Memaparkan catatan dengan label Borneo. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Borneo. Papar semua catatan

Jumaat, 24 April 2015

Keunikan Bumi Kenyalang, Sarawak

Rhinoceros Hornbill
Burung Enggang yang menjadi lambang negeri kepada Sarawak.

Serawak, Malaysia juga dikenali sebagai bumi kenyalang bersempena dengan nama Burung Enggang (Burung Kenyalang) yang menjadi simbol negeri tersebut. Oleh kerana burung Enggang sememangnya istimewa kerana hanya mendiami kawasan hutan pergunungan tebal yang jauh daripada penempatan manusia.

Walaupun terdapat beberapa spesies burung enggang, namun yang paling menjadi tumpuan adalah enggang badak ‘rhinoceros hornbill’ (Buceros rhinoceros) yang merupakan burung terbesar dalam kumpulan ini. Saiz enggang badak dewasa boleh mencapai kepada 91 – 122 cm (36 – 48 in) dengan berat antara 2 – 3 kg (4.4 – 6.6 lb). Namun begitu enggang badak bukanlah spesies yang hanya terdapat di Borneo kerana ia juga turut mendiami kepulauan Sumatera, Jawa, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

Burung ini menjadi kebanggaan kebanyakan masyarakat di Sarawak dengan menjadikan bulu-bulu burung ini sebagai sebahagian peralatan hiasan mereka. Oleh kerana kawasan hutan yang luas di Sarawak, maka jumlahnya adalah lebih tinggi di negeri ini.

Selain daripada burung kenyalang tersebut, bumi Sarawak mempunyai keunikan tersendiri dengan keaslian muka buminya yang masih lagi kekal tanpa penerokaan berlebihan. Sehubungan itu, Sarawak mempunyai bilangan Taman Negara (National Park) yang jauh lebih banyak dari negeri-negeri yang lain di Malaysia. Setiap Taman Negara ini mempunyai keunikan masing-masing yang merupakan tarikan utama Negeri Sarawak sejak sekian lama.

Semengoh Nature Reserve

Orang Utan at Semenggoh
Semenggoh merupakan pusat perlindungan kepada Orang Utan.

Merupakan taman istimewa sebagai pusat pemuliharaan Hidupan Liar – di mana haiwan-haiwan yang dibela secara haram ditempatkan sebelum dilepaskan semula ke habitat mereka yang sebenar. Di sini juga tarikan utamanya adalah Orang Utan, di mana ia dilepaskan di dalam kawasan tersebut.

Terletak kira-kira 20 km daripada Bandar Kuching, taman ini mula di buka pada tahun 2000. Ia merupakan antara tarikan popular bagi para pengunjung kerana lokasinya yang berhampiran dengan bandar Kuching.

Wild Cave and Fairy Cave

Antara tarikan yang terletak berhampiran bandar Kuching juga merupakan gua yang dilengkapi dengan titian papan bagi memudahkan pengunjung melihat keunikan keadaan di dalam gua dimana keadaan stalactites dan stalagmites yang terbentuk melalui proses yang berkurun lamanya. Untuk menikmati pemandangan di dalam gua ini anda perlu menggunakan lampu suluh.

Terdapat sungai yang boleh dijadikan tempat untuk menyegarkan badan sekiranya anda meminati jeram di hutan. Antara kemudahan yang tersedia untuk melawat lokasi ini adalah tempat meletak kereta yang disediakan sehingga ke pintu masuk gua. Terdapat juga laluan titian papan untuk para pengunjung menikmati keindahan kawasan sekitar taman ini.

Lambir Hill National Park

Lambir National Park
Kepelbagaian spesies di Lambir, mendapat perhatian dunia.

Taman Negara Bukit Lambir merupakan antara kawasan yang mempunyai kepelbagaian flora dan fauna yang terpaling padat di dunia dengan keluasan 52 ha, daripada keseluruhan kawasannya iaitu 7,000 ha, terdapat sekitar 1,050 spesis pokok yang berbeza di mana setiap satunya menyokong kira-kira 1,200 spesies serangga.

