Memaparkan catatan dengan label kamera. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kamera. Papar semua catatan

Isnin, 12 Disember 2022

Filem-filem Yang Mengubah Bagaimana Sesebuah Filem Dihasilkan

Sesetengah filem bukan sahaja memberikan kita hiburan, namun sebahagian nya menjadi penanda aras untuk filem-filem berikutnya.

Masih berkisar mengenai kemajuan dalam teknologi perfileman, kali ini kita melihat evolusi bagaimana perubahan dalam kemajuan teknologi menghasilkan filem-filem yang lebih baik dari sebelumnya. Namun begitu, filem-filem bermutu tidak semestinya bergantung kepada teknologi semata, adakalanya jalan cerita dan kaedah pengambaran dapat memberikan hasil kualiti yang lebih berkesan.

Hasil yang menakjubkan ini semestinya terhasil daripada kerja-kerja berterusan penggiat seni yang terdiri daripada pengarah, pelakon, studio rakaman, penghasilan teknologi peralatan perfileman, sekolah-sekolah lakonan, para krew perfileman dan mereka-mereka yang terlibat secara tidak langsung dalam menghasilkan sesebuah filem.

Teknik menghasilkan filem turut mengambilkira segala aspek dalam menghasilkan filem yang lebih realistik dan memberikan kesan yang mendalam kepada penonton. Filem-filem sains fiksyen misalnya mampu mewujudkan perasaan yang seakan-akan wujud di mana ia sebenarnya hanyalah hasil daripada imaginasi yang mengolah pengetahuan manusia setakat yang tercapai oleh pengetahuan kita hari ini bagi mewujudkan pengalaman menonton yang lebih realistik (namun ianya hanyalah sekadar gambaran sahaja). Mutu filem yang mampu menarik penghayatan penonton adalah hasil pemahaman psikologi manusia dan bagaimana kita bertindak balas dengan persekitaran. Justeru itu penggunaan kesan bunyi, pencahayaan, musik, latar belakang filem dapat memberikan kesan yang begitu penting kepada filem-filem moden. Kemajuan teknologi ini juga terus berubah mengikut peredaran masa. 

Berikut adalah beberapa filem yang menjadi penanda aras yang mewujudkan fenomena baru dalam sejarah dunia perfileman. Filem-filem ini mengubah bagaimana filem-filem berikutnya dihasilkan sehingga perubahan baru dihasilkan oleh filem yang juga menjadi penanda aras baru. Namun begitu ini mungkin adalah beberapa contoh yang ketara dan mungkin terdapat filem-filem lain yang tidak disenaraikan.

Star Wars, merupakan filem yang berjaya memberikan gambaran di luar jangkaan imaginasi dan menjadi satu daya saing untuk filem-filem yang dihasilkan selepasnya. 

"Star Wars" (1977) - Filem asal "Star Wars" merevolusikan industri perfileman dengan penggunaan kesan praktikal dan visual yang terhebat pada zamannya, mewujudkan satu standard baharu untuk pembikinan filem fiksyen sains. Ia antara filem terawal yang menggunakan kaedah CGI yang menjadi satu standard baru industri pembikinan filem. Filem Star Wars menginspirasi kepada penghasilan filem-filem lain untuk menghasilkan mutu penggambaran yang lebih baik. Sebahagian daripada kerja-kerja dibelakang tabir boleh disaksikan di sini. Link.

"Blade Runner" (1982) - "Blade Runner" ialah sebuah filem berinovasi dari segi penggunaan reka bentuk futuristik dan kesan khas, mencipta dunia sci-fi yang terperinci dan mengasyikkan. Penggunaan kesan khas di dalam filem ini memberikan hasil yang realistik bagi kehidupan masa depan yang cuba dihasilkan.

"The Terminator" (1984) - "The Terminator" karya James Cameron ialah sebuah filem canggih dari segi penggunaan robotik canggih dan solek prostetik untuk mencipta watak tajuknya. Filem ini turut mempunyai jalan cerita yang menarik dan meneruskan tradisi menjadi standard baru untuk filem-filem seterusnya dari siri filem ini. Berikut adalah kisah belakang tabir pembikinan filem Terminator pada tahun 1984. Link

Jurassic Park antara filem yang membuka mata potensi teknologi komputer di dalam perfileman. Apa yang menarik, filem Jurassic Park 1993 ini masih merupakan yang terbaik berbanding yang dihasilkan selepasnya!

