Memaparkan catatan dengan label keretapi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keretapi. Papar semua catatan

Ahad, 7 Februari 2016

Rekod Terbaru Keretapi Maglev Jepun

Keretapi Maglev Jepun terbaru (2015)

Jepun merupakan negara yang tidak asing lagi dengan teknologi keretapinya yang terkenal di seluruh dunia. Namun begitu selain Jepun, negara-negara lain turut memperbaiki teknologi keretapi masing-masing termasuklah China, France, German, UK, Korea, Itali, Spain, Taiwan, Turkey, Finland, Natherland, Russia, Czech, Switzerland, Uzbekistan dan US (Amtrak).

Keretapi tersebut dipunyai oleh Central Japan Railway Company telah menjalankan ujian tersebut di landasan ujian Yamanashi iaitu di kaki Gunung Fuji pada April 2015 dengan mencapai kelajuan 603km/h (375 mph). Kelajuan ini melebihi kelajuan keretapi yang sebelum ini dipegang oleh keretapi maglev China oleh  China Railway Corporation dengan rekod kelajuan 487.3 km/h (302.8 mph). Kelajuan tersebut juga turut melayakkan ia sebagai satu lagi rekod baru di dalam Guinness Book of World Records.

Track yang digunakan di Yamanashi bukanlah satu track yang baru, malah telah digunakan sejak tahun 1997 lagi. Ia kemudiannya dipanjangkan lagi dan ujian sebanyak 1.2 juta km (745,645 miles) telah dijalankan di sini.

Keretapi yang sedang menjalani ujian.

Keretapi Shanghai Maglev, China.

Lagi keretapi Maglev China yang terbaru.

Walaupun ujian ini telah berjaya dijalankan dengan baik, keretapi tersebut hanya akan sedia untuk digunakan untuk orang ramai menjelang 2027. Ia bukanlah satu perkara yang mudah untuk menyediakan sistem yang boleh berjalan dengan baik dan selamat dari segala aspek kepada pengguna.

Walaupun ia merupakan keretapi terpantas setakat ini, teknologi Maglev ini berpotensi untuk menghasilkan keretapi-keretapi berkelajuan tinggi dan China dikatakan dalam usaha menghasilkan keretapi Maglev sehingga berkelajuan 2,900 km/h (1,800 mph) yang dikenali sebagai “super maglev”. Selain daripada keretapi Maglev teknologi lain yang turut dicadangkan adalah Hyperloop oleh Elon Musk dan ET3 yang menggunakan teknologi yang berbeza.

Sekiranya sistem pengangkutan keretapi dapat terus diperbaiki, ia mungkin satu masa nanti dapat menggantikan perkhidmatan pengangkutan udara bagi bandar-bandar yang mempunyai rangkaian hubungan tersebut. Tidak seperti pengangkutan udara, sistem pengangkutan keretapi adalah jauh lebih pantas (sistem pemeriksaan keselamatan dan masa menunggu).

Adalah diharap semoga sistem pengangkutan keretapi di negara kita juga dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa. Namun, tanpa sokongan orang ramai dan harga yang berpatutan juga mungkin mengakibatkan ia merupakan angan-angan yang tidak akan berhasil.



Free Download



Sabtu, 8 November 2014

Hyperloop Merupakan Sistem Pengangkutan Darat Terpantas Masa Hadapan

'Hyperloop' memerlukan terowong khas.

Pada masa ini pengangkutan pantas masih lagi dikuasai oleh sistem pengangkutan udara kerana selain daripada mempunyai kepantasan ia juga mampu merentasi halangan bentuk muka bumi dan lautan. Pengangkuan pantas di darat pula masih dikusai oleh keretapi-keretapi magnet (maglev) yang menggunakan sumber tenaga yang tinggi untuk beoperasi.

Untuk terus meningkatkan lagi mutu pengangkutan darat, inovasi terbaru diperlukan bagi mengatasi batasan maksima sistem pengangkutan sedia ada. Maka bagi menjangkaui kemampuan ini pereka inovasi perlu berani menampilkan sesuatu yang berbeza daripada apa yang sedia ada.


Hyperloop capsule/pod
Contoh 'capsule' atau 'pod' untuk 'Hyperloop'.

