Memaparkan catatan dengan label lautan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lautan. Papar semua catatan

Selasa, 3 Mei 2016

Ikan Yang Disangka Rasaksa Laut – Oarfish

Oarfish yang dijumpai dihanyutkan ke pantai.

Oarfish (Regalecus glesne) jarang ditemui oleh manusia kerana merupakan antara hidupan laut yang mendiami perairan yang dalam. Oleh kerana rupa bentuknya yang agak berbeza dengan kebanyakan ikan-ikan laut yang lain, maka penemuan ikan ini buat pertama kalinya mungkin agak memeranjatkan bagi manusia.
Rupa bentuknya yagng panjang dengan sisik berkilat bewarna perak memudahkan ianya kelihatan apabila menghampiri permukaan air. Saiznya pula boleh menjangkau sehingga 36 kaki panjang. Ia kelihatan besar dari sisi, namun sebenarnya ianya adalah berbentuk leper/pipih dari sisi. Walaupun ia kelihatan sedikit menakutkan, ikan aorfish tidak mempunyai gigi dan menjadikan plankton sebagai sumber makanannya.
Ikan oarfish mempunyai taburan di perairan tropika sehingga ke perairan bersuhu sederhana. Ini bermakna ia juga boleh dijumpai di perairan Atlantik, Mediterranean, Pantai Taponga di Selatan California, sehingga ke Chile, dan perairan Pasifik. Ini termasuklah Australia dan perairan di sekitanya. Ia boleh dijumpai  sehingga kedalaman 1,000 m (3,280 ft) dan kebiasannya memilih untuk berada pada kedalaman 200 m (656 ft).

Taburan ikan Oarfish di seluruh dunia.

Spesimen ikan yang disimpan.

Penemuan manusia dengan ikan ini adalah melalui bangkainya yang dihanyutkan oleh arus ke pantai. Ia mula didokumenkan oleh  Peter Ascanius pada tahun 1772 di pantai Norway di mana ia mendapat namanya "Glesnaes", iaitu nama sebuah ladang di Glesvær, Norway.
Ikan oarfish merupakan ikan bertulang (bony fish) terpanjang dengan mencapai sehingga 11 m (36 ft); terdapat juga dakwaan spesimen yang mencapai sehingga 17 m (56 ft) namun kebenaran ini tidak disahkan. Manakala saiz biasa ikan oarfish yang dijumpai adalah sekitar 3 m (9.8 ft). Berat paling tinggi dicatatkan oleh ikan ini adalah sehingga 272 kg (600lb).
Hari ini ikan ini mempunyai pelbagai nama dari seluruh dunia – menunjukkan ia terdapat di merata kawasan di dunia juga. Cuma, penemuannya tidaklah sekerap ikan-ikan lain yang menjadi hasil tangkapan ataupun ikan-ikan yang biasa mendiami terumbu karang. Ia tidak mempunyai nilai komersil pada manusia.

Ikan yang mati dihanyutkan arus ke pantai.

Pandangan dekat bahagian hadapan dan belakang ikan oarfish.

Hujung tentikel pada sirip pelvik yang dikatakan sebagai pengesan/ alat deria.
Banyak perkara yang tidak diketahui mengenai ikan ini. Selain daripada hidup bersendirian, ia juga adakalanya berenang secara menegak. Ia dapat di videokan oelh saintis di Teluk Mexico pada tahun 2010. Ikan yang ditemui pada lapisan mesopelagic (kedalaman 200 – 1,000 m) ini buat kali pertamanya dirakamkan di habitat asalnya.

Masih banyak lagi hidupan-hidupan di lautan yang tidak kita ketahui oleh kerana keluasan dan kedalaman laut yang jauh lebih luas dari daratan. Penjelajahan berterusan membolehkan kita terus mempelajari keunikan dunia hidupan ini dalam memastikan kita tidak menjadi ancaman kepada kehidupan mereka.





Free Download



Sabtu, 30 April 2016

Hidupan Menghasilkan Elektrik – Ikan Pari Elektrik

Ikan pari elektrik mampu menghasilkan elektrik sehingga 220 volts.

