Jumaat, 4 Mac 2022

Mengapa Kita Mengantuk Selepas Makan?

Mengantuk selepas makan adalah normal, namun boleh diperbaiki.

Seperti yang kita ketahui, makan adalah untuk memberi kita tenaga. Namun masalah mengantuk selepas makan bukanlah perkara yang pelik, dan mungkin kebanyakan kita mengalami masalah ini. Ia bukanlah masalah yang besar selagi ia tidak melibatkan keselamatan, kualiti pekerjaan, pembelajaran dan bagi mereka yang melakukan aktiviti-aktiviti yang memerlukan penumpuan yang tinggi. Mari kita lihat bagaimana, masalah ini berlaku dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah ini bagi mengelakkan perkara yang lebih serius.
 
Walaupun makan memberikan kita tenaga, proses penghadaman sendiri memerlukan tenaga. Kesan keletihan boleh diakibatkan oleh beberapa faktor iaitu jumlah makanan yang diambil dan juga jenis makanan yang dimakan. Jadi sebaiknya kita mengamati dua faktor ini, sekiranya perlu melakukan apa-apa aktiviti penting selepas makan. Namun sekiranya kita sedia untuk berehat, mungkin ia membantu untuk kita berehat dengan lebih tenang dan selesa.

 
Masalah mengantuk (keletihan) selepas makan bukan sahaja dialami oleh manusia, malah ia turut dialami oleh hidupan-hidupan lain termasuk serangga. Masalah ini adakalanya dikenali sebagai “food coma” atau juga “postprandial somnolence”. Ia mudah diamati selepas sesuatu hidupan mengambil makanan - anda mungkin boleh mengamati kesan ini pada haiwan peliharaan seperti kucing, anjing atau hamster. Bagi hidupan seperti ular, proses penghadaman boleh mengakibatkan ia perlu berehat sehingga proses penghadaman selesai dengan sempurna.
 
Pengambilan makanan yang kaya dengan karbohidrat boleh mengakibatkan kita merasa lebih mengantuk berbanding dengan makanan-makanan yang lain. Ini berkemungkinan daripada karbohidrat yang mengakibatkan badan menghasilkan serotonin. Serotonin merupakan electro kimia yang memberikan kesan mengantuk kepada badan. Manakala amino acid yang dipanggil sebagai tryptophan (yang terkandung di dalam makanan yang kaya protein) juga membantu badan menghasilkan serotonin. Pada masa yang sama, karbohidrat membantu badan untuk menyerap tryptophan dengan lebih efektif.

Makanan berkarbohidrat mengakibatkan badan menghasilkan serotonin.

Makanan yang mengandungi protein yang mungkin juga mengandungi tryptophan.

 
Ini memberikan kita gambaran yang lebih jelas apabila makanan yang diambil mengandungi kedua-dua jenis makanan iaitu yang kaya dengan karbohidrat dan protein dalam satu masa, maka kesan mengantuk ini menjadi lebih ketara. Antara makanan yang kaya dengan tryptophan termasuklah:
 
  • Salmon
  • Ayam/itik
  • Telur
  • Bayam
  • Bijirin
  • Susu
  • Makanan berasaskan soya
  • Keju
 
Manakala makanan yang kaya dengan karbohidrat pula termasuklah:
 
  • Pasta
  • Nasi
  • Roti putih dan biskut lemak
  • Kek, biskut, donut dan muffin
  • Jagung
  • Gula dan gula-gula
 

Jadi kebiasaan nya makanan yang kita ambil adalah gabungan daripada kedua-dua jenis kumpulan makanan ini yang mengakibatkan kesan mengantuk menjadi lebih serius.
 
Kesan ini menjadi lebih ketara apabila saiz hidangan yang diambil adalah lebih besar. Ia diakibatkan oleh kesan daripada penghasilan serotonin dan dalam masa yang sama penggunaan tenaga oleh badan untuk membantu proses penghadaman.
 
Antara faktor-faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini termasuklah:
 
  • Kurang tidur pada waktu malam yang menyebabkan keletihan.
  • Mengambil minuman beralkohol sewaktu makan (pada waktu tengahari).
  • Masalah kesihatan (diabetes, allergy, sleep apnea, anemia, underactive thyroid dan celiac disease).
Makanan yang seimbang dan dalam jumlah yang kecil dapat mengelakkan badan menjadi mengantuk selepas makan.

 
Kesemua faktor-faktor di atas boleh menyumbang kepada kesan keletihan selepas makan. Jadi, sekiranya anda mengalami masalah-masalah kesihatan di atas, mungkin masalah ini menjadi lebih ketara.
 
Mengatasi masalah keletihan selepas makan
 
Walaupun ia kelihatan remeh, langkah-langkah pencegahan perlu diambil apabila ia mengganggu prestasi kehidupan seperti pekerjaan atau pembelajaran. Amat penting bagi kita memastikan dapat menumpukan perhatian apabila mengendalikan sesuatu perkara penting seperti menjalankan mesin yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.
 
Bagi mengatasi masalah ini, beberapa langkah boleh diambil. Selain itu, mengenal pasti punca keletihan adalah penting bagi membolehkan langkah yang lebih berkesan dapat dilakukan. Pastikan anda peka dengan aktiviti seharian apabila ingin mengesan dengan baik punca sebenar masalah ini. Antara langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah:
 
  • Pengambilan air yang cukup.
  • Pengambilan electrolytes yang betul.
  • Mengambil jumlah makanan yang sedikit pada satu-satu masa.
  • Mendapatkan tidur yang cukup.
  • Melakukan aktiviti senaman dengan lebih kerap.
  • Mengurangkan atau tidak mengambil minuman beralkohol.
  • Pengawasan pengambilan caffeine.
  • Mengambil makanan yang baik untuk usus, gula dalam darah, penghasilan insulin, dan juga otak - termasuk makanan dengan karbohidrat berserat tinggi dan lemak yang baik (healthy fats).
Bersenam secara kerap boleh mebantu masalah mengantuk selepas makan.

Tidur yang cukup mengelakkan badan menjadi letih, terutamanya selepas makan.

 
Makanan yang seimbang yang mengandungi sayuran, bijirin, dan ikan (yang kaya minyak ikan) dapat membantu mengekalkan tenaga. Selain itu, cuba sertakan lebih kekacang, bijian dan juga minyak zaitun ke dalam makanan anda. Elakkan pengambilan gula yang tinggi dan juga cuba dapatkan saiz hidangan dalam kuantiti yang lebih kecil dan kerap.

 
Selain itu, mungkin terdapat juga faktor-faktor lain yang turut menyumbang dalam masalah ini dan tidak dianggap popular. Namun begitu ia mungkin dapat dikenal pasti apabila kita melakukan pengamatan yang teliti akan aktiviti harian apabila berlakunya masalah ini. Ataranya adalah masalah penglihatan yang menyebabkan mata menjadi letih dan mengantuk selain keadaan cuaca yang menyebabkan badan menjadi letih.
 
Diharap dengan ini, kita dapat mengekalkan kesegaran badan dalam melakukan aktiviti seharian pada kadar optimum. Ini akan menggalakkan lagi kualiti dan kuantiti untuk menjadi lebih produktif. Sekiranya terdapat perkara yang ingin dikongsi mengenai masalah ini, bolehlah dituliskan di ruangan komen untuk faedah bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog