Memaparkan catatan dengan label bunga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bunga. Papar semua catatan

Isnin, 14 April 2014

Keunikan Bunga Terbesar Di Dunia

Bunga Rafflesia boleh mencapai saiz sehingga 1 meter.

Bunga terbesar di dunia mungkin tidak akan menjadi hiasan di halaman anda kerana ianya bukanlah dari jenis yang sesuai di tanam di halaman. Namun begitu keunikan bunga ini jauh berbeza dari bunga-bungaan yang lain dan mempunyai fungsi tersendiri dalam mengawal keseimbangan alam.

Terdapat 2 jenis bunga yang mencapai saiz yang jauh besar berbanding bunga-bunga yang lain. Selain daripada saiz bunganya yang besar itu, ia juga mempunyai ciri-ciri yang berbeza daripada tumbuhan-tumbuhan yang lain;

Rafflesia


Rafflesia adalah tumbuhan yang tumbuh di kawasan hutan hujan Khatulistiwa termasuk Borneo, Sumatra, Thailand dan Philipina. Terdapat juga spesis rafflesia yang hidup di kawasan hutan hujan di Semenanjung Malaysia seperti di Hutan Simpan Belum, Perak. Perbezaan yang paling ketara untuk Rafflesia ini adalah ianya tidak mempunyai batang ataupun daun. Ia merupakan tumbuhan parasit yang hidup di atas tumbuhan yang lain. Malah ia mempunyai ciri-ciri yang lebih mirip kepada kulat atau cendawan.

Saiz Rafflesia boleh menjangkau sehingga 1 meter (3 kaki) lebar dengan berat sehingga 10 kg (22 lb.). Disamping itu juga Rafflesia mengeluarkan bau yang kurang enak seperti daging busuk untuk menarik perhatian serangga-serangga di dalam hutan untuk membantu proses pendebungaan bunganya. Ini kerana Rafflesia juga mempunyai bunga jantan dan bunga betina.


Bunga Rafflesia tumbuh di atas tumbuhan lain.

Dari dekat bahagian tengah bunga Rafflesia.

Bunga Bangkai


Bunga bangkai mempunyai saiz yang menakjubkan.

Berbeza dengan Rafflesia, Bunga Bangkai (Amorphophallus titanum) lebih menyerupai bunga dari tumbuhan-tumbuhan yang lain kerana terdapat tumbuhan dari spesis yang sama di tanam sebagai hiasan di rumah-rumah. Namun begitu ia tidak sesuai sebagai tanaman hiasan kerana turut menghasilkan bau yang kurang enak seperti daging busuk – sebab itulah ianya dinamakan ‘Bunga Bangkai’ di kawasan asal mereka iaitu Sumatra.

Struktur bunganya yang menegak boleh mencapai sehingga 2.73 meter (8 kaki 11 inci) seperti sample yang dibesarkan di University of Bonn, Germany. Oleh kerana pokok ini sangat berbeza dari pokok-pokok yang lain ia banyak dibesarkan di taman-taman botani dan pengumpul tumbuhan dari seluruh dunia.


Bunga yang menjadi koleksi taman-taman botani di Eropah!

Bunga bangkai sentiasa mendapat perhatian para peminat tumbuhan.

Seperti juga bunga Rafflesia ia juga mempunyai bunga jantan dan bunga betina. Malah bunga betina akan hanya boleh didebungakan dalam masa 1 malam sahaja. Maka dengan itu ia perlu berjaya menarik perhatian serangga untuk memastikan proses pendebungaan dapat berjalan dalam masa yang ditentukan.

Itulah serba sedikit tentang dua bunga terbesar di dunia. Mungkin ia tidak akan menjadi hiasan di halaman rumah anda, tetapi ia tetap memainkan fungsi di dalam alam semulajadi dalam mengawal keseimbangannya. Malah ia mungkin mempunyai fungsi yang lain seperti perubatan. Terima kasih kerana membaca.

Free Download



Isnin, 9 Disember 2013

Bunga-bungaan Harum Untuk Halaman

Bunga Cina menghasilkan bauan harum untuk halaman.

Bunga-bungaan yang harum bukan sahaja menjadi kegemaran surirumah dan pekebun malah setiap orang yang meluangkan masa di persekitarannya tentu dapat merasakan perbezaan kesegaran udara yang nyaman daripada bauan yang dihasilkan. Terdapat pelbagai tanaman hiasan yang menarik, tetapi sekiranya ianya menghasilkan bauan yang harum, tentu menambahkan lagi keunikan taman anda. Mari ikuti sebahagian daripada bunga-bungaan tersebut.

Jasmine/ Melati


Jasmine memang terkenal dan digunakan untuk membuat haruman. Terdapat lebih daripada 200 spesis melati dan yang paling terkenal adalah melati putih (jasminum sambac). Selain daripada bauan yang harum warnanya yang putih juga menjadi simbol kesucian pokok ini. Maka haruman jasmine menjadi salah satu haruman yang sesuai sekali bagi wanita. Pokok jasmine tumbuh dengan memerlukan sokongan dan boleh mencecah sehingga 3-5 meter tinggi. Ia juga sering dijadikan hiasan kepala selain kalungan bunga. Bunga yang kering juga boleh dijadikan teh selain dirposes untuk membuat pati haruman.

Ros/ Mawar


Ros tidak asing lagi sebagai haruman yang sememangnya popular sejak dahulu lagi. Walaupun pohonnya berduri ros tetap menjadi pilihan setiap pengemar tanaman. Selain popular sebagai hadiah untuk meluahkan kasih sayang bunga ros juga digunakan untuk membuat haruman. Juga terdapat teh yang dihasilkan daripada bunga dan buah dari spesis bungaan ini. Haruman ros berbau lembut dan amat menyamankan.

Frangipani


Nama bunga ini adalah bersempena nama seorang bangsawan Itali yang pada abad ke-16 yang menggunakan bunga ini untuk membuat haruman. Ia juga dikenali sebagai Plumeria dan bunga ini juga merupakan antara spesis daripada bunga kemboja yang sememangnya mengeluarkan haruman terutama pada waktu malam.

Bunga ini sememangnya harum dan biasanya dijual kepada pengeluar haruman untuk dijadikan pati haruman. Ia juga sering digunakan di spa-spa untuk perawatan berkaitan seperti mandi bunga dan sebagainya.

Sweet Alyssum


Sweet Alyssum adalah tumbuhan yang kecil yang berbunga sepanjang tahun. Pokok hanya sekitar 5-30cm sahaja. Pokok ini akan dipenuhi dengan bunga-bunga bersaiz kecil iaitu 5mm sahaja dan mengeluarkan bauan yang manis. Bunganya mempunyai 4 kelopak dari warna seperti putih, pink, merah, violet atau lilac. Pokok ini berasal dari kawasan di Mediterranean dan kawasan sekitarnya. Penanamannya adalah melalui biji yang biasanya diterbangkan angin.

Chocolate Cosmos


Bunga istimewa ini berasal dari Mexico dan adalah dari spesis bunga kosmos namun mempunyai bauan yang harum seakan-akan vanilla/coklat. Mempunyai ketinggian antara 49-60cm dan boleh berbunga sepanjang tahun. Cuma usia pokok ini tidaklah terlalu lama. Bunga ini juga dikatakan telah pupus namun diperkenalkan semula pada tahun 1902. Bauannya lebih ketara ketika musim panas.


Wisteria


Wisteria merupakan spesis tumbuhan kekacang yang melilit pada pohon lain untuk tumbuh dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Ia merupakan tumbuhan asal di bahagian Timur Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea. Spesis yang dikatakan mengeluarkan bauan yang harum adalah daripada jenis Chinese Wisteria. Tumbuhan ini juga tumbuh dengan melilit pada pohon yang lain dan adakalanya boleh mengancam tumbuhan tersebut. Jadi bagi tumbuhan ini sebaiknya ia disediakan sokongan sendiri.

