Memaparkan catatan dengan label khasiat tumbuhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label khasiat tumbuhan. Papar semua catatan

Rabu, 24 Jun 2015

Buah Buahan Borneo, Durian Merah

Durian Merah mempunyai isi bewarna merah.

Borneo mempunyai banyak keunikan dari segi tumbuhan mahupun hidupan. Perbezaan ketara ini antara lainnya adalah pada buah durian yang mempunyai isi berwarna merah yang popular di kawasan di Borneo berbanding kawasan yang lain. Bagi para peminat durian peluang untuk merasai buah durian merah ini mungkin merupakan pengalaman yang agak menarik.

Durian Merah (Durio graveolens) mempunyai pelbagai gelaran daripada masyarakat setempat termasuk durian burung, durian kuning, durian merah, durian otak udang galah, durian dalit atau tabelak. Manakala mengikut suku kaun ada yang memanggilnya sebagai sukang (Kadazandusun), lalit (Bisaya), Mara’ang (Sungai) dan sebagainya. Berbeza pula di Sarawak durian ini lebih dikenali sebagai isu/isau manakala masyarakat Kenyah sebagai durian daun kerana mempunyai daun sebesar telapak tangan orang dewasa.

Isinya yang merah kelihatan lebih menarik.

Apabila tiba musim durian ini ia mudah dilihat di jual di pekan-pekan Rabu dan juga pasar di mana bauh-buahan tempatan dijual. Jadi untuk mendapat peluang merasai buah durian ini anda perlulah memastikan kunjungan anda ke Sabah atau Sarawak tiba tepat pada waktu di mana musim buah ini dituai.

Mempunyai fizikal luaran yang juga berduri seperti durian namun durinya adalah lebih tirus dan panjang dan warna kulit yang agak kekuningan. Walaupun terdapat beberapa jenis durian merah ini namun perbezaannya mungkin kurang ketara bagi orang-orang luar, yang pasti isinya berwarna merah.

Durian Merah di jual di pekan Rabu dan pasar.

Isi durian merah kurang manis dan mempunyai rasa uniknya yang tersendiri. Ia juga tidak menyebabkan panas badan seperti durian biasa. Namun seperti juga durian-durian lain – ia mempunyai bau durian. 


Free Download



Ahad, 14 September 2014

Makanan Menyihatkan Lebih Mudah Dari Yang Disangka

Colorful vegetables
Sayuran berwarna-warni bukan sahaja cantik namun berkhasiat.

Makanan merupakan faktor yang berkait rapat dengan tahap kesihatan seseorang. Sejak sekian lama kita sering mendengar ungkapan “anda adalah apa yang anda makan”. Walaupun ungkapan ini adalah satu ungkapan yang biasa, namun tidak ramai yang memberikan perhatian terhadap pemakanan mereka. Ianya hanya akan menjadi penting semula apabila seseorang mengalami masalah kesihatan – dimana segala pemakanan perlu dikawal dengan ketat?

Seperti biasa saya lebih suka mengaitkan alam secara semulajadi tentang bagaimana kita sebenarnya telah disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk hidup dengan lebih sihat dan ceria. Seperti yang kita ketahui alam mempunyai pelbagai kaedah unik dalam memastikan hidupan, malah manusia sendiri mendapat kebaikan dari segala isinya.

Pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan merupakan sumber makanan yang terpaling mudah didapati di sekeliling kita? Begitu juga pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan ini mempunyai warna yang pelbagai  berbeza bagaimana pada mulanya (sewaktu muda atau tahap pucuk) semuanya adalah sama iaitu berwarna hijau.

Alam mempunyai keunikan dalam berkomunikasi melalui beberapa kaedah daripada bentuk, warna, bau dan rasa – dan ada di antaranya yang hanya boleh dikesan oleh sesetengah hidupan (seperti apabila dilihat di bawah cahaya UV). Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana tumbuh-tumbuhan wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu. Apa yang ketara adalah, kita tidak memikirkan betapa kita sentiasa dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi.

Colorful fruits and vegeas
Gabungan sayuran dan buah-buahan.

Keunikan Warna Pada Tumbuhan

Warna pada tumbuhan memainkan peranan yang amat penting. Selain daripada untuk kepentingan tumbuhan itu sendiri mahupun pada haiwan ataupun manusia yang memakannya. Warna memberikan maklumat tertentu mengenai tumbuhan tersebut – iaitu khasiat yang terkandung di dalamnya. Ini kerana warna tersebut adalah hasil daripada sesetengah zat galian yang terkandung pada daun ataupun buah yang dijadikan sebagai sumber makanan. Selain itu juga warna yang terang pada buah menarik perhatian haiwan-haiwan yang akan membantu menyebarkan biji-benih tumbuhan tersebut bagi memastikannya dapat terus membiak.