"Jurassic Park" (1993) - "Jurassic Park" ialah filem penting dari segi penggunaan imejan janaan komputer (CGI) dan penciptaan dinosaur digital yang realistik. Walaupun begitu, filem bersejarah ini juga adalah terhasil daripada sebahagian besar penggunaan teknologi animatronix dalam kebanyakan proses penghasilan filem tersebut. Filem Jurassic Park ini kekal menjadi filem yang unik kerana teknik penggambaran dan penyampaiannya. Ia masih diminati ramai berbanding dengan filem-filem berikutnya yang dihasilkan menggunakan teknologi yang lebih canggih.

Penggunaan teknologi komputer sahaja tidak mencukupi untuk menghasilkan satu fenomena baru di dalam filem. Filem The Matrix merupakan filem yang mewujudkan fenomena filem aksi yang tidak terdapat di dalam filem sebelumnya. 

"The Matrix" (1999) - "The Matrix" menetapkan penanda aras dalam pembikinan filem aksi dengan penggunaan VFX terhebat, termasuk kesan "masa peluru" yang terkenal. Filem Matrix adalah terhasil bukan sahaja daripada teknologi perfileman berkomputer yang canggih pada masa penghasilannya, malah teknik penggambaran yang berbeza (yang digunakan di dalam anime-anime Jepun sebelumnya). Namun teknik ini memberikan filem The Matrix sebagai pelopor penggunaannya di dalam filem aksi sebenar dengan jayanya. Anda boleh menonton kisah pembikinan di belakang tabir filem ini melalui link ini. Link.

"2001: A Space Odyssey" (1968) - "2001: A Space Odyssey" ialah sebuah filem terhebat pada zaman nya dari segi penggunaan kesan khasnya dan menetapkan standard baharu untuk pembikinan filem fiksyen sains. Space Odyssey memberikan gambaran yang tidak dapat dibayangkan oleh para penonton pada masa tersebut dan memberikan hasil filem yang baik. Link.

Filem Lord of The Rings dihasilkan hampir pada masa yang sama dengan The Matrix, namun kedua filem ini memberikan kesan yang berbeza dengan hasil yang menakjubkan.

Trilogi "The Lord of the Rings" (2001-2003) - Trilogi "The Lord of the Rings" Peter Jackson merupakan mercu tanda dari segi penggunaan CGI dan penciptaan dunia yang terperinci dan mendalam. Ia memberikan satu fenomena baru dalam penghasilan filem yang jauh berbeza, kerana ia mampu memberikan kewujudan alam yang berbeza bagi “Lord of the Rings”. Ia bukanlah semata-mata menggunakan CGI sahaja, malah setiap teknik yang digunakan mampu diadun dengan sempurna untuk menghasilkan mutu penggambaran yang berhasil. Berikut adalah video yang memaparkan bagaimana penghasilan filem Lord of the Rings di belakang tabir: Link.

Filem Avatar merupakan satu lagi filem yang mewujudkan fenomena seperti Star Wars di mana penonton dibawa ke alam yang diwujudkan hanya di dalam filem.

"Avatar" (2009) - "Avatar" James Cameron ialah sebuah filem penuh berinovasi dari segi penggunaan penangkapan prestasi dan sinematografi maya, menetapkan standard baharu untuk apa yang mungkin dalam pembikinan filem. Filem Avatar bukan sahaja menampilkan hasil filem yang jauh berbeza daripada filem-filem sebelumnya, malah ia menjadi satu standard baru perfileman pada tahun pengeluarannya. Penghasilan filem Avatar juga menggunakan hasil gabungan teknologi penggambaran, teknik, penggunaan CGI dan penghasilan satu dimensi baru untuk menghasilkan planet Pandora. Anda boleh melihat proses di belakang tabir penghasilan Avatar di sini. Link.

Filem Inception, mewujudkan lenturan minda yang memberikan hasil yang sehebat filem-filem yang menggunakan teknologi komputer yang lain. Jalan cerita yang menarik menyempurnakan filem ini. 

