Memaparkan catatan dengan label alam sekitar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label alam sekitar. Papar semua catatan

Isnin, 1 Jun 2015

Peperangan Dengan Plastik

Proses pengumpulan plastik daripada laut.

Plastik merupakan bahan yang paling mudah didapati kerana ia murah dan memudahkan bagi manusia dalam kegunaan harian terutama pembungkusan. Ia mudah dibentuk, tidak berkarat, tidak mudah pecah, ringan dan tidak mudah mereput. Plastik sintetik pertama adalah dikenali sebagai bakelite, direka di New York pada tahun 1907 oleh Leo Baekeland. Semenjak daripada itu kepesatan rekaan berasaskan plastik dan penggunaannya dipelbagaikan dan kini ia digunakan hampir di seluruh dunia.

Acaman plastik telah diketahui sejak awal lagi iaitu ia merupakan bahan yang tidak mudah terurai secara semulajadi. Namun kepesatan dunia rekaan berasas bahan plastik semakin meluas dan lebih banyak plastik dihasilkan. Antara plastik-plastik yang biasa digunakan termasuklah dari jenis; polyester (PES), polyethylene terephthalate (PET), polyethelene (PE), high-density polyethylene (HDPE), polyvinyl choliride (PVC), polyvinylidene chloride (PVDC), low-density polyethylene (LDPE), polypropylene (PP), polystyene (PS), high impact polystyrene (HIPS), polyamides (PA), Acrylonitrile butadiene styrene (ABS), polycarbonate (PC), polyurethanes (PU) dan banyak lagi jenis-jenis plastik yang direka untuk memenuhi keperluan tertentu.


Lokasi-lokasi utama kumpulan plastik.

Bagi sepanjang tempoh ianya mula digunakan, plastik yang dibuang dihanyutkan ke sungai dan seterusnya ke laut. Walaupun hari ini langkah kitar-semula giat dijalankan, longgokan plastik yang telah terkumpul di lautan adalah amat memeranjatkan. Longgokan plastik ini terus bertambah setiap hari dan terapung mengikut arus lautan dan membentuk longgokan besar di beberapa lokasi utama di lautan utama dunia. Apa yang membimbangkan longgokan ini bukan sahaja mencemarkan malah ia menjadi punca pada kematian hidupan liar.

Plastik mendatangkan masalah bukan sahaja apabila ditelan oleh hidupan-hidupan ini, Ia menyebabkan kematian kepada haiwan dalam pelbagai cara. Plastik adakalanya menjerut haiwan-haiwan ini dan menyebabkan kecederaan yang serius. Adakalanya menyukarkan pergerakan dan menyebabkan haiwan tidak dapat bergerak dan mati kelemasan. Bagi haiwan yang menyangkakannya obor-obor pula akan memakan plastik dan menyebabkan plastik tersebut tertinggal di dalam badan mereka sehingga menyebabkan haiwan tersebut mati.

Walaupun usaha sering dilakukan untuk menyelamatkan haiwan-haiwan ini, namun sekiranya plastik terus dibuang dan longgokan besar plastik-plastik di  laut tidak dibersihkan, usaha ini akan tetap menjadi sia-sia. Adakah kita manusia akan hanya berpeluk tubuh atas perbuatan kita ini? Apakah kita menyangka bahawa manusia tidak memerlukan alam (sekiranya berlaku kepupusan besar-besaran?) Ini kerana di kawasan longgokan sampah gergasi ini, didapati tiada plankton yang menjadi makanan hidupan laut – sedangkan setiap hari ia terus membunuh haiwan-haiwan lain.


Burung yang mati akibat memakan plastik.


Plastik yang menjerut anjing laut.


Kecacatan yang diakibatkan plastik.

Usaha Pembersihan Plastik di Laut

Usaha pembersihan plastik dilautan sebelum ini dianggap mustahil disebabkan banyak faktor. Malah semua pihak mengambil jalan menunggu tindakan orang lain. Syarikat-syarikat pengeluar plastik sendiri tidak memandang serius perkara ini. Mungkin oleh kerana ia tidak mendatangkan keuntungan atau kita sendiri, masyarakat dunia yang terus tanpa henti membuang plastik merata-rata.