Sweet Pea


Juga merupakan tumbuhan kekacang yang melilit. Ia merupakan hasil daripada pendebungaan silang untuk menghasilkan bauan yang lebih enak pada lewat tahun 1870an oleh pengeluar bungaan berbangsa Scottish. Terdapat pilihan warna dari merah ke pink atau putih ke kuning. Pokok ini boleh memanjat sehingga 1-2meter dan mempunyai bunga yang bersaiz 2-3.5cm.

Lily of the Valley


Bunga ini amat terkenal kerana bauannya yang harum dan sering digunakan sebagai pewangi. Namun begitu tumbuhan ini juga beracun dan perlu diberikan perhatian terutama kepada kanak-kanak. Ia tumbuh pada kawasan yang bercuaca dingin dan biasanya mengeluarkan bunga pada lewat musim bunga. Bunganya yang cantik seakan-akan loceng bersaiz di antara 5-10mm mengeluarkan bauan yang memikat. Walaupun ia beracun ia tetap merupakan antara bungaan yang popular dijadikan wangian.

Gardenia/ Bunga Cina


Bunga Gardenia terdiri dari beberapa spesis yang juga dikenali di negara kita sebagai bunga Cina dengan bauan yang harum seakan-akan bunga melur. Bunganya yang mempunyai kelopak yang tebal dan berwarna putih kekuningan ini mempunyai bau yang kuat tetapi lembut. Ia merupakan satu lagi bunga yang sering digunakan di dalam wangian. Pokok bunga ini agak besar dan ada juga spesis yang lebih kecil. Bauan daripada bunga ini jelas sekiranya ia berada di halaman rumah.


Four O'Clock


Bunga ini juga dikenali sebagai Marvel of Peru atau nama saintifiknya Mirabilis Jalapa mempunyai bunga yang pelbagai warna. Terdapat juga pokok yang menghasilkan pelbagai warna selain daripada kombinasi pelbagai warna pada satu bunga. Bauannya adalah bertujuan menarik perhatian serangga yang terdiri daripada rama-rama jadi bunganya kembang pada lewat petang dan layu keesokan harinya. 

Terdapat banyak lagi bunga-bunga yang berbau harum yang sesuai sekali dijadikan tanaman di sekitar rumah bagi menyegarkan lagi udara persekitaran halaman atau taman. Suasana begini tentu sahaja menyamankan bagi anda seisi keluarga meluangkan masa bersama di waktu petang atau hujung minggu untuk beristirehat. Bagi yang serius dengan tanaman bunga pula bolehlah menjadi pembekal pada pembeli yang menggunakan bunga-bungaan untuk dijadikan pati haruman.



Free Download



Ahad, 8 Disember 2013

Keistimewaan Bunga Telang, Nasi Kerabu

Bunga Telang Biru
Bunga Telang merupakan rahsia kenapa Nasi Kerabu bewarna biru. Bagi saya sendiri selalu tertanya kenapa nasi kerabu berwarna biru dan bagaimana ianya dihasilkan. Nasi kerabu yang popular di pantai timur ini, kini menjadi sajian di merata tempat di sekitar Malaysia terutama di bazar ramadhan dan gerai-gerai yang menjual makanan dari pantai timur.


Bagi yang tidak mengenali bunga telang mungkin tidak menyangka ia digunakan untuk mewarnakan makanan kegemaran ramai ini. Ini kerana bunga telang tumbuh meliar di pinggir halaman atau belukar. Pokoknya yang melilit seperti juga pokok bunga seri pagi memerlukan pokok lain atau pagar sebagai sokongan bagi membolehkan ia menjalar dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Keistimewaan utama bunga ini adalah ia sangat berguna sebagai pewarna makanan.

Bunga telang atau nama saintifiknya 'Clitoria ternata' tumbuh di sekitar kawasan khatulistiwa di Asia, namun ia juga diperkenalkan ke kawasan lain seperti Afrika, Australia dan Amerika. Ia juga dikenali dengan nama seperti kembang telang (Sunda), kembang teleng (Jawa), temen raleng (Bugis) dan lain-lain lagi. Bunga ini juga digunakan di dalam makanan di Thailand dan Burma.

