Memaparkan catatan dengan label akuarium. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label akuarium. Papar semua catatan

Khamis, 19 Mei 2016

Ikan Pelaga Cantik Tetapi Garang

Antara hybrid ikan pelaga siam (Betta splendens).

Ikan pelaga terdiri daripada beberapa spesies ikan-ikan air tawar bersaiz kecil yang cantik dan terkenal. Antara yang paling cantik dalam spesies ini adalah ikan pelaga siam “Siamese fighting fish” (Betta splendens), ikan mengkaring (Betta imbellis) dan ikan sempilai (Trichopsis vittata). Adapun ikan pelaga siam berasal daripada lembangan Sungai Mekong termasuk negara-negara seperti Thailand (Siam), Laos, Cambodia dan Vietnam. Namanya “ikan pelaga” adalah bersempena tabiatnya yang suka berlaga.

Keunikan ikan laga ini suatu masa dahulu amat popular kerana ia digunakan sebagai satu acara perlawanan ikan, sama juga seperti acara sabung ayam. Malah setiap pemilik ikan laga mempunyai kaedah tersendiri bagi memastikan ikan laga mereka berada pada tahap terbaik untuk memenangi perlawanan. Ini kerana sifatnya yang suka menyendiri dan bersifat ‘territorial’ yang akan mempertahankan kawasannya dari dimasuki oleh ikan-ikan yang lain.

Ikan sempilai jantan.

Ikan sempilai betina.

Antara kawasan menjadi habitat ikan sempilai.

Walaupun bersifat agresif, ikan pelaga siam mempunyai warna yang amat terang dan cantik. Ia menjadi buruan peminat ikan untuk memeliharanya. Cuma ia tidak boleh diletakkan di dalam satu bekas bersama-sama ikan lain kerana sifat agresif tersebut. Malah ikan-ikan pelaga ini turut menyerang ikan-ikan pelaga berlainan jantina sebelum tiba musim mengawan.

Ikan-ikan Betta, adalah sebahagian daripada keluarga ikan Gourami (seperti ikan kaloi) yang juga popular sebagai ikan hiasan akuarium. Ikan-ikan ini bersaiz sekitar 6.5 cm (2.6 in) panjang. Pada spesies-spesies liar, ikan pelaga mempunyai warna yang lebih pudar antara hijau, coklat dan kelabu dengan sirip-sirip yang lebih pendek. Hanya ikan-ikan yang dibiak untuk tujuan ikan hiasan sahaja yang mempunyai warna yang lebih terang serta ekor yang besar dan sirip yang lebih panjang.

Walaupun membela ikan pelaga adalah agak mudah kerana ia tidak memerlukan bekas yang besar, namun anda perlu memastikan air yang digunakan adalah bebas klorin. Hanya bagi pemakanan ikan ini, ia hanya memilih makanan yang bersaiz kecil (sebesar mulutnya sahaja). Pellet kecil adalah sesuai selain hidupan-hidupan kecil seperti jentik-jentik, zooplankton, crustaceans dan serangga-serangga kecil.

Ikan-ikan pelaga siam yang dikacukkan.

Selain warna, bentuk ekor dan sirip juga penting.

Ikan pelaga siam dengan warna coklat.

Ikan-ikan pelaga hari ini, yang dijual untuk tujuan peliharaan adalah hasil daripada kacukan berlainan spesies ikan-ikan pelaga yang menghasilkan pelbagai warna yang menarik. Ikan-ikan dari spesies berbeza seperti B. Splendens, B. imbellis, B. mahachaiensis, dan B. Smaragdina menghasilkan banyak lagi hybrid-hybrid baru. Seperti yang dilihat hari ini ikan-ikan pelaga siam terdiri daripada pelbagai warna yang tidak dilihat pada ikan-ikan lain. Selain warna, para pembiak ikan pelaga siam juga turut cuba menghasilkan ikan-ikan yang mempunyai sirip dan ekor yang lebih besar.

Walaupun ikan-ikan pelaga masih lagi mendapat tempat di kalangan peminat ikan hiasan. Namun ikan pelaga asal di habitatnya mengalami ancaman kepupusan. Aktiviti pertanian, penerokaan hutan dan juga empangan menyebabkan jumlah ikan-ikan ini semakin berkurangan. Penurunan ini bukanlah khusus untuk ikan-ikan pelaga sahaja, malah untuk ikan-ikan yang lain juga. Sekiranya alam sekitar tidak lagi sesuai untuk didiami oleh hidupan lain, adakah ianya sesuai untuk didiami manusia?



Free Download



Rabu, 13 April 2016

GloFish Menjadikan Ikan Bercahaya Di Bawah Lampu UV

Ikan dengan keupayaan 'biofluorescence' dihasilkan melalui kaedah GMO.

GloFish® merupakan ikan yang mempunyai kemampuan untuk kelihatan bercahaya di bawah sinar lampu UV kerana mewarisi kemampuan untuk menyimpan bahan biofluorescence di bawah kulitnya. Walaupun hari ini ikan-ikan ini mewarisinya daripada induk-induk mereka, ikan GloFish® adalah hasil pengubahsuaian genetik yang dilakukan di dalam makmal yang juga dikenali sebagai GMO – genetically modified organism.

Biofluoresence sememangnya dimiliki oleh sesebahagian haiwan secara semulajadi sejak jutaan tahun dahulu. Ciri istimewa ini membolehkan hidupan-hidupan ini memantulkan cahaya dan kelihatan seperti ia sendiri bercahaya. Cahaya ini digunakan samada untuk menerangi sekelilingnya, komunikasi, menarik minat mangsa dan juga macam-macam lagi. Maka ciri-ciri inilah yang dipindahkan kepada GloFish® bagi membolehkan ia memantulkan cahaya seperti hidupan-hidupan tersebut.

Gene penghasilan 'Green Fluorescence Protein' diperolehi dari obor-obor. 

Obor-obor antara hidupan yang mempunyai biofluorescence.

Ikan-ikan GloFish kini terus mewarisi gene 'fluorescence protein' terus melalui induknya.

Pada mulanya ikan GloFish dihasilkan untuk membantu mengesan pencemaran dengan menjadikan ianya bercahaya. Ia adalah hasil kajian pada tahun 1999 oleh Dr. Zhiyuan Gong bersama rakan setugasnya di National University of Singapore yang pada masa itu mengkaji genes yang mengandungi kod green fluorescence protein (GFP), yang terdapat secara semulajadi pada obor-obor dan menghasilkan cahaya hijau ‘fluorescence’ yang terang. Gene ini kemudiannya dipindahkan ke dalam embrio ikan ‘zebrafish’, dan ini kemudiannya membentuk genome ‘zebrafish’ tersebut. Ini menjadikan ikan ini memiliki keupayaan untuk kelihatan bercahaya di bawah cahaya biasa (white light) dan juga ultraviolet (UV).

Sementara itu ikan dengan keupayan yang sama juga turut dihasilkan di National Taiwan University oleh Professor Huai-Jen Tsai dan mencipta medaka (rice fish), yang juga menghasilkan warna hijau fluorescence.

Ikan ini tidak berjaya digunakan untuk tujuan asal ianya dicipta iaitu untuk mengesan pencemaran. Namun ia kemudiannya di bawa ke United States oleh Alan Blake dan Richard Crockett dari Yorktown Technologies, L.P. dari Austin, Texas. Begitu juga dengan ikan yang dihasilkan oleh Taiwan dan dipasarkan oleh Taikong Corp. Kira-kira 100,000 ikan-ikan ini dijual dalam tempoh kurang dari sebulan dengan harga US$18.60 untuk setiap ekor.

Ikan-ikan GloFish memantulkan cahaya di bawah cahaya UV.

Antara ikan-ikan yang mempunyai biofluorescence secara semulajadi.

Ikan-ikan lain yang mempunyai keistimewaan serupa.

Ikan-ikan GloFish kemudiannya dihasilkan dengan pelbagai warna termasuk merah, hijau, oren-kuning, purple fluorescence, "Electric Green", "Sunburst Orange", "Moonrise Pink", "Starfire Red", "Cosmic Blue", dan "Galactic Purple”. Antara ikan-ikan yang diubah suai pula adalah dari jenis tetra (Gymnocorymbus ternetzi) dan juga tiger barb (Puntius tetrazona).