Seperti artikel sebelum ini, kita akan melihat beberapa lagi hidupan yang menghasilkan elektrik untuk pelbagai perkara. Keunikan hidupan-hidupan ini bukan telah digunakan sejak ribuan tahun dahulu dalam perubatan dan ia juga membolehkan kita memahami lebih baik mengenai elektrik. Tahukah anda dari mana kaedah menghasilkan elektrik dengan bateri?

Selain keunikan belut elektrik yang sedia terkenal, kebolehan ikan pari electric rays dari order Torpediniformes (yang mengandungi 69 species kesemuanya) amat menakjubkan. Tenaga elektrik yang dihasilkan oleh spesis ini boleh mencapai dari 8 ke 220 volts mengikut spesis. Ia samada digunakan untuk mempertahankan diri ataupun menghasilkan renjatan elektrik kepada mangsanya.

Ikan pari elektrik mempunyai bentuk sirip yang lebih bulat dan kelihatan lebih berisi. Ia juga mempunyai ekor yang lebih berotot, serta sirip pada ekor yang lebih ketara. Badannya yang agak berisi serta kulit yang lebut dan agak longar. Ikan pari jenis ini juga tidak mempunyai duri sengat sebaliknya organ berbentuk buah pinggang yang menghasilkan elektrik.


Ikan pari elektrik di dasar laut.

Ikan pari dari jenis 'marbled electric ray'.

Ikan-ikan ini boleh mendiami perairan cetek sehingga kedalaman 1,000 m (3,300 ft). Pergerakannya agak perlahan dan berenang menggunakan ekor berbanding badannya yang leper seperti sayap sebagaimana ikan-ikan pari yang lain. Makanannya yang terdiri dari hidupan-hidupan kecil di dalam air. Dengan membenamkan dirinya di dalam pasir ia akan menggunakan renjatan elektrik untuk melumpuhkan mangsa yang berada di atasnya.

Ikan pari jenis ini telah digunakan oleh orang-orang Greek dalam bidang perubatan. Renjatan yang dihasilkan digunakan untuk menahan sakit bagi pesakit yang sedang melahirkan anak ataupun semasa pembedahan. Ia juga turut direkodkan oleh pakar perubatan Roman, Scribonius Largus di dalam perawatan sakit kepala dan gout di dalam bukunya “Compositiones Medicae” pada 46 AD.


Dokumen mengenai pari elektrik dari Royal Society.

Organ penghsail elektrik pada ikan pari elektrik.

Kini teknologi perubatan moden sekali lagi mengkaji bagaimana ikan ini boleh digunakan di dalam perubatan. Antaranya adalah kajian yang dilakukan di Dalhousie University, Halifax untuk mengetahui lebih banyak mengenai hidupan unik ini. Ia juga dikaji dari segi keberkesanan kaedah penggunaanya di dalam perubatan.


Banyak lagi perkara yang boleh kita pelajari daripada hidupan ini dan juga hidupan-hidupan lain yang boleh mendatangkan manfaat kepada kita. Tanpa penerokaan, ia hanya akan menjadi misteri dan seperti biasa hanya menjadi sumber makanan sahaja.




Free Download



Selasa, 26 April 2016

Kenali Ikan Kerapu Gergasi Giant Grouper dan Atlantic Goliath Grouper

Kerapu gergasi adalah ikan yang bersaiz besar.

Ikan kerapu antara ikan yang mempunyai pasaran yang tinggi dan menjadi pilihan penternak ikan di dalam sangkar. Namun kerapu gergasi adalah spesies ikan kerapu bersaiz besar – dan anda mungkin tidak dapat menyediakan sangkar baginya. Bolehkah anda menemui ikan ini di Malaysia?

Ikan kerapu adalah ikan-ikan dari keluarga ikan yang besar iaitu Epinephelinae dan terdapat di seluruh dunia dengan genus-genus berbeza. Terdapat dua spesies kerapu gergasi yang terkenal iaitu giant grouper (Epinephelus lanceolatus) dan Atlantic goliath grouper atau itajara (Epinephelus itajara). Tidak seperti ikan-ikan besar yang lain ikan kerapu biasanya terdapat di perairan yang tidak berapa dalam (sehingga 100 m sahaja) dan biasa juga diternak di perairan air payau.

Giant grouper (Epinephelus lanceolatus) juga dikenali sebagai brindle bass, brown spotted cod, atau bumblebee grouper atau Queensland grouper di Australia. Malah ikan ini juga mempunyai nama tempatan, di Sabah ia dikenali sebaigai ikan keratang. Ikan giant grouper ini mendiami perairan Pasifik sehingga ke perairan Indo-Pasifik. Ia juga pernah ditangkap berhampiran Pulau Sembilan di Selat Melaka dengan berat mencapai 180 kg pada Januari 2008. Ikan ini mempunyai harga yang tinggi dan bagi seekor ikan yang mempunyai berat 200 kg boleh mencecah sehingga RM11,000.

Giant Grouper biasa mendiami perairan yang cetek dan sederhana.

Atlantic Goliath Grouper berhampiran batu karang.

Atlantic Goliath berhadapan dengan penyelam.

Berbeza pula dengan Atlantic goliath grouper atau itajara (Epinephelus itajara) di mana namanya sendiri menunjukkan taburannya di perairan Atlantik. Taburannya adalah di persekitaran perairan tropika Atlantik daripada Florida Keys, Bahamas, dan kebanyakan kawasan di Caribbean, perairan pantai Brazil dan adakalanya juga ditangkap di New England, di Massachusetts. Di perairan timur Atlantik pula di sekitar Congo dan Senegal. Malangnya ikan Atlantic goliath grouper telah mencapai tahap Critically Endangered mengikut senarai (IUCN 3.1) mungkin disebabkan oleh kesan penangkapan ikan yang berlebihan di perairan tersebut.

Kedua-dua ikan kerapu gergasi ini mampu mencapai saiz sehingga 2.5 meter dan ada diantaranya yang mencecah sehingga 360 kg (790 lb). Oleh kerana saiz mulutnya yang besar ikan kerapu dikatakan boleh memakan mangsa yang besar seperti ikan yu, penyu, lemon sharks dan juga menyerang para penyelam. Makanan-makanan lain bagi ikan ini adalah spesies udang-udang dan ketam, ikan-ikan lain, sotong dan spesies yang agresif seperti barracudas.


Ikan berwarna terang ini juga adalah dari spesies kerapu.

Spesis kerapu biasa.

Oleh kerana ikan kerapu mempunyai potensi yang tinggi di pasaran ia juga menjadi antara pilihan untuk industri penternakan ikan di dalam sangkar selain ikan siakap. Namun ikan-ikan yang diternak bukanlah dari spesies kerapu gergasi. Industri penternakan kerapu di dalam sangkar merupakan antara industri yang berjaya dilakukan di negara kita sebagai contohnya adalah ladang penternakan ikan kerapu milik En. Johari di Jertih, Besut, Terengganu. Selain daripada bermula sebagai pekerja kini En. Johari turut mengeluarkan sendiri anak-anak ikan kerapu pada pengusaha lain. Tahniah!




Free Download



Khamis, 24 Mac 2016

Bolehkah Bakteria Menyelesaikan Masalah Pembuangan Plastik?

Ideonella sakaiensis 201-F6 yang mampu mengurai plastik.

Masalah pembuangan plastik adalah salah satu masalah yang paling serius di muka bumi. Sehingga kini jumlah plastik yang terapung di permukaan laut dianggarkan berjumlah seberat 7,250,000 dan akan kekal di sana untuk satu jangka masa yang panjang. Sekiranya tiada usaha dilakukan, ia bukan sahaja mengancam hidupan lain malah, kehidupan manusia juga pasti akan terjejas.

Sekumpulan pengkaji Jepun yang diketuai oleh Dr. Kohei Oda dari Kyoto Institute of Technology dan rakannya Dr. Kenji Miyamoto dari Keio University mengumpulkan 250 sample plastik PET (Polyethylene terephthalate) untuk mengenal pasti bakteria yang menjadikan PET sebagai sumber karbon untuk mereka membesar.

Dari situ mereka mengesan bakteria yang diberi nama Ideonella sakaiensis 201-F6, yang mampu mengurai lapisan nipis PET dalam tempoh 6 minggu pada suhu 86°F (30°C). Bakteria ini menggunakan enzim pertama ISF6_4831 yang akan menghurai plastik kepada bahan pertengahan dan kemudian menggunakan enzim kedua, ISF6_0224 kepada bahan berikutnya.

Timbunan plastik yang dibuang.

Plastik terus berkumpul di tengah lautan.

Plastik yang terapung di tengah lautan.

Plastik yang pertama dicipta pada 1907 oleh  Leo Baekeland di New York dan ia dikenali sebagai bakelite. Namun dari situ teknologi penghasilan plastik terus berkembang dan digunakan dengan meluas. Oleh kerana harganya yang murah, ia merupakan bahan yang paling mudah didapati, mudah digunakan. Pembuangan bahan plastik sukar dikawal dan akhirnya ia dihanyutkan air sehingga berkumpul di tengah lautan.

Masalah plastik di lautan ini merupakan masalah yang amat serius. Malah bagi kepulauan yang tidak didiami manusia juga akan menjumpai kesan pembuangan plastik oleh kerana dihanyutkan air. Ia menyebabkan punca kematian banyak haiwan laut, samada besr mahupun kecil. Walaupun banyak aktiviti manusia yang menjejaskan kehidupan laut, kesan yang ditimbulkan oleh plastik masih lagi belum dapat dikenal pasti dengan tepat.

Walaupun bakteria seperti Ideonella sakaiensis 201-F6 ini boleh menghuraikan plastik di lautan; dan mungkin terdapat bakteria-bakteria lain yang mengevolusi untuk menghuraikan plastik, masa yang diambilnya adalah terlalu lama. Tidak seperti pereputan bahan organik lain yang berlaku dalam alam (yang dilakukan oleh banyak hidupan dari haiwan, fungus, serangga dan bakteria).

Serpihan plastik yang terapung di lautan.

Pemerangkap plastik oleh 'The Ocean Cleanup'.

Kesan daripada pembuangan plastik.

Usaha untuk mengumpulkan bahan plastik di lautan adalah jauh lebih relevan kerana ia dapat mengurangkan bahan plastik yang terapung dalam masa lebih cepat. Bagitu juga dengan usaha mengurangkan penggunaan bahan plastik selain mengawal pembuangan plastik.

Dalam usaha yang dilakukan oleh ‘The Ocean Cleanup’ sejak beberapa tahun lalu oleh Boyan Slat yang juga merupakan pelajar dari Delft University of Technology merupakan kaedah yang dapat membantu masalah plastik di lautan ini. Mengikut perkembangan terbaru, pemasangan pemerangkap plastiknya akan dipasang di luar pantai North Sea, 23 km daripada pantai Netherlands.


Lautan merangkumi keluasan 71% dari keseluruhan permukaan bumi. Kepentingan lautan terhadap keseimbangan alam tidak dapat dinafikan. Ia bukan sahaja membekalkan manusia dengan sumber hidupan laut yang banyak, malah turut berfungsi dalam mengawal kandungan Karbon Dioksida dan juga Oksigen oleh plankton. Sekiranya masalah plastik tidak dibendung, ia akan suatu hari nanti ia akan mencapai pada tahap sudah terlambat!




Free Download



Sabtu, 5 Mac 2016

Kemerosotan Tangkapan Industri Perikanan Berpunca Dari Kesilapan Manusia

Sejumlah 400 ton jack mackerel dalam sekali tangkapan!

Industri perikanan mengalami  kemerosotan teruk akibat daripada penangkapan ikan berlebihan bagi memenuhi permintaan pasaran. Kemajuan awal yang diperolehi oleh industri makanan tidak menitik beratkan tentang keseimbangan punca tangkapan. Sehubungan itu hanya sejak kebelangkangan ini manusia mula sedar bahawa sekiranya ia tidak dikawal, sumber makanan penting dari laut ini mungkin akan lenyap.

Kepesatan industri membolehkan manusia melakukan hampir apa sahaja. Menyebabkan industri perikanan melonjak dengan hasil tangkapan yang sangat tinggi. Penggunaan bot-bot yang lebih besar, pukat-pukat bersaiz gergasi dan juga peralatan moden seperti sonar turut digunakan dalam membantu manusia mendapat tangkapan yang lebih banyak. Industri ini mula melonjak naik bermula dari awal 1800-an dengan industri penangkapan ikan paus untuk bekalan minyak, dan menjelang 1900 an pula kebanyakan spesis-spesis ikan tertentu yang menjadi buruan manusia semakin berkurangan.