Bunga dan Kacang Telang

Seperti tumbuhan kekacang yang lain pokok bunga telang tumbuh daripada biji dari kekacangnya. Tumbuhan ini melilit jadi ia memerlukan 'junjung' seperti pokok kacang panjang atau biasanya di tanam supaya melilit di pagar. Ia juga boleh digunakan untuk mengembalikan kesuburan tanah kerana seperti juga pokok semalu yang mempunyai backteria 'rhizobia' yang mengikat Nitrogen di dalam udara untuk digunakan oleh tumbuhan. Jadi melalui pereputan pokok ini ia akan mengembalikan semula kesuburan kepada tanah.

Bunganya akan melayu setelah tamat proses pendebungaan dan akan menghasilkan kantung kekacang yang berukuran 5 - 7 cm panjang. Ianya agak leper seperti juga kacang peas dan mengandungi antara 6 ke 10 biji kacang di dalam satu kantung. Kacang yang telah matang akan kelihatan coklat manakala bijinya akan bewarna gelap. Biji ini bolehlah disemai sekiranya anda berminat untuk menanam pokok bunga telang.

Teh Bunga Telang

Untuk menggunakannya sebagai pewarna makanan, ia direndam di dalam air panas yang kemudian digunakan untuk memasak nasi, bagi nasi kerabu. Selain itu ia juga digunakan untuk menyediakan minuman yang dikenali sebagai 'nam dok anchan' di Thailand. Ia akan betukar warna kepada 'pink-purple' apabila dicampurkan sedikit perahan limau. Tedapat juga makanan yang menggunakan bunga ini yang dipanggil sebagai kuih ketan atau pulut tai tai oleh masyarakat Peranakan/Nyonya.

Untuk merawat bisul bunga telang dilumatkan secukupnya dan dicampurkan dengan asam jawa yang kemudiannya digunakan pada kawasan yang menghidapi bisul. Selain itu air rebusan akar telang putih juga boleh digunakan untuk tujuan membersihkan darah.

Tom dok anchan dari Thailand
Nasi Kerabu merupakan makanan popular Pantai Timur, Malaysia.
Nasi Kerabu mudah dipadankan dengan sebarang hidangan.

Air rebusan akar telang juga dikatakan merawat demam serta masalah berkaitan pernafasan seperti kahak dan bronkitits, selain membantu melawaskan pembuangan air kecil. Untuk tujuan ini akar pokok telang yang kering direbus di dalam air (4 cawan) sehingga tinggal 2 cawan. Air yang telah sejuk, bolehlah diminum 2 kali sehari.

Keradangan mata juga (mata kelihatan merah) boleh dirawat menggunakan air daripada rendaman bunga telang. Rendam bunga telang secukupnya di dalam air sehingga air bertukar menjadi biru. Gunakan air tersebut untuk mencuci mata yang kemerahan.

Begitulah antara keistimewaan tumbuhan pokok telang ini. Bagi yang tidak mengetahui keistimewaanya mungkin menyangka ianya adalah pokok biasa yang tumbuh di belukar. Tapi anda mungkin bertukar pendapat sekiranya anda selalu menikmati hidangan nasi kerabu. Mungkin terdapat banyak lagi keistimewaan pokok serta bunganya. Jadi bagi sesiapa yang tahu bolehlah berkongsi maklumat di dalam komen. Terima kasih.

Benih pokok ini boleh didapati dari: tanamsendiri.com


Free Download



Jumaat, 20 September 2013

Pokok Membawa Tuah Untuk Rumah dan Pejabat

Pokok bertuah biasa didapati di rumah-rumah dan ruangan pejabat terutamanya bagi kaum Cina. Terdapat pelbagai jenis pokok yang tergolong dalam kumpulan ini namun di sini hanya beberapa di antaranya sahaja yang akan diketengahkan. Mari kita sama-sama lihat pokok-pokok yang unik ini. Sama ada pokok-pokok ini bertuah ataupun tidak, itu terpulang kepada anda sendiri untuk menilai, apa pun pokok-pokok ini semuanya istimewa.