Ini adalah salah satu contoh penghasilan spesies baru melalui teknik pengubahan genetik atau juga dikenali sebagai GMO. Hidupan yang dihasilkan melalui kaedah ini masih kurang difahami dari segi impaknya kepada alam sekitar. Bukanlah bermakna semua hasil GMO merbahaya, namun kita memerlukan masa lebih lama untuk memahaminya dan berhati-hati mengenai keselamatan penggunaannya.


Free Download



Khamis, 4 Februari 2016

Antara Ikan Terumbu Karang Yang Unik Humuhumunukunukuāpuaʻa

Lagoon Triggerfish, merupakan ikan istimewa bagi Hawaii.

Nama ikan ini sendiri amat unik. Nama tersebut adalah yang diberikan oleh orang Hawaii kepada ikan  lagoon triggerfish (Rhinecanthus aculeatus) yang juga merupakan ikan terumbu karang. Bagi masyarakat Melayu ikan ini adalah tergolong dari kumpulan ikan ayam-ayam. Ia bukan sahaja mempunyai bentuk yang unik malah warnanya juga menarik.

Selain dikenali sebagai lagoon triggerfish, ia juga dikenali sebagai blackbar triggerfish, Picasso triggerfish, Picassofish, Whitebanded Triggerfish, Painted Triggerfish atau Jamal. Ia mungkin mempunyai banyak nama lain mengikut geaografi di mana ia dijumpai. Humuhumunukunukuāpuaʻa, boleh mencapai sehingga saiz 30 cm panjang dan bukanlah merupakan kumpulan ikan triggerfish terbesar dan tidak se-agresif seperti  'titan triggerfish'.


Ikan lagoon triggerfish dari dekat.

Tempat persekitaran habitat ikan ini.

Antara ciri unik triggerfish adalah muncungnya.

Ikan yang akan bersifat ‘territorial’ ini akan mempertahankan kawasannya dari ikan-ikan lain, termasuk penyalam yang menghampirinya. Keadaan ini lebih ketara ketika ikan-ikan mengawal telur-telurnya. Namun ia tidaklah mendatangkan bahaya yang serius kerana gigi ikan lagoon triggerfish tidak pula setajam 'barracuda'.

Selain mempunyai nama yang unik bagi orang-orang Hawaii, ikan ini juga merupakan ikan rasmi bagi negeri tersebut. Ikan lagoon triggerfish mempunyai skema warna yang menarik dan juga corak renang yang unik menjadikan ia antara ikan akuarium yang popular. Namun begitu penjagaan ikan ini adalah jauh lebih rumit dari spesis air masin yang biasa (pastikan anda mempunyai pengalaman yang cukup sebelum mula membela ikan ini).


Antara spesies lain - Clown Triggerfish.

Titan Triggerfish yang lebih besar dan agresif.

Ikan ini memerlukan akuarium bersaiz minima 80 gallon dengan suhu air 76 – 84 °F (24 – 29 °C). Manakala pH air pula berada di sekitar 8.0 – 8.4 dan keadaan graviti antara 1.020 – 1.024 (ini agak sukar untuk diukur). Ia juga perlu diberikan makanan dari pelbagai jenis antaranya termasuk udang kecil, siput berkulit, makanan hidup dan juga ikan. Ia juga tidak sesuai disimpan bersama spesies batu karang.


Oleh kerana ia adalah salah satu daripada kumpulan ikan triggerfish (ayam-ayam) anda juga perlu melihat spesies-spesies lain ikan-ikan ini yang sangat unik. Saya bukanlah menggalakkan anda membela ikan ini, namun berharap supaya  kita dapat memelihara habitatnya supaya ia dapat hidup dengan sempurna.



Free Download



Khamis, 28 Januari 2016

Ikan Yang Unik Pineapplefish

Ikan pineapplefish dari Monaco Aquarium.

Pineapplefish (Cleidopus gloriamaris) merupakan sejenis ikan air masin yang unik kerana kelihatan seperti buah nenas atau buah pine (pinecone). Ia juga mempunyai beberapa nama lain antaranya Pinecone Fish, Coat Of Mail Fish atau Knight Fish. Selain daripada fizikalnya yang unik itu, ia juga dilengkapi dengan organ ‘bioluminescent’ yang digunakan untuk menarik perhatian mangsanya.