"Inception" (2010) - "Inception" karya Christopher Nolan ialah filem penanda aras dari segi penggunaan teknik pembikinan filem yang inovatif, termasuk kesan visualnya yang imaginatif dan melenturkan minda. Filem Inception menggunakan teknik-teknik yang berbeza daripada kebanyakan filem moden iaitu kebergantungan kepada CGI yang tinggi. Namun begitu filem ini amat memberi kesan kepada penonton kerana hasilnya yang menakjubkan. Bukan sahaja mutu penggambaran filem ini yang menarik perhatian penonton, malah jalan cerita itu sendiri yang memerlukan imaginasi yang tinggi untuk menafsirkan isi cerita dengan baik. Untuk melihat kerja-kerja di belakagn tabir pembikinan filem Inception, ikuti pautan ini. Link

"Gravity" (2013) - "Gravity" Alfonso CuarĂ³n ialah filem penting dari segi penggunaan VFX untuk mencipta persekitaran graviti sifar yang memberikan impak yang besar kepada penonton. Dalam penghasilan filem apa yang sukar adalah menghasilkan mutu pengambaran yang seolah-olah ianya benar-benar berlaku dan pengambaran yang dilakukan di lokasi sebenar (di dalam filem ini ianya di angkasa). Walaupun filem ini tidak semestinya menyamai keadaan sebenar di angkasa, namun bagi sebuah filem, ia memberikan hasil dan impak yang besar kepada penonton. Video di belakang tabir filem ini boleh ditonton di sini. Link.

Walaupun terdapat filem-filem lain yang juga memberikan pengaruh hebat dalam teknik-teknik penghasilan filem pada masa ianya dihasilkan, apa yang cuba ditampilkan di sini adalah beberapa contoh yang mudah untuk kita lihat bagi mendapatkan gambaran mengenai tajuk kita kali ini.

Seperti yang diketengahkan di dalam artikel sebelum ini, kemajuan industri perfileman bukan sahaja memberikan kebaikan untuk industri hiburan malah turut membantu bidang pendidikan dan kajian untuk bidang-bidang yang lain. Ia juga memberikan peluang kepada penghasil-penghasil filem ini untuk mencuba kaedah baru dalam menghasilkan kualiti penggambaran yang lebih baik.

Walaupun penggunaan komputer telah lama digunakan, namun untuk teknik-teknik perfileman yang akan datang mungkin banyak lagi teknologi baru yang mungkin akan digunakan oleh pengarah-pengarah filem seperti penggunaan AI (Artificial Intelligent), penggunaan format filem yang baru, kaedah pengambaran sendiri dan sebagainya. Apa yang penting, kita perlu sentiasa menyedari bahawa pengubahbaikan sesuatu perkara perlu dilakukan secara berterusan untuk terus mencapai hasil yang terbaik.


Isnin, 5 Disember 2022

Bagaimana Pembangunan Industri Perfileman Menjadi Penting Kepada Kita?

Avatar 2, sebuah filem yang dihasilkan menggunakan pelbagai teknologi perfileman terkini.

Teknologi hiburan adalah jauh berbeza dari apa yang dahulunya biasa kita alami di sekitar tahun 80 an and 90 an. Terdapat beberapa fasa penting dalam perubahan penghasilan filem, teknik penggambaran, teknologi audio dan bagaimana ianya ditayangkan di pawagam. Setiap fasa perubahan ini memberikan kita mutu kualiti bagaimana sesebuah filem ditayangkan di pawagam. Apa yang lebih menarik, tidak seperti dahulu, kini pawagam menjadi tempat di mana ianya lebih dari sekadar menayangkan filem, tidak seperti pada era 80-an dan 90-an. 


Jadi apa yang menarik pada artikel kita kali ini adalah untuk meninjau bagaimana teknologi penghasilan filem dan industri filem menjadi penting kepada kita. Filem yang pada dasarnya dipandang sebagai bertujuan untuk hiburan dan sumbangannya kepada pembangunan kemanusiaan kurang difahami. Namun lebih sekadar dari industri hiburan, teknologi perfileman sebenarnya banyak menyumbang kepada banyak teknologi-teknologi lain dan juga membantu penyelidikan dalam mendokumentasi sesuatu kajian. Teknologi perfileman berkembang seiringan dengan pembangunan teknologi-teknologi lain.

Kamera digital untuk kegunaan komersial adalah berbeza daripada apa yang digunakan untuk menghasilkan video di rumah. Ia juga adalah lebih mahal dan mempunyai kualiti yang lebih baik.

Kesan Budaya: Filem mempunyai keupayaan untuk membentuk dan mencerminkan nilai budaya, kepercayaan dan sikap. Ia juga boleh memainkan peranan dalam membentuk pendapat umum dan menjana wacana sosial dan politik. Filem juga adakalanya menjadi sumber inspirasi dan rujukan bagi mengenali lebih lanjut unsur-unsur lama seperti dalam filem klasik. Ciri-ciri budaya biasa dipaparkan di dalam sesebuah filem yang menjadi rujukan bagi generasi akan datang atau orang luar.