Keadaan semakin berubah apabila seorang remaja berusia 19 tahun yang ingin melihat longgokan plastik-plastik ini dapat dibersihkan. Remaja tersebut adalah Boyan Slat (lahir pada 27 Julai, 1994) dari Belanda yang juga merupakan seorang pelajar kejuruteraan earo-angkasa. Cita-cita beliau ini diteruskan walaupun mengalami pelbagai tentangan, masalah dan berseorangan. Sehinggalah beliau berjaya sedikit-demi sedikit dalam membentuk satu organisasi yang akhirnya dikenali sebagai yayasan – The Ocean Cleanup. Dimana beliau dibantu oleh beberapa lagi pakar daripada Delf University of Technology bagi memastikan usaha beliau dapat dilakukan dengan jayanya.

Daripada itu banyak kajian dilakukan, bagi mengelakkan usaha ini akan mendatangkan masalah yang lain. Keseluruhan usaha ini perlu dilakukan dengan teliti ini kerana masalah loggokan plastik sudah merupakan satu masalah yang besar, jadi menambahkan masalah lain bukanlah satu langkah yang bijak. Ujian demi ujian dilakukan dan nasihat daripada pakar-pakar lain turut diambil kiara bagi memastikan impak daripada program ini tidak menjejaskan alam dan mematuhi undang-undang marin.

Usaha ini telah berjalan beberapa tahun lamanya dan mendapat sokongan daripada orang ramai dengan sumbangan kira-kira $2M untuk pemasangan modul pengumpulan plastik yang pertama dari lautan Atlantik. Usaha beliau ini telah mendapat penghargaan dalam kategori ‘Champion of the Earth’ daripada United Nation Environment Programme pada tahun 2014.

Penghargaan bukanlah satu sebab mengapa usaha ini dijalankan, namun sebagai sebahagian daripada penduduk dunia yang bertanggungjawab kita harus sama-sama mendukung cita-cita ini iaitu untuk memastikan alam sekitar sentiasa bersih dan selamat untuk semua makhluk. Mungkin usaha kecil anda dengan tidak membuang plastik merata-rata adalah salah satu sumbangan yang juga membantu. Pendek kata kita manusia pemimpin dunia – lakukan tanggungjawab masing-masing mengikut kemampuan. Terima kasih.








Free Download



Sabtu, 28 Mac 2015

Mikro Post; Dung Beetle

Kumbang Tahi memindahkan tahi ke kawasan yang sesuai untuk dijadikan sarang.

Dung Beetle atau juga dikenali dengan nama “Kumbang Tahi” mungkin kurang menarik bagi anda, namun setelah anda membaca artikel kali ini anda mungkin tahu bahawa kumbang ini amat istimewa dan penting sekali dalam ekosistem. Kumbang tahi bukan sahaja berbentuk kurang menarik dan berwarna gelap, malah pekerjaannya dalam menjadikan najis haiwan lain sebagai makanan mungkin agak menggelikan.

Sebenarnya kumbang tahi merupakan serangga yang amat istimewa malah penting sekali dalam ekosistem. Selain daripada membersihkan najis haiwan lain ia mengelakkan merebaknya wabak penyakit dengan pembiakan serangga dan haiwan penyebar penyakit seperti lalat.

Dung beetle - Onitis aygulus
Dung beetle - Onitis aygulus

Dung beetle - Onthophagus nigriventris
Dung beetle - Onthophagus nigriventris

Sebahagian kumbang-kumbang hanya memakan najis haiwan-haiwan tertentu sahaja manakala ada juga yang memakan pelbagai jenis. Oleh kerana najis haiwan herbivor mengandungi kandungan makanan yang tidak dihadamkan oleh haiwan-haiwan ini, maka ia menjadi sumber makanan yang sesuai bagi kumbang tahi. Namun begitu kajian daripada University of Nebraska mencadangkan kumbang ini lebih tertarik kepada najis haiwan omnivor kerana mengandungi nutrient dan juga bauan yang lebih mudah untuk dikesan.

Walaupun kebanyakan kumbang tahi menggulingkan najis ke lokasi yang sesuai untuk ditanam dan dijadikan sarang. Namun banyak spesies lain yang mempunyai kaedah unik masing-masing untuk menjadikannya sebagai makanan dan untuk tujuan pembiakan. Ada yang akan tinggal berdekatan dengan kawasan najis tersebut dijumpai atau terus tinggal di dalam najis tersebut.

