Memaparkan catatan dengan label darah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label darah. Papar semua catatan

Rabu, 13 Julai 2016

Bagaimana Meningkatkan Kadar Pengaliran Darah?

Peredaran darah yang baik penting untuk kesihatan.

Kesihatan merupakan faktor penting dalam kehidupan dan antara faktor penting mejamin kesihatan pula adalah pengaliran darah yang baik. Mungkin sebelum kita memikirkan tentang peningkatan pengaliran darah, perkara utama yang perlu kita pastikan adalah pengaliran darah yang normal. Jadi kali ini kita melihat bagaimana kita boleh memastikan perkara ini dicapai.

Darah merupakan medium yang membawa segala bekalan penting untuk setiap sel di dalam badan kita. Jadi sebarang gangguan pada sistem ini akan memberikan kesan kepada badan bergantung kepada tahap gangguan yang dialami. Proses pengubatan juga sukar dilakukan sekiranya sistem peredaran darah terganggu, kerana ubatan juga memerlukan sistem peredaran darah sebagai agen pengangkutan baginya. Berikut adalah beberapa langkah penting untuk memastikan sistem peredaran daran yang baik;

Aktiviti Fizikal

Senaman aktiviti penting untuk peredaran darah yang sempurna.

Penggunaan pemberat untuk stimulant bahagian-bahagian tertentu.

Senaman boleh dilakukan untuk sebarang peringkat usia.

Aktiviti fizikal amat penting dalam memastikan peredaran darah yang baik. Ia mungkin tidak menjadi masalah yang besar sekiranya anda menjalankan aktiviti harian yang memerlukan pergerakan fizikal yang banyak. Namun  bagi sesetengah kita yang kurang melakukan aktiviti harian seperti bekerja di dalam pejabat dan hanya membaca buku bagi pelajar misalnya, akan mengalami penurunan kadar pengaliran darah.

Aktiviti senaman merupakan antara kaedah yang baik dalam membantu sistem peredaran darah berjalan dengan lancar semula. Anda perlu melakukan aktiviti senaman yang berbentuk aerobik bagi meningkatkan kadar oksigen di dalam darah. Manakala senaman jangka pendek (dengan pemberat, push-up, lari pecut) juga adalah sebagai stimulasi bahagian-bahagian tertentu sekiranya perlu. Selain meningkatkan kadar aliran darah, aktiviti senaman juga membantu menyah toksin di dalam darah melalui proses perpeluhan.

Selain senaman, kaedah urutan juga membantu melancarkan peraliran darah. Berbeza dengan senaman, urutan memberikan kerehatan kepada bahagian-bahagian tertentu yang diberikan urutan. Namun urutan lebih penting sekiranya anda mengalami kecederaan pada bahagian-bahagian tertentu. Sebaliknya senaman adalah lebih penting dalam menjamin peredaran darah yang sempurna.

Meletakkan kaki anda pada kedudukan yang lebih tinggi juga merupakan salah satu kaedah dalam membantu meningkatkan peredaran darah. Namun kaedah ini tidak boleh dilakukan untuk tempoh yang terlalu lama. Gunakan bantal ataupun bangku untuk meletakkan kaki anda sementara anda berbaring di atas lantai. Kaedah ini sesuai bagi mereka yang menghabiskan banyak masa dengan berdiri.

Tabiat Pemakanan

Pemakanan yang membantu peredaran darah.
Darah membawa pelbagai khasiat penting untuk setiap sel di dalam badan.

Pemakanan merupakan faktor penting dalam memastikan khasiat yang terkandung di dalam darah untuk dibawa ke bahagian-bahagian lain di dalam badan. Jadi daripada pemakananlah kebanyakan masalah kesihatan bermula. Pastikan anda mengurangkan pemakanan yang mengandungi bahan-bahan tiruan (atau makanan yang diproses). Begitu juga manakanan yang menggunakan racun rumpai, racun serangga dan bahan-bahan kimia yang lain dalam proses penanamannya. Adalah penting juga bagi anda memastikan makanan yang disediakan dengan kaedah yang bersih dan selamat untuk memastikan makanan selamat dimakan.

