Memaparkan catatan dengan label sayuran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sayuran. Papar semua catatan

Sabtu, 20 Ogos 2016

Perkara Menarik Mengenai Kacang Kelo - Moringa Oleifera

Moringa oleifera atau kacang kelo - bunga dan daunnya.

Kacang kelo (Moringa oleifera) atau lebih dikenali sebagai “murungai” di dalam bahasa Malayalam di mana ianya banyak tumbuh juga merupakan satu lagi tanaman yang menjadi sumber makanan penting kepada masyarakat tempatan. Walaupun ianya lebih popular di kalangan masyarakat India, namun apabila anda mengenalinya, anda juga mungkin tertarik untuk mencuba sayuran daripada daun ataupun buahnya nanti.

Kacang kelo mempunyai pelbagai nama di mana sahaja ianya tumbuh kerana ia merupakan sumber makanan penting. Jadi ia mempunyai lebih daripada 400 nama di seluruh dunia. Pokoknya yang mudah ditanam dan tahan cuaca ini menjadikan ia sebagai tanaman yang sesuai samada untuk tujuan hiasan, teduhan ataupun sekadar untuk megelakkan hakisan. Namun begitu, kacang kelo tumbuh di kawasan di mana penduduknya amat memerlukan sumber manakan yang berkhasiat, dan sememangnya tumbuhan ini mempunyai khasiat yang amat diperlukan.

Kawasan di mana moriga tumbuh.

Ia boleh ditanam membentuk pagar di sekeliling rumah.

Secara kasarnya khasiat tumbuhan ini sebagai sumber makanan adalah seperti berikut;
  • Ia mengandungi 7 kali ganda Vitamin C berbanding oren.
  • Ia mengandungi 4 kali ganda Vitamin A berbanding lobak merah (carrots).
  • Ia mengandungi 4 kali ganda Kalsium berbanding susu lembu.
  • Ia mengandungi 3 kali ganda Potassium berbanding pisang.
  • Ia mengandungi 2 kali ganda Protein berbanding yogurt.

Sudah semestinya ia turut mengandungi pelbagai lagi khasiat pemakanan dalam kuantiti-kuantiti yang banyak. Walaupun ia bukanlah tumbuhan ‘magik’, tapi sebagai sumber makanan di kawasan di mana ia tumbuh, sudah sememangnya ia perlu digunakan sebaik mungkin bagi membekalkan sumber khasiat.


Pokok ini tidaklah bersaiz terlalu besar dan  mudah dijaga.

Kacang moringa yang dijual di pasar.

Kacangnya dari dekat.

Bahagian-bahagian tumbuhan ini yang digunakan sebagai makanan adalah daun dan buahnya. Setiap masyarakat mempunyai kaedah masing-masing menyediakan makanan daripada daun dan buahnya ini. Sebagai contoh di India ia digunakan di dalam kari sepertimana kacang dal ataupun sebagai sebahagian campuran bersama-sama dal. Di Myanmar juga ia digunakan dalam masakan yang berkuah seperti sup dikenali sebagai “dunt-dalun chin-yei”, yang menggunakan buahnya. Buahnya juga popular sebagai masakan di negara-negara lain seperti Indonesia, Philippines, Thailand dan Cambodia. Malah di negara-negara lain juga ia turut digunakan sebagai makanan.

Selain sebagai makanan, buahnya juga digunakan untuk menghasilkan minyak yang dikenali sebagai “ben oil”, yang mana dulunya digunakan sebagai asas dalam pembuatan minyak wangi. Minyak ini digunakan bukan sahaja kerana ia tidak mempuyai bau yang kuat, malah boleh disimpan untuk tempoh yang lama.

Hampas daripada perahan buahnya ini masih boleh digunakan untuk tujuan merawat air selain digunakan sebagai baja. Hampas daripada buahnya membantu kotoran di dalam air untuk menggumpal dan memudahkan proses penapisan atau membentuk mendakan.


Masakan “dunt-dalun chin-yei” dari Myanmar.

Masakan yang menggunakan daun moringa.