Kesan Ekonomi: Industri filem merupakan penyumbang penting kepada ekonomi global, menjana pendapatan berbilion dolar setiap tahun dan menyediakan pekerjaan untuk beribu-ribu orang. Ia bukan sahaja menjana pendapat bagi para penggiat seni, malah industri penghasilan barangan perfileman, logistik, pengiklanan, dan lain-lain yang terlibat secara tidak langsung. Biasa juga lokasi-lokasi perfileman bertukar menjadi kawasan tarikan pelancong.

Kemajuan Teknologi: Industri filem memacu inovasi teknologi, kerana pembuat filem dan studio sentiasa mencari kaedah baru dan lebih baik untuk menghasilkan dan mengedarkan filem. Ini membawa kepada pembangunan teknologi baharu yang boleh memberi impak yang meluas di luar industri filem. Teknologi filem juga adakalanya digunakan dalam teknologi-teknologi lain seperti industri perkilangan, industri pengiklanan dan penyelidikan seperti yang kita lihat hari ini.

Filem dokumentari banyak membantu kita untuk memahami lebih lanjut mengenai sesuatu isu yang ingin disampaikan.

Pendidikan: Filem mempunyai kuasa untuk mendidik dan memaklumkan orang ramai tentang isu penting dan peristiwa bersejarah, memberikan perspektif yang unik dan menarik tentang dunia. Ia adalah jauh lebih mudah mendapat perhatian berbanding medium pendidikan yang lain seperti buku dan juga pembelajaran di dalam bilik darjah. Malah hari ini medium ini menjadi kaedah paling popular dan mudah diakses dari mana-mana peranti telefon bimbit yang hampir dimiliki oleh semua orang.

Penyebaran maklumat: Ia merupakan kaedah penting semenjak TV dicipta. Kaedah penyebaran maklumat berubah dengan drastik, malah tidak seperti radio, maklumat disalurkan melalui rancangan yang dikenali sebagai berita - di mana waktu tayangannya pula adalah waktu yang paling penting di mana kebiasaannya ia ditontoni oleh seluruh ahli keluarga. Penyebaran maklumat melalui video dapat memberikan gambaran yang lebih tepat berbanding hanya suara/bunyi yang sebelumnya digunakan oleh radio.

Hiburan: Filem ialah sumber hiburan utama untuk berjuta-juta orang di seluruh dunia, menyediakan cara untuk orang ramai melarikan diri dari kehidupan seharian mereka dan mengalami cerita baharu dan menarik. Namun industri perfileman hari ini menjadi industri berbilion ringgit dan merupakan salah satu industri terpenting dunia. Perkembangan teknologi perfileman membolehkan filem-filem yang dahulunya mustahil dihasilkan menjadi kenyataan dan kelihatan seperti dunia sebenar. Ia juga banyak membantu filem-filem berunsur pendidikan dihasilkan seperti memberikan gambaran kehidupan pra-sejarah.

Seterusnya pula mari kita melihat beberapa pencapaian dalam teknologi perfileman yang menghasilkan mutu penggambaran seperti yang kita saksikan pada hari ini. Teknologi ini turut dipengaruhi bagaimana filem-filem dipasarkan dan ditonton oleh pengguna pada hari ini. Pembangunan ini juga seiringan dengan pembangunan teknologi-teknologi lain seperti elektronik, internet, komunikasi, teknologi digital, perkomputeran, industri dan pelbagai lagi yang terlibat secara tidak langsung. 


Kamera digital hari ini boleh mengambil gambar dan juga video pada satu peralatan yang sama.

Sinematografi Digital: Kamera digital telah menggantikan kamera filem tradisional dan telah menjadikan proses penggambaran lebih mudah dan lebih murah. Malah teknologi kamera digital ini membolehkan kamera dimiliki oleh semua orang melalui telefon bimbit membolehkan perkongsian video untuk semua. Kamera aksi seperti Go-Pro, DJI dan Insta 360 membolehkan filem-filem aksi dihasilkan dengan lebih mudah memandangkan saiz kamera yang kecil dan mudah dibawa ke mana-mana.


Teknologi VFX membolehkan penghasilan hasil gambar yang suatu masa dahulu sukar dilakukan.

VFX dan CGI: Kesan visual dan imejan janaan komputer telah menjadi sebahagian besar dalam pembuatan filem moden, membolehkan penciptaan unsur realistik dan fantastik. Kebanyakan filem moden tidak dapat dihasilkan tanpa melibatkan penggunaan kesan CGI ini.  Malah dalam sesetengah filem, kesan CGI digunakan hampir dalam keseluruhan filem.


