Khamis, 12 Disember 2013

Keunikan Hasil Kraftangan Mengkuang

Pokok mengkuang yang berduri

Mengkuang adalah sejenis pokok dari keluarga pandan juga, cuma ianya tidaklah berbau wangi seperti pandan yang digunakan dalam masakan. Walaupun pokoknya berduri dan selalunya tumbuh di kawasan berpaya namun pandan telah lama berbakti kepada masyarakat Melayu untuk menghasilkan pelbagai barangan berguna untuk kegunaan seharian.

Seni anyaman mengkuang yang biasanya diwarisi turun-temurun ini membolehkan mengkuang menghasilkan barangan seperti tikar hamparan, bekas-bekas makanan, bekas simpanan, beg tangan dan barangan hiasan. Dengan kreativiti hari ini pelbagai lagi barangan dihasilkan melalui teknik cantuman pelbagai seni yang lain seperti sulaman dan anyaman yang digabungkan.

Dalam menghasilkan seni anyaman mengkuang apa yang memainkan peranan penting adalah teknik pemprosesan daun mengkuang untuk membolehkan ianya digunakan. Ini kerana daun mengkuang yang masih berada pada pokoknya perlu diambil dengan teliti bagi mengelakkan ianya rosak. Proses seterusnya pula memastikan daun mengkuang dapat bertahan dan boleh dianyam dengan mudah. Terdapat juga proses mewarna bagi menghasilkan hasil anyaman yang lebih cantik serta meningkatkan lagi hasil seni anyaman mengkuang.

Pelbagai hasil produk mengkuang

Proses mengambil daun mengkuang dilakukan dengan teliti selain daripada mengelakkan duri dari daun mengkuang ia juga bagi memastikan daun dapat digunakan semaksimum yang boleh dengan mengelakkan kerosakan pada daun. Proses berikutnya adalah pembuangan duri pada batang daun, manakala duri pada tepi daun biasanya akan dibuang semasa proses beriutnya nanti. Daun mengkuang selepas itu akan dilayur di atas api yang sederhana bagi melebutkannya sebelum dipotong dengan peralatan seperti sesikat yang dibuat menggunakan pisau yang menentukan saiz mengkuang yang akan dianyam. Kemudian daun akan dilurut bagi melembutkannya sebelum direndam semalaman.

Proses rendaman adalah untuk melembutkan lagi daun mengkuang. Selain itu juga ia adalah untuk mebolehkan daun mengkuang tahan lebih lama. Proses ini juga akan melunturkan sebahagian warna hijau pada daun mengkuang. Selepas itu barulah daun-daun dikeringkan dengan menjemurnya dibawah cahaya matahari. Setelah betul-betul kering daun akan kelihatan bewarna putih dan agak berpintal. Proses melurut berikutnya dapat melembutkannya semula untuk membolehkan ianya dianyam.

Dodol dalam bekas mengkuang lebih enak

Proses anyaman berbeza mengikut sesuatu barangan yang ingin dihasilkan. Di sinilah kemahiran sebenar seorang tukang anyaman diperlukan. Selain daripada kepakaran menganyam, teknik penghasilan sesuatu barangan juga perlu diketahui. Antara barangan yang popular dianyam menggunakan mengkuang adalah tikar hamparan. Tikar hamparan mengkuang selain daripada sejuk ia juga tidak menakung peluh apabila kita tidur di atasnya seperti tikar getah. Tikar mengkuang juga adakalanya dianyam dengan motif bunga-bungaan. Ia biasanya digunakan dalam menyambut tetamu untuk majlis-majlis tertentu.

Bekas simpanan makanan daripada mengkuang pula seperti untuk menyimpan makanan tradisi melayu seperti dodol dapat megelakkan dodol daripada tengik dan tahan lebih lama. Ini kerana bekas daripada daun mengkuang tidak memerap makanan seperti bekas plastik tetapi mampu menghalang daripada makanan tersebut terdedah kepada udara dan gangguan perosak. Ia juga memberi sedikit aroma bauan daripada daun mengkuang tersebut.

Hari ini seni anyaman mengkuang lebih kepada sebagai bahan hiasan. Jadi ianya digabungkan menjadi barangan-barangan hiasan sebagai pameran sahaja. Namun begitu ia tetap menarik dalam menampilkan hasil seni budaya yang bermutu tinggi selain daripada menonjolkan hubungkait budaya Melayu dalam mengolah kekayaan alam untuk kegunaan seharian.

Bekas mengkuang yang dihias cantik


Free Download






5 ulasan:

  1. masih jual bekas mengkuang x
    klu ada cal saya 017-9002880

    BalasPadam
  2. Boleh bagi no. Telefon..Saya nak order

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sejak ibu saya meninggal, tiada lagi dalam keluarga yang boleh buat bakul mengkuang ni. Kalau encik berminat, mungkin boleh cuba hubungi pusat kraftangan, ataupun museum orang asli di Gombak.

      Padam
  3. Alhamdulillah terima kasih atas ilmu

    BalasPadam

Arkib Blog