Pokoknya juga adakalanya ditanam untuk tujuan mengelakkan hakisan seperti di Haiti. Manakala di Taiwan pula ianya ditanam di  World Vegetable Center, sebagai kajian untuk tumbuh-tumbuhan yang dijadikan makanan. Manakala bagi penduduk di Odisha di Selatan India, tumbuhan ini ditanam sebagai pagar rumah, dalam masa yang sama turut membekalkan sumber makanan.


Jadi sekarang tahulah kita betapa istimewanya tumbuhan ini. Sekiranya anda mempunyai kawasan rumah yang masih boleh ditanam dengan pokok, bolehlah dilapangkan sedikit untuk membolehkan pokok ini ditanam. Ini kerana masih terdapat pelbagai lagi kebaikan pokok ini yang tidak dapat dimuatkan di sini. Maka sekiranya anda berminat bolehlah mencarinya sendiri melalui internet, ataupun boleh ajukan sebarang pertanyaan untuk dimuatkan ke dalam artikel yang berikutnya.


Free Download



Isnin, 2 Mei 2016

Mengenali Kumpulan Tumbuhan Kekacang (Bean)

Kumpulan kekacang daripada 40,000 jenis beans.

Kekacang dari kumpulan beans (dari family Fabaceae atau Leguminosae) adalah antara kumpulan kekacang yang terbesar dan digunakan oleh manusia sebagai makanan sejak ribuan tahun dahulu. Bukan itu sahaja, kumpulan kekacang ini merupakan tumbuhan yang sesuai digunakan sebagai tanaman silangan untuk mengembalikan kesuburan tanah.

Mengapa penting untuk anda mengenali kumpulan beans ini? Kumpulan ini terdiri daripada lebih 40,000 variasi walaupun kebanyakannya tidak ditanam untuk tujuan komersil. Manakala bagi tujuan tanaman pula, variasi-variasi ini mempunyai tempoh matang yang berbeza yang penting bagi para petani untuk merancang penanaman dan tempoh tuaian yang tepat.

Apa yang menariknya, kumpulan beans ini adalah hanya satu daripada satu kumpulan kekacang yang lebih besar dikenali sebagai legume (Fabaceae) seperti yang diterangkan di dalam artikel sebelum ini. Jadi, pilihan tanaman daripada kumpulan kekacang sahaja adalah begitu luas sekiranya anda dapat mengenal pasti tujuan penanaman dilakukan dan pasarannya pula.

Kacang broad beans Vicia faba.

Kacang buncis lebih dikenali sebagai 'green beans'.

Kumpulan kekacang ini mempunyai perbezaan dari segi penggunaannya seperti kacang panjang dan peas yang digunakan sebagai sayuran, kacang hijau yang disimpan untuk tujuan menghasilkan taugeh, bubur kacang hijau dan kuih-muih, manakala kacang soya yang digunakan di dalam pelbagai kegunaan industri makanan termasuk taufu, susu soya, minyak soya, taugeh dan macam-macam lagi. Apa yang berbeza adalah, ada sesetengah kumpulan beans ini yang hanya digunakan di kawasan tertentu mengikut geography di mana asalnya ia digunakan oleh masyarakat dulu sebagai sumber makanan.

Kebanyakan spesies beans juga merupakan tumbuhan tempoh singkat yang mengambil masa untuk matang dalam tempoh 55 – 60 hari dari tempoh tanaman ke tempoh tuaian. Buah-buah yang telah matang ini akan mengering sendiri dan menghasilkan biji dengan pelbagai warna mengikut spesies masing-masing. Ini mungkin berbeza bagi spesies yang digunakan sebagai sayuran seperti kacang panjang, kacang buncis dan kacang kelisa dimana ia akan dituai sebelum buahnya kering. Manakala pokok dibiarkan terus berbuah sehingga pengeluaran menjadi kurang.