Teknologi 3D: Teknologi 3D telah menambah dimensi baharu kepada pengalaman menonton, memberikan filem rasa yang lebih mengasyikkan dan interaktif. Kesan CGI tidak lengkap tanpa penggunaan teknologi 3D yang membolehkan filem menghasilkan gambaran yang lebih realistik. Sejak ianya mula digunakan pada pertengahan 1990-an, kini teknologi 3D lebih mudah untuk diakses dan menghasilkan mutu gambaran yang lebih baik.


Penggunaan drone di dalam penggambaran adalah mudah dan murah, Malah teknologi drone hari ini mampu memberikan gambar yang berkualiti.

Teknologi Drone: Drone yang dilengkapi dengan kamera telah mengubah cara tangkapan dari udara, memberikan pembikin filem peluang kreatif baharu. Malah drone membolehkan penggambaran dari udara dapat dihasilkan dengan harga yang lebih murah berbanding dahulunya apabila peralatan seperti crane atau helikopter perlu digunakan. Teknologi drone membolehkan para pembuat filem persendirian juga (YouTube atau Tik Tok) menghasilkan penggambaran udara.


Virtual Production: Penggunaan virtual production telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membolehkan pembuat filem membuat pra-visual dan merancang shot dalam persekitaran maya. Berbanding dengan teknologi biasa yang menggunakan skrin hijau, penggunaan virtual production membolehkan filem dihasilkan dengan lebih pantas.


Alat berkuasa AI: Kecerdasan buatan (AI) giat digunakan dalam pelbagai peringkat penghasilan filem, termasuk penulisan skrip, penyuntingan dan reka bentuk bunyi. Ia bukan sahaja mempercepatkan proses kerja-kerja penghasilan sesebuah filem malah memberikan skop yang lebih luas untuk sesebuah topik yang cuba dikupas.


Teknologi HDR memberikan gambar yang lebih berkualiti adalah diinspirasikan oleh pemandangan semulajadi mata manusia.

High Dynamic Range (HDR): Teknologi HDR membolehkan julat warna dan tahap kecerahan yang lebih luas ditangkap, menghasilkan imej yang lebih bertenaga dan seperti hidup. Tidak seperti mata manusia, kamera tradisional hanya dapat mengambil gambar pada skala cahaya yang terhad, manakala mata manusia yang lebih dinamik dapat membezakan padangan untuk yang mempunyai keamatan cahaya yang berbeza. Dengan teknologi HDR, masalah ini dapat diatasi dan menghasilkan mutu gambaran yang lebih menarik dan jelas.


Video 360 darjah: Video 360 darjah membolehkan penonton mengalami pemandangan dari pelbagai sudut, memberikan pengalaman yang lebih mengasyikkan. Teknologi ini bukan sahaja digunakan untuk penghasilan filem malah banyak digunakan untuk lawatan maya untuk muzium atau apa juga bentuk lawatan. Ia juga digunakan dengan meluas dalam Street View untuk Google Maps dan teknologi seumpamanya.


Berbanding teknik biasa, teknik motion capture adalah lebih mudah dan pantas. 

Motion Capture: Teknologi Motion capture membolehkan pembuat filem menangkap dan mendigitalkan persembahan pelakon, yang kemudiannya boleh digunakan untuk menghidupkan watak dalam filem. Ia digunakan secara meluas di dalam filem-filem yang menggunakan CGI untuk menghasilkan watak-watak secara digital. Penggunaan sensor-sensor pada para pelakon membolehkan ianya kemudiannya diubah kepada watak yang dihasilkan secara digital.


Alat Kerjasama Jauh: Alat kolaborasi jauh telah menjadi semakin penting dengan peningkatan kerja jauh (atau dari rumah), membolehkan pembuat filem bekerjasama dan mengerjakan projek dari lokasi yang berbeza. Ini memudahkan lagi bagi mereka yang berkolaborasi secara berasingan atau bagi mereka yang mungkin terlibat dalam beberapa projek dalam satu masa untuk turut sama meyumbangkan tenaga.


Teknologi Penstriman: Peningkatan perkhidmatan penstriman telah memberi kesan yang besar kepada industri filem, mengubah cara filem diedarkan dan digunakan. Ia membolehkan filem di tonton dengan lebih mudah secara dalam talian. Saluran-saluran seperti Netflix, HBO, Amazon dan Apple TV kini boleh dilanggan terus dari seluruh dunia melalui peralatan-peralatan seperti TV, telefon bimbit dan kotak media.


