Memaparkan catatan dengan label UNESCO. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label UNESCO. Papar semua catatan

Sabtu, 10 Oktober 2015

Perpustakaan Tercantik Di Dunia – Clementinum

Dewan 'Baroque library', Clementinum. 

Perpustakaan Clementinum (Klementinum dalam Czech) adalah sebahagian daripada kompleks bangunan di Prague yang memiliki pelbagai nilai seni, budaya dan sejarah. Kompleks bangunan ini sendiri dibina sejak 1232 lagi merupakan antara kompleks terbesar di bahagian Bandar Lama (Old Town) yang meliputi kawasan seluas 2 hektar. Kekal sehingga hari ini Perpustakaan  Clementinum dijadikan National Library of the Czech Republic. Ia juga menerima pengiktirafan UNESCO Jikji prize (Memory of the World) pada tahun 2005.

Clementinum mengalami pelbagai perubahan arus masa yang menjadikan ia kaya dengan keunikan sejarah senibina yang ditempuhinya. Ia turut dipengaruhi oleh sebahagian daripada ahli astronomi, saintis, ahli falsafah, ahli muzik dan ilmuan Eropah pada zaman pertengahan yang pernah bekerja atau belajar di sini. Faktor inilah yang banyak menyumbangkan keunikan Clementinum dari segala aspek. Para arkitek yang terlibat dalam rekabentuk bangunan ini adalah Carlo Lugano, Franz Maximilian Kanka atau Kilian Ignaz Dientzenhofer.


Pintu masuk Timur.

Keseluruhan kompleks Clementinum.

Perpustakaan ini adalah sebahagian daripada beberapa bahagian yang terdapat pada keseluruhan kompleks yang turut menempatkan gereja, dewan perpustakaan dan juga menara astronomi. Jadi ia merupakan pelengkap kepada keseluruhan kompleks ini sebagai bahan rujukan dan menempatkan hasil penulisan para ilmuan yang bertugas di sini.

Perpustakan ini menempatkan lebih kurang 20,000 buah buku semenjak kurun ke-17 dan ke atas. Selain daripada buku-bukunya keseluruhan bangunan ini delengkapi atau dihiasi dengan hasil seni yang bersejarah juga. Buku-buku di sini turut di imbas dan di kongsi di dalam Google Books untuk memberikan peluang kapada lebih ramai pembaca dari seluruh dunia.


Menara Astronomi.

Turut melengkapi kompleks bangunan ini adalah menara kaji bintang (astronomi) yang juga merupakan antara tarikan utama pelawat. Dari menara ini pengunjung boleh menikmati pemandangan 360° Bandar Prague. Terdapat lift untuk membantu memanjat menara bagi sebahagian perjalanan sahaja. Manakala di tingkat-2 terdapat Meridian Hall – dimana ia dibina untuk menentukan waktu tengahari.

Sehingga hari ini ia merupakan antara tarikan di Bandar Prague yang menawarkan lawatan berpandu  dan juga pakej ‘concert package’ sekiranya anda ingin melihat Miror Chapel. Melihat daripada gambar yang disertakan, jelas Clementinum bukan sahaja cantik, malah kaya dari pelbagai aspek yang penting untuk dipelihara.



Rujukan:

- Laman Clementinum


- Wikipedia Clementinum



Free Download





Khamis, 27 Ogos 2015

Sagrada Família Senibina Menakjubkan Antoni Gaudi

Sagrada Família
Sagrada Família, pembinaannya diteruskan sehingga tahun 2026.

Sebuah senibina yang menakjubkan mula didirikan pada tahun 1882 (lebih dari 100 tahun dahulu) di dimana proses pembinaannya masih diteruskan dan dikatakan hanya akan disiapkan pada tahun 2026 nanti. Bangunan yang direka oleh seorang pereka tersohor ini iaitu Antoni Gaudi merupakan antara beberapa bangunan dengan rekabentuk yang berbeza daripada rekabentuk bangunan-bangunan biasa. Ia merupakan satu daripada tujuh bangunan rekaannya yang dinobatkan sebagai bangunan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Antoni Gaudi i Cornet nama penuh Antoni Gaudi (dilahirkan pada 25 Jun 1852 – 10 Jun 1926) merupakan seorang arkitek Spanish Catalan yang berasal dari Reus. Menghasilkan rekaan yang mempunyai ciri-ciri tersendiri di mana kebanyakan bangunan rekaan beliau didirikan di Bandar Barcelona dan ini termasuklah rekaan teragung beliau iaitu Sagrada Familia.


Proses pembinaan terus dijalankan.

Rekaan beliau dipengaruhi dengan corak hidupnya yang mendalam terhadap; senireka, alam semulajadi dan keagamaan. Malah setiap rekaannya menitik beratkan setiap penggunaan bahan-bahan sehingga kepada perincian halus penggunaan ‘stained glass’, besi keluli, dan juga kerja-kerja kayu. Beliau juga menitik beratkan penggunaan bahan yang dikenali sebagai ‘trencadís’, iaitu penggunaan bahan terbuang seperti kepingan ‘ceramics’. Dimana penggunaan bahan-bahan seperti ini dapat dilihat dengan jelas pada binaan seperti Casa Milà dan juga Casa Batlló.

Sagrada Família berbeza dengan bangunan-bangunan lain rekaannya dari segi saiz dan juga rekaan. Pada  rekaan Sagrada Família, Antoni Gaudi menampilkan segala luahan yang ingin dilahirkannya pada bangunan tersebut. Walaupun beliau sendiri tidak mensasarkan binaan ini perlu disiapkan dalam tempoh yang singkat, ia akhirnya memakan masa sehingga ratusan tahun untuk disiapkan setelah mengalami pelbagai fasa masa termasuk perang saudara di Sepanyol (Spanish Civil War).


Tiang-tiang seperti pokok yang menyokong bumbungnya.
Rekaan 'facade' dipenuhi dengan ukiran halus.

Antara lain yang menyebabkan bangunan ini dibina dengan perlahan adalah kerana ia dibangunkan dengan dana sepenuhnya daripada sumbangan orang ramai. Perang menyebabkan kerja-kerja pembinan terhenti. Malah terdapat beberapa insiden yang menyebabkan bangunan mengalami kerosakan dan perlu diperbaiki semula. Kerja-kerja penyambungan semula hanya dilakukan pada tahun 1950-an.  Sehingga tahun 2010 apabila ia mencapai kepada tahap-tahap mencabar pada rekaan tersebut.

Secara keseluruhan bangunan ini penuh dengan mesej yang berkait dengan Agama Kristian, dimana beliau sendiri merupakan seorang pereka yang kuat dipengaruhi dengan senibina ini. Keseluruhan binaan pada Sagrada Família banyak terselit unsur-unsur keagamaan dari segi struktur binaan, mahupun pada ukiran-ukiran yang terdapat padanya. Bukan itu sahaja, binaan struktur yang berbeza seperti ruangan dalam bangunan memperlihatkan pendekatan yang lebih unik digunakan oleh Antoni Gaudi.


Antara pemandangan dalaman bangunan.

Kemajuan dalam teknik pembinaan seperti penggunaan komputer (computer-aided design) adalah antara faktor yang membantu untuk mempercepatkan lagi proses pembinaan pada bangunan unik ini. Selain itu juga penggunaan peralatan-peralatan moden lain (‘CNC milling’ misalnya) juga turut membantu berbanding dengan teknik ukiran tangan manusia.

Kerja-kerja pembinaan bangunan ini akan diteruskan sehingga tempoh jangkaan siapnya iaitu 2026 nanti. Namun begitu ia terus menjadi antara lokasi lawatan popular di Barcelona yang turut menjadi sumber pembiayaan pembangunanya yang pada tahun 2009 perbelanjaan diperlukan beranggaran €18 juta. Namun begitu ia terus berhadapan dengan ancaman lain seperti pembinaan keretapi laju AVE iaitu keretapi bawah tanah yang dibimbangi akan melemahkan struktur bangunan ini. Walaupun tiada keroskan dilaporkan disepanjang pembinaannya namun pergerakan keretapi di bawahnya ini mungkin memberi kesan jangka panjang.

Pemandangan bangunan pada waktu malam.


Terlalu banyak perkara yang menarik mengenai bangunan Sagrada Família sebagai hasil rekaan senibina penuh bersejarah, budaya dan keagamaan. Ini kerana ia menampilkan ciri-ciri kepercayaan pereka dimana pada masa yang sama mengingatkan kita, bahawa kita mempunyai kepercayaan masing-masing. Maka untuk mengenali Sagrada Família dengan lebih dekat, anda perlulah membuat kajian sendiri dan melawatinya sekiranya berkesempatan.




Free Download



Jumaat, 29 Mei 2015

Petra Badaraya Batu Penuh Bersejarah

El Deir - The Monastery
El Deir - The Monastery, antara bangunan di Petra.

Petra merupakan bandaraya yang unik kerana ianya bukan sahaja didirikan di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang malah bandar purba ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan yang dipahat terus daripada bukit batu yang menjadi landskap utama bandar tersebut. Namun begitu bandar ini kemudiannya ditinggalkan untuk beberapa abad lamanya dan hanya menjadi mitos sehingga ia ditemui kembali dan kini dibuka semula untuk tatapan orang ramai.

Bandar purba Petra ini lebih dikenali sebagai  (Arabic: البتراء, Al-Batrāʾ; Ancient Greek: Πέτρα) terletak di Selatan Jordan di Daerah Ma’an. Ia juga adakalanya diberi jolokan sebagai ‘Rose City’ kerana warna batu yang dipahat di bandar ini berwarna kemerahan. Mula didirikan kira-kira 312 BC oleh orang-orang Nabatean yang pada asalnya adalah berketurunan nomad (Badwi). Bandar ini terus membangun dengan jayanya hasil kejayaan penduduk di sini membina sistem pangairan yang unik mebuatkan ia mampu bertahan sehingga beberapa abad lamanya. Dianggarkan terdapat kira-kira 30,000 penduduk menghuni bandar tersebut.

Al Khazneh or The Treasury
Al Khazneh atau The Treasury bangunan yang popular berkenaan Petra.

Walaupun tarikh atau punca sebenar bandar ini ditinggalkan tidak diketahui dengan jelas bukti yang dijumpai oleh para pengkaji mendapati ia berkemungkinan besar disebabkan beberapa bencana alam. Bandar ini berjaya dibangunkan dengan pesat oleh kerana kejayaannya mengendalikan punca air dan ia juga dimusnahkan oleh limpahan air dari empangan (dari bukti yang dikesan di kawasan tersebut).

Setelah beberapa lama ditinggalkan ia menjadi mitos dunia dan tiada yang pernah sampai ke sana memandangkan kawasan tersebut dikuasai oleh penduduk tempatan yang memelihara kawasan tersebut sebagai kawasan suci. Namun begitu ia pernah dilawati oleh Sultan Baibars dari Egypt pada abad ke 13. Manakala hasil daripada penyamaran pula seorang pengembara dari Swiss, Johann Ludwig Burckhardt berjaya melawati bandar ini pada tahun 1812 dan membawa semula berita penemuan bandar yang menjadi mitos untuk sekian lama.

Map of Petra
Petra merupakan bandar yang luas.

Kepesatan Bandar Petra

Petra Dam
Empangan merupakan struktur penting di Bandar Petra.

Petra Dam2
Terdapat 5 Empangan di Petra dalam mengawal banjir kilat.

Bandar Petra merupakan bandar yang pesat (mewah) mengikut catatan yang direkodkan oleh pengembara yang melewati bandar tersebut. Ini kerana kedudukannya yang strategik berada di laluan utama perdagangan di antara Asia dan Eropah. Selain itu juga kejayaannya dalam membina sistem pengairan menjadikan ia sebuah bandar yang indah berbanding persekitarannya yang kering kontang.

Punca utama air yang mengairi bandar Petra adalah berasal daripada punca air yang dikenali sebagai ‘Wadi Musa’ yang juga mengikut kisah di mana ia berpunca daripada hentakan tongkat milik Nabi Musa a.s. yang kemudiannya menghasilkan air mata air. Namun begitu ‘Wadi Musa’ bukanlah terletak berhampiran bandar ini, jadi sistem perpaipan digunakan untuk mengalirkan air ke kawasan bandar. Selain daripada punca air dari mata air ini, penduduk di Petra juga membina empangan dan menguruskan segala punca air yang ada untuk digunakan dengan baik. Ia merupakan antara faktor utama membolehkan Petra terus membangun. Di kawasan berhampiran juga terletaknya makam Nabi Harun a.s. iaitu bukit yang dikenali sebagai Bukit Hor.

Kemusnahan Bandar Petra

Great Temple of Petra
Great Temple of Petra merupakan bangunan utama dengan taman hijau dan kolam air.

Melalui penyenaraian UNESCO di dalam senarai ‘Warisan Dunia’, Petra diberikan tumpuan dalam usaha pemuliharaan di samping memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat sendiri keunikan bandar purba ini. Ini kerana Petra tanpa pemuliharaan terdedah dengan pelbagai ancaman kemusnahan dan akan lenyap akibat daripada hakisan.

Pelbagai kajian dijalankan di bandar ini bagi mengenali sejarahnya dengan lebih terperinci. Hasil daripada kajian ini mendapati antara punca kehilangan penduduk bandar ini disebabkan beberapa perkara.

  • Perubahan laluan perdagangan melalui jalan laut mengurangkan pedagang yang singgah.
  • Banjir akibat empangan yang pecah (kesan daripada hakisan di jalan bandar Petra).
  • Gempa yang mengakibatkan kerosakan sistem pengairan dan kemusnahan sebahagian besar bandar tersebut.


Kerosakan kritikal yang tidak dapat dipulihkan kepada asal ini mengakibatkan keseluruhan bandar tersebut terpaksa ditinggalkan. Lebih buruk lagi kebanyakan barangan yang ditinggalkan di makam-makam di Bandar Petra telah di curi. Bukan itu sahaja, permukaan bangunan-bangunan turut terdapat kesan tembakan dalam usaha memecah masuk makam-makam tersebut.

Apa yang di alami oleh Bandar Petra adalah mirip apa yang menimpa bandar-bandar pesat purba yang lain seperti Angkor Wat iaitu kejadian yang tidak diduga dan tidak dapat diatasi dengan teknologi sedia ada. Berbeza dengan Angkor Wat, sistem pengairan utamanya gagal berfungsi akibat daripada mendapan di talian air yang dibina untuk mengairi kawasan pertaniannya yang luas (sila rujuk di dalam video daripada History Chanel).

Lawatan ke Petra

Hari ini Petra boleh dikunjungi semula oleh orang ramai untuk tatapan. Ia juga merupakan kawasan yang paling ramai dilawati oleh para pengunjung di Jordan. Melalui program pemuliharaan yang dijalankan oleh pelbagai pihak keunikan bandar ini akan sekali lagi disaksikan oleh para pengunjung (sekiranya pemuliharaan penuh dapat dilakukan), ini kerana Petra merupakan bandar mewah di tengah padang pasir seperti Bandaraya Las Vegas, California.

Petra sering diketengahkan di dalam filem.

Bandar Petra sebelum ini dapat disaksikan dalam beberapa buah filem Hollywood seperti; Indiana Jones and the Last Crusade, Arabian Nights, Passion in the Desert, Mortal Kombat: Annihilation, Sinbad and the Eye of the Tiger, The Mummy Returns dan Transformers: Revenge of the Fallen.

Banyak perkara yang dapat dipelajari daripada bandar ini. Maka dengan itulah tinggalan-tinggalan sejarah perlu diberikan peliharaan yang baik supaya ia dapat ditatap oleh generasi yang akan datang. Bagi anda yang berminat untuk melihat sendiri keajaiban bandar ini bolehlah berkunjung ke Jordan. Selain daripada kunjungan, anda juga turut boleh memberi sumbangan dalam usaha pemuliharaan tinggalan-tinggalan sejarah dengan memberikan sumbangan kepada badan-badan yang terlibat.



Free Download



Khamis, 28 Mei 2015

7 Benda Ajaib Dunia

Machu Picchu
Machu Picchu mempunyai banyak keistimewaan dan keajaiban.

Benda-benda ajaib di dunia sering dipersoalkan kerana ia menjadi kemegahan sesebuah tamadun malah bagi rakyat sesebuah negara tersebut. Tiada senarai yang pasti mengenai 7 benda ajaib ini sebenarnya kerana ia hanyalah berdasarkan kepada senarai-senarai yang di keluarkan oleh pelbagai pihak berdasarkan kriteria masing-masing.

Penyenaraian 7 benda ajaib pertama dilakukan oleh Herodatus (484 – ca. 425 BCE), dan para sarjana Callimachus dari Cyrene (ca. 305 – 240 BCE) di Muzium Alexandria. Penulisan mereka tidak dapat diselamatkan kecuali hanya sebagai rujukan sahaja.

Penyenaraian asal 7 benda ajaib tersebut adalah;
  • Great Pyramid of Giza
  • Taman tergantung Babylon
  • Patung Zeus di Olympia
  • Temple of Artemis di Ephesus
  • Makam Halicarnassus
  • Colossus of Rhodes
  • Lighthouse of Alexandria

Cairo Citadel
Cairo Citadel sebagai antara 7 pilihan klasik.

Daripada senarai ini hanya satu sahaja yang masih kekal ke hari ini iaitu ‘Great Pyramid of Giza’. Maka daripada senarai inilah, penyenaraian-penyenaraian baru dilakukan oleh pelbagai pihak, pelbagai zaman dan juga atas pelbagai kriteria.

Antara penyenaraian yang popular adalah benda-benda ajaib dari zaman pertengahan yang lebih mudah untuk dikenali kerana tinggalannya masih boleh dilihat (ataupun bukti sejarahnya masih lagi tersimpan dengan baik). Senarainya adalah seperti berikut;
  • Stonehenge
  • Colosseum
  • Catacombs of Kom el Shoqafa
  • Great Wall of China
  • Porcelain Tower of Nanjing
  • Hagia Sophia
  • Leaning Tower of Pisa

Terdapat juga senarai yang memuatkan:-
  • Taj Mahal
  • Cairo Citadel
  • Ely Cathedral
  • Cluny Abbey

Ia merupakan senarai yang bertahan lama, namun kriteria penyenaraian ini juga tidak jelas kerana ianya bukanlah dikelolakan oleh mana-mana badan professional. Persoalannya apakah yang didifinasikan sebagai ajaib mengenai binaan tersebut?

Selain daripada itu penyenaraian benda ajaib dalam pembinaan abad ke-20 juga pernah dikeluarkan oleh American Society of Engineers bagi mengetengahkan binaan-binaan moden. Di dalam senarai ini benda ajaib yang disenaraikan adalah seperti berikut;
  • Channel Tunnel
  • CN Tower
  • Empire State Building
  • Golden Gate Bridge
  • Itaipu Dam
  • Delta Works, Netherlands
  • Panama Canal

Manakala pada tahun 2001, satu usaha dijalankan untuk penyenaraian baru benda ajaib dunia dijalankan oleh sebuah badan di Swiss yang dikenali sebagai New7Wonders Foundation dengan memilih daripada 200 senarai yang dicalonkan. Daripada senarai ini 21 daripadanya tersenarai ke peringkat akhir dan diumumkan pada 1 Januari, 2006. Senarai pemenang telah diumumkan pada 7 July, 2007 di Lisbon, Portugal.

Petra Jordan
Petra, Jordan sememangnya unik.

Senarai tersebut adalah seperti berkut;

**Great Pyramid of Giza, Egypt (calon penghormatan)

new7 wonders of the world
Senarai new7 wonders of the world.

Dalam kaedah penyenaraian kali ini ianya adalah dilakukan secara undian oleh orang ramai melalui laman web dan sms. Banyak negara melakukan kempen dalam mengundi calon negara masing-masing selama beberapa bulan melalui media-media masa dan sebagainya. Jadi kaedah ini akan memihak hanya kepada negara yang mempunyai ramai penduduk!

Berikutan daripada itu juga terdapat lagi beberapa penyenyenaraian 7 perkara-perkara lain oleh pelbagai pihak merangkumi pelbagai subjek. Penyenaraian 7 perkara merupakan trend yang menjadi ikutan ramai dan lebih mudah untuk mendapat perhatian.

Great Wall of China
Great Wall of China, masih kekal di dalam new7 wonders of the world.

Jadi 7 benda ajaib bukanlah satu senarai yang memadai untuk mewakili benda-benda ajaib di dunia. Ini kerana banyak binaan-binaan lama ataupun baru mempunyai pelbagai nilai bukan sahaja dari segi kehebatan binaan tersebut malah fungsi dan juga teknologi yang digunakan semasa pembinaannya. Maka ia perlu diberikan skop yang lebih luas dalam memastikan fungsi utama penyenaraian tersebut.

Manakala dalam mengenali benda-benda ajaib dunia ini penyenaraian yang lebih lengkap dan lebih penting untuk diketahui adalah seperti senarai ‘Warisan Dunia’ seperti yang dikeluarkan oleh UNESCO (United Nation Educational, Scientific and Cultural Organization) dalam mengenal pasti warisan budaya ataupun kawasan semulajadi yang mempunyai nilai kepada peradaban manusia. Senarai ini adalah lebih penting memandangkan ia dapat memberikan anda banyak maklumat berguna.

Maka dengan itu terpulanglah kepada anda sendiri dalam membuat penilaian mengenai 7 benda yang anda rasakan ajaib kerana ia mungkin berbeza bagi setiap individu.



Free Download



Arkib Blog