Berikut adalah beberapa jenis bean dimana anda boleh lakukan sedikit pencarian sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut mengenainya;

Vicia
- Vicia faba (broad bean atau fava bean)

Phaseolus
- Phaseolus acutifolius (tepary bean)
- Phaseolus coccineus (runner bean)
- Phaseolus lunatus (lima bean)
- Phaseolus vulgaris (kumpulan bean biasa; termasuk pinto bean, kidney bean, black bean, Appaloosa bean termasuk juga kacang panjang, dan lain-lain)
- Phaseolus polyanthus (a.k.a. P. dumosus, dikenali sebagai spesis berbeza pada 1995)

Vigna
- Vigna aconitifolia (moth bean)
- Vigna angularis (adzuki bean)
- Vigna mungo (urad bean)
- Vigna radiata (mung bean)
- Vigna subterranea (Bambara bean atau ground-bean)
- Vigna umbellata (ricebean)
- Vigna unguiculata (cowpea; juga termasuk black-eyed pea, yardlong bean dan lain-lain)

Cicer
- Cicer arietinum (chickpea atau garbanzo bean)

Pisum
- Pisum sativum (pea)

Lathyrus
- Lathyrus sativus (Indian pea)
- Lathyrus tuberosus (tuberous pea)

Lens
- Lens culinaris (lentil)

Lablab
- Lablab purpureus (hyacinth bean)

Glycine
- Glycine max (kacang soya)

Psophocarpus
- Psophocarpus tetragonolobus (kacang botol/ kelisa)

Cajanus
- Cajanus cajan (pigeon pea)

Mucuna
- Mucuna pruriens (velvet bean)

Cyamopsis
- Cyamopsis tetragonoloba atau (guar)

Canavalia
- Canavalia ensiformis (jack bean)
- Canavalia gladiata (sword bean)

Macrotyloma
- Macrotyloma uniflorum (horse gram)

Lupinus (lupin)
- Lupinus mutabilis (tarwi)
- Lupinus albus (lupini bean)

Arachis
- Arachis hypogaea (peanut)

Mesin perlu digunakan untuk ladang yang luas.

Ladang kekacang di Australia.

Beans yang telah matang dan mulai kering. 

Itu adalah jenis-jenis utama kumpulan bean sahaja, dan dari setiap kumpulan ini terdapat pula variasi yang berbeza. Maka mungkin anda  tidak dapat mengenali kesemuanya dalam masa yang singkat. Bagi tujuan penanaman pula, para petani mungkin akan menanam beberapa jenis sahaja dalam satu-satu masa bergantung kepada keperluan mereka.

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kumpulan kekacang ini telah pun digunakan oleh manusia sebagai sumber makanan sejak ribuan tahun dahulu melalui penemuan di beberapa kawasan termasuk Afghanistan dan juga di kaki pergunungan Himalaya. Ia juga turut ditemui di Thailand yang menunjukkan ia telah digunakan oleh penduduk di situ sejak abad ke-7 sebelum masehi lagi. Penggunaan kekacang ini semakin meluas ke kawasan-kawasan lain seperti Egypt, Aegean, Iberia dan di persekitaran Eropah. Malah kumpulan tumbuhan ini menjadi sumber protein penting bagi penduduk dunia sejak dahulu lagi.

Penyediaan beans mengikut geography.

Antara juadah enak dengan beans.

Namun begitu sesetengah bean ini mungkin mengandungi bahan kimia beracun dikenali sebagai lectin phytohaemagglutinin dan ianya perlu dimasak dengan baik untuk mengelakkan keracunan. Bahan-bahan beracun pada tumbuhan ini bukan sahaja terdapat pada jenis kekacang malah juga tumbuhan lain seperti ubi kayu. Kekacang yang tidak dimasak dengan sempurna mungkin boleh menghasilkan kesan keracunan yang serius. Maka pastikan kekacang yang anda gunakan dikenalpasti terlebih dahulu untuk mengelakkan keadaan ini.

