Memaparkan catatan dengan label penghasilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label penghasilan. Papar semua catatan

Ahad, 27 Disember 2015

Antara Belanga Tanah dan Porcelain

'Porcelain' antara barangan terpenting berasal dari tanah.

Amat menakjubkan bagaimana manusia dapat mencipta peralatan yang berguna untuk kegunaan harian daripada tanah dan menghasilkan pelbagai barangan. Peralatan yang dihasilkan dari tanah ini telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu dan antara barangan yang paling baik dihasilkan daripada tanah ini adalah ‘porcelain’. Porcelain merupakan bahan yang terbaik dihasilkan daripada tanah (dari jenis tanah tertentu) dan juga melalui proses pembuatan/pembakaran yang jauh berbeza.

Barangan tembikar telah dihasilkan oleh manusia sebelum zaman Neolitik lagi dan barangan tembikar telah dijumpai di  Czech Republic bertarikh sekitar 29,000–25,000 BC. Manakala kapal membawa barangan tembikar ditemui di Jiangxi, China bertarikh 20,000 BC. Di Jepun pula peralatan awal zaman Neolitik ditemui di Jomon, bertarikh sekitar 10,500 BC, dan di Timur Jauh Russia bertarikh 14,000 BC begitu juga dengan kawasan lain seperti Sub-Sahara Afrika dan juga Amerika Selatan.


Proses penyediaan tanah liat di India untuk membuat barangan tembikar.

Belanga tanah antara contoh barangan tembikar yang masih digunakan.

Porcelain dari Dinasti Song.

Di negara kita Malaysia, barangan terkenal yang dihasilkan dari tanah ini adalah ‘labu sayong’. Walaupun ia kemudiannya berkembang untuk beberapa barangan yang lain, namun penghasilan labu sayong tidak mengalami banyak perubahan sepertimana semenjak ianya mula dihasilkan dahulu. Mungkin ini kerana, penghasilan labu sayong sebernarnya agak baru – sebelum kedatangan barangan moden yang membantutkan peluangnya untuk dimajukan.

Peralatan tembikar amat peting bagi pembangunan peradaban manusia apatah lagi sebelum bermulanya zaman logam. Barangan tembikar bukan sahaja digunakan sebagai peralatan untuk memasak, tetapi sebagai penyimpanan barang, air minuman yang dapat membantu memudahkan kehidupan manusia di peringkat awal. Dari sinilah, teknik penghasilan tembikar diperbaiki dari semasa ke semasa sehingga mencapai tahap yang lebih baik iaitu – penghasilan ‘porcelain’. Melalui penghasilan porcelain, barangan yang dihasilkan berubah daripada barangan keperluan menjadi barangan yang mempunyai fungsi sebagai hiasan, ataupaun barangan mewah dan sebagai barangan eksport yang penting.

Berbeza dengan barangan tembikar biasa, porcelain mempunyai porositi yang rendah dan hampir menyamai kaca. Apabila diketuk, barangan porcelain akan menghasilkan bunyi ‘ting’ (seperti besi yang diketuk), yang menunjukkan kepadatan teksturnya.


Sifat separa lutsinar pada 'porcelain'.

Mangkuk porcelain lama dari China.

Mineral 'Koalinite' yang menghasilkan koalin.
Porcelain dari zaman Ming Dinasti.

Porcelain juga dihasilkan menggunakan tanah liat istimewa yang dipanggil ‘gaoling’ atau ‘Kaolin’ yang dihasilkan daripada mineral ‘kaolinite’. Ia juga adakalanya dikenali sebagai ‘China Clay’. Nama ‘kaolin’ adalah beasal daripada ‘Chinese Kao-Ling’ (Gāolǐng), iaitu sebuah kampung di Jingdezhen, Daerah Jiangxi, China.

Barangan tembikar biasa, kebiasaannya akan dibakar pada suhu rendah iaitu di antara 800°C ke 1,100°C. Bagi barangan porcelain pula ia disaluti dengan ‘glaze’ berkaca yang kemudiannya dibakar pada suhu melebihi 1,200°C yang membentuk kristal yang kuat. Bagi tanah liat biasa, pembakaran pada suhu tinggi sahaja tidak cukup untuk menukarkan ianya kepada ‘porcelain’ sebaliknya hanya akan menukarkan ia menjadi sedikit seperti kaca.

Bagi barangan tembikar biasa, ia tidak telap cahaya walaupun ia senipis beberapa mm tebal, sebaliknya ‘porcelain’ pula mempunyai sifat separa lutsinar dan membolehkan anda melihat sedikit cahaya menembusinya.