Sistem pengangkutan amat penting bagi memastikan banyak urusan dapat dilakukan dengan lebih pantas. Walaupun sistem pengangkutan udara adalah pantas, tetapi ia memerlukan banyak urusan yang menyebabkan para pengguna perlu meluangkan masa yang panjang seperti ‘daftar masuk’, ‘urusan bagasi’, ‘menunggu’ dan sebagainya yang menyebabkan ia memakan masa yang lebih lama.

Bagi memudahkan lagi para pengguna yang memerlukan pengangkutan pantas bagi destinasi-destinasi penting maka sistem pengangkutan baru iaitu ‘Hyperloop’ dicadangkan dalam menyingkatkan tempoh perjalanan. Sekiranya sistem pengangkutan ini dapat disiapkan, pengguna akan menikmati sistem pengangkutan darat yang mempunyai kelajuan pengangkutan udara. Ini bermakna bukan sahaja ia akan menawarkan perjalanan yang pantas, malah urusan perjalanan yang mudah seperti sistem pengangkutan darat yang lain.

‘Hyperloop’ berbeza dengan sistem pengangkutan darat biasa kerana memerlukan terowong khas. Selain itu juga ia meluncur di atas kusyen udara seperti ‘hovercraft’ dengan kelajuan sehingga 1,223 km/h (760 mph). Pada kelajuan ini ia mampu membawa penumpang dari Los Angeles ke San Francisco dalam masa 30 minit yang berada pada jarak 645 km. Jadi para pengguna dapat memanfaatkan masa yang sebelumnya dihabiskan dengan menunggu dengan perkara yang lebih penting.


Elon Musk
Elon Musk penyumbang idea disebalik 'Hyperloop'.

‘Hyperloop’ diilhamkan oleh pengasas Paypal, SpaceX dan Tesla Motors iaitu Elon Musk yang setakat ini telah membawa perubahan kepada orang ramai dari segi kehidupan dan ekonomi. Sekiranya ia berjaya dilakukan di Los Angeles, maka tidak mustahil ia akan turut di bina di lokasi-lokasi lain bagi menghubungkan bandaraya-bandaraya penting di seluruh dunia.


Hyperloop route
Laluan cadangan sistem 'Hyperloop'.

Perubahan yang diketengahkan oleh sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ jauh berbeza daripada sistem pengangkutan laju darat sedia ada iaitu keretapi magnet (maglev). Ini jelas menunjukkan inovasi berterusan membawa kita keluar daripada sistem keretapi magnet yang telah sekian lama digunakan. Ini kerana sistem tersebut menggunakan kuasa elektrik yang tinggi.

Mungkin ia akan mengambil masa beberapa lama untuk dibina dan diuji dari segi pelbagai aspek. Walaubagaimanapun idea dan usaha untuk membina sistem pengangkutan ‘Hyperloop’ ini merupakan sesuatu yang perlu dilihat positif. Adalah diharap, bukan ‘Hyperloop’ sahaja yang akan berjaya, malah banyak lagi rekaan yang dapat membawa manfaat kepada manusia di masa-masa akan datang.


Free Download



Isnin, 28 April 2014

10 Senarai Keretapi Terpantas Dunia


Keretapi merupakan antara alat pengangkutan awan yang tertua di dunia. Sumbangan keretapi kepada kemajuan sesebuah negara dapat dilihat di negara-negara maju seperti Jepun dan negara-negara di Eropah. Hari ini semakin banyak negara membangunkan semula pengangkutan berasaskan keretapi termasuk negara China yang semakin pesat membangun.

Pengangkutan keretapi mampu menyumbang kepada sistem pengangkutan sama seperti pengangkutan udara. Malah di negara-negara Eropah keretapi dikatakan dapat memberikan kepantasan perjalanan yang sama dengan pengangkutan udara, malah anda tidak perlu melalui pelbagai prosedur keselamatan seperti di lapangan terbang.

Jadi adalah lebih baik sekiranya teknologi pengangkutan keretapi ini terus diberikan perhatian yang serius bagi membolehkan ianya digunakan di lebih banyak negara di dunia termasuk di negara kita sendiri Malaysia. Sehubungan itu mari kita saksikan senarai 10 keretapi terpantas di dunia.

1) Shanghai Maglev


Shanghai Maglev mempunyai kelajuan operasi terpantas di dunia iaitu 430 km/h dan kelajuan purata 251 km/h. Ia memulakan operasinya semenjak April 2004 lagi. Menggunakan landasan sejauh 30.5 km atau dikenali sebagai Shanghai Maglev line. Landasan magnetic ini adalah landasan yang menghubungkan antara Stesyen Longyang Road dan berakhir di Shanghai Pudong International Airport.