Buluh Tuah – Lucky Bamboo

Pokok Lucky Bamboo mudah dibentuk.

Buluh Tuah (Lucky bamboo) biasa dilihat dengan pelbagai bentuk. Sifatnya yang mudah untuk dibentuk menjadikan ianya menarik untuk dibiak di dalam bekas hiasan yang menarik. Adakalanya ianya dianyam untuk menghasilkan bentuk yang lebih menarik.

Buluh Tuah ini boleh dibiak dengan mudah di dalam bekas kaca atau tembikar. Masukkan batu-batu sungai (batu hiasan) untuk menyokong batang buluh tadi. Isikan air yang berklorin rendah (boleh gunakan air tapisan RO) dan hiaskan bekas tadi dengan ikatan tali atau reben merah (ikut suka anda lah). Jangan lupa masukkan sedikit baja – baja cecair adalah pilihan terbaik. Tempatkan buluh di tempat yang redup seperti di meja hiasan tepi, kaunter penyambut tetamu ataupun meja menunggu.

Jade Plant (Crassula ovate)



Pokok Jade mempunyai daun yang menyerupai batu jade.

Pokok Jade juga dikenali sebagai pokok duit Asia dan cukup dikenali di banyak negara sekitar Asia. Ditanam dalam bentuk bonsai menjadikan pokok ini merendang dalam keadaan yang sederhana dan menyerlahkan lagi daunya yang seakan-akan dari batuan jade yang menawan.


Bagi menambahkan tuah pokok ini perlu diletakkan di sudut Barat Daya sesebuah rumah, restoran ataupun ruangan pejabat bagi menguatkan lagi daya tarikan pokok ini (untuk tuah). Pokok Jade boleh ditanam di dalam atau di luar rumah – pastikan pokok terdedah kepada cahaya matahari. Patikan tanahnya sentiasa lembab dan elakkan daunya daripada dilitupi debu. Tambahkan kelikir di atas permukaan tanah pasu pokok bagi menggalakkan pengaliran air.


Pokok Duit (Pachira aquatica)



Pokok ini unik kerana mempunyai daun 5-setangkai yang dikatakan berhubung rapat dengan 5 unsur utama iaitu tanah, api, air, angin dan logam. Kebanyakannya ditanam dalam bentuk bonsai, adakalanya batangnya turut dianyam untuk menambahkan keunikan dalam penanamannya. Ianya boleh mencapai saiz yang agak besar sekiranya perlu.

Ianya merupakan tumbuhan kawasan paya yang memerlukan tanahnya sentiasa lembab. Manakala dari segi pencahayaan pula ia memerlukan sedikit cahaya dan sedikit redup. Jadi sekiranya ianya diletakkan di dalam rumah, pastikan ianya berhampiran sumber cahaya (tingkap).

Peace Lily



Bunga Lily yang putih ini dikatakan amat menyerupai bunga anthurium, manakala ia juga amat berguna untuk ruangan dalaman rumah sebagai pembersih udara daripada kandungan toksid dan juga dikenali sebagai symbol nasib baik dan harmoni. Pokok ini amat mudah dari segi penjagaan dengan meletakkan kepada tempat yang mendapat cahaya secara tidak langsung. Bunga lily ini juga mampu bertahan untuk jangka masa yang agak lama.


Pokok Limau



Pokok limau dianggap sebagai symbol kesihatan, umur panjang, kekayaan dan keharmonian bersama-sama dengan pokok Buluh Tuah dan Pokok Duit. Semasa Hari Raya Cina pokok ini akan dihias untuk mengundang nasib baik, kekayaan dan kesihatan kepada keluarga serta perniagaan sepanjang tahun. Pokok limau ini akan dibentuk menjadi bonsai dan diletakkan disepanjang jalan masuk sebagai mengundang kepada nasib baik serta pengaliran wang yang baik.



Free Download



Arkib Blog