China mendahului negara-negara lain dalam penghasilan barangan tembikar mahupun ‘porcelain’. Barangan tembikar yang dihasilkan semasa Dinasti Han, turut dihasilkan dalam bentuk disaluti ‘glaze’ dan juga yang tidak disaluti ‘glaze’ dalam kuantiti yang banyak. Begitu juga dengan barangan ‘porcelain’ yang dihasilkan dengan ‘glaze’ tetapi dengan dua kaedah iaitu ‘high-temperature glaze’, dan kaedah kedua iaitu ‘low-temperature glaze’.

Porcelain terus menjadi barangan dagangan penting antara Timur dan Barat sehingga banyak kapal dagangan yang karam didapati membawa sebahagian besar muatannya terdiri daripada barangan tembikar dan porcelain dari China. Kepentingan barangan ini menyebabkan Eropah mencari kaedah menghasilkan porcelainnya sendiri dengan pelbagai percubaan.

Walaupun bahan penghasilan porcelain adalah ‘Koalin’, melalui pelbagai percubaan akhirnya porcelain dapat dihasilkan dengan beberapa bahan yang lain termasuklah  feldspar, ball clay, glass, bone ash, steatite, quartz, petuntse dan alabaster. Bahan-bahan ini adalah bahan gantian kerana ‘Kolain’ tidak terdapat di Eropah – dan juga semasa bahan tersebut masih belum diketahui.

Barangan tembikar dan porcelain ini terus menjadi barangan penting dan salah satu industri penting di Eropah. Banyak syarikat-syarikat penghasilan porcelain bermutu tinggi di serata Eropah yang masih bertahan sehingga hari ini dengan penghasilan barangan porcelain yang sangat bermutu tinggi.

Barangan tembikar yang dikenali sebagai 'Labu Sayong'.

Antara penghsilan barangan moden daripada 'Labu Sayong'.


Begitulah pentingnya barangan yang pada asalnya hanya dihasilkan daripada tanah dan kemudiannya diubah menjadi suatu barangan berkualiti tinggi dengan harga yang amat tinggi pula. Ia bukanlah terjadi dengan mudah melainkan melalui banyak percubaan, perubahan, pembaikan dan usaha berterusan. Pada mulanya saya hanya terkenangkan ‘labu sayong’. Apakah yang akan berlaku pada ‘labu sayong’, pada masa hadapan?...



Free Download



Ahad, 24 Mei 2015

Proses Penghasilan Barangan Sutera

Silk products
Barangan yang dihasilkan dengan sutera sentiasa mendapat pasaran tinggi.

Sutera merupakan bahan asli yang dihasilkan oleh beberapa jenis serangga namun penghasilan barangan menggunakan sutera pula adalah menggunakan sutera yang dihasilkan oleh ‘ulat sutera’ kerana ia adalah lebih mudah untuk diproses dijadikan benang seterusnya barangan lain.

Sutera merupakan gentian protein yang dihasilkan terutamanya daripada ‘fibroin’ yang digunakan oleh beberapa jenis larva serangga untuk mebina kepompong (cocoons). Ulat sutera yang paling biasa diternak untuk penghasilan sutera ini adalah dari jenis ‘mulbery silkworm’ dari spesis Bombyx mory diternak secara meluas dalam industri penghasilan sutera atau juga dikenali sebagai ‘sericulture’.

mulbery tree
Pokok mulbery sumber makanan 'silkworm'

Mulbery silkworm
Ulat beluncas 'mulbery silkworm'.

Bagi tujuan penghasilan sutera ulat sutera perlu diternak kerana jumlah kepompong yang diperlukan untuk penghasilan benang sutera adalah banyak sekali. Sejarah awal penghasilan sutera bermula di China dengan bukti penemuan sutera yang ditemui berasal daripada tahun 3,630 BC (sebelum masihi). Bukti tersebut ditemui dari kawasan Yangshao di Qingtaicun, Xingyang, Henan. Ia merupakan beberapa bahan ekslusif pembesar China atau sebagai hadiah.

Perdagangan sutera dari China ke bahagian-bahagian lain dunia sebagai bahan penting termasuklah Egypt, Eropah, India dan Afrika Utara sehingga terhasilnya jalan perdagangan yang dikenali sebagai ‘silk road’ (jalan sutera). Industri penghasilan sutera ini kemudiaannya turut berkembang di bahagian-bahagian lain di dunia terutamanya di mana ulat sutera boleh diternak Seperti India, Korea, Thialand, Cambodia dan Vietnam.

silk filaments
Beberapa utas jalur sutera digabungkan untuk sutas benang.
coloring agent
Daun pisang merupakan salah satu bahan pewarna yang digunakan.

