Memaparkan catatan dengan label musk deer. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label musk deer. Papar semua catatan

Ahad, 21 Jun 2015

Mikro Post: Rusa Kasturi (musk deer)

Micromeryx - extinct
Micromeryx merupakan genus yang telah pupus.

Rusa kasturi (musk deer) adalah spesies yang istimewa dan diburu sehingga pupus di Eropah kerana permintaan yang tinggi untuk mendapatkan kasturi (musk) dari rusa ini. Terdiri daripada 7 spesies dengan saiz yang lebih besar berbanding kancil namun lebih kecil berbanding kijang/rusa. Ia dilengkapi dengan dua taring yang jelas kelihatan namun tidak mempunyai sebarang tanduk. Industri haruman selain perubatan tradisional yang menggunakan kasturi, menyebabkan haiwan kecil ini diburu sehingga hampir pupus di seluruh dunia.

Saiznya yang agak kecil iaitu berukuran di antara 80 – 100 cm (31 – 39 inci) panjang, 50 – 70 cm (20 – 28 inci) tinggi dan berat di antara 7 ke 17 kilogram (15 hingga 37 lb.) Ia mempunyai kesesuaian untuk mendaki cerun berbukit dan mendiami persekitaran berbukit termasuk di Himalaya, namun taburannya adalah menyeluruh ke seluruh Asia.

Kelenjar kasturi hanya terdapat pada rusa kasturi jantan dewasa yang terletak di antara organ seks (genital) dan pusatnya yang akan mengeluarkan bau untuk menarik perhatian pasangan. Organ ini juga menjadikan ia diburu oleh manusia disamping dagingnya yang dijadikan sumber makanan. Kasturi (musk) mempunyai harga yang lebih tinggi berbanding beratnya dengan emas. Selain digunakan sebagai bahan pewangi, ia juga digunakan untuk tujuan perubatan tradisional.

Selain daripada ancaman pemburuan, ia juga turut diancam oleh kehilangan habitat akibat pembangunan. Melalui tinjauan yang dijalankan didapati hampir 50 peratus kawasan yang sesuai untuk spesies ini hilang semenjak tahun 1970-an – LiveScience.

Siberian musk deer spesies yang hampir sama dengan Kashmir musk deer.

Antara spesies yang dikatakan pupus adalah ‘Kashmir musk deer’ yang dikesan semula oleh kumpulan Wildlife Conservation Society ketika melakukan tinjauan di timur laut Afghanistan dan dilaporkan pada tahun 2014 – merupakan spesies yang kali terakhir dilihat pada 1948.

Dalam tinjauan tersebut 5 penemuan berjaya dilakukan dengan menemui seekor musk deer jantan di kawasan yang sama sebanyak 3 kali, seekor musk deer betina dan anaknya dan penemuan seekor lagi musk deer betina. Ia merupakan haiwan sukar untuk dilihat di kawasan yang dipenuhi dengan tumbuhan dan pokok-pokok.


Tengkorak kepala musk dear.

Habitat asal rusa-rusa  ini merangkumi Nepal, India, Pakistan, Tibet, China, Siberia dan Mongolia. Bagi mendapatkan pundi kasturi rusa ini akan dibunuh manakala isi kandungan yang terdapat di dalam kantung kasturi akan bertukar menjadi serbuk hitam yang dipanggil sebagai serbuk kasturi “musk grain”. Serbuk ini perlu dicairkan dengan alkohol untuk mengeluarkan baunya. Ia mempunyai bauan yang unik dan sukar untuk ditafsirkan sebagai perbandingan.

Haiwan-haiwan yang turut mempunyai kelenjar penghasil bauan seakan-akan kasturi termasuklah Muskrat (Ondatra zibethicus), sejenis rodent yang terdapat di Amerika Utara namun ianya tidak digunakan secara meluas. Selain itu bauan yang hampir serupa turut dihasilkan oleh musk duck (Biziura lobata) dari Selatan Australia, muskox, musk shrew, musk beetle (Aromia moschata), African civet (Civettictis civetta), musk turtle (Sternotherus odoratus), American alligator dari Amerika Utara dan beberapa haiwan yang lain.

Manakala bagi spesies tumbuhan pula Angelica archangelica atau Abelmoschus moschatus juga menghasilkan bauan yang seakan kasturi dari kandungan  macrocyclic lactone. Bahan ini digunakan sebagai gantian bauan kasturi dari haiwan atau memperbaiki bauan campuran kasturi.

Selain itu bahan-bahan dari tumbuhan termasuklah bunga (Mimulus moschatus) dari bahagian Barat Amerika Utara, muskwood (Olearia argophylla) dari Australia dan juga musk seeds (Abelmoschus moschatus) dari India.


Pundi kasturi yang mengandungi serbuk kasturi atau musk.

Bagi mengelakkan penggunaan kasturi yang mengancam kepupusan haiwan, penghasilan bauan kasturi hari ini adalah melalui penghasilan secara sintetik dan ia biasanya dipanggil sebagai “white musk”. Ia diketegorikan kepada tiga kumpulan utama iaitu: aromatic nitro musks, polycyclic musk compounds, dan macrocyclic musk compounds. Hanya macrocyclic musk compounds digunakan secara meluas kerana dikatakan lebih selamat berbanding dua kumpulan lainnya.


Adalah diharap, spesies rusa-rusa ini akan dapat kembali berkembang dan manusia tidak lagi menjadikan ia sebagai buruan utama hanya untuk mendapatkan pundi kasturinya. Kepupusan haiwan ini mungkin akan mengganggu keseimbangan ekosistem selain menyebabkan kita tidak lagi dapat mempelajari faedah lain yang mungkin terdapat daripada haiwan-haiwan ini. 

Rujukan:
  1. Wikipedia – Musk deer
  2. Wikipedia – Musk
  3. Smithsonian.org
  4. Wcs.org

Free Download



Arkib Blog