Kumbang ini amat penting, di negara-negara yang mempunyai industri penternakan haiwan seperti lembu dan kambing, memerlukan kumbang ini untuk membantu membersihkan najis haiwan ternakan yang dihasilkan. American Institute of Biological Sciences melaporkan kumbang ini telah membantu industri penternakan lembu di United States sebanyak USD380 juta setahun dalam pembersihan najis haiwan ternakan yang berada di atas tanah.

types of dung beelte
Perbezaan cara kehidupan spesies-spesies kumbang tahi

Malah penggunaan kumbang tahi juga digunakan di negara Australia bagi membantu negara tersebut menangani masalah yang sama dalam industri penternakan lembu di negara itu. Melalui pengenalan 23 spesies kumbang dari Afrika Selatan dan Eropah, ia memberikan hasil yang amat memberangsangkan dalam menjaga kebersihan kawasan ragut dan mengurangkan pembiakan serangga perosak seperti lalat.


Banyak lagi perkara menarik mengenai kumbang ini yang perlu anda ketahui. Mungkin kehidupan serangga ini sedikit menggelikan anda, namun kepentingan serangga unik ini kepada alam amatlah besar. Tanpa kumbang ini tentu kita akan berhadapan dengan masalah kebersihan yang lebih serius.




Free Download



Jumaat, 28 Mac 2014

Keunikan Dunia Serangga Mentadak Orkid

Mentadak Orkid
Mentadak Orkid kelihatan mirip seperti bunga orkid, menunggu serangga.

Seperti yang kita ketahui terdapat pelbagai spesis serangga dan sukar sekali bagi kita menentukan jumlah sebenar mereka – manakala spesis terbaru sentiasa ditemui. Mungkin kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang terlalu jauh daripada manusia atau mereka sendiri terlalu sukar untuk dikesan.

Mentadak orkid adalah sejenis serangga yang menyerupai bunga orkid iaitu tempat di mana ia akan meluangkan masa menunggu mangsanya – serangga pendebunga yang lain seperti rama-rama dan lebah. Oleh kerana rupa bentuk dan warnanya mirip sekali dengan persekitaran – bunga orkid, jadi mangsa dan pemangsa sukar sekali mengesan kehadiran Mentadak Orkid ini.

Mentadak Orkid (Hymenopus coronatus) mendiami kawasan persekitaran hutan hujan termasuklah Malaysia. Dalam ekspedisi untuk mengkaji mentadak istimewa ini dua saintis James O’hanlon dan Marie Herberstein daripada Macquarie University, Australia mendapatkan khidmat penduduk tempatan (asli) bagi mengesan dan mendekati serangga ini dengan lebih dekat.

Mata serangga
Serangga dengan mata majmuk.

Melalui kajian mereka menggunakan peralatan yang mampu mengukur warna melalui jarak gelombang (spectrophotometer) untuk membezakan warna mentadak dan juga warna bunga-bungaan di mana mentadak ini biasanya menunggu mangsanya. Kajian mendapati adalah agak sukar bagi serangga membuat perbezaan kerana mata serangga adalah berbeza dengan mata manusia dan kelebihan inilah yang digunakan oleh mentadak orkid bagi mengelirukan mangsanya.

Penglihatan serangga
Perbezaan daya penglihatan serangga seperti yang digambarkan di kaca TV, penglihatan sebenar dan pengelihatan manusia.

Kajian saintis ini turut dimuatkan di dalam majalah ‘American Naturalist’ setelah menjayakan kajian ini melalui tajaan oleh National Geographic di kawasan hutan Borneo, Malaysia.


Maka dengan ini anda pasti akan terfikir berapa banyakkah lagi serangga-serangga yang masih belum lagi dikenal pasti dan apakah keunikan mereka? Adakalanya sifat-sifat istimewa inilah yang digunakan oleh manusia di dalam teknologi pembuatan, ketenteraan, reka bentuk dan sebagainya. Jadi jangan lepaskan peluang anda sekiranya mempunyai sedikit masa untuk memerhatikan haiwan atau serangga yang berada di sekeliling anda.