Teknologi perfileman bukan sahaja menghasilkan mutu filem yang baik, malah terdapat banyak perkara yang berlaku disebalik penghasilan penggambaran tersebut.

Tersenarai di atas adalah beberapa contoh kemajuan teknologi perfileman yang telah memainkan peranan dalam membentuk industri pembuatan filem sehingga ke hari ini. Walaupun pada umumnya industri filem lebih dipandang sebagai industri hiburan, banyak sumbangan industri ini dalam pembangunan perkara-perkara lain yang juga penting dalam kehidupan kita. Industri filem juga banyak membangunkan kawasan-kawasan yang menjadi popular sebagai kawasan pelancongan setelah menjadi lokasi-lokasi pembikinan filem. Ia juga memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.


Maka dengan itu kita perlu melihat sudut perfileman ini secara lebih luas dalam sumbangannya kepada pembangunan kemanusiaan. Kepesatan teknologi mungkin menjadikan teknologi perfileman di masa-masa akan datang jauh berbeza daripada apa yang kita nikmati pada hari ini, namun ia tetap merupakan salah satu industri penting yang perlu diberikan perhatian.


Rabu, 18 Mei 2016

Kamera Resolusi Untra-high Google Mengambil Gambar Secara Terperinci

Google Art Camera membuat rakaman terperinci hasil seni penting.

Telah banyak kamera beresolusi tinggi yang dihasilkan kebelakangan ini, namun apa bezanya kamera resolusi tinggi yang dihasilkan oleh Google Cultural Institute (GCI) yang dikenali sebagai “Art Camera”. Projek yang telah berjalan selama 5 tahun yang dikenali sebagai “Art Project” ini bermula sejak 2011 lagi dan digunakan untuk misi yang amat penting iaitu menyimpan gambar-gambar terperinci hasil-hasil lukisan penting dari seluruh dunia.

Gambar-gambar yang diambil adalah bersaz sehingga Gigapixel dan dimuatkan ke dalam laman web Google Cultural Institute (GCI). Gambar yang kaya dengan pixel ini membolehkan pemerhati membuat tinjauan terperinci daripada gambar pada saiz asal sehinggalah pada pembesaran imej bagi melihat lebih dekat kesan-kesan halus berus lukisan pelukis tersebut. Apa yang lebih baik, melalui kaedah ini juga kesan terperinci yang boleh diperhatikan adalah sehingga ke tahap kesan-kesan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Membuat rakaman hasil karya seni.

Pandangan sisi Google Art Camera.

Ia boleh dikendalikan dengan lebih mudah.

Bagi mendapatkan kualiti sebegini ianya memerlukan peralatan yang mahal dan hanya boleh dilakukan oleh mereka-mereka yang benar-benar berpengalaman. Jadi kerja-kerja mengumpul maklumat penting hasil seni ini akan menjadi satu kerja yang menelan kos yang amat tinggi. Maka Google memutuskan untuk membina satu kamera yang mempunyai fungsi khusus untuk kerja-kerja ini bagi memudahkan tujuan tersebut.

Menggunakan Art Camera kerja-kerja merakamkan imej terperinci hasil seni bersaiz gigapixel dapat dilkakukan pada jangka masa yang lebih singkat daripada biasa selain mudah dibawa bagi kerja-kerja tersebut dijalankan di muzium-muzium di serata dunia. Ia juga direka supaya dapat melakukan kerja-kerja tersebut dengan lebih efektif menggunakan sistem robotik yang membolehkan kamera membuat rakaman setiap inci hasil seni tersebut. Ia turut dilengkapi dengan teknologi laser dan sonar bagi membantu mendapatkan fokus yang tepat untuk setiap gosokan berus.

Melalui teknik ini, pemeriksaan terperinci pada lukisan (hasil seni) dapat dilakukan tanpa memindahkannya atau mendedahkannya kepada risiko kerosakan. Apabila kerja-kerja mengambil gambar terperinci ini selesai, ribuan imej-imej dari Art Camera tersebut akan digabungkan (stitched) menjadi satu imej yang sempurna.

Rakaman sekata untuk setiap inci lukisan.

Ciri-ciri halus lukisan dapat diperhatikan dengan jelas.

Google sehingga kini telah mengeluarkan 1000 hasil pertama gambar dengan kualiti resolusi ultra ini yang dihasilkan menggunakan kamera tersebut. Gambar-gambar tersebut adalah termasuk hasil karya oleh Pissarro, Signac, Rembrandt, Van Gogh dan Monet. Selain itu Google juga akan membekalkan kamera-kamera tersebut ke institusi-institusi di seluruh dunia bagi membolehkan kerja-kerja mendokumentasi karya seni dapat dilakukan.