Sememangnya terdapat makanan yang membantu pengaliran darah yang baik iaitu pemakanan yang bersifat penggalak (stimulant) kepada pengaliran darah. Namun fungsi utama pemakanan adalah membekalkan khasiat (nutrients) kepada badan. Jadi adalah penting bagi kita mengambil pemakanan yang seimbang dan mengelakkan pemakanan yang boleh mendatangkan mudarat seperti makanan ringan.

Perkara penting yang perlu diingat dalam pemakanan adalah, badan memerlukan pelbagai khasiat untuk bekerja dengan sempurna, namun begitu setiap  perkara tidak boleh diambil secara berlebihan. Jadi anda tidak boleh hanya menumpukan kepada satu kumpulan khasiat pemakanan sahaja.

Pada masa yang sama juga air merupakan satu elemen penting kepada darah. Air memastikan kepekatan darah dalam keadaan yang normal, mengawal suhu badan seterusnya membantu pengaliran darah yang sempurna. Kurangkan pengambilan air sejuk kerana ia akan mengecutkan saluran darah dan juga melambatkan proses penghadaman. Begitu juga pengambilan kopi, minuman beralkohol akan mengakibatkan anda membuang air dengan kerap. Sebaliknya minuman ringan seperti minuman berkarbonat dan minuman dengan perasa tiruan/ dengan kandunga gula tinggi juga boleh menggganggu kesihatan anda untuk jangka masa panjang.

Kaedah Lain

Urutan bukan sahaja merehatkan tetapi melancarkan peredaran darah.

Riadah mengurangkan stress.

Kadar pengaliran darah juga boleh ditingkatkan dengan mandi menggunakan air panas. Kaedah ini dapat meningkatkan kadar aliran darah dan memberikan anda kerehatan. Ia juga boleh dilakukan untuk bahagian-bahagian tertentu seperti merendam kaki di dalam air panas. Bagi bahagian-bahagian lain, ia boleh dituam menggunakan air panas yang diisi di dalam botol, bijian panas yang disikan di dalam bungkusan dan sebagainya. Ia merupakan kaedah biasa yang dilakukan untuk merawat masalah darah beku atau lebam akibat pendarahan dalaman.

Aktiviti riadah sebaliknya membantu peredaran darah dengan mengurangkan stress. Ini kerana tekanan akan mengakibatkan peredaran darah yang tidak teratur dan mengkibatkan pelbagai gejala seperti sakit kepala, kemurungan, keletihan dan masalah-masalah lain sekiranya dibiarkan berpanjangan. Aktiviti riadah dan juga kerehatan seperti Yoga atau Tai-Chi dapat membantu mengurangkan kadar stress ini. Adakalanya anda boleh melakukannya dengan hanya sekadar bersiar-siar di taman.

Dapatkan Bantuan dan Nasihat Pakar

Jangan lupa mendapatkan bantuan pakar apabila anda mendapati gejala-gejala serius yang berpanjangan. Masalah boleh menjadi serius sekiranya ianya tidak diberikan perhatian di peringkat awal. Ini juga penting sekiranya anda berniat untuk mengambil ubatan ataupun makanan tambahan dalam meningkatkan kadar peredaran darah anda. Tidak semua perkara sama bagi setiap individu,  maka nasihat pakar penting bagi mengelakkan kesan sampingan daripada tindakan yang akan anda lakukan.


Ya itulah dia antara beberapa perkara penting dalam membantu anda mencapai kadar peredaran darah yang lebih baik. Namun seperti yang kita ketahui, kaedah terbaik adalah dengan memastikan kita sentiasa aktif, kerana ia merupakan kaedah semulajadi badan berfungsi. Jadi pastikan anda meluangkan masa untuk melakukan aktiviti senaman disamping mengawasi tabiat pemakanan anda. Seperti yang kita sedia ketahui, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.


Free Download



Sabtu, 7 Mei 2016

Tahukah Anda Mengenai Darah Jenis Bombay?

Darah mempunyai komponen-komponen tertentu yang penting.

Secara umumnya jenis-jenis darah terbahagi kepada 4 kumpulan utama iaitu A, B, AB dan O, dengan kumpulan darah O merupakan kumpulan darah terbesar dalam populasi manusia. Klasifikasi ini bagaimanapun adalah secara umum sahaja, adakah kumpulan darah jenis lain selain daripada kumpulan-kumpulan tersebut?

Pemeriksaan darah secara umumnya hanya memeriksa beberapa ciri asas pada darah. Apabila seseorang mempunyai adrah jenis A, ini bermakna darah beliau mempunyai antigen-A dan antibodi dari jenis B. Manakala bagi mereka yang mempunyai darah jenis AB pula mempunyai kedua-dua jenis antigen-A dan antigen-B dan tiada antibodi A ataupun B. Berbanding dengan mereka yang mempunyai darah O yang hanya mempunyai antibodi jenis A dan B namun tidak mempunyai antigen.

Namun berbbeza bagi mereka yang memiliki darah O namun tidak mempunyai antigen-H. Walaupun jumlah mereka yang tidak memiliki antigen jenis ini namun ianya terdiri dari kalangan segelintir manusia di dunia mengalaminya. Mereka yang memiliki darah tanpa antigen-H inilah yang dipanggil darah jenis Bombay (Bombay Blood).

Sel darah merah di bawah mikroskop.

Perbezaan jenis-jenis darah.

Sekiranya ujian tidak dilakukan dengan teliti, mereka yang mempunyai darah Bombay ini akan dikelaskan bersama-sama dengan mereka yang mempunyai darah jenis O. Ini kerana dalam prosedur pemeriksaan darah biasa hanya antigen AB dan Rh sahaja yang akan dikesan. Maka bagi mereka yang tidak mempunyai keduanya akan dianggap sebagai darah O. Manakala untuk mengesan darah Bombay ini, ujian kekurangan antigen-H perlu dilakukan.

Melalui penemuan darah jenis ini, Bombay Blood merupakan satu-satunya kumpulan darah yang merupakan penderma universal kerana mereka boleh mendermakan darah kepada semua kumpulan yang lain dan hanya boleh menerima darah dari kumpulan mereka sahaja.
Antara beberapa lagi fakta mengenai darah Bombay ini;

  • Jenis darah ini biasanya diklasifikasikan sebagai darah-O
  • Ia boleh menjadi Rh positive (Rh+) atau Rh negative (Rh-)
  • Ia merupakan jenis darah tanpa antigen-H di mana kebanyakan kita mempunyainya
  • Sebahagian kecil manusia sahaja mempunyai darah jenis ini (179 orang di India)
  • Hanya 4 orang di India yang dilaporkan mempunyai darah jenis Rh- dari jenis Bombay blood.



Darah Bombay, sukar untuk diperolehi.

Ia agak memeranjatkan kerana hanya baru-baru ini ia dilaporkan sedangkan dunia perubatan telah lama mengenali jenis-jenis darah. Ini bermakna masih banyak perkara yang perlu kita pelajari dalam mengenali alam dan diri kita sendiri. Semoga lebih banyak perkara dapat disingkap dalam menemukan perkara-perkara yang membawa manfaat untuk kebaikan manusia.



Free Download



Selasa, 25 Ogos 2015

Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 1

Pijat menghisap darah sehingga kembung.

Alam yang luas dipenuhi dengan pelbagai hidupan yang perlu kita kenali. Pengenalan ini bukan sahaja untuk mengetahui nama dan jenis mereka tapi dapat memastikan kita selamat berada di sekeliling mereka. Hidupan-hidupan lain hidup sesuai dengan fungsi masing-masing, ada yang menjadi sebahagian daripada makanan kita dan ada pula yang menjadikan kita sebagai makanan mereka. Ada yang mudah dilihat, ada pula yang mengambil peluang secara sembunyi-sembunyi.

Terdapat banyak hidupan parasit, maka mengenali hidupan ini sedikit sebanyak membolehkan kita mengawasi kehadiran mereka. Parasit adakalanya bukanlah menjadikan manusia sebagai sasaran khusus melainkan kerana kehadiran mereka di lokasi yang sama. Parasit adakalanya bukan sahaja mengambil peluang (menghisap darah) dari manusia tetapi adakalanya menyebarkan penyakit.

