memudahkan tujuan tersebut.

Menggunakan Art Camera kerja-kerja merakamkan imej terperinci hasil seni bersaiz gigapixel dapat dilkakukan pada jangka masa yang lebih singkat daripada biasa selain mudah dibawa bagi kerja-kerja tersebut dijalankan di muzium-muzium di serata dunia. Ia juga direka supaya dapat melakukan kerja-kerja tersebut dengan lebih efektif menggunakan sistem robotik yang membolehkan kamera membuat rakaman setiap inci hasil seni tersebut. Ia turut dilengkapi dengan teknologi laser dan sonar bagi membantu mendapatkan fokus yang tepat untuk setiap gosokan berus.

Melalui teknik ini, pemeriksaan terperinci pada lukisan (hasil seni) dapat dilakukan tanpa memindahkannya atau mendedahkannya kepada risiko kerosakan. Apabila kerja-kerja mengambil gambar terperinci ini selesai, ribuan imej-imej dari Art Camera tersebut akan digabungkan (stitched) menjadi satu imej yang sempurna.

Rakaman sekata untuk setiap inci lukisan.

Ciri-ciri halus lukisan dapat diperhatikan dengan jelas.

Google sehingga kini telah mengeluarkan 1000 hasil pertama gambar dengan kualiti resolusi ultra ini yang dihasilkan menggunakan kamera tersebut. Gambar-gambar tersebut adalah termasuk hasil karya oleh Pissarro, Signac, Rembrandt, Van Gogh dan Monet. Selain itu Google juga akan membekalkan kamera-kamera tersebut ke institusi-institusi di seluruh dunia bagi membolehkan kerja-kerja mendokumentasi karya seni dapat dilakukan.


*Art Project adalah merupakan salah satu daripada hasil Google Cultural Institute (GCI), yang membolehkan pengguna membuat tinjauan daripada muzium dan arkib secara online. Terdapat banyak lagi hasil-hasil kerja yang dihasilkan oleh CGI dalam memperkayakan hasil budaya dan seni dari seluruh dunia. Menarik!


Free Download



Sabtu, 23 Januari 2016

Pengaruh Muzik Kepada Keperibadian Anda

Muzik mempunyai pengaruh yang kuat kepada manusia dan alam!

Muzik mempunyai hubungkait yang kuat kepada manusia, malah haiwan juga dikatakan mempunyai cara tersendiri berkaitan bunyi-bunyian yang dihasilkannya (menyerupai muzik pada manusia). Getaran dan tempo pada muzik jelas mempengaruhi psychology dan physiology manusia seterusnya tindakan yang akan dilakukan oleh seseorang.

Hampir setiap masyarakat di dunia mempunyai muziknya tersendiri yang mengambarkan muzik itu sendiri adalah terhasil dari naluri manusia. Namun hari ini muzik tersebar dengan lebih meluas dan ia menjangkaui sempadan geography. Pilihan muzik yang dilakukan pula lebih kepada pengaruh media, orang ramai dan pergaulan.

Bolehkah Muzik Mencorak Permikiran?


Kesan muzik pada otak manusia.

Muzik sudah sekian lama diketahui dapat mempengaruhi perasaan seseorang. Sesebuah muzik dapat mengembalikan perasaan sedih, ceria, kreatif dan sebagainya. Kajian menunjukkan selepas seseorang mendengar muzik yang berunsur sedih atau gembira akan membuat penilaian ke atas wajah neutral berdasarkan muzik yang didengarinya.

Pengaruh muzik ke atas emosi ini adakalanya berlaku tanpa sedar oleh seseorang pendengar muzik tersebut. Muzik hari ini digunakan dalam banyak cabang melalui pelbagai media terutamanya pengiklanan, filem, berita dan hampir semua cabang di mana ia boleh digunakan untuk mempengaruhi orang ramai dalam membuat keputusan/tindakan.

Pilihan Muzik Dan Pengaruhnya

Maka dengan itu, tanpa ragu-ragu corak pilihan muzik sememangnya mempunyai pengaruh dengan tingkahlaku dan tindakan seseorang. Samada anda menyukainya ataupun tidak, muzik pilihan anda mecorakkan bagaimana anda bertindak tehadap persekitaran.

