Isnin, 9 Disember 2013

Bunga-bungaan Harum Untuk Halaman

Bunga Cina menghasilkan bauan harum untuk halaman.

Bunga-bungaan yang harum bukan sahaja menjadi kegemaran surirumah dan pekebun malah setiap orang yang meluangkan masa di persekitarannya tentu dapat merasakan perbezaan kesegaran udara yang nyaman daripada bauan yang dihasilkan. Terdapat pelbagai tanaman hiasan yang menarik, tetapi sekiranya ianya menghasilkan bauan yang harum, tentu menambahkan lagi keunikan taman anda. Mari ikuti sebahagian daripada bunga-bungaan tersebut.

Jasmine/ Melati


Jasmine memang terkenal dan digunakan untuk membuat haruman. Terdapat lebih daripada 200 spesis melati dan yang paling terkenal adalah melati putih (jasminum sambac). Selain daripada bauan yang harum warnanya yang putih juga menjadi simbol kesucian pokok ini. Maka haruman jasmine menjadi salah satu haruman yang sesuai sekali bagi wanita. Pokok jasmine tumbuh dengan memerlukan sokongan dan boleh mencecah sehingga 3-5 meter tinggi. Ia juga sering dijadikan hiasan kepala selain kalungan bunga. Bunga yang kering juga boleh dijadikan teh selain dirposes untuk membuat pati haruman.

Ros/ Mawar


Ros tidak asing lagi sebagai haruman yang sememangnya popular sejak dahulu lagi. Walaupun pohonnya berduri ros tetap menjadi pilihan setiap pengemar tanaman. Selain popular sebagai hadiah untuk meluahkan kasih sayang bunga ros juga digunakan untuk membuat haruman. Juga terdapat teh yang dihasilkan daripada bunga dan buah dari spesis bungaan ini. Haruman ros berbau lembut dan amat menyamankan.

Frangipani


Nama bunga ini adalah bersempena nama seorang bangsawan Itali yang pada abad ke-16 yang menggunakan bunga ini untuk membuat haruman. Ia juga dikenali sebagai Plumeria dan bunga ini juga merupakan antara spesis daripada bunga kemboja yang sememangnya mengeluarkan haruman terutama pada waktu malam.

Bunga ini sememangnya harum dan biasanya dijual kepada pengeluar haruman untuk dijadikan pati haruman. Ia juga sering digunakan di spa-spa untuk perawatan berkaitan seperti mandi bunga dan sebagainya.

Sweet Alyssum


Sweet Alyssum adalah tumbuhan yang kecil yang berbunga sepanjang tahun. Pokok hanya sekitar 5-30cm sahaja. Pokok ini akan dipenuhi dengan bunga-bunga bersaiz kecil iaitu 5mm sahaja dan mengeluarkan bauan yang manis. Bunganya mempunyai 4 kelopak dari warna seperti putih, pink, merah, violet atau lilac. Pokok ini berasal dari kawasan di Mediterranean dan kawasan sekitarnya. Penanamannya adalah melalui biji yang biasanya diterbangkan angin.

Chocolate Cosmos


Bunga istimewa ini berasal dari Mexico dan adalah dari spesis bunga kosmos namun mempunyai bauan yang harum seakan-akan vanilla/coklat. Mempunyai ketinggian antara 49-60cm dan boleh berbunga sepanjang tahun. Cuma usia pokok ini tidaklah terlalu lama. Bunga ini juga dikatakan telah pupus namun diperkenalkan semula pada tahun 1902. Bauannya lebih ketara ketika musim panas.


Wisteria


Wisteria merupakan spesis tumbuhan kekacang yang melilit pada pohon lain untuk tumbuh dan mendapatkan lebih cahaya matahari. Ia merupakan tumbuhan asal di bahagian Timur Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea. Spesis yang dikatakan mengeluarkan bauan yang harum adalah daripada jenis Chinese Wisteria. Tumbuhan ini juga tumbuh dengan melilit pada pohon yang lain dan adakalanya boleh mengancam tumbuhan tersebut. Jadi bagi tumbuhan ini sebaiknya ia disediakan sokongan sendiri.

Sweet Pea


Juga merupakan tumbuhan kekacang yang melilit. Ia merupakan hasil daripada pendebungaan silang untuk menghasilkan bauan yang lebih enak pada lewat tahun 1870an oleh pengeluar bungaan berbangsa Scottish. Terdapat pilihan warna dari merah ke pink atau putih ke kuning. Pokok ini boleh memanjat sehingga 1-2meter dan mempunyai bunga yang bersaiz 2-3.5cm.

Lily of the Valley


Bunga ini amat terkenal kerana bauannya yang harum dan sering digunakan sebagai pewangi. Namun begitu tumbuhan ini juga beracun dan perlu diberikan perhatian terutama kepada kanak-kanak. Ia tumbuh pada kawasan yang bercuaca dingin dan biasanya mengeluarkan bunga pada lewat musim bunga. Bunganya yang cantik seakan-akan loceng bersaiz di antara 5-10mm mengeluarkan bauan yang memikat. Walaupun ia beracun ia tetap merupakan antara bungaan yang popular dijadikan wangian.

Gardenia/ Bunga Cina


Bunga Gardenia terdiri dari beberapa spesis yang juga dikenali di negara kita sebagai bunga Cina dengan bauan yang harum seakan-akan bunga melur. Bunganya yang mempunyai kelopak yang tebal dan berwarna putih kekuningan ini mempunyai bau yang kuat tetapi lembut. Ia merupakan satu lagi bunga yang sering digunakan di dalam wangian. Pokok bunga ini agak besar dan ada juga spesis yang lebih kecil. Bauan daripada bunga ini jelas sekiranya ia berada di halaman rumah.


Four O'Clock


Bunga ini juga dikenali sebagai Marvel of Peru atau nama saintifiknya Mirabilis Jalapa mempunyai bunga yang pelbagai warna. Terdapat juga pokok yang menghasilkan pelbagai warna selain daripada kombinasi pelbagai warna pada satu bunga. Bauannya adalah bertujuan menarik perhatian serangga yang terdiri daripada rama-rama jadi bunganya kembang pada lewat petang dan layu keesokan harinya. 

Terdapat banyak lagi bunga-bunga yang berbau harum yang sesuai sekali dijadikan tanaman di sekitar rumah bagi menyegarkan lagi udara persekitaran halaman atau taman. Suasana begini tentu sahaja menyamankan bagi anda seisi keluarga meluangkan masa bersama di waktu petang atau hujung minggu untuk beristirehat. Bagi yang serius dengan tanaman bunga pula bolehlah menjadi pembekal pada pembeli yang menggunakan bunga-bungaan untuk dijadikan pati haruman.



Free Download



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog