|
Bali merupakan destinasi pelancongan popular antarabangsa. |
Bali, Indonesia antara destinasi pelancongan dunia yang amat popular
dikunjungi jutaan manusia setiap tahun kerana keunikannya. Namun begitu timbul
perasaan tanda tanya; Apakah keunikan tersebut? Satu cara mengetahuinya adalah
berkunjung sendiri ke Bali.
Bali seperti juga pulau-pulau lain mempunyai tarikan dari pantai-pantai
yang cantik sehinggalah kepada bentuk muka buminya yang menyediakan
pemandangan-pemandangan yang indah. Selain itu, ciri-ciri kebudayaan penduduk
tempatan Bali yang unik sendiri menjadikan Pulau Bali berbeza daripada
daerah-daerah lainya di Indonesia. Keunikan budaya penduduk Bali ini merupakan
cara hidup setempat yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.
Sekiranya anda ke bahagian bandar yang membangun seperti Kuta, Denpasar dan
Sanur apa yang kelihatan adalah kesibukan bandar pelancongan yang dipenuhi para
pengunjung. Deretan kedai-kedai dan hotel memenuhi setiap ruang dengan keadaan
jalan yang sempit yang amat sesak dengan motokar dan motorsikal. Keadaan di
sini begitu sibuk dengan jumlah pelancong yang ramai. Harga barangan juga agak
mahal (kerana ianya adalah mengikut standard harga pelancong).
|
Pura (temple) memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat di Bali. |
|
Panduan perundangan subak yang dicatatkan di atas kepingan 'bamboo'. |
|
Kalendar Bali menerangkan waktu sesuai untuk tanaman padi. |
|
Pak Gusti yang menerangkan mengenai 'Subak'. |
Walaupun di kawasan bandar juga dipenuhi dengan penduduk tempatan, namun ia
lebih menjurus kepada menyediakan keperluan bagi para pelancong yang membanjiri
Bali setiap hari. Restoran menyediakan makanan juga adalah makanan mengikut
citarasa pelancong sendiri seperti makanan barat, Thai, India, Cina, Itali dan
sebagainya. Namun ini juga merupakan faktor menjadikan Bali sebagai destinasi
yang disenangi oleh para pengunjung. Begitu juga dengan kemudahan lainnya
seperti kemudahan hiburan yang mudah didapati terutamanya di kawasan-kawasan berhampiran
pantai kunjungan utama.
Berbeza dengan daerah di pendalamannya, Bali adalah kawasan yang terbina
atas satu organisasi yang tersusun dalam mengolah sumber alamnya. Sejak ribuan
tahun Bali berjaya menyusun sumber alam ini bagi menyediakan keperluan para
petani yang mengerjakan sawah-sawah di Bali. Organisasi ini dikenali sebagai “Subak”.
Tanpa tata aturan seperti ini, tentulah air yang mengalir dari tasik
(danau-danau) utama di Bali tidak akan berjaya mengairi kesemua sawah yang
memenuhi kawasan-kawasan di Bali.
Tata aturan ini di jalankan dengan penuh dedikasi oleh semua masyarakat
yang mengerjakan sawah di Bali. Malah setiap kawasan kecil (kampung) mempunyai
Pura (temple) yang menjalankan atucara perkumpulan yang menyusun atur setiap
peringkat tanaman bagi seluruh petani di dalam kawasan yang sama. Kesatuan ini
memastikan setiap petani mendapat air yang sama banyak di sepanjang musim
menanam. Kaedah ini juga, dapat mengelakkan penyakit padi merebak (dan sekian
lamanya tanaman padi di Bali tidak menggunakan racun perosak). Walaupun hari
ini tanaman padi di Bali telahpun dicampuri dengan benih-benih baka padi baru.
|
Danu Bratan, merupakan salah satu tasik utama di Bali. |
|
Air merupakan sumber utama yang membolehkan sawah dikerjakan di Bali. |
|
Senibina unik Bali menggunakan sumber asli tempatan sendiri. |
|
Penduduk Bali sedia menyediakan permintaan mengikut selera pengunjung. |
Pura (temple) merupakan kawasan yang amat penting bagi penduduk Bali.
Walaupun ia boleh dikunjungi oleh para pelawat, kawasan-kawasan penting adalah
tidak dibenarkan masuk. Selain itu juga para pelawat diminta memakai pakaian
yang sesuai ketika mengunjungi pura ini. Pura yang dibina sejak ratusan tahun,
dijaga dengan baik dengan dihiasi dengan tumbuh-tumbuhan seperti sebuah taman.
Penduduk Bali mempunyai kepercayaan yang amat kuat dan berdoa serta
menyediakan “canang” (persembahan)
setiap hari. Anda boleh melihat persembahan ini hampir di mana sahaja di
sekitar Bali. Keadaan ini sedikit sebanyak menyatakan hubungan penduduk Bali
dengan kepercayaan mereka selain kemurahan mereka dalam menyediakan persembahan
tersebut.
Keadaan pesat dapat dilihat sehingga di kawasan Ubud. Apa yang berbeza,
Ubud tidak dibiarkan dipenuhi dengan premis hiburan seperti disko dan bar.
Namun ia masih memenuhi keperluan para pengunjung yang lainnya seperti
restoran-restoran dengan hidangan antarabangsa. Amat mengejutkan penduduk di
Bali sedia mempelajari penyediaan keperluan para tamu dari pelbagai lapisan
masyarakat ini dengan baik sekali, dalam masa yang sama anda masih dapat
melihat ciri-ciri keistimewaan Bali bersamanya.
Walaupun kebudayaan Bali masih utuh, kepesatan industri pelancongan tetap
menjadi ancaman kepada keaslian kebudayaan di Bali. Pertumbuhan ekonomi dan
taraf hidup yang semakin meningkat menjadi faktor utama persaingan taraf hidup,
terutamanya bagi mereka yang mendiami kawasan-kawasan bandar utama. Semoga Bali
tetap utuh dan generasi baharunya dapat mengekalkan keunikan cara hidup mereka
tanpa dicemari oleh industri pelancongan yang membangun di sana – kerana itulah
yang menjadikan Bali yang unik.