Ladang-ladang penternakan ‘silk moth’ (kupu-kupu sutera) biasanya akan menyediakan ladang pokok mulbery mereka sendiri. Bagi mengelakkan ulat-ulat ‘silkworm’ ini daripada dimakan oleh burung dan pemangsa lain ia dibesarkan di dalam bangunan berbanding dibiarkan hidup di pokok tersebut.

Seekor kupu-kupu sutera akan menghasilkan ribuan telur yang akan menetas sebagai ‘silkworm’ (beluncas sutera). Ulat-ulat ini akan membesar dengan makanan utama mereka iaitu daun daripada pokok mulbery. Apabila mencapai usia kematangan sebelum bertukar dewasa (menjadi kupu-kupu) ia perlu berada di dalam kepompong dibina menggunakan sutera.

Bagi menghasilkan kepompong yang lengkap ulat sutera perlu menghasilkan 1 batu (1 mile) benang sutera yang mengambil masa 3 hari. Daripada jumlah ini, sutera halus yang dihasilkan adalah sedikit sahaja dan mengambil 2,500 ulat silkworm untuk menghasilkan 1 pound sutera mentah. Sutera daripada kepompong ini amat halus, untuk menghasilkan seutas benang sutera beberapa utas benang daripada kepompong digabungkan (anggaran 48 utas).

Penenun perlu dilatih untuk menenun pada mesin-mesin tenunan tertentu.

Bagi mengelakkan benang-benang rosak juga, ulat-ulat ini tidak boleh dibiarkan sehingga menjadi kupu-kupu dewasa (kerana ia akan memutuskan benang sutera tersebut untuk keluar daripada kepompong). Jadi ulat-ulat sutera perlu dibunuh dan sebahagian lagi dibiarkan untuk menghasilkan telur-telur untuk ulat seterusnya nanti.

Proses berikutnya pula adalah proses meluntur (bleaching) untuk menghasilkan benang yang betul-betul putih. Kemudiannya ia akan diwarnakan mengikut warna yang sesuai. Bahan-bahan yang digunakan untuk mewarnakan benang sutera ini juga dahulunya berasal daripada bahan-bahan asli yang terdiri daripada daun-daun, kulit kayu, bijian dan sabut  kelapa.

Bebenang ini seterusnya akan dipindahkan ke dalam gelongan berasingan sebelum disusun menjadi jaluran yang lebih panjang untuk dipindahkan ke mesin tenunan. Melalui proses tenunan inilah baru kain sutera dapat dihasilkan. Terdapat pelbagai perbezaan di antara mesin-mesin tenunan ini mengikut saiz kain dan corak yang perlu dihasilkan. Jadi penenun-penenun perlu mejalani latihan yang rapi sebelum boleh mengendalikan mesin tenunan mereka.

motifs
Tenunan bermotif memerlukan kemahiran yang berbeza.

Hanya apabila kain ini siap barulah pelbagai barangan sutera dapat dihasilkan daripada pakaian sehinggalah kepada barangan hiasan seperti sarung bantal, pelapik meja, beg tangan dan sebagainya. Pendek kata, hampir apa sahaja boleh dihasilkan menggunakan bahan sutera ini bergantung kepada kreativiti masing-masing.

Walaupun proses penghasilan sutera merupakan satu proses yang rumit dan memerlukan masa yang panjang namun ia tetap merupakan satu industri penting sejak sekian lama. Menjadi sebagai salah satu bahan pakaian kepada manusia, ia patut dihargai atau setidak-tidaknya difahami sebagai penghormatan atas hasil usaha yang panjang orang terdahulu dalam menghasilkan produk sutera ini.


Nota:**

Artikel ini adalah hasil daripada lawatan ke Angkor Silk Farm di Siem Reap, Cambodia dalam usaha untuk memahami idustri penghasilan barangan sutera.

Anda juga boleh merujuk artikel: Bahan-bahan Yang Digunakan Orang Dahulu Untuk Pakaian; untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bahan untuk membuat pakaian.


Untuk tujuan pengangkutan di Siem Reap anda boleh menghubungi;

En. Salim & En. Nasir di;
(+855) 9857 1840 “whatsapp”
(+855) 7090 2910 “whatsapp”




Free Download



Ahad, 3 Ogos 2014

Bagaimana Gula Dihasilkan?