Berikut adalah beberapa parasit yang kita perlu kenali dan awasi. Walaupun mereka tidak membawa maut, adakalanya boleh menyebarkan penyakit dan gejala-gejala jangkitan yang lain.


Pijat boleh membiak dengan pantas.

Pijat (bedbugs):

Pijat atau dikenali sebagai ‘bedbugs’ merupakan parasit yang sukar dikawal apabila hadir di sesuatu kawasan. Kemahirannya menyembunyikan diri di celah-celah tempat tidur seperti bawah tilam, rekahan katil, lipatan tilam dan semua tempat-tempat tersembunyi.

Pijat akan keluar pada waktu malam untuk menikmati makanan mereka iaitu darah. Kesan gigitannya tidak banyak berbeza dengan gigitan nyamuk namun agak sakit. Pijat yang sememangnya menjadikan darah sebagai makanan mereka tidak mempunyai sumber makanan yang lain. Namun begitu ia boleh terus hidup untuk jangka masa yang panjang tanpa makanan.

Seekor pijat betina pula boleh menghasilkan 500 biji telur sepanjang hidupnya. Setelah menetas anak-anak pijat akan terus memburu darah seperti juga ibubapa mereka. Ia akan bersalin kulit beberapa kali sebelum menjadi dewasa dan sedia untuk membiak dengan anggaran tempoh 5 minggu.


Teliti kesan kehadiran kutu kepala.

Kutu (lice):

Kutu atau ‘lice’, merupakan satu lagi parasit yang boleh menghampiri manusia dan menjadikan manusia sebagai rumah tumpangan mewah. Terdapat banyak jenis kutu dan kebiasaannya menjadikan haiwan peliharaan sebagai perumahnya.

Kutu rambut bergantung kepada rambut dan menghisap darah dari kulit kepala manusia. Namun terdapat pelbagai jenis kutu dan boleh hidup di setiap bahagian yang mempunyai rambut pada badan manusia (termasuk bulu ketiak dan sebagainya). Jadi pastikan anda sentiasa berkeadaan bersih untuk mengelakkan ia menjadi tempat yang sesuai bagi kutu.

Sekiranya terdapat kesan kehadiran kutu pada kepala anak-anak anda, dapatkan bantuan segera untuk mengelakkan mereka merebak pada ahli keluarga yang lain dengan cepat.


Lintah memang menggelikan.

Lintah (leeches):

Lintah pula merupakan sebahagian dari keluarga cacing. Walaupun ada di antara spesies ini yang menghisap darah, kebanyakannya pula tidak. Manusia juga bukanlah sasaran utama lintah yang biasanya menjadikan binatang-binatang bersaiz besar sebagai sumber makanannya.

Terdapat jenis lintah yang tinggal di darat selain yang tinggal di dalam air. Lintah akan melekatkan diri kepada mangsanya dan menghisap darah sehingga kenyang dan jatuh. Lintah akan meninggalkan luka yang akan terus mengalirkan darah. Kebiasaanya ia tidak mendatangkan bahaya, melainkan sekiranya lintah tersebut membawa penyakit.

Ada juga rawatan yang menggunakan lintah untuk membuang darah kotor, tetapi ia bukanlah kaedah terbaik untuk rawatan sebarang penyakit. Amat ditakuti sekiranya lintah yang digunakan dijangkiti bakteria/virus yang boleh berpindah kepada manusia.


Kutu 'tick' sukar ditanggalkan.

Kutu (ticks):

Kutu (ticks) sedikit berbeza berbanding ‘lice’, dan ia juga merupakan salah satu parasit yang amat penting untuk dikenali. Tick lebih merbahaya kerana akan membenamkan kepada mereka ke dalam kulit dan melekat untuk tempoh yang panjang untuk menghisap darah.

Tick akan mencari bahagian yang sesuai untuk mereka melekatkan dirinya dan terus berada di situ. Ia akan terus makan sehingga saiznya mencapai beberapa kali ganda. Tick kebiasaannya menjadikan haiwan sebagai sasaran. Jadi adalah perlu diingatkan sekiranya anda membuat lawatan ke kawasan ragutan haiwan misalnya atau menyertai ‘jungle trekking’ ke kawasan yang biasa dilalui oleh haiwan-haiwan ini.