*Art Project adalah merupakan salah satu daripada hasil Google Cultural Institute (GCI), yang membolehkan pengguna membuat tinjauan daripada muzium dan arkib secara online. Terdapat banyak lagi hasil-hasil kerja yang dihasilkan oleh CGI dalam memperkayakan hasil budaya dan seni dari seluruh dunia. Menarik!


Free Download



Ahad, 27 Mac 2016

Kamera Paling Nipis Tidak Menggunakan Kanta

Tanpa kanta kamera menjadi lebih nipis.

Kamera merupakan peralatan yang berfungsi sama seperti mata manusia. Setiap komponen di dalam kamera mempunyai bahagian yang sama seperti juga pada mata manusia. Antara komponen terpenting di dalam kamera adalah kanta dan ia memastikan gambar yang diambil kelihatan jelas.

Fungsi kanta adalah untuk memastikan imej yang dihasilkan pada retina (mata), filem (kamera) atau sensor (kamera digital) jelas. Pada masa yang sama kanta pada kamera juga menjadikan ia tebal (mempunyai lensa yang panjang). Bagaimana sekiranya kanta ini dibuang?

Konsep kamera dan mata.

Kanta menjadikan kamera lebih tebal.

Sejak dari mula lagi kamera terawal direka tanpa menggunakan kanta – seperti kamera lubang jarum yang mudah. Namun begitu jarak lubang ke skrin paparan imej akan menjadi lebih jauh mengikut jarak objek.; kanta mengurangkan jarak ini. Jadi sehingga ke hari ini, kamera yang digunakan pada kamera telefon yang kecil juga masih menggunakan kanta (yang menjadikan ia agak tebal).

Bagaiman kamera tanpa kanta dihasilkan?



Kamera tanpa kanta dihasilkan dengan menggunakan teknologi komputer. Oleh kerana imej yang dihasilkan pada permukaan sensor akan dianalisa menggunakan perisian komputer. Maka ia adalah bergantung kepada bagaimana ianya disusun untuk menghasilkan imej itu semula.

Kajian ini dilakukan oleh sekumpulan pengkaji dari Rice University. Melalui kajian ini nanti, ketebalan kamera akan menjadi sangat nipis dan dipanggil sebagai “FlatCam”. Melalui kaedah ini, sensor yang digunakan adalah sama. Apa yang berbeza adalah kaedah memproses maklumat yang diperolehi dari sensor tersebut. Walaupun imej yang dihasilkan pada sensor tersebut adalah samar, namun ianya cukup untuk komputer membentuk semula imej untuk kelihatan lebih baik.

Penghasilan kamera ini dapat mengurangkan lagi kos penghasilan kamera dan membuka ruang untuk aplikasi-aplikasi baru dalam pelbagai bidang termasuk industri, perubatan, hiburan, keselamatan dan kegunaan umum.



Ujian pada kamera FlatCam.

Para penyelidik yang menjalankan kajian FlatCam.

Satu lagi rekaan kreatif yang amat berguna. Ia merubah persepsi bahawa kamera perlu mempunyai kanta kepada, bagaimana maklumat diproses. Mungkin banyak lagi peralatan yang boleh diubah menggunakan konsep ini untuk menjadikannya lebih mudah, murah, ringan, selamat dan sebagainya. 







Free Download



Ahad, 13 Mac 2016

Video 360 Kini Bermula, Bagaimana Mereka Melakukannya

Rancangan Click dari BBC akan dirakan dalam video 360° sepenuhnya.

Video 360° telah dilancarkan lebih awal oleh laman video terkenal YouTube sejak 2015 lagi. Namun pada masa itu kualiti videonya masih berada pada tahap yang kurang memuaskan. Setelah setahun dilancarkan, video yang membolehkan anda menikmati panorama penuh ini boleh ditonton pada kualiti 4K dan menggunakan peralatan-peralatan VR yang berada di pasaran.

Teknologi ini berkembang dengan pantas semenjak beberapa tahun ini. Kini terdapat pelbagai jenis kamera yang boleh digunakan untuk mengambil gambar 360°. Apa yang membezakan antara kamera ini hanyalah kualitinya gambarnya sahaja. Kamera-kamera ini terdiri daripada beberapa buah kamera yang disusun untuk mendapatkan gambar penuh 360° persekitarannya. Gambar-gambar yang diambil akan disusun (stitching) menggunakan perisian yang seseuai dengan kamera tersebut. Begitu juga untuk menontonnya, anda memerlukan pemain video khas untuk membolehkan anda melihat keseluruhan tempat di mana ia diambil.

Kelebihan Video 360°

Video 360° bukan sahaja mengambil gambar satu kawasan kecil seperti kamera-kamera biasa. Ia turut mengambil keseluruhan kawasan sekitarnya. Ini bermakna, pemerhati boleh memilih untuk melihat ke mana sahaja. Ia memberikan pengalaman seolah-oleh pemerhati sendiri berada di tempat tersebut.

Video seumpama ini membantu orang ramai utuk merasai pengalaman di sesuatu kawasan tanpa perlu berada di tempat tersebut. Teknologi ini membolehkan kita mengunjungi tempat-tempat yang tidak boleh dikunjungi oleh semua atas sebab-sebab keselamatan dan sebagainya. Namun begitu ia tidak membataskan pemerhatian penonton sepertimana kamera-kamera biasa.

Kamera-kamera 360°

Antara kamera-kamera awal.

Perubahan teknologi kamera 360° juga berkembang dengan baik di mana dalam masa beberapa tahun sahaja kamera sebegini boleh menghasilkan gambar pada resolusi 4K (antara kualiti gambar video terbaik setakat ini – 8K masih lagi dalam pembangunan untuk orang ramai). Jadi yang membezakan antara kamera-kamera ini hanyalah kualti gambar yang diambil namun masih lagi berkeupayaan menghasilkan pemandangan 360°.

Antara kamera-kamera bersaiz kecil dan untuk kegunaan persendirian (juga antara kamera-kamera awal) adalah seperti Geonaute, Giroptic, Centr Cam, Bubl, 360° Fly dan Tamago. Kamera-kamera ini selain bersaiz kecil ia mudah digunakan untuk keungaan individu.

Manakala hari ini lebih banyak pilihan kamera berada di pasaran. GoPro sahaja mempunyai beberapa jenis kamera berkeupayaan untuk menghasilkan video 360°. Apa yang menarik kamera-kamera GoPro ini adalah ia boleh dipasang dan ditanggalkan mengikut pemegang (mount) yang digunakan. Jadi para pengguna boleh memilih jenis kamera dan pemegang dengan kualiti video yang ingin dihasilkan. Untuk melihat rangkaian penuh kamera 360° dari GoPro.

GoPro PRO10HD untuk kualiti terbaik.

GoPro yang digunakan untuk rakaman Click dari BBC.

Antara kamera terbaik dari GoPro adalah PRO10HD yang menggunakan 10 buah kamera yang berkeupayaan mengambil gambar pada format 4K. Walaupun kamera ini berharga sekitar USD745.00 ia perlu digunakan bersama dengan aksesori-aksesori lain untuk membolehkan video yang diinginkan dihasilkan dengan mudah. Turut disediakan adalah kamera 360° yang boleh digunakan di dalam air seperti 360Abyss-v4, disamping 360H6 holder untuk kegunaan pelbagai cuaca.

Manakala dalam contoh video yang dihasilkan oleh Program Click oleh BBC, kamera GoPro yang digunakan adalah yang menggunakan 6 buah kamera HD 4K. Namun kualiti gambarnya adalah memuaskan. Malah program Click akan disediakan dalam format 360° untuk keseluruhan episodnya. Anda juga berpeluang melawat ke Komplek CERN, Large Hadron Collider – dengan pemandangan 360°.

Peralatan-peralatan menonton video 360°

Video-video 360° boleh ditonton dengan beberapa kaedah. Samada menggunakan komputer, smartphone dan juga peralatan-peralatan VR dengan apps yang sesuai. Peralatan yang betul adalah penting bagi membolehkan anda menikmati pemandangan sekeliling apabila video tersebut dimainkan.

Gambar asal dari kamera yang perlu digabungkan menggunakan software.

Walaupun kualiti gambar video 360° hari ini lebih baik berbanding beberapa tahun dahulu. Teknologi in masih lagi baru dikembangkan kepada orang ramai. Banyak lagi perubahan akan dilakukan dan dalam masa akan datang ia mungkin menjadi salah satu format utama video yang digunakan seperti mana kita beralih daripada teknologi kamera menggunakn filem kepada kamera digital. Apa yang anda perlu lakukan adalah, bersedia untuk menerima perubahan tersebut.







Free Download



Arkib Blog