Granulated  Sugar
Jenis-jenis gula pasir dalam proses penghasilan gula.

Gula merupakan antara bahan penting sebagai salah satu bahan asas keperluan dalam kehidupan. Walaupun gula terdapat di dalam bahan makanan utama seperti nasi, ubi kentang, ubi kayu, makanan berkanji dan buah-buahan, namun gula pasir yang digunakan untuk tujuan memaniskan minuman dan penyediaan makanan mempunyai permintaan yang sangat tinggi.

Walaubagaimanapun terdapat pelbagai kaedah menghasilkan gula seperti gula Melaka, gula merah, gula kabung yang dihasilkan secara tradisional ini mempunyai keistimewaan tersendiri seperti bauan yang lebih harum dan rasa yang lebih enak. Namun kita masih memerlukan gula pasir bagi tujuan memaniskan minuman dan masakan. Jadi mari kita lihat serba sedikit bagaimana gula pasir dihasilkan.

Gula pasir yang dihasilkan secara komersil menggunakan dua bahan utama iaitu tebu dan sejenis tumbuhan yang dipanggil sebagai bit gula (Sugar Beet). Kedua jenis tumbuhan ini digunakan kerana mempunyai kandungan gula yang mudah diekstrak untuk dijadikan gula pasir. Bagi menampung keperluan pengguna seluruh dunia jutaan metrik ton gula pasir dihasilkan setahun di serata dunia.

Sugar Cane
Tebu merupakan bahan utama penghasilan gula.

Sugar Beet
Bit Gula juga merupakan bahan pengganti tebu dalam penghasilan gula.

Perkembangan industri penghasilan gula melalui satu jangka masa yang panjang dimana satu masa dahulu ia merupakan satu bahan makanan yang mewah dan hanya boleh dinikmati oleh golongan bangsawan sahaja. Apabila penjajahan tanah semakin meluas oleh penjajah-penjajah dari Eropah mereka turut menjalankan aktiviti penghasilan gula sebagai salah satu sumber bahan dagangan mereka.

Bagi membolehkan penghasilan gula ini ladang-ladang tebu yang besar diperlukan begitu juga bahan pertanian lain seperti kapas yang menyebabkan banyak buruh paksa atau hamba abdi dibawa masuk dari negara-negara lain terutamanya Afrika. Selain itu juga banyak negara-negara lain yang turut dijadikan sebagai kawasan utama bagi penanaman tebu bagi menampung keperluan Eropah. Kawasan yang sesuai adalah di sekitar Caribbean, Amerika tengah seperti Brazil dan Mexico, Asia Tenggara, Kepulauan Pasifik, Afrika Timur, Kepulauan Hindi dan Natal.

Sugar Loaves
Secara tradisi gula dihasilkan ke dalam bentuk 'buku' sebegini.

Semasa peperangan Napolean pula, penghasilan gula menggunakan bit manjadi semakin meningkat di Eropah kerana kesukaran mengimport gula disebabkan perjalanan kapal-kapal yang dihalang. Menjelang tahun 1880 penggunaan bit gula merupakan bahan utama bagi penghasilan gula bagi Eropah. Kawasan penanam utama bit gula adalah di Lincolnshire, England dan kawasan-kawasan lain di sana. Namun begitu ia masih lagi mengimport gula-gula yang dihasilkan daripada kawasan-kawasan jajahan mereka.

Gula asalnya dihasilkan dalam bentuk buku seperti ketulan besar yang perlu dikerat-kerat sebelum ia dihasilkan dalam bentuk serpihan-sepihan kecil yang lebih dikenali sebagai gula pasir. Ia juga kemudiannya dihasilkan dalam bentuk kiub dan ini mula diperkenalkan oleh  Moravian Jakub Kryštof Rad. Penghasilan gula dalam bentuk kiub ini kemudiannya turut dihasilkan oleh beberapa pengeluar gula yang popular di serata Eropah.

Confectionaries
Gula membolehkan pelbagai makanan manis dihasilkan.

Hari ini gula dihasilkan di beberapa kawasan di dunia (dan dikuasai oleh beberapa syarikat terbesar – monopoli). Walaupun jumlah pengeluaran gula adalah mencukupi, ia mudah digunakan sebagai satu alasan untuk menaikkan harga gula oleh pengeluar-pengeluar gula. Di negara kia juga adakalanya mengalami kekurangan gula!? Jadi, apakah yang anda sarankan?