Manusia juga sering melakukan tangkapan spesies tertentu, manakala spesies yang lain yang ditangkap secara tidak sengaja akan dibuang semula ke laut, atau dijadikan baja. Ia merupakan satu pembaziran dan juga membawa impak yang sangat buruk kepada ekosistem laut. Pemburuan untuk mendapatkan sirip yu misalnya, di mana nelayan hanya akan mengambil sirip yu itu sahaja manakala bahagian lainnya akan terus dibuang ke laut.

Tangkapan tidak sengaja yang akan dibuang atau dijadikan baja.

Kejadian kematian hidupan laut besar-besaran semakin kerap berlaku.

Penangkapan spesies tertentu sahaja turut mengganggu keseimbangan ekosistem.

Begitu juga dalam pemburuan ikan-ikan lain seperti sardin, cod, herring dan tuna. Pengambilan jumlah ikan yang besar dari laut menyebabkan keseimbangan laut mula terjejas dan menyebabkan pelbagai masalah yang tidak kita fahami seperti punca kematian ikan besar-besaran di Namibia (yang dikatakan berpunca oleh pereputan plankton yang berlebihan akibat kekurangan populasi sardin).

Penggunaan peralatan seperti pukat-pukat yang digunakan dalam industri perikanan pula adakalanya turut menangkap spesies-spesies lain seperti penyu, ikan lumba-lumba atau hidupan lain yang tidak mempunyai nilai komersial. Tangkapan tidak sengaja ini samada dibunuh atau dibuang semula ke laut (yang kebanyakannya mati). Pukat-pukat ini juga adakalanya terlekat pada terumbu karang dan memusnahkannya. Ia merupakan tempat dimana banyak spesies ikan-ikan di laut membiak.

Manakala aktiviti-aktiviti manusia yang lain turut menjejaskan industri perikanan adalah pencemaran disebabkan oleh pembuangan sisa industri, petroleum, perkapalan, pembangunan pinggir pantai dan yang paling membimbangkan adalah sisa buangan plastik di laut. Plastik yang sukar mereput terus berada di tengah lautan dan menjadi ancaman kepada hidupan laut bukan sahaja ikan, malah burung, penyu, singa laut, hidupan-hidupan kecil dan sebagainya. Plastik bukanlah terus dibuang ke laut, namun ia dibawa oleh aliran air mengikuti sungai dan tali air seterusnya berada di laut.

Industri perikanan hari ini beralih kepada penternakan ikan di dalam sangkar. Walaupun ia tidak mampu mengatasi masalah sedia ada, sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan pengambilan ikan secara berlebihan ataupun penangkapan ikan-ikan lain secara tidak sengaja. Penternakan ini turut merangkumi beberapa spesis hidupan lain seperti udang, ketam dan juga kerang-kerangan. Penyelidikan terus dilakukan bukan sahaja untuk mendapatkan hasil yang lebih baik bagi penternakan industri ‘aquaculture’ malah mengesan impak kepada alam sekitar.

Bot-bot nelayan moden mampu menangkap lebih banyak ikan.

Penternakan ikan sangkar di tengah lautan antara usaha baru.

Pusat pemuliharaan ikan salmon di Capilano River Hatchery, Canada.

Telur-telur yang dikumpul untuk ditetaskan.

Selain penternakan ikan di dalam sangkar ini, kerja-kerja konservasi juga turut dijalankan seperti melepaskan anak-anak ikan dan pemuliharaan alam sekitar juga giat dijalankan. Ini turut dibantu dengan program-program pendidikan masyarakat oleh badan-badan kerajaan dan juga swasta. Banyak perkara terus dipelajari dan diselidiki oleh manusia dalam memahami keseimbangan ekosistem lautan ini. Ini turut membawa kepada pengawalan jumlah populasi hidupan yang menular di sesuatu habitat.


Itu adalah sebahagian perkara yang dilakukan di serata dunia. Namun di negara kita, kesedaran ini perlu dipertingkatkan. Kita hanya mampu mengeluh apabila sumber perikanan negara terancam namun tiada usaha yang benar-benar berkesan diambil. Setiap dari kita bukan sahaja bertanggungjawab malah mampu memberikan sumbangan untuk usaha ini, antaranya – kurangkan penggunaan bahan plastik dan tidak melakukan perkara-perkara yang merosakkan sumber hidupan air/laut.






Free Download



Arkib Blog