Ia merupakan ikan yang berasal daripada perairan Australia seperti di Queensland, New South Wales dan juga Barat Australia. Ikan ini juga biasanya didapati pada kedalaman di antara 6 – 200 meter (20 – 656 ft.) di persekitaran berkarang mahupun kawasan perlabuhan.


Sisik ikan yang tebal dan tajam.

Persekitaran berbatu sebagai tempat persembunyian.

Ikan ini menjadikan kawasan berbatu sebagai persembunyiannya dan keluar pada waktu malam untuk mencari makanan dengan menggunakan bahagian bercahaya pada mulutnya untuk menarik perhatian mangsa. Ia boleh mencapai saiz sehingga 22 cm (8.7 in) panjang. Keseluruhan badannya diselaputi dengan sisik kasar yang agak keras dan berduri.  Bahagian kepalanya agak besar dan muncungnya pula kelihatan tumpul menempatkan mulutnya yang kelihatan besar di mana terdapatnya bahagian bercahaya (bioluminescent) tersebut.
Bahagian bercahaya pada ikan ini adalah dihasilkan oleh kumpulan bakteria iaitu Vibrio fischeri yang tersimpan di bahagian khas (photophores).  Vibrio fischeri merupakan bakteria yang sememangnya boleh dijumpai mendiami perairan laut dan juga sebahagiannya dilepaskan daripada bahagian  ‘photophores’ ikan pineapplefish ini. Cahaya ini akan menjadi semakin malap setelah beberapa jam ianya dilepaskan.

Ikan pineapplefish dari dekat.

Setem dengan gambar pineapplefish.


Ikan ini tidak berapa dikenali pada mulanya dan hanya dijumpai apabila mati dan dihanyutkan ke pantai. Ia juga adakalanya terperangkap di dalam pukat nelayan secara tidak sengaja. Ikan ini hari ini menjadi sebahagian ikan akuarium yang popular dan mampu hidup sehingga 10 tahun di dalam akuarium. Apa yang penting bagi pemelihara ikan ini adalah menyediakan tempat perlindungan berbatu sebagai tempat persembunyiannya.



Free Download



Selasa, 19 Januari 2016

Antara Ikan Tercantik Mandarinfish

Mandarinfish yang memiliki warna-warna yang cantik.


Mandarinfish juga dikenali sebagai mandarin dragonet (Synchiropus splendidus), merupakan ikan yang bersaiz amat kecil dari family ikan dragonet.  Ia adalah spesis ikan air masin yang berasal dari Pacific merangkumi kawasan daripada Ryuku Island sehinggalah ke Australia.

Mandarinfish mempunyai gabungan warna-warna menarik dari biru terang, oren, kuning dan hijau yang menyerlahkan. Ia merupakan antara ikan akuarium air masin yang popular, namun tidak mudah bagi penjagaannya bagi yang baru. Mandarinfish juga adakalanya dikenali sebagai Striped Mandarinfish, Mandarin Goby atau Green Mandarinfish.

Mandarinfish dari jarak dekat.

Berpasangan.

White spotted mandarinfish.

Ikan ini mempunyai tabiat makanan yang khusus menyebabkan ia sukar di pelihara di dalam akuarium. Adakalanya ia hanya makan makanan dari  amphipods dan copepods yang masih hidup sama seperti mana di persekitaran semulajadi. Namun begitu ikan ini pula amat tahan dari jangkitan penyakit seperti  marine ich.

Ikan ini bersaiz kecil iaitu dengan ukuran hanya sekitar 6 cm sahaja. Untuk membezakan antara ikan jantan dan ikan betina bagi spesis ini adalah saiz ikan jantan yang bersaiz lebih besar juga sirip dorsalnya yang lebih panjang. Ia akan hanya bergerak pada jarak yang hampir dengan sarangnya. Walaupun ia boleh hidup sehingga 15 tahun di habitat asalnya, jangka hayat mandarinfish di dalam akuarium hanyalah sekitar 4 tahun sahaja.



Free Download



Arkib Blog