Gula adalah bahan penting sebagai pemberi tenaga atau makanan kepada tumbuh-tumbuhan. Oleh sebab itu kita akan cepat menjadi letih sekiranya mengalami kekurangan gula di dalam darah. Adapun penyakit kencing manis pula bukanlah disebabkan oleh pengambilan gula sahaja. Semoga dengan ini kita akan menjadi lebih peka mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan isu gula ini. Adakah anda ingin mencuba menghasilkan gula sendiri?



Free Download



Khamis, 7 November 2013

Baja Kompos Lebih Menjimatkan Dan Mudah Dibuat

Penghasilan baja kompos di rumah
Sekiranya anda memiliki halaman yang agak luas dan memiliki tanaman yang mencukupi adalah lebih menjimatkan bahan-bahan lebihan dari taman anda dikitar semula untuk dijadikan baja kompos. Ini kerana baja ini bukan sahaja menjimatkan malah selamat dan tidak mendatangkan mudarat pada tanaman anda.

Penyediaan baja kompos juga tidaklah terlalu rumit sekiranya semua keperluan untuk membuat baja ini telahpun sedia ada dirumah anda kerana anda hanya perlu menggunakan barangan terpakai dalam tujuan penghasilannya. Langkah-langkah untuk penghasilan baja kompos adalah seperti berikut;

1) Sediakan bekas untuk membuat baja kompos samada daripada kayu, atau pun bekas plastik. Sekiranya anda memerlukan saiz penghasilan yang lebih besar anda dinasihatkan menyediakan tempat khas daripada papan (mungkin lubang daripada tanah juga sesuai bagi yang berkebun). Sediakan kawasan yang sesuai kerana proses ini mungkin menghasilkan sedikit bauan dan ia juga menarik haiwan seperti ayam dan burung untuk mencari makanan.

2) Masukkan bahan-bahan untuk dijadikan baja. Perlu diingat bahan-bahan tersebut perlulah yang boleh mereput dan terdiri daripada sisa-sisa tumbuhan. Ia perlu mengandungi beberapa bahan yang membantu baja anda lebih berkesan iaitu daun hijau, daun-daun kering dan lebihan daripada tumbuhan seperti kulit buah-buahan dan sisa makanan daripada tumbuhan. Daun-daun hijau seperti rumput yang dipotong atau dahan yang dicantas kaya dengan nitrogen dain ini menjadikan baja yang dihasilkan lebih baik. Anda juga boleh mencampurkan najis haiwan seperti ayam, arnab, lembu dan kambing. Haiwan seperti anjing dan kucing sama sekali tidak boleh!

3) Masukkan bahan ke dalam bekas yang disediakan dan gaul bahan tersebut (menggunakan garpu tanah atau sebagainya) sehingga agak rata (antara daun hidup dan daun kering). Biarkan bahan tersebut dalam keadaan sebegitu bagi membenarkan ianya mereput perlahan-lahan.

4) Anda boleh mengawasi penghasilan baja anda untuk mendapatkan hasil yang optimum. Ini kerana proses ini memerlukan kelembapan untuk berjalan dengan sempurna, dalam masa yang sama pengudaraan juga perlu. Jadi anda perlu menggaulkan sedikit bahan-bahan ini sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Pastikan ianya tidak terlalu basah atau terlalu kering. Jadi anda boleh menggunakan bekas yang sememangnya disediakan lubang di bawahnya. Sekiranya ia agak kering lembabkan sedikit dengan menyiram air atau menambahkan daun-daun hijau. Anda juga boleh meletakkan cacing ke dalam campuran ini untuk mempercepatkan lagi proses penguraian. Sekiranya semua berjalan lancar proses ini mengambil masa kira-kira 2 ke 4 minggu.

Bahan untuk menghasilkan baja kompos.

Proses tambahan untuk mempercepatkan penghasilan kompos.

Beberapa peringkat penghasilan kompos.

Kompos, baja yang sesuai untuk tanaman organik.


Perlu Diingat!

a) Jangan campurkan daging semasa membuat kompos.

b) Jangan gunakan najis haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

c) Jangan campurkan tumbuhan berbiji kerana ia boleh tumbuh kemudian.

d) Jangan gunakan tumbuhan yang telah diracun.

Begitulah cara mudah bagaimana anda boleh menghasilkan sendiri baja kompos di rumah. Penggunaan kompos juga dapat mengekalkan kelembapan untuk tanaman anda berbanding sekiranya anda menggunakan baja kimia. Ia juga sesuai untuk semua jenis tanaman samada tanaman pasu ataupun yang ditanam terus di tanah. Mungkin juga anda boleh menjual baja kompos yang anda hasilkan!



Free Download



Arkib Blog