Free Download




Ahad, 26 Ogos 2012

Bagaimana Teknik Pelupusan Sampah di Rumah Penting Untuk Kebersihan Alam?

Kotak pelupusan sampah (incinerator) kegunaan rumah.

Setelah seminggu berhari raya mungkin kita perasan dengan longgokan sampah yang banyak dan sukar untuk dilupuskan akan mendatangkan pelbagai masalah. Sampah bukan sahaja menimbulkan bau yang tidak disengani malah mengundang anjing liar serta penyakit merbahaya. Jadi bagaimana caranya untuk mengelakkan maslah longgokan sampah ini? 

Bagi kawasan kecil atau persendirian mungkin anda tidak terfikir untuk memiliki sebuah pelupus sampah sendiri. Tapi sebenarnya teknik pelupusan sampah persendirian ini boleh dibuat dengan menggunakan bahan-bahan yang terbuang. Malah lebih menjimatkan hasil pelupusan boleh digunakan untuk menyuburkan semula kawasan taman di rumah anda.

Pelupus sampah sebenarnya mengumpulkan haba yang cukup untuk membakar semua sampah dengan sempurna. Maka dengan itu hasil pelupusan merupakan bahan yang baik untuk menjadi nutrient kepada tanah. Berbanding dengan teknik pembakaran biasa, haba yang tersebar menjadikan banyak sampah yang tertinggal (tidak terbakar), maka pelupusan menjadi sukar terutama sampah yang agak lembab seperti sampah makanan.

Pelupus sampah ringkas untuk rumah.

Bagi pelupus sampah ringkas boleh dibuat menggunakan tong yang besar dengan menyediakan lubang-lubang udara di bahagian bawahnya. Aliran udara ini yang membantu untuk proses pembakaran berlaku dengan sempurna. Manakala ruangan di dalam tong memerangkap haba supaya dapat membakar keseluruhan sampah sehingga betul-betul habis. Sekiranya anda boleh menyediakan satu ruangan khas untuk pelupusan sampah ianya boleh dibuat menggunakan konkrit bagi struktur tetap (permanent).

Sekiranya anda memilih untuk tidak menggunakan proses pembakaran sebagai teknik pelupusan pula, anda bolehlah menggunakan teknik pelupusan secara kompos. Teknik ini memerlukan masa yang lebih panjang. Ianya juga akan memakan kawasan yang lebih luas sekiranya bahan buangan anda adalah banyak. Teknik pelupusan kompos lebih mudah kerana anda hanya perlu menyediakan lubang dan memasukkan bahan buangan organik ke dalam lubang tersebut. Cuma perlu diingatkan teknik ini hanya untuk bahan organik sahaja. Tutup lubang ini bagi mengelakkan gangguan binatang serta menggalakkan aktiviti organisma pengurai.

Incinerator untuk kegunaan ladang (buangan haiwan).

Incinerator untuk bahan buangan perubatan (medical waste).

Adalah penting bagi kita memastikan persekitaran yang bersih dan selamat. Banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk membantu alam sentiasa bersih;

i)                    Kurangkan penggunaan bahan plastik terutama untuk bungkusan barang.

ii)                   Sentiasa kitar semula barang yang telah digunakan.

iii)                 Gunakan teknik pelupusan yang betul. Ini dapat mengelakkan pencemaran punca air bagi skala yang besar.

iv)                 Lupuskan bahan buangan anda sendiri dengan kaedah yang betul.

Mungkin sebahagian kita tidak memandang perkara ini sebagai suatu perkara yang serius. Tetapi jelas dapat dilihat kadar penurunan kebersihan di beberapa kawasan yang dijadikan tapak pelupusan sampah kepada penduduk amat membimbangkan. Bau yang dihasilkan juga tidak menyenangkan selain menjadi tumpuan kepada haiwan liar seterusnya air dari kawasan inilah yang masuk kedalam sungai kita yang menjadikan punca air kita tidak selamat, begitu juga ikan yang hidup di dalamnya. Perlu diingat kesanya boleh mendatangkan keburukan bagi kita dalam jangka masa panjang.


Pelupus sampah seperti ini lebih efisyen untuk ladang-ladang kecil.



Free Download



Arkib Blog