Shanghai Maglev dimiliki dan diuruskan oleh Shanghai Maglev Transportation Development Co. (SMTDC). Manakala keretapi ini adalah hasil daripada kerjasama antara Siemens dan ThyssenKrupp.

2) Harmony CRH 380A


Harmony CRH 380A mempunyai kelajuan operasi pada 380 km/h merupakan keretapi kedua terpantas di dunia. Walaupun mampu mencapai kelajuan sehingga 486.1 km/h pada percubaan daripada Shanghai  ke Hangzhou pada Disember 2010.

CRH 380A memulakan operasinya pada Oktober 2010. Ia beroperasi pada rangkaian yang menghubungkan antara Beijing dan Shanghai. Selain itu juga turut menyediakan pengangkutan harian dari Wuhan ke Guangzhou.

Ia merupakan keretapi yang bebas gegaran dan dibina oleh CSR Qingdao Sifang Locomotive & Rolling Stock. Ia juga merupakan hasil kajian daripada beberepa universiti di serata China.

3) AGV Italo


AGV Italo merupakan keretapi pertama yang digunakan untuk tujuan komersil daripada siri AGV. Memulakan operasi pada April 2012 dengan kelajuan operasi pada 360 km/h.

Keretapi ini pernah memecahkan rekod dengan kelajuan sehingga 574.8 km/h pada April 2007 – mungkin semasa tahap pengujian keretapi ini.

Ia dibangunkan oleh Alstom. Manakala rangkaian pengoperasian AGV Italo adalah meliputi Napoli – Roma – Firenze – Bologna – Milano.

Sebagai keretapi yang beroperasi di Eropah AGV Italo perlu memenuhi beberapa standard yang telah ditetapkan oleh European TSI yang merangkumi keselamatan, keboleharapan, kesihatan, alam sekitar dan ciri-ciri teknikal.

4) Siemens Velaro E /AVS 103


Velaro E, direka sebagai AVE S 103 di Sepanyol, merupakan siri keretapi terlaju dunia. Semasa menjalani ujian ia pernah mencapai kelajuan sehingga 400 km/h di Sepanyol. Walaubagaimanapun kelajuan operasinya masih lagi mengekalkan kelajuan pada 350 km/h sahaja.

Keretapi ini telah ditempah oleh Spanish National Railways Renfe dan beroperasi dalam rangkaian daripada Barcelona ke Madrid. Ia dibekalkan pada July 2005 dan memulakan operasi pada Jun 2007.

Ia merupakan hasil daripada beberapa rekaan dalam hasil usaha pembangunan ICE 3 yang direka untuk Deutsche Bahn.

5) Talgo 350 (T350)


Talgo 350 yang diberikan gelaran RENFE AVE Class 10 semasa mula-mula memasuki perkhidmatan boleh mencapai kelajuan sehingga 365 km/h semasa ujian. Namun kelajuan operasinya adalah pada 350 km/h sahaja.

T350 dibangunkan oleh Patentes Talgo (Tren Articulado Ligera Goicoechea Oriol) dan dibina oleh Patentes Talgo dengan kerjasama Bombardier Transportation.

Dikenali sebagai El Pato (The Duck dalam Spanish), mungkin disebabkan ia memiliki muncung seperti itik, ia beroperasi di rangkaian Madrid – Zaragoza – Lleida pada seksyen antara rangkaian Madrid – Barcelona semenjak 2005 lagi. Sehingga kini terdapat kira-kira 46 keretapi dari siri yang sama beroperasi di negara tersebut.

6) E5 Series Shinkansen Hayabusa


E5 Series Shinkansen Hayabusa memulakan operasi dari tahun 2011 dengan kelajuan operasi pada 300 km/h dan hari ini ia beroperasi di rangkaian Tohoku Shinkasen dengan kelajuan operasi pada 320 km/h.

Selain itu juga ia merupakan keretapi terlaju di Jepun setakat ini, pernah mencatatkan kelajuan sehingga 400 km/h semasa ujian dijalankan.

Keretapi ini dibuat oleh Kawasaki Heavy Industry (KHI) dan Hitachi, manakala East Jalan Railway Company (JR East) sebagai pengoperasinya.

Antara ciri-ciri menarik keretapi ini adalah sistem suspensi aktif penuh (FSA) yang mengurangkan gegaran dan juga muncung tirusnya yang mengurangkan bunyi semasa di dalam terowong.

7) Alstom Euroduplex


Euroduplex merupakan generasi ketiga TGV Duplex yang dibangunkan oleh Alstom dan memulakan operasi pada Disember 2011. Apa yang menarik ia merupakan keretapi dua tingkat yang mampu beroperasi di rangkaian Eropah pada kelajuan sehingga 320 km/h.

Euroduplex pada mulanya diperkenalkan pada rangkaian kelajuan tinggi  Rhine-Rhone LGV. Keretapi ini mampu membawa penumpang sehinga 1,020 (berbilang unit) pada satu masa berbanding TGV Duplex yang hanya mampu membawa sehingga 512 penumpang sahaja.

Euroduplex direka untuk beroperasi di rangkaian keretapi Perancis, German, Swiss dan Luxembourgish. Selain itu ia juga dilengkapi dengan sistem pengesan untuk menyesuaikan dengan bekalan elektrik yang berbeza-beza di serata Eropah.

Sebahagiannya juga turut dibina untuk beroperasi di Sepanyol.

8) TGV Duplex


TGV Duplex dibina daripada 1996-2004. Ia beroperasi di bawah SNFC dan dibina oleh Alstom dan Bombardier. Ia mampu mencapai kelajuan maksima dari 300 km/h ke 320 km/h.

TGV Duplex merupakan generasi ketiga dengan deck dua tingkat yang dibina oleh Alstom. Ia menyediakan ruang tempat duduk sehigga 512 penumpang bagi kedua-dua tingkatnya. Malah ia turut dibina menggunakan aluminum untuk mengurangkan beratnya.

Keretapi di dalam siri TGV Duplex kebanyakannya beroperasi di rangkain TGV Mediterranee di antara Paris dan Marseille.

Sehingga kini terdapat lebih daripada 450 siri TGV yang beroperasi untuk 230 destinasi.

9) ETR 500 Frecciarossa Trains


Elettro Treno Rapido 500 (ETR 500) Frecciarossa memulakan operasi pada 2008. Ia direka untuk mencapai kelajuan maksimun sehingga 360 km/h dan beroperasi pada kelajuan 300 km/h.

Frecciarossa (Red Arrow) adalah versi yang diperbaiki daripada ETR 500. Keretapi ini beroperasi daripada Rome ke Milan.  Apa yang menarik ia turut dilengkapi dengan alat kawalan cuaca dan kedap bunyi, ciri tempat duduk ergonomik untuk memberikan keselesaan sempurna.

Keretapi ini beroperasi di bawah Trenitalia dan dibuat oleh TREno Veloce Italiano (TREVI) – konsortium di antara Alstom, Bombardier dan AnsaldoBreda.

10) THSR 700T


THSR 700T beroperasi pada rangkaian kelajuan tinggi di antara Taipei dan Kaohsiung di Taiwan. Ia memulakan operasi di Taiwan semenjak Januari 2007 lagi.

Beroperasi pada kelajuan 300 km/h mampu mengurangkan perjalanan di antara kedua bandar tersebut daripada 4 jam kepada 90 minit.

Keretapi ini dibina oleh Kawasaki, Hitachi dan Nippon Sharyo. Berasaskan kepada siri Shinkasen, Kawasaki 700, 700T merupakan percubaan pertama Taiwan dalam membawa masuk teknologi keretapi laju daripada Jepun.

Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membina 30 keretapi pertama menelan kira-kira NT$100bn (USD3.4bn).

Begitulah antara 10 keretapi terlaju yang beroperasi di beberapa bandar terkemuka dunia yang rata-ratanya di Jepun, Eropah, Cina dan Taiwan. Mungkinkah negara kita juga akan membangunkan sistem pengangkutan keretapi seperti ini di masa-masa akan datang?


Tiada yang mustahil sekiranya pembangunan di antara bandar-bandar besar di negara ini semakin memerlukan pengangkutan tersebut. Apa yang berlaku hari ini adalah, sistem pengangkutan awam negara semakin jauh merosot. Manakala pembangunan di antara bandar-bandar besar di negara kita masih belum memerlukan pengangkutan seperti keretapi laju di negara-negara seperti di atas. Berikan komen anda.


Free Download



Arkib Blog