Berikut pula adalah negara-negara utama pengeluar tanaman beans:

Top ten dry bean producers—2013
Country
Production (tonnes)
Footnote
Myanmar
3,800,000
F
India
3,630,000
Brazil
2,936,444
A
People's Republic of China
1,400,000
*
Mexico
1,294,634
Tanzania
1,150,000
F
United States
1,110,668
Kenya
529,265
F
Uganda
461,000
*
Rwanda
438,236
 World
23,139,004
A
No symbol = official figure, P = official figure, F = FAO estimate, * = Unofficial/Semi-official/mirror data, C = Calculated figure A = Aggregate (may include official, semi-official or estimates);
Source: 
UN Food & Agriculture Organisation (FAO)


Begitulah serba sedikit mengenai tumbuhan kekacang dari kumpulan bean yang merupakan antara tanaman terpenting dunia selain beras, gandum, jagung dan tebu. Apa yang membezakan saiz penanaman ini adalah kegunaanya kepada manusia. Jumlah pasaran boleh ditingkatkan apabila adanya keperluan tambahan seperti penggunaan untuk penghasilan biodiesel, ethanol ataupun produk-produk baru.




Free Download



Ahad, 24 April 2016

Tanaman Pertanian Berpotensi Untuk Petani Malaysia

Kawasan sawah padi di Langkawi, Malaysia.

Malaysia sebuah negara yang subur dan paling menghijau di antara negara-negara lain di serata Asia Tenggara. Disebalik kehijauan dan potensi kesuburan tanah di Malaysia, hanya sekitar 24 peratus sahaja daripada kawasannya yang digunakan untuk pertanian. Keluasan ini jika dibandingkan dengan negara-negara jirannya adalah lebih kecil.

Berikut adalah keluasan mengikut % keluasan negara (2011 – 2015) di beberapa negara di serata Asia Tenggara tidak termasuk Singapura dan Brunei.

  • Thailand – 43.3 %
  • Philippines – 41.7 %
  • Cambodia – 32.9%
  • Vietnam – 35.1 %
  • Indonesia – 31.5 %
  • Myanmar – 19.3 %

Sememangnya jumlah penduduk di Malaysia adalah jauh lebih kecil daripada negara-negara lain di sekitar Asia Tenggara. Namun memandangkan pembangunan Malaysia yang lebih stabil sebelum ini sepatutnya dapat membantu Malaysia menjadi antara negara yang menyumbang kepada kemajuan pertanian serantau tetapi sebaliknya Malaysia sendiri perlu mengimport keperluan beras untuk kegunaan sendiri.

Getah antara tanaman utama di Malaysia.

Selain daripada penghasilan beras, pembangunan pertanian lain juga agak perlahan menjadikan industri pertanian Malaysia adalah agak lembab, manakala pengusaha pertanian kecil-kecilan pula tidak dapat meneruskan aktiviti pertanian kerana tidak berdaya saing.

Kembali semula kepada tajuk asal mengenai tanaman-tanaman pertanian yang berpotensi untuk petani Malaysia adalah merujuk kepada bahan tanaman yang diajukan oleh jabatan pertanian sendiri bagi memastikan ianya mempunyai potensi pasaran. Ini kerana tanaman-tanaman ini boleh dijadikan sampingan selain daripada beberapa tanaman utama negara selain getah dan sawit.

Kunyit mempunyai pasaran untuk isi dan daun.

Limau purut juga boleh dipasarkan sendiri oleh para petani.

HERBA : Serai Wangi, Ulam Raja, Hempedu Bumi, Peria Katak, Pegaga Sireh, Roselle, Nilam, Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Jatropha (Jarak), Halia/Bara, Karas (Gaharu), Mengkudu, Moringa Oleifera (Kelor), Mas Cotek, Lidah Buaya, Dukung anak, Safed Musly.

REMPAH RATUS : Serai Makan, Cili padi/akar, Daun Limau Purut, Kayu manis, Vanilla, Pandan, Lengkuas, L. Kasturi, Lada Hitam, Limau Nipis, Kantan, Cili padi/akar, Pokok Kari, Asam Gelugor, Selasih, Pala, Kesum, Daun Kunyit.

Senarai di atas adalah beberapa tanaman berpotensi untuk dimajukan secara komersil dan para petani boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian sendiri untuk memastikan hasil tanaman yang lebih berkualiti dan juga potensi pasaran.