Tick terkenal kerana membawa sejenis penyakit yang dikenali sebagai ‘lyme’ dan juga ‘spotted fever’. Proses menanggalkan ‘tick’ juga perlu dilakukan dengan cermat untuk mengelakkan bahagian kepalanya dari tertinggal di dalam kulit. Namun begitu kehadirannya lebih mudah dikesan dengan rasa gigitan yang pedih dan amat gatal.


Kutu 'flea' mampu melompat jauh.

Kutu (flea):

Kutu atau ‘flea’pula mempunyai kaedah yang jauh berbeza dengan kutu-kutu yang lain, kerana mempunyai sepasang kaki yang amat kuat. Kutu ‘flea’, mampu melompat jauh beratus ratus kali ganda daripada saiz badannya.

‘Flea’ mempunyai fizikal yang amat sesuai untuk merayap di dalam bulu binatang. Mempunyai bentuk badan pipih, ia mudah bergerak tanpa tersekat pada bulu-bulu tersebut. Keupayaannya untuk melompat jauh pula memudahkan ia bergerak dari satu perumah ke perumah yang lain.

Sekiranya anda mempunyai binatang peliharaan, kehadiran kutu ‘flea’, perlu diawasi kerana ia juga mungkin akan menjadikan anda sebagai sebahagian sasaran mereka. Bawalah binatang peliharaan anda untuk mendapat rawatan doktor haiwan sekiranya dijangkiti kutu ini.


Itu hanya sebahagian parasit yang sempat saya kongsi pada hari ini. Terdapat sedikit sekali pengetahuan kita mengenai parasit-parasit ini (dengan nama mereka terlalu umum untuk semua jenis parasit). Kita menamakan 3 jenis kutu yang berbeza dengan nama yang sama – menunjukkan kefahaman kita yang kurang mengenainya. Jadi, adalah lebih baik kita mencari maklumat yang lengkap dalam memastikan kita dan keluarga selamat dari gangguan parasit-parasit ini.

Sekiranya tajuk ini menarik bagi anda, anda mungkin juga berminat untuk artikel berikutnya iaitu: Antara Parasit Yang Perlu Anda Kenali 2


Free Download



Rabu, 17 September 2014

Apakah Yang Terdapat Dalam Darah?

Red blood cell
Sel darah merah dalam saluran darah.

Darah merupakan cecair penting yang membawa segala keperluan sel-sel di dalam badan kita daripada zat makanan sehinggalah kepada oksigen yang diperlukan. Malah selain daripada zat-zat penting ini, darah juga turut mengandungi sistem pertahanan badan yang diselenggarakan oleh sel darah putih.

Kandungan utama di dalam darah adalah dikenali sebagai plasma iaitu kandungan utama di dalam darah dengan peratus sehingga 55% daripada keseluruhan kandungan darah.  Selain daripada air plasma juga turut mengandungi;
  • Sel darah
  • Karbon Dioksida
  • Glucose (gula)
  • Hormon
  • Protein

Jenis-jenis sel darah;

Sel darah merah – Sel darah merah merupakan jumlah sel terbanyak di dalam darah. Ia berbentuk cakera yang berlekuk dan mengandungi hemoglobin (Hb atau Hgb). Ia juga dikenali dengan nama lain iaitu RBC atau erythrocytes.

Hemoglobin merupakan protein yang mengandungi zat besi (iron); yang akan di agih-agihkan kepada sel-sel di dalam badan. 97% daripada kandungan kering sel darah merah ini adalah protein.

Sel darah merah mempunyai jangka hayat kira-kira 4 bulan. Ia kemudiannya akan dilupuskan oleh dua organ utama dalam badan iaitu limpa dan hati. Sel darah merah akan terus dihasilkan oleh badan mengikut kadar keperluan yang diperlukan.

Sel darah putih (leukocytes) – Sel darah putih merupakan sel yang melakukan kerja-kerja penyingkiran bahan asing di dalam darah (yang terdiri daripada organisma ataupun sel-sel rosak seperti sel kanser). Lymphocytes dan juga ganulocytes (daripada kumpulan sel darah putih) boleh bergerak di dalam dan di luar daripada aliran darah bagi menjangkau bahagian yang diperlukan.