Kajian yang dilakukan terhadap beberapa tingkalku peribadi terhadap beberapa elemen seperti keterbukaan kepada pengalaman, hubungan sosial, penerimaan pendapat, keperibadian dan emosi. Kesemua pengaruh ini dapat dilihat dengan lebih tepat melainkan keperibadian yang merupakan ciri-ciri yang pelu dilihat dengan lebih halus.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Heriot-Watt University mendapati kesan pengaruh muzik dapat digambarkan seperti berikut:

(klik gambar untuk saiz yang lebih besar).

Secara ringkasnya pengaruh-pengaruh genre muzik adalah seperti berikut:

Blues – harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Jazz - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, peramah/ mudah bergaul dan tenang.

Klasikal - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, suka menyendiri dan tenang.

Rap - harga diri yang tinggi (high self-esteem) dan peramah/ mudah bergaul.

Opera - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif dan peramah/ mudah bergaul.

Country – Kuat bekerja dan peramah/ mudah bergaul.

Reggae - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, tidak kuat bekerja, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Dance – kreatif, peramah/ mudah bergaul dan tidak lemah lembut/berbudi bahasa.

Indie – rendah harga diri (low self-esteem), kreatif, tidak kuat bekerja dan tidak lemah lembut/berbudi bahasa.

Bollywood – kretif dan peramah/ mudah bergaul.

Rock/ heavy metal - rendah harga diri (low self-esteem), kreatif, tidak kuat bekerja, tidak peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Pop - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kuat bekerja, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa, tidak kreatif dan tidak tenang.

Soul - harga diri yang tinggi (high self-esteem), kreatif, peramah/ mudah bergaul, lemah lembut/berbudi bahasa dan tenang.

Jadi anda boleh membuat penilaian dan pemerhatian dengan lebih terperinci mengenai hasil kajian ini. Anda juga boleh membandingkan pilihan muzik golongan atau individu tertentu dengan genre muzik kegemaran mereka.

Faedah Lain Muzik

Antara lain kebaikan muzik adalah memainkan peralatan muzik. Kanak-kanak yang didedahkan dengan latihan bermain peralatan muzik mendapat pelbagai faedah daripada latihan ini. Ia juga merupakan kemahiran ramai saintis dan orang-orang ternama (anda boleh membuat carian sendiri; siapa? dan peralatan apakah yang dimainkan mereka?).


Proses bermain alat muzik.

Bermain peralatan muzik bagi kanak-kanak terbukti memperbaiki penguasaan perbendaharaan kata (vocabulary) dan juga kemahiran pemikiran nonverbal mereka yang melibatkan pemahaman serta menganalisa data visual untuk masalah-masalah yang lebih kompleks.

Penguasaan bermain peralatan muzik ini membantu kanak-kanak menguasai deria motor mereka dengan cekap disamping tindakan kawalan anggota badan hasil daripada pemikiran yang pantas. Ia merupakan salah satu ciri-ciri penting untuk kecerdasan pemikiran seseorang individu.


Kesemua peralatan muzik memerlukan kemahiran bermain.

Salah satu peralatan muzik tradisional Indonesia.

Muzik secara kasarnya adalah setiap bunyian yang kita dengari bukan sahaja bunyi yang dihasilkan oleh peralatan muzik ataupun yang beserta nyanyian. Samada anda menyedari ataupun tidak, tiada manusia yang boleh lari dari pengaruh muzik ini.

Apa  yang membimbangkan adalah sekiranya kita mengambil sambil lewa tentang pengaruh muzik dan kesannya kepada tingkahlaku kita sehingga ia menghasilkan kesan yang jelas. Di mana hari ini kita dapat mengenalinya dengan mudah!


Sekiranya saya pergi dengan lebih jauh, ia boleh mendatangkan pandangan negatif terhadap peminat muzik bagi sesetengah genre. Namun begitu anda berhak membuat pilihan anda sendiri dan hasilnya juga anda akan melihat pula kesannya. Jadi manfaatkanlah perkara yang paling mudah ini kerana ia merupakan salah satu daripada kelebihan yang mudah diperolehi.



Free Download



Ahad, 17 Januari 2016

Tempat Lawatan Popular di German 2015

Neuschhwanstein Castle antara pemandangan paling popular di German.

German bukan sahaja dengan teknologi yang canggih malah amat popular dengan tempat-tempat lawatan yang menarik sama juga dengan negara-negara lain di Eropah. Selain darpada menawarkan lebih daripada 6,250 buah museum untuk dilawati di serata bnadar-bandar German yang amat menarik. Berikut adalah tempat lawatan yang paling banyak dilawati sepanjang tahun 2015;

Europa-Park

Taman tema terbesar di German.

Taman tema terbesar yang terletak di Barat Daya German iaitu di antara Freiburg dan Offenburg bukan sahaja merupakan taman tema terbesar di German, tapi merupakan yang terbesar di keseluruhan negara-negara yang bertutur dengan Bahasa German. Taman dengan keseluruhan kawasan seluas 90 hektar ini memuatkan pelbagai permainan yang menghiburkan seisi keluarga yang bercuti di sana. Ia juga dilengkapi dengan hotel-hotel bertaraf 4 bintang (Colosseo, El Andaluz, Castillo Alcazar, Santa Isabell and Bell Rock) bagi yang ingin menginap di sana.

Neuschwanstein Castle

Pemandangan musim sejuk yang sangat menarik.

Neuschwanstein Castle terletak di bahagian Selatan Bavaria, ia juga merupakan salah satu pemandangan yang paling popular di German. Ia merupakan sebuah istana yang dibina bermula pada tahun 1869 oleh Ludwig II. Ia merupakan tempat lawatan yang penuh dengan sejarah dan kisah silam pemiliknya. Ia bukan sahaja memiliki pemandangan yang menarik, tetapi seinibina dan juga beberapa bahagian menarik di dalam istana tersebut seperti Singers' Hall dan juga Hall of the Holy Grail.

UNESCO World Heritage Cologne Cathedral

Bangunan unik penuh bersejarah.

Merupakan bangunan penuh bersejarah terletak di Cologne, yang memang merupakan tempat lawatan popular di German. Ia dibina bagi menandingi bangunan popular di Perancis iaitu  Notre Dame sehingga apabila ia siap pada tahun 1880 ia merupakan salah satu bangunan tertinggi di dunia. Selain daripada memiliki sejarah senibina yang menarik ia juga menyimpan beberapa artifak milik St. Peter dan juga Gero Cross. Ia dibina dengan senibina Gothic yang dibawa dari Perancis pada masa tersebut.

Heidelberg Castle

Satu lagi istana silam yang menjadi tumpuan.

Merupakan salah satu tempat lawatan populat sejak abad ke 19 lagi. Ia merupakan sebuah istana lama yang dibina 1300 sebagai kubu yang dikelilingi dengan menara, bilik kawalan dan juga parit. Terdapat beberapa bahagian menarik pada istana lama ini antaranya adalah pada sayap Otto-Heinrich yang merupakan istana pertama di German yang dibina dengan kemasan yang menarik. Manakala pada sayap Friedrich pula terdapat pelbagai ukiran, patung dan galeri potret keturunan yang menarik untuk ditatapi.

Brandenburg Gate

Lokasi lawatan popular bagi para pelawat.

Ia merupakan monument yang tidak asing lagi bagi setiap pelawat ke German. Ia dibina di sekitar tahun 1789 dan 1791 oleh C. G. Langhans di Pariser Platz yang merupakan pusat bandar tersebut. Setelah pembinaan Tembok Berlin pada tahun 1961 ia tidak boleh dilawati untuk tempoh 28 tahun. Selain menjadi bahan lawatan utama ia juga melambangkan penyatuan semula German. Pintu gerbang ini dibina dengan 6 tiang Doric dan membentuk 5 laluan untuk pejalan kaki. Ukiran patung di atas gerbang ini adalah melambangkan dewa kemenangan. Victoria yang menunggang chariot dengan 4 ekor kuda ditambah pada tahun 1794.

Rothenburg ob der Tauber

Lokasi penuh nostalgik.

Iaitu bahagian bandar lama kecil yang terletak di Rothenburg mempunyai sejumlah bangunan-bangunan lama yang didirikan sejak Zaman Pertengahan (Middle Ages). Keseluruhan bandar kecil ini mengingatkan kembali para pelawat mengenai keadaan silam di sini dengan binaan seperti muzium, gereja, biara dan monument dengan rekabentuk asalnya. Antara yang menarik di sini termasuklah Käthe Wohlfahrt Christmas Village yang membekalkan barangan untuk perayaan Chritsmas sepanjang tahun.

Tasik Constance dan Pulau Mainau, Pulau Monastic of Reichenau (UNESCO World Heritage), Lindau, Constance dan Istana Meersburg

Pemandangan yang sukar untuk dilepaskan.

Wilayah Tasik Constance terketak di persempadanan di antara German, Austria dan Switzerland merupakan syurga percutian bagi kawasan tasik ke-3 terbesar di Eropah. Antara lokasi yang paling popular di sini adalah Flower Island of Mainau yang memiliki taman-taman yang menarik mengelilingi kediaman Count Bernadotte dengan senibina yang unik. Juga terletak di tasik ini adalah Monastic Island of Reichenau yang menajdi sebahgian lokasi penting keagaam menempatkan biara Benedictine pada Zaman Pertengahan. Ia mendapat pengiktirafan oleh UNESCO World Heritage semenjak 2000. Terdapat banyak lagi perkara menarik di sini selain pemandangan cantik dan latar belakang sejarah yang cukup unik.

Gunung Zugspitze dan Partnach Gorge di Garmisch-Partenkirchen

Puncak tertinggi di German.

Zugspitze merupakan antara puncak yang paling popular di sepanjang Banjaran Alps dengan ketinggian mencecah 2,962m yang menjadi gunung paling tinggi di German. Pucak pergunungan popular ini sentiasa diliputi dengan salji sepanjang tahun dan dilenkapi dengan kereta kabel untuk memudahkan lawatan. Selain itu Partnach Gorge juga merupakan satu lagi tarikan di Garmisch-Partenkirchen yang merupakan lembah berukuran 2.305 ft. panjang dan dinidng setinggi 263 ft. Lembah ini menjadi sebahagian trek para pelawat dengan pemandangan yang cukup menarik.

Tembok Berlin (East Side Gallery, Berlin Wall Park, Berlin Wall Trail, Checkpoint Charlie Museum di Berlin)

Kenangan penuh sejarah bagi Berlin.

Tembok yang suatu masa dahulu memisahkan antara dua bahagian bandar di Berlin antara tahun 1961 sehingga 1989 dikenali sebagai “Tembok Berlin” telahpun dirobohkan namun masih terdapat bahagian yang masih kekal sebagai sebahagian daripada kenangan. Berlin Wall Trail, merupakan lalun untuk pejalan kaki ataupun penunggang basikal yang dibahagikan kepada 14 bahagian menyusuri laluan tembok tersebut. Pada tahun 1990, tembok ini dilukis oleh para pelukis dari 21 negara. Terletak di Bernauer Strasse adalah replika bagi Tembok Berlin dan juga ‘memorial site’, pusat dokumentasi dan juga ‘Chapel of Reconciliation’.

Romantic Road

Laluan yang melengkapkan lawatan ke German.

Romantic Road merupakan laluan sepanjang 400km daripada Würzburg ke Füssen di Daerah Allgäu. Ia merupakan laluan yang dipenuhi dengan pemandangan rumah-rumah tradisi dengan dibina dari bingkai kayu dan merupakan laluan pemandangn bagi German sejak 60 tahun dahulu. Terdapat pelbagai keunikan di sepanjang laluan yang dilalui selain daripada pemandangan alam semulajadi dan keunikan bangunan. Antara kawasan yang dilalui termasuklah Augsburg, Bad Mergentheim, Dinkelsbühl, Füssen, Harburg, Nördlingen, Pfaffenwinkel, Rothenburg, Schwangau dan Würzburg dengan keunikan masing-masing. Ia juga merupakan laluan yang sesuai untuk diterokai dengan perjalanan berbasikal.


Iatu hanyalah sebahagian kecil dari pelbagai tempat lawatan yang menarik di German. Bagi sesiapa sahaja yang berpeluang untuk ke sana, semoga mendapat sedikit panduan mengenai 10 tempat yang paling popular ini. Namun begitu terdapat banyak lagi tempat lawatan di sana mengikut minat anda sendiri. German yang sering dilihat sebagai nombor #1 di dalam bidang kejuruteraan ini sebenarnya juga kaya dengan seni, budaya, rekebentuk, tradisi, alam semulajadi dan macam-macam lagi untuk diterokai.



Free Download



Arkib Blog