Melalui pemahaman inilah maka khasiat daripada pelbagai tumbuh-tumbuhan dapat dikenal pasti dan didapati hampir kesemua zat pemakanan yang diperlukan oleh manusia dapat disediakan daripada tumbuh-tumbuhan. Selain daripada ianya mudah didapati atau ditanam tumbuhan juga mudah disimpan dan tidak mudah rosak seperti makanan lain (ikan, ayam, daging dan lain-lain).

Berikut adalah beberapa panduan mengenai warna tumbuh-tumbuhan dan beberapa ciri khasiat yang terkandung di dalamnya:

Warna Merah:

Mengandungi nutrient seperti lycopene ellagic acid, quercetin dan hesperidin. Nutrient-nutrient ini dapat mengurangkan risiko kanser prostat, menurunkan tekanan darah, mengurangkan pertumbuhan tumor dan juga kadar kolesterol. Ia membantu menghapuskan radikal bebas serta menyokong tisu sendi dalam kes arthritis.

Warna Oren:

Mengandungi beta-carotene, zeaxanthin, flavonoids, lycopene, potassium dan vitamin C. Nutrient-nutrient ini mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia dan juga risiko kanser prostat, mengurangkan kolestrol dan juga tekanan darah, menggalakkan pembentukan callogen dan sendi yang sihat, membasmi radikal bebas, menggalakkan keseimbangan alkali, memperbaiki kerosakan DNA dan membantu magnesium dan kalsium.

Warna Kuning:

Mengandungi beta-crypthothanxin dan carotenoids lutein serta zeaxanthin yang membantu perhubungan dalaman sel, mengelakkan masalah jantung, mengurangkan risiko katarak  serta mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia.

Warna Hijau:

Mengandungi chlorophyll, fiber, lutein, zeaxanthin, magnesium, kalsium, folate, vitamin C dan beta-carotene yang menghalang tindakan carcinogen serta membantu fungsi badan yang lebih sihat.

Warna Ungu dan Biru:

Mengandungi phytochemical seperti anthocyanin dan phenollic yang merupakan antioksidan yang kuat bagi membantu mengurangkan risiko penyakit seperti kanser, penyakit jantung dan alzheimers, menguatkan memori dan komunikasi sel serta memperlahankan proses penuaan.

Warna Putih:

Mengandungi beta-glucans, EGCG, SDG, flavonoids, alicon dan  lignan yang mengaktifkan sel darah putih B dan T, membantu sistem imunisasi dan keseimbangan hormon.

Colorful salad
Gabungan sayuran berwanra-warni menambahkan lagi selera.

Itu adalah antara warna-warna biasa yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan yang biasa menjadi sumber makanan bagi haiwan mahupun manusia. Ternyata banyak sekali tumbuh-tumbuhan yang dijadikan sayuran dan ini merupakan keperluan bagi manusia dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Namun apabila tumbuh-tumbuhan dijadikan sebagai makanan kedua selepas sumber haiwan (termasuk ikan, ayam, daging dan sebagainya) tahap kesihatan mudah mengalami masalah.


Sekiranya anda masih berada dalam keadaan sihat atau ingin mengembalikan tahap kesihatan anda menjadi lebih baik diharap artikel kali ini dapat memberikan sedikit bantuan tentang memahami kelebihan khasiat yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan. Mungkin selama ini kita terlupa bahawa kita sentiasa disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.



Free Download



Selasa, 29 Oktober 2013

Malu-malu Si Pokok Semalu

Semalu dengan bunga dan daun.

Bagi kita yang tinggal di kampung tentu tak asing lagi dengan pokok semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun pemalu, pokok semalu berduri dan bukan mudah untuk kita sebarangan merosakkan pokok yang istimewa ini.

Pokok semalu mudah tumbuh di halaman rumah. Bagi yang biasa berkebun atau membersihkan halaman tentu seringkali berhadapan dengan tumbuhan istimewa ini - oh, bagi saya ianya istimewa kerana tidak banyak pokok yang mempunyai tindakbalas seperti pohon semalu yang apabila disentuh daunnya akan segera menguncup. Walaupun secara umumnya pokok semalu tetap dianggap sebagai rumpai yang merosakkan sebahagian daripada halaman rumah yang ditanam rumput.

Pokok semalu boleh mudah hidup subur di mana-mana sahaja kerana pada akar pokok ini terdapat bakteria yang mampu menukarkan nitrogen di dalam udara kepada sebatian yang boleh digunakan oleh tumbuhan. Ini membantu pokok semalu tetap subur walaupun pokok disekitarnya kekurangan baja. Hubungan antara bakteria dan pokok ini bukan hanya terdapat pada pokok semalu sahaja malah terdapat pada tumbuhan kekacang yang lain. Ya, anda boleh mencabut pokok ini untuk melihat sendiri terdapat butiran pada akarnya.

Pokok semalu hidup di merata tempat di serata dunia dari Amerika Selatan ke Amerika Tengah, Tanzania ke Selatan Asia dan Asia Tenggara serta Kepulauan Pasifik. Ia juga turut tumbuh di Australia, di Nigeria, Seychelles, Mauritius dan Timur Asia. Di Amerika pula pokok semalu tumbuh di sekitar Florida, Hawaii, Virginia, Maryland, Puerto Rico, Texas dan Virgin Island. Jadi tidak hairanlah kenapa pokok semalu ini begitu terkenal.

Khasiat Semalu

Pokok semalu dengan daun yang unik dan batang yang dipenuhi duri.

Bunga semalu dari dekat.

Daun semalu menguncup apabila disentuh.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita untuk mengenal dan menggunakan sebaik mungkin apa sahaja yang terdapat disekeliling kita. Maka dengan itu tentu terdapat beberapa khasiat dari pohon semalu untuk digunakan dalam kehidupan seharian antaranya:

1) Untuk kegunaan wanita bagi membantu mengecut, menguat dan membersihkan alat sulit kaum wanita terutama selepas bersalin ataupun haid.

Bagi tujuan ini beberapa batang pokok semalu digunakan bersama akarnya sekali (pastinya pokok yang tidak terlalu besar) dan dibersihkan. Kemudian ianya direbus di dalam periuk bersama dengan buah manjakani, garam kasar dan asam keping. Rebus sehingga ramuan sebati dan tunggu sehingga air agak suam sebelum digunakan untuk tujuan mandi.

2) Pokok semalu juga amat sesuai untuk merawat masalah kegatalan akibat 'makan air' atau Athlete's foot - keadaan di mana kaki merasa gatal dan berair.

Caranya adalah sama iaitu dengan menggunakan keseluruhan pokok semalu yang direbus sehingga mendidih dan di biarkan suam. Kaki direndamkan ke dalam air tadi bagi membersihkan bahagian yang mengalami masalah. Kaedah ini dikatakan dapat membantu mengekalkan kelembapan pada kulit disamping membantu masalah seperti di atas juga masalah cekam pada kuku tangan dan kaki.

Pokok semalu di dalam journal botani.

3) Pokok semalu juga dikatakan dapat membantu merawat masalah batu karang.

Menurut dua orang pengkaji tempatan iaitu Mostafa Ali dari Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia dan Zakaria M.A. dari Jabatan Kimia, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Mengabang Telipot, Terengganu - mereka mendapati ekstrak pokok semalu mengandungi dua bahan kimia utama yang mampu bertindak sebagai bahan perencat dan pemecah batu karang terutama kandungan kalsium oksalatnya. Ini kerana batu karang dalam pundi kencing manusia terdiri daripada 70 peratus garam organik tidak mudah larut, kebanyakannya kalsium oksalat.

4) Bagi merawat luka pula keseluruhan pokok digunakan dengan cara melumatkan pokok tersebut dan digunakan untuk menampal bahagian yang luka.

5) Air rebusan pokok semalu juga turut digunakan untuk merawat kanak-kanak yang gelisah dan tidak tenteram fikiran (mungkin juga hyper-active) dengan menggunakannya untuk mandi. Selain itu ia boleh diminum untuk merawat masalah insomnia dan kepenatan mental.


Wah hebat juga pokok semalu! Mungkin bagi kita yang tidak mengenali pokok ini tidak menjangka begitu banyak sekali manfaat pokok ini kepada masyarakat kita. Tapi saya akan berfikir dulu samada akan membuka ladang pokok semalu - kerana pokok ini dipenuhi duri. Apapun tahniah bagi mereka yang pernah menggunakan pokok ini untuk tujuan perubatan kerana anda telah menggunakan pokok ini untuk tujuan yang sepatutnya.




Free Download



Arkib Blog