Kandungan normal sel darah putih di dalam 1 liter darah adalah kira-kira 4X1010 atau merupakan 1% daripada keseluruhan darah bagi seseorang manusia normal.

Platelets (thrombocytes) – platelets pula berfungsi untuk mengawal proses pembekuan darah terutama apabila kita mengalami luka. Apabila kita luka, platelets akan menggumpal dan membeku untuk mengelakkan darah terus mengalir.


white blood cell
Sel darah putih dan sel darah merah.

Fungsi Utama Darah


- Darah membawa oksigen ke seluruh bahagian badan untuk semua sel dan tisu.

- Membekalkan segala keperluan nutrient kepada sel, antaranya seperti asid amino, asid lemak dan glukosa.

- Menyingkirkan karbon dioksida, urea dan asid laktik (bahan kumuhan).

- Sel darah putih di dalam darah mengandungi antibodi yang mempertahankan badan daripada jangkitan dan bahan asing.

- Platelets di dalam darah pula membantu proses pembekuan darah bagi memastikan darah tidak terus mengalir keluar apabila berlaku pendarahan.

- Hormon atau penggalak juga terkandung di dalam darah dan menghantarkan isyarat bagi tindakan bahagian-bahagian sel tertentu di dalam badan.

- Ia mengawal kadar keasidan di dalam badan.

- Darah juga merupakan elemen penting dalam mengawal suhu badan. Pengaliran darah dapat membantu mengurang atau menetapkan suhu badan dalam keadaan yang stabil. Juga kita sudah semestinya perlu mengelakkan cuaca yang terlalu panas ataupun sejuk dengan perlindungan pakaian yang bersesuaian.

Bagaimana Sel Darah Dihasilkan?


Blood cell lineage
Pengkhususan sel darah daripada 'stem sel'.

Sel-sel seperti darah putih, darah merah dan platelets dihasilkan oleh sum-sum tulang yang terdapat di dalam bahagian tengah tulang. Bahagian tulang ini mengandungi lemak, darah dan sel yang dikenali sebagai stem sel – iaitu sel yang yang boleh membentuk menjadi pelbagai jenis sel yang lain. Terdapat beberapa bahagian tulang pada badan yang mengandungi sum-sum yang banyak untuk tujuan penghasilan sel darah ini.

Kumpulan Darah


Terdapat 4 kumpulan utama darah iaitu A, B, AB dan O. Kumpulan darah ini penting dalam menjalankan proses perubatan terutamanya apabila pesakit mengalami kekurangan darah dan memerlukan darah tambahan. Darah yang tidak sesuai akan menyebabkan reaksi penolakan yang boleh membahayakan nyawa pesakit dan membawa maut.

Secara ringkasnya darah dari kumpulan O boleh medermakan darah kepada semua jenis kumpulan darah yang lain. Manakala darah dari kumpulan A pula hanya boleh menerima darah dari kumpulan A atau O sahaja. Begitu juga dengan darah dari kumpulan B yang hanya boleh menerima dari kumpulan B atau O pula. Bagi kumpulan AB + (RhD positive) pula ia boleh menerima darah dari mana-mana kumpulan darah.

Walaubagaimanapun sebelum menjalankan sesuatu proses tranfusi darah, pelbagai ujian perlu dijalankan dalam memastikan keserasian sebelum seseorang pesakit boleh menerima darah dari penderma yang lain.


Bagitulah beberapa perkara yang manarik mengenai darah yang terkandung dalam setiap badan manusia. Walaupun ia hanya kelihatan seperti cecair yang berwarna merah, ia sebenarnya mengandungi pelbagai kandungan penting yang memastikan badan dapat berfungsi dengan baik. Bagi memastikan darah berada dalam keadaan yang baik pula, anda perlulah memastikan bahawa anda mengamalkan amalan kesihatan yang baik dan juga pemakanan yang sihat.  Terima kasih.

Artikel berkaitan:

1. Tahukah Anda Mengenai Darah Jenis Bombay?



Free Download



Arkib Blog