Bagi yang meminati penjelajahan hutan pula bolehlah menyusuri trek yang mencabar untuk pendakian Bukit Lambir dengan ketinggian 465 meter yang memberikan anda pemandangan menarik keadaan hutan sekelilingnya. Terdapat juga menara setinggi 22 meter untuk memberikan anda lebih pengalaman dalam menghayati keunikan hidupan pada aras tersebut samada tumbuhan ataupun burung dan serangga.

Seperti juga di mana-mana taman negara sekitar Sarawak, di sini juga terdapat air terjun dan jeram yang boleh mengembalikan kesegaran anda selepas penat menjelajahi hutan tebal taman ini.

Terletak kira-kira 30 minit dari Miri iaitu bandar kedua terbesar di Sarawak, ia merupakan satu lagi taman negara yang mudah dikunjungi. Samada anda ingin melawatinya dalam tempoh sehari atau tinggal di kemudahan penginapan yang disediakan di pusat taman ini.

Similajau National Park

Similajau terletak 30 kilometer di Utara Bintulu. Ia merupakan kawasan taman yang meliputi persekitaran pantai dengan hidupan liar yang agak berbeza. Persisiran pantai taman ini merupakan pantai landai dengan pasir yang kuning keemasan. Selain itu juga ia merupakan kawasan perlindungan bagi buaya air masin yang biasanya akan menghabiskan masa menjemur badan di bawah matahari. Penyu turut menjadikan kawasan ini sebagai kawasan persinggahan mereka untuk bertelur, selain daripada haiwan-haiwan lain seperti babi hutan, monyet dan kera serta sekitar 185 spesies burung termasuk enggang dan helang laut.

Similajau merupakan kawasan yang sesuai bagi peminat pemerhati burung selain daripada haiwan-haiwan hutan yang lain. Keindahan Similajau boleh dinikmati melalui pantai mahupun menggunakan bot persiaran.

Batang Ai National Park

Batang Ai National Park
Kemudahan selesa di Batang Ai Hilton.

Taman yang merangkumi kawasan tasik buatan manusia seperti juga Tasik Kenyir, iaitu melalui pembinaan empangan hidro elektrik. Kawasan ini juga menjadi kawasan penempatan orang-orang Iban dengan rumah panjangnya.

Kawasan-kawasan penempatan orang Iban ini boleh dikunjungi dengan menyusuri sungai daripada tasik tersebut. Selain daripada menghabiskan masa di rumah panjang mereka, para pengunjung juga mungkin berpeluang untuk bersama-sama dengan mereka menyusuri hutan dan melihat suasana kehidupan Orang Utan.

Bagi pengunjung yang ingin menghabiskan masa di sini juga boleh memilih untuk tinggal di hotel yang diselenggarakan oleh syarikat perhotelan Hilton. Hotel yang menarik ini didirikan bercirikan rumah panjang di Sarawak sememangnya menjanjikan penginapan yang selesa.

Loagan Bunut National Park

Loagan Bunut merupakan tasik terbesar di Sarawak dengan keluasan 650 hektar. Ia adalah nama yang diberikan oleh orang-orang Berawan untuk tasik tersebut. Keunikan tasik ini adalah, ia akan hilang sepenuhnya semasa musim kemarau yang kebiasaannya pada bulan Februari sehingga Mei atau Jun.
Semasa tasik ini kering pelbagai haiwan dapat dilihat melewati kawasan berlumpur tasik ini termasuklah rusa, babi hutan, kancil, juga monyet dan kera yang mendiami kawasan hutan taman negara ini.

Orang-orang Berawan yang tinggal di persekitaran tasik ini menjadikan tasik ini sebagai salah satu sumber bekalan penangkapan ikan mereka. Menggunakan teknik yang dipanggil sebagai ‘selambau’ iaitu dengan menyauk ikan yang berpindah masuk ke tasik ini setiap kali berlaku perubahan paras pada air tasik.

Loagan Bunut terletak agak jauh ke pendalaman iaitu kira-kira 130 kilometer daripada Bandar Miri dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kawasan ini.

Mulu National Park

The Pinnacles Mulu
The Pinnacles yang amat terkenal di Mulu.

Taman Negara Mulu merupakan sebahagian daripada kawasan yang diisytiharkan sebagai Warisan Dunia UNESCO sebagai kawasan semulajadi terindah menyediakan pelbagai pengalaman untuk diterokai termasuk rangkaian gua terbesar, ‘rock climbing’, ‘jungle trekking’, kayak, basikal lasak, jeram, juga penempatan penduduk asli yang masih kekal.

Keunikan rangkaian gua di Taman Negara Mulu ini antaranya adalah Sarawak Chamber dengan keluasan yang menakjubkan, manakala Gua Rusa yang mempunyai laluan terbesar dan sungai terpanjang di Asia Tenggara di dalam Clearwater Cave yang mencapai 108 kilometer.

Menjelang senja pula, anda boleh menyaksikan jutaan kelawar yang terbang bagaikan sungai keluar daripada Deer Cave dalam perjalanan mereka keluar untuk mencari makanan.

Taman ini juga mempunyai flora dan fauna yang menarik termasuklah 15 kawasan hutan yang berbeza. Mengandungi ribuan spesies paku-pakis, kulat, lumut dan tumbuhan berbunga. Terdapat kira-kira 170 spesies orkid liar dan 10 spesies tumbuhan periuk kera yang unik – dan juga tumbuhan-tumbuhan yang mungkin masih belum ditemui.

Antara kawasan yang paling menarik di Mulu National Park adalah Pinnacles yang terletak di Gunung Api yang terdiri daripada batu kapur berbentuk meruncing dikelilingi oleh kawasan hutan.

Semasa anda menerokai taman ini anda mungkin berpeluang untuk menemui sendiri masyarakat tempatan yang terdiri daripada Iban, Berawan dan juga Penan yang masih mengamalkan hidup berpindah randah.

Terdapat beberapa kemudahan untuk bermalam di kawasan Taman Negara Mulu termasuklah Royal Mulu Resort atau di kawasan-kawasan perkhemahan yang disediakan.

Niah National Park

Niah Cave, Sarawak
Penempatan tertua di Asia Tenggara di Gua Niah, Sarawak.

Gua Niah merupakan tempat yang paling popular menjadi penempatan manusia sejak 40,000 tahun yang lalu melalui peninggalan mereka yang terdapat di dalam gua tersebut. Ia merupakan kesan tinggalan tertua yang dijumpai di Asia Tenggara.

Kesan-kesan tinggalan ini masih lagi terdapat di dalam gua tersebut untuk memberi peluang kepada para pengunjung menyaksikan sendiri keunikan tinggalan penempatan tertua ini. Gambar-gambar di dinding gua juga keranda yang berbentuk perahu masih lagi dijaga dengan baik bagi tatapan pengunjung.

Ia adalah 2 jam perjalanan daripada Miri ataupun Bintulu kemudian melalui laluan papan menyusuri kawasan rendah di dalam hutan yang kaya dengan pelbagai burung dan rama-rama. Terdapat juga laluan menuju ke kawasan-kawasan lain termasuk penempatan orang-orang Iban.

Terdapat juga chalet-chalet dan asrama disediakan bagi yang perlu bermalam di sini untuk menikmati pelbagai keunikan penghuni hutan antaranya kelawar dan burung layang-layang yang pulang ke sarang. Anda juga mungkin berpeluang menikmati malam dengan bercahayakan cahaya bulan bersama bunyi-bunyian daripada penghuni hutan yang lain.


Begitulah sebahagian daripada keunikan yang boleh anda nikmati daripada Taman-taman Negara yang terdapat di Sarawak atau Bumi Kenyalang ini. Sebagai negeri terbesar di Malaysia yang masih lagi mengekalkan keaslian sebahagian besar daripada kawasannya dalam bentuk semulajadi. Namun daripada keaslian inilah yang menarik ramai pengunjung untuk merasai sendiri pengalaman, atau meneroka rahsia alam yang masih belum lagi diketahui umum. Bersama kita hargai keunikan ini untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.



Free Download



Selasa, 21 April 2015

Keunikan Tumbuhan Borneo

Pitcher Plants
Periuk kera merupakan antara tumbuhan unik di Borneo.

Borneo terkenal dengan keunikan kepelbagaian hidupannya yang unik sama juga dengan kepulauan-kepulauan lain yang berhampiran seperti Papua New Guinea dan Sulawesi. Walaupun terdiri daripada beberapa kawasan utama iaitu Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan, keseluruhan kepulauan Borneo menyimpan khazanah uniknya untuk diterokai.

Borneo memiliki kira-kira 3,000 spesis pokok, 1,700 spesis orkid dan lebih daripada 50 spesis tumbuhan periuk kera (pitcher plant). Kawasan hutan Borneo amat padat dengan kepelbagaian spesis; di kawasan seperti Taman Negara Gunung Lambir, Sarawak yang merekodkan 1,175 spesis pokok di dalan kawasan seluas 52-ha (sekitar keluasan 52 padang bola) – yang juga merupakan kepelbagaian yang paling tinggi direkodkan di Borneo.

Kebanyakan tumbuhan Borneo juga adalah merupakan tumbuhan yang unik hanya untuk kepulauan ini sahaja. Sekitar 5,000 spesis (34%) tumbuhan berbunga di Borneo termasuk di dalam kumpulan tumbuhan ini. Ia merupakan salah satu punca mengapa kepulauan Borneo merupakan kawasan tarikan yang amat istimewa.

Borneo landscape
Bentuk muka bumi yang menyimpan kepelbagaian hidupan.

Antara tumbuhan yang sudah terkenal seperti Rafflesia arnoldi – yang juga diberikan gelaran sebagai bunga terbesar amat sinonim dengan Sarawak. Malah terdapat juga spesis titan arum (Amorphophallustitanum) juga dikenali sebagai ‘bunga bangkai’ - juga mengeluarkan bunga terbesar selain daripada menghasilkan bau kuat seakan-akan mayat yang mereput. Spesis yang sama juga turut terdapat di Kepulauan Sumatera, Indonesia.

Bagi peminat tumbuhan pemangsa (Nepenthes) pula seperti periuk kera; Borneo mempunyai kepelbagaian  spesis yang menarik. Tumbuh meliar di kawasan yang kurang subur. Tumbuhan-tumbuhan ini menjadikan serangga sebagai sumber bekalan nutrientnya. Serangga yang tertarik dengan bauan yang dihasilkan akan terjatuh di dalam cecair yang terdapat di dalam kantung tumbuhan ini seterusnya mereput untuk diserap sebagai punca makanan.

Rafflesia arnoldi
Rafflesia juga merupakan hidupan unik di sini.

Selain daripada tumbuhan-tumbuhan di atas terdapat kepelbagaian orkid berbunga iaitu kira-kira 3,000 spesis di dalam hutan Borneo. Orkid merupakan tumbuhan unik yang tumbuh dengan melekat pada dahan-dahan pokok yang tinggi bagi membolehkannya mendapat cahaya dan sumber makanan. Kepelbagaian orkid di Borneo adalah antara tertinggi di dunia.


Keunikan tumbuhan dan haiwan di Borneo inilah yang menjadikan ia sebagai satu tarikan menarik bagi pelawat, pengkaji juga kepada penduduk asal di Sabah dan Sarawak. Sejak sekian lama, sumber bumi ini dijadikan sebagai bahan utama membekalkan makanan, bahan membina tempat tinggal juga digubah menjadi peralatan bagi keperluan kehidupan harian mereka. 

Borneo peoples
Masyarakat yang hidup di Borneo memanfaatkan sumber alam dengan baik sekali.



Free Download



Rabu, 1 April 2015

Keenakan dan Keunikan Umai


Umai Sarawak
Umai tetap menjadi makanan unik masyarakat Sarawak.

Umai merupakan makanan tradisi Kaum Melanau di Sarawak. Merupakan antara makanan tempatan yang paling popular kerana keunikannya. Walaupun menggunakan bahan yang ringkas, umai tetap merupakan makanan yang sering dikaitkan dengan Bumi Kenyalang, ini kerana ianya tidak terdapat di tempat-tempat lain.

Umai disediakan dengan bahan utamanya iaitu ikan segar (ikan kembung ataupun bawal), cili besar atau cili padi, bawang merah, halia dan garam. Bahan-bahan lain juga boleh ditambah mengikut kesesuaian.

Longest Umai
Umai terpanjang yang disediakan di Dalat, Sarawak.

Sehingga hari ini umai merupakan antara makanan yang disediakan di seluruh Sarawak dan tidak lagi hanya menjadi hidangan unik Kaum Melanau. Keenakan makanan ini ditambahkan lagi dengan sumber makanan laut segar yang mudah didapati di Sarawak. Walaupun negeri ini semakin meningkat dengan arus permodenan, makanan tradisi istimewa ini tetap menjadi kebanggaan masyarakat di Sarawak.


Pada tahun 2012 umai terpanjang disediakan semasa pesta ‘Masihkah Kau Ingat’ di Dalat, dengan kepanjangan mencecah sehingga 170.3 meter. Ia merupakan penghargaan masyarakat di sini yang menganggap umai merupakan salah satu makanan yang melambangkan identiti negeri.



Free Download



Jumaat, 28 Mac 2014

Keunikan Dunia Serangga Mentadak Orkid

Mentadak Orkid
Mentadak Orkid kelihatan mirip seperti bunga orkid, menunggu serangga.

Seperti yang kita ketahui terdapat pelbagai spesis serangga dan sukar sekali bagi kita menentukan jumlah sebenar mereka – manakala spesis terbaru sentiasa ditemui. Mungkin kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang terlalu jauh daripada manusia atau mereka sendiri terlalu sukar untuk dikesan.

Mentadak orkid adalah sejenis serangga yang menyerupai bunga orkid iaitu tempat di mana ia akan meluangkan masa menunggu mangsanya – serangga pendebunga yang lain seperti rama-rama dan lebah. Oleh kerana rupa bentuk dan warnanya mirip sekali dengan persekitaran – bunga orkid, jadi mangsa dan pemangsa sukar sekali mengesan kehadiran Mentadak Orkid ini.

Mentadak Orkid (Hymenopus coronatus) mendiami kawasan persekitaran hutan hujan termasuklah Malaysia. Dalam ekspedisi untuk mengkaji mentadak istimewa ini dua saintis James O’hanlon dan Marie Herberstein daripada Macquarie University, Australia mendapatkan khidmat penduduk tempatan (asli) bagi mengesan dan mendekati serangga ini dengan lebih dekat.

Mata serangga
Serangga dengan mata majmuk.

Melalui kajian mereka menggunakan peralatan yang mampu mengukur warna melalui jarak gelombang (spectrophotometer) untuk membezakan warna mentadak dan juga warna bunga-bungaan di mana mentadak ini biasanya menunggu mangsanya. Kajian mendapati adalah agak sukar bagi serangga membuat perbezaan kerana mata serangga adalah berbeza dengan mata manusia dan kelebihan inilah yang digunakan oleh mentadak orkid bagi mengelirukan mangsanya.

Penglihatan serangga
Perbezaan daya penglihatan serangga seperti yang digambarkan di kaca TV, penglihatan sebenar dan pengelihatan manusia.

Kajian saintis ini turut dimuatkan di dalam majalah ‘American Naturalist’ setelah menjayakan kajian ini melalui tajaan oleh National Geographic di kawasan hutan Borneo, Malaysia.


Maka dengan ini anda pasti akan terfikir berapa banyakkah lagi serangga-serangga yang masih belum lagi dikenal pasti dan apakah keunikan mereka? Adakalanya sifat-sifat istimewa inilah yang digunakan oleh manusia di dalam teknologi pembuatan, ketenteraan, reka bentuk dan sebagainya. Jadi jangan lepaskan peluang anda sekiranya mempunyai sedikit masa untuk memerhatikan haiwan atau serangga yang berada di sekeliling anda.


Free Download




Keunikan Hidupan Laut Kima (Kerang Gergasi)

Kima-Chama gigantea
Keindahan kerang gergasi di kawasan terumbu karang.

Kima atau juga dikenali sebagai kerang gergasi adalah merupakan antara hidupan yang menghuni perairan terumbu karang Sabah (Borneo). Kima atau nama saintifiknya Tridacna gigas/Chama gigantea menghuni perairan terumbu karang pada kedalaman 20 meter yang menjangkau perairan Selatan Pacific hingga ke Lautan Hindi. Selain daripada saiznya yang boleh menjangkau sehingga melebihi 1 meter ia juga boleh mencapai umur sehingga ratusan tahun.

Keunikan hidupan ini selain daripada saiznya yang menjangkau sehingga melebihi 1 meter, adalah keupayaannya untuk menggunakan alga yang mampu hidup pada permukaan dalamannya dan mendapat sumber makanan daripada alga tersebut apabila ia menjalankan fotosintesis. Ini membolehkan kerang gergasi membesar dengan sempurna walaupun pada perairan yang kurang mengandungi plankton. Hubungan simbiosis seperti ini juga turut digunakan oleh hidupan lain seperti obor-obor (pada sebahagian spesies).

Saiz kerang gergasi yang pernah direkodkan adalah mencapai sehingga 137 cm (4.49 kaki) yang diperolehi pada tahun 1817 di pesisir pantai Sumatera Barat. Berat kulit kerang tersebut mencapai sehingga 230 kilogram dan dianggarkan berat semasa hidup boleh mencapai sehingga 250 kilogram. Kulit kerang gergasi tersebut kini disimpan di museum Ireland Utara.

Kulit kerang gergasi
Kulit kerang gergasi yang disimpan di Aquarium Finisterae, Spain.

Satu lagi spesimen yang diperolehi daripada kepulauan di Ishigaki, Jepun pula pada tahun 1956 menemukan kerang yang mencapai saiz sehingga 115 cm (3.77 kaki) dengan berat cengkerang mencapai 333 kilogram. Para saintis menganggarkan berat hidup kerang ini mungkin boleh menjangkau sehingga 340 kilogram.

Kerang gergasi yang mendiami kawasan terumbu karang akan membuka cengkerang dan mendedahkan bahagian dalamannya kepada cahaya matahari. Ini membolehkan alga yang hidup pada permukaan kulit dalaman tadi melakukan proses fotosintesis dan membolehkan ia juga mendapat hasil daripada alga tersebut. Permukaan kulit ini kelihatan amat cantik apabila terdedah kepada cahaya matahari – kesan daripada pantulan UV.

Kerang gergasi di dasar laut
Kerang gergasi di dasar laut.

Oleh kerana kerang gergasi akan berada pada suatu tempat untuk tempoh masa yang lama maka ia terdedah kepada bahaya musuh terutamanya manusia yang menjadikannya sebagai sumber makanan. Proses tumbesarannya yang lama menyebabkan jumlahnya turun secara mendadak. Proses pemuliharaan giat dilakukan oleh banyak negara termasuk Malaysia dan Australia. Di Malaysia usaha pemuliharaan dilakukan oleh Marine Ecology Research Center (www.merc-gayana.com) yang berpusat di Pulau Gaya, Sabah. Usaha ini dijalankan sejak 2007 dan telah berjaya melepaskan semula anak-anak kerang gergasi ke habitat yang sesuai.

Seperti juga spesies-spesies hidupan liar yang lain, kerang gergasi mengalami masalah kepupusan adalah disebabkan kadar tangkapan/buruan yang tinggi berbanding kadar pembiakan yang perlahan. Ini kerana kerang ini bukan sahaja menjadi sumber makanan masyarakat tempatan malah menjadi buruan mereka yang ingin memilikinya sebagai koleksi untuk dipelihara di dalam akuarium sebagai hiasan. Perkara yang lebih buruk mungkin boleh berlaku sekiranya habitat semulajadi mereka terganggu dan menyebabkan kematian hidupan unik ini.


Mungkin sekiranya mendapat peluang untuk merasa keunikan masakan kima ini saya juga ingin mencuba. Tapi apa yang lebih penting diharap usaha memelihara kelangsungannya juga patut diberikan perhatian. Adalah diharap kita sama-sama dapat membantu memelihara kerang gergasi ini daripada terus pupus.


Free Download



Arkib Blog