Kebiasaanya para petani kecil-kecilan tidak mendapat maklumat tepat mengenai pasaran ataupun mempunyai keluasan tanaman yang tidak cukup untuk menampung permintaan minima bagi membolehkan hasil tanaman mereka dipasarkan. Masalah ini mungkin boleh dibendung sekiranya para petani telahpun mempunyai pasaran sendiri – ataupun bagi tanaman yang sentiasa mempunyai pasaran seperti serai, limau nipis, cili padi, kesum, daun kunyit dan tanaman dari jenis sayuran biasa. Namun masih memerlukan perancangan yang berhati-hati.

Cili padi mempunyai pasaran tempatan yang tinggi.

Rosselle tanaman berpotensi dengan perancangan yang teliti.

Jadi terdapat pelbagai faktor perlu dipastikan sebelum keputusan pilihan tanaman dibuat. Faktor saiz tanaman yang menguntungkan dan jumlah pelaburan yang boleh mendatangkan hasil merupakan kunci utama kejayaan sesuatu projek tanaman.

Para petani juga perlu membuat kajian mengenai tanaman mereka bagi mengenal pasti masalah tanaman yang mungkin dihadapi selain teknologi yang boleh membantu mengurangkan kos penyelenggaraan tanaman. Penggunaan mesin, pembajaan dan pengairan juga merupakan antara faktor yang membolehkan para petani menghasilkan pengeluaran yang menguntungkan.

Secara kasarnya, potensi pertanian di Malaysia adalah amat luas. Apa yang penting adalah perancangan berterusan dalam menghasilkan mutu pengeluaran yang baik dan usaha berterusan dalam mengembangkan hasil pengeluaran. Ini kerana sumber pertanian mempunyai permintaan yang tidak putus (namun memerlukan perancangan) dan Malaysia mempunyai kapasiti tanah pertanian yang luas untuk diusahakan.




Free Download



Ahad, 14 September 2014

Makanan Menyihatkan Lebih Mudah Dari Yang Disangka

Colorful vegetables
Sayuran berwarna-warni bukan sahaja cantik namun berkhasiat.

Makanan merupakan faktor yang berkait rapat dengan tahap kesihatan seseorang. Sejak sekian lama kita sering mendengar ungkapan “anda adalah apa yang anda makan”. Walaupun ungkapan ini adalah satu ungkapan yang biasa, namun tidak ramai yang memberikan perhatian terhadap pemakanan mereka. Ianya hanya akan menjadi penting semula apabila seseorang mengalami masalah kesihatan – dimana segala pemakanan perlu dikawal dengan ketat?

Seperti biasa saya lebih suka mengaitkan alam secara semulajadi tentang bagaimana kita sebenarnya telah disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk hidup dengan lebih sihat dan ceria. Seperti yang kita ketahui alam mempunyai pelbagai kaedah unik dalam memastikan hidupan, malah manusia sendiri mendapat kebaikan dari segala isinya.

Pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan merupakan sumber makanan yang terpaling mudah didapati di sekeliling kita? Begitu juga pernahkah anda terfikir mengapa sayuran dan buah-buahan ini mempunyai warna yang pelbagai  berbeza bagaimana pada mulanya (sewaktu muda atau tahap pucuk) semuanya adalah sama iaitu berwarna hijau.

Alam mempunyai keunikan dalam berkomunikasi melalui beberapa kaedah daripada bentuk, warna, bau dan rasa – dan ada di antaranya yang hanya boleh dikesan oleh sesetengah hidupan (seperti apabila dilihat di bawah cahaya UV). Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana tumbuh-tumbuhan wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu. Apa yang ketara adalah, kita tidak memikirkan betapa kita sentiasa dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi.

Colorful fruits and vegeas
Gabungan sayuran dan buah-buahan.

Keunikan Warna Pada Tumbuhan

Warna pada tumbuhan memainkan peranan yang amat penting. Selain daripada untuk kepentingan tumbuhan itu sendiri mahupun pada haiwan ataupun manusia yang memakannya. Warna memberikan maklumat tertentu mengenai tumbuhan tersebut – iaitu khasiat yang terkandung di dalamnya. Ini kerana warna tersebut adalah hasil daripada sesetengah zat galian yang terkandung pada daun ataupun buah yang dijadikan sebagai sumber makanan. Selain itu juga warna yang terang pada buah menarik perhatian haiwan-haiwan yang akan membantu menyebarkan biji-benih tumbuhan tersebut bagi memastikannya dapat terus membiak.

Melalui pemahaman inilah maka khasiat daripada pelbagai tumbuh-tumbuhan dapat dikenal pasti dan didapati hampir kesemua zat pemakanan yang diperlukan oleh manusia dapat disediakan daripada tumbuh-tumbuhan. Selain daripada ianya mudah didapati atau ditanam tumbuhan juga mudah disimpan dan tidak mudah rosak seperti makanan lain (ikan, ayam, daging dan lain-lain).

Berikut adalah beberapa panduan mengenai warna tumbuh-tumbuhan dan beberapa ciri khasiat yang terkandung di dalamnya:

Warna Merah:

Mengandungi nutrient seperti lycopene ellagic acid, quercetin dan hesperidin. Nutrient-nutrient ini dapat mengurangkan risiko kanser prostat, menurunkan tekanan darah, mengurangkan pertumbuhan tumor dan juga kadar kolesterol. Ia membantu menghapuskan radikal bebas serta menyokong tisu sendi dalam kes arthritis.

Warna Oren:

Mengandungi beta-carotene, zeaxanthin, flavonoids, lycopene, potassium dan vitamin C. Nutrient-nutrient ini mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia dan juga risiko kanser prostat, mengurangkan kolestrol dan juga tekanan darah, menggalakkan pembentukan callogen dan sendi yang sihat, membasmi radikal bebas, menggalakkan keseimbangan alkali, memperbaiki kerosakan DNA dan membantu magnesium dan kalsium.

Warna Kuning:

Mengandungi beta-crypthothanxin dan carotenoids lutein serta zeaxanthin yang membantu perhubungan dalaman sel, mengelakkan masalah jantung, mengurangkan risiko katarak  serta mengurangkan deregenerasi otot-otot yang berkait dengan usia.

Warna Hijau:

Mengandungi chlorophyll, fiber, lutein, zeaxanthin, magnesium, kalsium, folate, vitamin C dan beta-carotene yang menghalang tindakan carcinogen serta membantu fungsi badan yang lebih sihat.

Warna Ungu dan Biru:

Mengandungi phytochemical seperti anthocyanin dan phenollic yang merupakan antioksidan yang kuat bagi membantu mengurangkan risiko penyakit seperti kanser, penyakit jantung dan alzheimers, menguatkan memori dan komunikasi sel serta memperlahankan proses penuaan.

Warna Putih:

Mengandungi beta-glucans, EGCG, SDG, flavonoids, alicon dan  lignan yang mengaktifkan sel darah putih B dan T, membantu sistem imunisasi dan keseimbangan hormon.

Colorful salad
Gabungan sayuran berwanra-warni menambahkan lagi selera.

Itu adalah antara warna-warna biasa yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan yang biasa menjadi sumber makanan bagi haiwan mahupun manusia. Ternyata banyak sekali tumbuh-tumbuhan yang dijadikan sayuran dan ini merupakan keperluan bagi manusia dalam memastikan tahap kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Namun apabila tumbuh-tumbuhan dijadikan sebagai makanan kedua selepas sumber haiwan (termasuk ikan, ayam, daging dan sebagainya) tahap kesihatan mudah mengalami masalah.


Sekiranya anda masih berada dalam keadaan sihat atau ingin mengembalikan tahap kesihatan anda menjadi lebih baik diharap artikel kali ini dapat memberikan sedikit bantuan tentang memahami kelebihan khasiat yang terdapat pada tumbuh-tumbuhan. Mungkin selama ini kita terlupa bahawa kita sentiasa disediakan dengan kelengkapan yang cukup untuk menikmati kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.



Free Download



Arkib Blog